KAJIAN

SENTIMENTALISI-SENSIBILITI SEBAGAI TITIK TOLAK PROSES KREATIVITI MARSLI N.O. DALAM DEMI
Oleh
SHAHNON AHMAD

Mukadimah
PADA peringkat asasnya cerpen, sama sahaja seperti novel, novelet, epik, saga atau roman, sewajarnya memiliki elemen-elemen komposisi yang sama dalam pembinaan bentuk masing-masing. Bezanya terletak pada penekanan atau fokus dalam persoalan atau tema dan juga pada aspek teknikal pembinaannya. Novel lebih luas cakupannya; baik cakupan persoalan mahupun cakupan aspek teknikalnya berbanding dengan novelet. Epik atau Epos dan wiracarita masih kekal asas konsep kisahannya seperti dalam novel atau cerpen. Namun begitu Epik atau Epos dan Wiracarita itu, lebih terarah kepada kisahan kesatriaan yang sering muluk-muluk sifatnya dalam penempuhan kepelbagaian peristiwanya. Akan tetapi dari segi aspek teknikalnya jauh berlainan berbanding dengan novel novelet atau cerpen kerana biasanya epik didendangi lewat puisi sedangkan novel, novelet, atau cerpen didendangi lewat prosa.

Genre saga pula, berbanding dengan cerpen atau novel masih sama-sama kekal konsep kisahannya, meskipun saga sering mencakupi kisah-kisah lagenda tentang wirawan serba boleh atau kisah petualangan serba pesona tangkasan gerak luarannya dan keajaiban ilmu batinnya. Genre roman pula, meskipun kini sering disamakan dengan genre novel namun pada dasarnya, sebenarnya, jauh berlainan, terutama apabila dibandingkan dengan perkembangan pembinaan novel mutakhir. Roman atau novel atau cerpen masih kekal dengan konsep ceritanya tapi cerita dalam roman sering dikaitkan dengan keperihalan manusia serba wira sifatnya, terlibat dalam pengembaraan yang serba luar biasa dan seringnya terjaring dalam episod-episod percintaan berbagai segi penuh dengan babak dramatik, civalri dan misteri.

Konvensi dan Non-Konvensi dalam Pembinaan Cerpen
Apa yang hendak dinyatakan di sini ialah pada dasarnya cerpen dalam sejarah perkembangannya, pada dasarnya, sama seperti novel, novelet, epik, saga atau roman, kekal dengan alur ceritanya, iaitu cerita masih sebagai tonggak pembinaan atau pembangunannya. Melalui cerita itulah terjaringnya kepelbagaian permasalahan manusia melalui kepelbagaian teknik langgamnya. Berbeza dengan saga, epik atau roman, genre cerpen, novel, dan novelet amat pantas menempuh kelainan dalam sejarah perkembangan pembinaannya. Sehingga kadang-kadang nampak benar kelainannya dari konsep asal; baik dalam jenis keperihalan manusia, apatah lagi dalam aspek teknikal pembinaan keperihalan manusia berbagai jenis itu.

Bezanya pula cerpen dengan kategori kompisi yang lain itu ialah terulungnya ciri cerpen terletak pada kependekannya; baik kependekan kisahnya, kejituan kesan tunggalnya yang dominan, keputusan tokohnya yang wujud dalam satu situasi dan satu ketika dan juga penekanannya pada satu tikaian. Berlainan dengan komposisi yang lain seperti novel di mana keluasan cakupannya terserlah; baik tentang panjang kisahannya, kepelbagaian kesan yang dituntutnya dari kisahan itu, kepelbagaian tokoh yang mendukung kepelbagaian keperihalannya dan punya situasi dan ketika yang berberaian serta kewujudan tikaian yang bercabang dan beranting sehingga berpuncak pada kekusutan yang menuntut leraian dan kadang-kadang kekusutannya tinggal kekusutan.

Komposisi epik, saga, roman boleh dikatakan tidak berkembang dan kalau pun masih wujud, ternyata masih setia pada elemen-elemen komposisinya yang asal. Pelanggaran pada konvensinya boleh dikatakan satu pantang-larang yang patut dijauhi.

Berlainan dengan novel, novelet atau cerpen iaitu tiga kategori genre prosa yang senantiasa bernafas dan berkembang dan berani menempuh kepelbagaian dan kecanggihan kreativitinya; selaras dengan kekayaan daya kreativiti, kejangkauan daya imaginasi dan ketajaman daya sentiviti pencipta di belakang karya itu iaitu pengarangnya. Bila kita meneliti dan menganalisis genre prosa mutakhir seperti novel, novelet, atau cerpen, pada dasarnya, kini kita sebenarnya berhadapan dengan dua jenis proses kreativiti iaitu yang satu masih patuh dan taat setia sepenuhnya atau separuhnya pada konvensi dan yang satu lagi ialah yang melanggar konvensi sehingga kadang-kadang amat jauh menyimpang dari hakikat maknanya yang asal. Para pengarang cerpen atau novel yang hanya patuh pada konvensi dan amat bimbang untuk melanggar prasyarat konvensi sehingga tidak berani membentuk diri sebagai eksperimentalis atau sebagai reformasis atau ahli tajdid biasanya ditinggalkan zaman. Daya kreativitinya tidak pernah berkembang dan bakatnya tidak pernah tercabar dan akhirnya dia menjadi kayu mati yang tidak berfungsi lagi selain menunggu ketika untuk rebah menyembah bumi dan kemudian luput dari sejarah.

Para pengarang kategori patuh membuta tuli pada konvensi dan langsung tidak berani menjadi reformasis atau eksperimentalis atau khuatir membentuk diri sebagai ahli tajdid ini memang banyak. Pada dasarnya mereka bukan punya bakat kreativiti yang besar. Mereka hanya pengikut buta untuk turut bersama dalam gelombang kreativiti karya sastera yang sentiasa mencabar ini. Dan disebabkan mereka "buta", akhirnya mereka tumbang; ditumbangi oleh diri mereka sendiri.

Para pengarang kategori yang galak dan rancak melanggar konvensi pun banyak juga sama seperti pengarang yang membuta patuh pada konvensi. Dan kategori pengarang pelanggar konvensi ini pula boleh dibahagikan kepada dua kelompok lagi. Satu kelompok rajin melanggar konvensi hanya kerana rajin dirasuk kegilaan hendak melanggar konvensi. Mereka hanya mengejar kelainan, menuntut penyelewengan dan cuba membentuk diri sebagai pencipta yang unik, konon, tapi keunikan yang dikejar ternyata tidak tahan lama kerana landasannya hanya kelainan dan penyelewengan demi kelainan dan penyelewengan. Mereka ingin menjadi eksperimentalis, menjadi sebagai reformasis atau sebagai ahli tajdid tetapi visinya nol, asasnya rapuh dan mereka cuma pengarang ala pengejar fesyen luaran yang akhirnya hanyut entah ke mana.

Berlainan dengan kategori pengarang yang satu lagi yang amat rajin melanggar konvensi, ingin bereksperimen, sering berani melakukan reformasi dalam kreativiti, menjadi tajdid dalam komposisi tetapi setiap pelanggaran pada konvensi bukan sekadar ingin mengejar kelainan semata-mata tetapi jelas mempunyai visi yang khusus. Dan visi ini bertonggakkan ilmu yang dihayati, pengalaman yang disaring dengan cermat, pemikiran yang teguh landasannya, tidak pula membiarkan imaginasi dan sentimentaliti menguasai segala dan akhirnya sentiasa mengenal dirinya hanya sebagai pencipta yang sentiasa dinaungi oleh Yang Maha Pencipta. Pada hemat saya, Marsli N.O. telah memperlihatkan ketrampilan daya kreativitinya dalam kategori pengarang ini.

Marsli N.O. dalam DEMI
Marsli N.O. adalah seorang sasterawan yang baru muncul. Berdasarkan beberapa esei, cerpen, sajaknya yang tersiar dalam P-S iaitu yang disebut sebagai wadah interaksi generasi baru sastera, saya dapati pengarang muda ini antara pengarang muda yang rajin bereksperimen dalam komposisi karya-karyanya. Beliau banyak melanggar konvensi terutama gemar melayani emosi-sentimentaliti-sensibilitinya melebihi realiti tetapi tidak pula terus meminggirkan realiti, dan menafikan rasionaliti. Realiti dalam karya-karyanya memang wujud tetapi disiratkannya dengan penuh kekayaan kreativitinya melalui berbagai majas, citraan, asosiasi, dan metafora yang kadang-kadang berunsur dongengan. Rasionalitinya mungkin dikaburkan oleh kisah-kisah yang kurang munasabah tetapi ketidakmunasabahannya itu hanya dilakukan sekadar untuk memancing daya kreativiti khalayak agar turut bersama berkreatif, mengasosiasikan majas kepada makna yang sebenar apabila berhadapan dengan karyanya. Penelitian saya kali ini khusus pada kumpulan cerpennya DEMI yang baru sahaja diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Meneliti empat belas buah cerpen yang tersiar dalam DEMI, saya dapati keseluruhan karyanya ini bertitik-tolak dari sentimentaliti-sensibiliti yang kuat menguasai realiti yang wujud. Sentimentaliti-Sensibilti adalah emosi sebagai lawan kepada rasionaliti. Di sini karya dipandu oleh emosi yang kuat menguasai langgam penceritaan, gaya bahasa dan juga isu-isu keperihalan manusia yang ditemakan. Dan isu-isu manusia itu pula tersirat dengan makna-makna keperihalan manusia kontemporari yang berlaku kebelakangan ini khususnya di negera kita Malaysia. Cerpen sentimentaliti ternyata melebihi emosi daripada realiti. Biasanya sentimentalisme berunsur gerakan romantis tetapi dalam kes Marsli N.O. sentimentaliti sentiasa berada dalam kawalan realiti dan dieksploitasikannya melalui langgam penceritaan dan gaya bahasa untuk menyiratkan makna realiti. Sentimentalisi tidak dibiarkan bebas tidak menentu seperti dalam karya-karya bercorak romantis. Dan makna realiti dalam cerpen-cerpen dalam DEMI umumnya berunsur politik kontemporari.

Melalui karya yang bertitik-tolak dari sentimentaliti, Marsli N.O. cuba pula mengeksploitasikan keupayaan khalayak untuk menginsafi diri, tanam rasa belas kasihan dan meninggalkan berbagai kesan lagi. Realitinya wujud di mana-mana dalam sentimentaliti-sensibiliti itu tetapi kadang-kadang diperlihatkan realiti itu secara abstrak melalui jalan cerita yang menyimpang jauh dari konvensi. Marsli N.O. cuba membangkitkan emosi mengatasi reason dan mempertingkatkan analisis emosi menjadi satu aspek seni yang menarik. Maka terjadilah cerpen sebagai satu faktor mendidik hati secara seni. Unsur pendidikannya langsung tidak ketara kerana disiratkannya melalui emosi yang meluap-luap; malah sering melakukan melalui perulangan dan pertindihan kata dan ungkapan terasa dibuat-buat. Dalam beberapa hal lagi cerpen-cerpen dalam DEMI bukan sahaja kaya dengan sentimentaliti-sensibiliti melalui gaya bahasa dan cerita tetapi terarah membentuk semacam repsodi, iaitu kisah yang penuh dengan emosi yang berlebih-lebihan. Ada trend yang dipilih oleh Marsli N.O. untuk memperlihatkan insanan atau majas yang memberikan sifat-sifat manusia kepada barang-barang yang tidak bernyawa seperti botol, batu, paku, tombak, kapak, pisau sebagai usaha untuk mengasosiasikannya dengan keperihalan realiti keganasan dan kebendaan yang dicari oleh manusia korapsi.

Selain tebal dengan sentimentaliti-sensibiliti, cerpen-cerpen dalam DEMI juga dibaluti dengan nada solilokui atau senandika iaitu karya yang mengisahkan semacam wacana seorang tokoh utama dengan dirinya sendiri bagi mengungkapkan perasaan, firasat, dan konflik batin. Umpamanya dalam cerpen "Protes", kisah fokus pada seorang pemimpin utama yang dengan sendirinya terasa bersalah kerana pada mulanya didapati, ada protes di luar terhadap kepimpinannya yang sentiasa mengganggu fikirannya, tetapi dia tidak pula tahu siapa yang melakukan protes itu. Akhirnya dengan nada solilokui, terbukti yang protes itu sebenarnya dirinya sendiri. Suara protes adalah sebenarnya suara bisikan kalbunya sendiri.

Begitu juga dalam cerpen-cerpen yang lain seperti "Perut", "Huruf-Huruf", "Tangan", "Angkara", dan sebagainya. "Perut" umpamanya memperlihatkan dosa yang banyak dalam diri kerana isinya hanya benda yang diperolehi secara salah. Begitu juga dalam "Huruf-Huruf" yang akhirnya mempamerkan huruf M-U-N-A-F-I-K yang lebih terarah kepada realiti kepimpinan politik masa kini yang serba menyimpang dari hakikat kepimpinan yang sebenar. Yang dikatakan sifat munafik itu sebenarnya diri pemimpin itu sendiri; bukan orang lain.

Dalam "Tangan" dan "Angkara" pun hampir senada kerana "Tangan" lebih diasosiasikan dengan kuasa yang kebetulan disalahgunakan oleh diri sendiri dan "Angkara" akhirnya berpaling kepada angkara diri sendiri. Yang melahirkan angkara itu bukan orang lain tetapi dirinya sendiri juga. Begitu juga dengan cerpen "Perut", cerpen "Busung" nadanya sama. Hanya dalam "Busung", Masli N.O. mengasosiasikannya dengan seketul daging dalam diri iaitu hati yang menentukan segala gerak segala tindak. Busuk hati, busuklah segala, tetapi dalam "Busung", petunjuk daripada Pak Tua akhirnya menjalani proses muntah keluar segala yang busuk untuk berada kembali pada tahap keinsafan diri. Di sini Pak Tua lebih menyarankan makna kebijaksanaan atau keimanan.

Paling menarik ialah cerpen "Bajingan" kerana kaedah langgam penceritaannya adalah kombinasi antara realiti isu semasa tetapi ditampilkan melalui dongeng untuk menyiratkan makna yang berupa satu kritikan sosial yang amat terasa sekali tikamannya. Dalam cerpen "Bajingan" ini pemimpin utama telah membuat tuduhan salah terhadap seorang pemimpin yang lain, sehingga yang tertuduh itu diseksa dan diikat pada sebatang tiang untuk menerima hukuman tetapi akhirnya yang benar-benar salah, yang benar-benar bajingan ialah pemimpin utama itu sendiri. Pendedahan dibuat sesudah asap yang menyelubungi keadaan lesap entah ke mana dan yang timbul ialah suasana yang cerah terang benderang. Unsur asap digunakan sebagai yang melindungi yang benar tetapi apabila asap lesap, yang benar dengan sendirinya memperlihatkan diri. Yang salah iaitu pemimpin utamalah yang sebenarnya bajingan.

Selain "Bajingan", cerpen yang amat menarik perhatian saya ialah cerpen "Demi" iaitu cerpen terakhir dalam kumpulan ini dan dijadikan tajuk kumpulan ini. Kata "Demi" ini diambil daripada kata pertama dalam ayat pertama Surah Al-'Asyr iaitu "Demi Masa" dan seterusnya "Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan yang mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati menetapi kesabaran. Cerpen "Demi" ini ternyata merupakan satu renungan sesudah mengerjakan solat dan memperlihatkan tikaian batin yang maha hebat antara kebenaran dan kesabaran dengan igauan dan halusinasi serta diasosiasikan pula dengan seorang tokoh yang lain yang lupa dataran disebabkan kemabukan kuasa. Akhirnya yang menang ialah kebenaran dan kesabaran dan tokoh kembali insaf yang selama ini diselubungi igauan dan halusinasi kembali ke akar.

Namun kesan-kesan politik yang dikesani sesudah meneliti cerpen-cerpen Marsli N.O. ini ternyata bukan kesan sehala dan bukan kesan sepejal daging mentah, malah berbaur antara kekaburan dan sentimentaliti-sensibiliti kerana memang Marsli N.O. telah banyak melanggar konvensi pembinaan sesebuah karya dalam proses kreativitinya. Untuk mendapat kesan realitinya itu kadang-kadang kita memerlukan daya sensitivitinya yang mampu mengasosiasikan kaedah cerita emosionalnya dengan visinya yang sebenar. Kelainan pembinaan karya-karyanya terasa begitu jauh menyimpang daripada konvensi tetapi bukan pula penyimpangan sekadar mencari kelainan atau kepelikan sebagai satu fesyen. Penyimpangan yang ketara, seperti yang saya tegaskan terawal, ialah titik tolak Marsli N.O. pada emosi atau sentimentaliti tetapi tidak pula terus melupakan realiti. Realiti wujud dalam kebauran emosi itulah sehingga kesan yang kita peroleh bukan sekadar kesan yang jitu dan langsung seperti kebanyakan karya yang patuh pada konvensi tetapi kesan yang lebih umum tetapi cepat terasa kaitannya dengan realiti semasa.

Latar karya-karyanya juga tidak lagi bersifat luaran dan fizik kerana lebih tertumpu kepada latar dalaman diri. Sekali imbas kita dapati Marsli N.O. masih tidak dapat melarikan diri dari latar luaran seperti umpamanya dalam "Pelahap" di mana bukit larangan menjadi setingnya tetapi kemudiannya terbukti bukit larangan itu adalah seting dalaman diri yang mengeluarkan suara senada yang melambangkan pengikut buta kepada pemimpin utama.

Cerpen "Luluh", "Seteru", "Dia", dan "Anak-anak Merpati" dan "Muntah" umpamanya berlatarbelakangkan dalaman diri tetapi masih terarah makna yang tersirat pada realiti politik akibat igauan dan halusinasi yang tidak berpijak pada kepimpinan yang sebenar.

Dialog memang banyak diutarakan tetapi dialog lebih bersifat dialog dalaman atau ekacakap atau monolog sehingga kadang-kadang monolog menjadi tidak menentu kerana dilanda oleh igauan dan halusinasi dalam diri yang dikuasai oleh emosi atau sentimentaliti-sensibiliti. Kadang-kadang begitu terbawa-bawa oleh emosi sehingga yang terbit hanya susunan kata-kata yang sulit dimaknakan seperti umpamanya dalam cerpen "Angkara": "Ekzek geze-geze. Wadimanika. Bi bla-bla-bla. Wintu kurunju birkusadikuti.Didi brazu guriza bikatayi waziq. Humhimpah tunikatu punikanawana. Banaminakana. Nun. Bla-bla-bla. Bidarab pitarab kitarab sitarab. Katikatakata. Ta-ta-ta. Pingpongiongut pingit-pingit. Bla-bla-bla-bla. Turazinadakabali atuwisatunabatulakanati yowoizatukalanam anikananamabana himpohunatakaniturasutilakanama winakayulik abnatulikanik! Abnatulikanik! Abnatulikanik!"

Selain dialog dan monolog dalaman yang terserlah, plot cerpen pun tidak lagi setia pada konsep sebab-akibat, berurutan dan puncak dengan leraian yang ketara. Plot agak jungkirbalik, kompleks, semruwet antara emosi, fikiran tidak menentu, refleksi, asosiasi, dan yang bersifat futuristik. Yang banyak wujud ialah tanda tanya demi tanda tanya seperti siapa? Apa? Bagaimana? Mengapa? Ke mana? Malah sebahagian besar cerpen-cerpen ini melahirkan persoalan-persoalan yang tidak terjawab secara langsung kerana yang menimbulkan soalan itu ialah dari dalaman diri sendiri dan yang cuba hendak menjawab soalan itu pun dari dalaman sendiri juga.

Ternyata di sini kovensi dalam langgam penceritaan seperti dialog yang sekurang-kurangnya mengkomunikasi subjek dan objek, atau kisahan yang berurutan dengan sebab akibat yang munasabah, atau soalan demi soalan yang akhairnya terjawab secara langsung, tidak lagi dipatuhi oleh Marsli N.O. Beliau telah melanggar konvensi ini dengan terangnya dengan sebab-sebab untuk mencari orginaliti; terutama aspek emosi atau sentimentaliti yang menguasai karyanya.

Umumnya ada juga pengarang yang sengaja merumitkan kisah dengan gabungan antara realiti dengan kreativiti dan sensitiviti yang berbagai tetapi satu hal yang agak unik bagi Marsli N.O. ialah gabungan antara sentimentaliti dengan realiti itu tidak diseimbangkan. Sentimentaliti lebih berat menguasai realiti. Ini disengajakan oleh Marsli N.O. bertujuan untuk meninggalkan kesan realiti yang lebih abstrak.

Pada satu tahap dan mood yang berlainan, terasa pula cerpen-cerpen dalam DEMI ini cuba membawa aliran serrealisme iaitu satu aliran seni sastera yang lebih mementingkan aspek bawah sedar manusia dan menonjolkan citraan yang nonrasional dan segala citraannya diherot-petotkan tetapi, kalau pun wujud aliran surrealisme ini di sana-sini, Marsli N.O. tidak pula hilang rasionalitinya. Dia masih berpaut pada realiti meskipun pautannya lebih kepada emosi daripada rasionaliti. Surrealisme mungkin wujud dalam diri dan igauan, halusinasi, kejungkirbalikan nilai dan berbagai aspek bentrokan dalam diri yang dilambangkan lewat batu, botol, paku seperti dalam "Muntah" atau anjing, babi, tedung, dan serigala seperti dalam "Luluh" atau menyarankan makna keganasan melalui lambang pisau, tombak, botol, batu, kapal seperti dalam Seteru tapi hampir dalam semua cerpen dalam DEMI memuncak kepada leraian kesedaran, keinsafan dan kembali kepada diri yang sebenar.

Khatimah
Sebagai kesimpulan, dapat dikatakan bahawa DEMI adalah satu kumpulan cerpen yang menarik dikaji kerana pengarangnya sedar tentang pelanggaran terhadap konvensi yang dilakukannya. Pelanggaran terhadap konvensi dalam aspek cerita, latar, perwatakan, dialog, gaya bahasa, dan sebagainya itu dilakukan dengan penuh kesedaran khusus untuk memperoleh kesan emosi daripada khalayak, berkaitan dengan isu-isu semasa; terutama isu politik dan isu kemanusiaan yang lebih universal. Sentimentaliti-sensibiliti yang mengawal cerpen-cerpen ini ternyata tidak menguasai kreativiti sepenuhnya. Ini disengajakan kerana pengarang masih setia kepada realiti dan ingin khalayak menghayati kisah melalui emosi yang meruap-ruap untuk memperoleh kesan realiti yang menjadi matlamat karya. Latar dalaman yang menjadi inti seting karya-karya ini menarik kerana lebih terarah kepada karya yang bersifat kejiwaan. Namun begitu jangan pula meminggirkan latar luaran seperti alam di luar diri kita. Alam di luar diri kita banyak tegak sebagai cermin untuk melihat ke dalam diri kita; malah melalui alam luaran juga kita berupaya mengenal diri kita dan seterusnya mengenal Yang Maha Esa. Yang kurang mantapnya apabila kita mengambil latar untuk sandaran karya kita ialah latar itu tidak berfungsi apa-apa selain sebagai benda mati.

Monolog memang sesuai apabila kita cuba menganalisis rasa dan tikaian batin para watak untuk akhirnya tiba pada leraian kesedaran, tetapi bila mana monolog amat sering tidak menentu; malah tidak logik, karya amat terasa artifisialitinya. Artifisialiti dalam langgam penceritaan karya sastera adalah satu penyakit. Salah satu cara mengubatinya ialah cuba menjernihkan karya dengan aspek-aspek logika gerakan fizikal, gerakan mental dan gerakan hati nurani manusia. Ilmu psikologi sebagai ilmu bantu amat penting didalami.

Mengikut takrifan Meriam Webster's Encyclopedia of Literature, sebuah cerpen biasanya kemas-padat dalam komposisi, meninggalkan kesan tunggal yang benar-benar kompak dalam satu episod yang signifikan, melibatkan beberapa watak atau kadang-kadang hanya satu watak, menggalakkan latar dan langgam penceritaan yang lebih tertumpu kepada makna dalaman kemanusiaan. Sebuah cerpen yang baik lebih fokus kepada situasi rasa hati atau mood dan bukan sekadar ghairah dengan bercerita. Sedikit sebanyak. Marsli N.O. cuba memenuhi tuntutan ini.




KEMBALI