Ulasan Buku:
PANDUAN MEMBUAT FILEM UNTUK KALANGAN INDIPENDEN

Tajuk : Membuat Filem Indie Itu Gampang
Pengarang : Askurifal Baksin
Penerbit : Penerbit Katarsis, Bandung
Tahun : 2003
Tebal : 124 halaman
Pengulas : Marsli N.O

MESKI buku ini khusus ditujukan kepada calon pembuat filem independen namun penulisnya tegas memberi ingatan supaya sesiapa yang membacanya janganlah bermimpi akan segera menjadi pembuat filem.

Malah tegas penulisnya, buku ini memberikan tahapan yang harus dilalui oleh calon pembuat filem atau filmmaker, terutamanya bagi mereka yang memilih jalur independen atau “indie label” dalam erti kata mereka berada di luar jalur mainstream yang bergantung kepada studio dan pemodal besar.

Dimulai dengan pembicaraan ringkas mengenai filem independen di Indonesia yang dianggap penulis sebagai pemantik kebangkitan sinema Indonesia, walaupun sebelumnya telah muncul “Komunitas Filem Independan (Konfiden) pada tahun 1999, namun kemarakannya dikatakan benar-benar terserlah apabila SCTV menganjurkan Festival Filem Independen Indonesia (FFII) pada tahun 2002.

Di dalam festival tersebut tercatat 746 judul filem menyertainya dan untuk kategori umum filem “Suatu Siang di Perkampungan Kalimati Karet Biwak (25 minit) yang disutradarai C.C Febriyono dan produser Budi Soema menjadi juara. Untuk kategori pelajar, filem “Borland Bangun, Ayo Sekolah!” arahan siswa SMU di Bandung, Nicholas Yudifar dipilih sebagai juara.

Sebagai media komunikasi dan penghibur massa yang berkesan, penulis buku ini melihat filem juga dapat dijadikan suatu bentuk komoditi. Berbanding dengan seni lain, penulis menekankan betapa filem sangat bergantung kepada teknologi, sama ada sebagai bahan baku dalam produksi ataupun untuk menjelmakannya di hadapan penonton.

Malah diperingatkan penulisnya, betapa filem sebagai jajaran seni yang ditopang oleh industri hiburan yang menawarkan impian kepada penonton, mahu tidak mahu selalu memaksa produser supaya memperhitungkan juga selera penonton agar sudi datang ke panggung untuk membeli sensasi dan hiburan ringan.

Sebagai sebuah buku petunjuk, buku yang dibahagikan kepada tujuh bab ini tentu saja tidak lupa membicarakan mengenai pelbagai alatan asas dalam pembuatan filem serta tenaga pengendalinya.

Menurut penulis, kehadiran kamera digital cukup efektif dan efisien untuk pembuatan filem dan ini banyak digemari oleh kalangan muda pembuat filem indie. Malah dibandingkan dengan kamera jenis analog, kos produksinya jauh lebih murah dan mudah dikendalikan dan dengan menyebutkan Robert Rodriguez sebagai contoh, pembuatan filem indie dengan biaya hanya US $7000 tetap mampu menggamit lingkungan filem di Hollywood.

Namun betapa canggih pun peralatan kamera, tanpa seorang juru kamera yang benar-benar tahu mengenai bidang tugasnya tentu sajalah sebuah produksi filem tidak dapat bergerak dengan lancer. Untuk itu di dalam buku ini, penulis memberikan 4 faktor di tahap persiapan seorang juru kamera dan 6 faktor pula di tahap pembuatan atau produksi.

Selepas membicarakan dengan agak panjang lebar mengenai aspek-aspek teknik pengambilan gambar seperti angle, ukuran gambar, komposisi dan bingkai, gerakan kamera dan beberapa teknik baru, penulis tidak lupa membicarakan mengenai sumber idea sebuah cerita filem.

Menariknya, selain dari sumber-sumber yang sudah sering disebut seperti pengalaman peribadi, percakapan sehari-hari atau biografi seseorang, penulis turut menyebut betapa karya-karya komik juga dapat dijadikan sumber ide bagi sebuah cerita filem.

Di segi penulisannya, diakui penulis betapa menulis skenario filem indipenden tidaklah sesulit menulis skenario untuk filem panjang atau yang dinamakan penulis sebagai filem “mainstream”. Dengan durasi sekitar lima hingga 30 minit, filem indie juga tidak mengikut struktur tiga babak. Menurut penulis ada tiga gaya yang boleh dicuba di dalam penulisan skenario filem indie iaitu “surprise”, “circles” dan “Linier”.

Modal dan peranan seorang sutradara di dalam sesuatu produksi filem indie tetap tidak lupa dibicarakan oleh penulis. Kemudahan teknologi yang sedia ada turut disebut penulis sebagai alat bantu dalam proses suntingan video digital (digital video editing). Malah jangan terperanjat hanya dengan processor AMD Athlon XP 1800 ke atas, ingatan capaian rawak (RAM) sekitar DDR 512 megabait dan kapasiti cakera keras 80 gegabait kerja-kerja ini dapat bdilaksanakan.

Penulis mengakhiri buku panduan yang boleh dikatakan agak lengkap dan padat ini dengan memberikan 16 langkah atau tahap yang perlu dilalui dalam proses pembuatan sebuah filem sederhana menggunakan handycam atau Canon XL-1.

KEMBALI