|

Puisi MARSLI N.O
CATATAN MENGENAI KABUT
Setelah sekian abad bersunyi di dalam kabut berdua mereka perlahan-lahan menjauhi kabut dan kembali menemui cakerawala
kerana aku sedang gelisah, begitu kata sejarah dengan suara bergetar kepada sahabatnya bernama peristiwa yang sedang termangu-mangu sambil kedua-dua belah kelopak matanya yang sejak lama basah digenangi air berkali-kali diseka dan pada wajahnya kelihatan bergayut berjuta debar dari berabad suram milik dunia kenangnya yang kini sedikit demi sedikit telah mulai berubah menjadi cabikan daunan kalendar yang disimpan di muzium sibuk bernama dunia.
untuk apa lagi kau bertanya selepas terlalu lama kita berdua dipersendakan dengan segala kata-kata besar atau berbilion janji yang tidak pernah sempat mereka tunaikan? tanya peristiwa dengan suara mengandung kesumat dan amarah tidak terkira
tetapi akan ke mana lagi akan kubawa diri dengan kaki yang berat terseok-seok ini memikul segala beban dari sampah dan kemusnahan peradaban dan telingaku yang semakin menjadi tuli ini kenapa masih mereka bingitkan dengan desing bom serta mortar dari medan-medan pertempuran? kembali sejarah bertanya kepada sahabatnya bernama peristiwa sambil berkali-kali menepis beberapa ekor kelkatu yang tiba-tiba bergentayangan di hadapan pandangannya tetapi entah muncul dari mana
aku juga tak tahu kerana tubuhku yang renta ini telah semakin kehilangan upaya untuk mencatatkan ke dalam almanak purbaku segala nama atau jasad yang mereka tinggalkan di tanah-tanah sunyi bernama perkuburan dan pada malam yang teramat gulita selalu kudengar raung serta ratap para korban kerana rindukan kembali tanah air miliknya yang semakin lenyap di tengah peta bernama sebuah negara.
berdua mereka terdiam untuk seketika lamanya bagaikan sedang lenyap ke dalam tafakur dan mencair dalam sedih yang tidak terkira
ketulan darah! tidak semena-mena terdengar suara teriakan
sejarah dan peristiwa pun serentak membukakan kelopak matanya lebar-lebar dan beberapa ekor kelkatu yang entah muncul dari mana itu pun segera lenyap ditelan awan
tunggu, mari kita bina peradaban baru dengan pemerkosaan, darah dan mayat demi mayat! tiba-tiba terdengar pula pekik seseorang di antara kita entahkan siapa yang berdiri di sebuah menara tinggi bernama kesombongan sambil menggoyang-goyangkan gelas berisi wine dan meraikan mabuknya berkali-kali dengan onani
dan pada detik yang sama bersiponganglah terdengar raung serta ratap para korban sejarah dan peristiwa pun segera kembali menyerapkan dirinya ke dalam kabut
berdosakah kita kerana tak mampu mengajar manusia agar tak selamanya menjadi haiwan dan tidak berterusan saling berbunuhan? terdengar dengan suara perlahan sejarah melepaskan keluh dan mulai terisak-isak menahan tangisnya
betapa pun sudah sekian abad kuajar diri untuk menghadapi segala kecewa tanpa sedikit pun rasa rawan namun resahku tetap tak terhiburkan entah sampai bila, terdengar peristiwa juga turut berkata-kata dan perlahan-lahan menyeka air mata.
kini berdua mereka telah kembali ke dalam kabut bersunyi di dalam kabut.
2 April 1999
KEMBALI

|
|