Puisi MARSLI N.O

HALIMUNAN SEJARAH

selalu pada malam yang teramat sunyi dan ketika kau sedang
terseok-seok sendirian di lorong bernama ingatan sambil
menyeret hatimu yang rawan kerana mengenangkan untung serta
nasib negeri peribadinya yang semakin tak keruan setelah
riwayatnya dicemari huruf serta aksara ganjil yang semakin
tak kau fahami dan kini telah berubah menjadi sebuah peta
yang semakin kau curigai dengan niat serta fikiran yang
kosong. tiba-tiba, seseorang yang entahkan siapa akan muncul
dengan wajahnya yang bengis dan pedang terhunus di tangan
mengherdikmu berkali-kali.

hei, tidakkah kau mengerti betapa berabad sudah aku berkelana
di kolong gelap bernama peradaban dan deritaku memikirkan
betapa segala yang kau impi serta harapkan namun tidak pernah
dapat kutunaikan?

engkau pun menjadi terkesima beberapa detik lamanya dan
segera melupakan segala niat serta fikiran kosong yang selama
ini cuba kau belokkan dengan kesibukan, mabuk dan kata-kata
penuh onani. lalu segera kau kembali ke dalam peribadi
milikmu, bersama keyakinan yang semakin memudar.

malam yang teramat sunyi itu pun semakin berubah menjadi
hutan yang gelap dan lebat dengan pertanyaan demi pertanyaan.
dan dengan tubuh serta ingatan yang semakin kosong engkau
biarkan fikiran terapung-apung di antara bukit, hutan, sungai
atau nama demi nama yang telah sejak lama dipersendakan oleh
nasibnya sendiri, terkial-kial di tengah harapan atau
teriakan yang sia-sia.

tetapi siapa namamu? perlahan engkau bertanya, dengan suara
berat dan hampir bergumam. dan segala yang bernama silam
kembali berloncatan memperkenalkan wajah serta dirinya sambil
mendesahkan gementar nafas angin dari tanah-tanah sunyi
bernama perkuburan atau sesekali tetap kau dengar desing bom
serta mortar dari medan-medan pertempuran. juga kau mencium
bau darah!

tetapi kau tidak dapat menatap wajahnya. kerana dia hanyalah
halimunan yang dibenihkan dari rahim sejarah yang telah
diperkosa dengan pengalaman buruk dan jutaan mimpi pahit.
seperti berkali-kali sudah kau terbangkit dari igau. mencari
suara dan wajah yang tak kelihatan dan bersendirian kau
bergelut dengan wajah-wajah silam. ketika mimpikan tanah-
tanah permai di tengah kenyataan.

dan agar tidak dibunuh oleh rasa takut serta kecewa,
dengan suaramu yang letih dan serak berkali-kali kau
menyebut nama Tuhan.

kuantan, 27 September 1999
Siar:  Berita Minggu,  20 Februari 2000




KEMBALI