|
Ulasan Buku:
"SUASANA SENJA" KUMPULAN PUISI MUTAKHIR MASURI S.N
Judul Buku: Suasana Senja
Penerbit: Angkatan Sasterawan 50, Singapura
Tebal: 248 hlm.
Pengulas: Marsli N.O
MESKI garis politik kenegaraan telah meletakkan Masuri SN di seberang, namun dalam pembicaraan sejarah kepenyairan awal Melayu, Masuri mempunyai tempatnya yang tersendiri. Selain diingati sebagai penyair penerus selepas era Pungguk di zaman sebelum perang dan Masuri muncul di tahun-tahun 1940-an dengan puisi-puisinya “Ros Kupuja” dan “Bunga Sakura”, beliau juga dianggap antara penyair yang masih meneruskan perjuangan Asas ’50.
Namun Masuri sering dikenang tidak semata-mata kerana latar atau sebab sejarah. Lebih dari itu, kegigihannya meneruskan hayat kepenyairannya dengan menulis dan terus menerbitkan kumpulan puisinya merupakan antara sebab lain beliau wajar dihormati. Tanpa mempedulikan garis politik dan kenegaraan, Masuri kelihatan lebih mempercayai nurani kepenyairannya yang ikhlas dan terus menerus berpuisi dan ini dibuktikan bila karyanya tersiar di setiap media berbahasa Melayu di seluruh nusantara seperti majalah Dewan Sastera di Malaysia dan Bahana di Brunei.
Masuri, penyair kelahiran 11 Jun 1927 di Singapura ini pada tahun 1946 hingga 1949 pernah mendapat pendidikan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak. Dalam satui majlis gemilang, sebagai menghargai sumbangan dan kegigihan beliau yang sekaligus turut mengharumkan nama MPSI inilah, pada tahun 2003 ini, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganugerahinya dengan ijazah Kehormat Doktor Pendidikan. Sebelumnya, pada tahun 2002, dari universiti yang sama Masuri telah dianugerahi Anugerah Suluh Budiman.
Hampir bersamaan dengan upacara penganugerahan itu juga, Angkatan Sasterawan 50, Singapura telah menerbitkan kumpulan puisi terbaru Masuri SN “Suasana Senja”. Kumpulan ini memuatkan 209 puisi Masuri SN hasil cipta sekitar tahun 1995 hingga 2001. Dari jumlah itu, 64 telah disiarkan sebelumnya di pelbagai akhbar dan majalah di Singapura, Malaysia dan Brunei.
Kumpulan puisi ini dapatlah dikatakan sebagai koleksi renungan peribadi seorang manusia penyair bernama Masuri SN, ini antara lain dinyatakan Masuri di dalam puisinya “Berfikir-fikir”: “Difikir-fikir/ memang makin fakir/ kita diam menyingkir-nyingkir,/ berkelit-kelit/ di balik-balik bibir,/ lupa bicara/ dan riuh rungsing;/ difikir-fikir/ begini pun/ kita bakal terasing/ berpusing-pusing ditiup angin/ ketika malam melabuhkan tabir.”
Di dalam renungan itu, turut juga diselitkan Masuri pesannya untuk sama dikongsi bersama pembaca, seperti diucapkan. dalam puisinya “Menara Cahaya”: “.... Terang tujuan/ ke mana kita pergi/ hidup ini ke akhirat nanti,/ asal dan tujuan/ tidak lagi mencari-cari/ berhenti.”
Secara peribadi Masuri mengakui betapa biar apa pun yang telah ditempuh sepanjang usia hidupnya, segalanya tetap menyiratkan tamsil untuk direnung serta ditafsirkan maknanya. Ini digambarkan Masuri antara lain dalam puisinya berjudul “Puisi Senja”: “Puisi senja/ mengatur makna membawa rasa/ menuju matlamat ke arah cahaya/ hidup yang berlalu/ hidup yang tinggal di muka/ menunggu detik meninggalkan dunia./ Tidak ada upacara/ pengangkatan manusia/ memikirkan dirinya/ besar dan istimewa,/ segala kembali dalam roh diri/ mencari tempat kesepian sendiri.”
Memang sudah demikian resamnya hidup manusia. Tidak selamanya tenang atau tidak meredah onak. Di dalam kumpulan ini, Masuri turut mencatatkan sejumlah pengalaman resahnya di dalam puisi. Di dalam puisinya “Angin Mendesah” Masuri mengakui betapa: “...Siapapun tidak tahu/ kehidupanku ini penuh gelombang / dan ombak terus mendesak/ agar renangku tetap dan tabah.”
Tiada siapa dapat menafikan betapa hidup ini memang akan menemui hujungnya. Namun tiada yang perlu dirisaukan bila hati disalut taqwa serta redha, seperti dinyatakan Masuri dalam puisinya “Umur Tujuh Puluh”: “.... biarkan detik ini menjadi saksi/ tulisan hatimu terus berkata-kata lagi/ syukur masih sihat fikiran masih segar/ Allah pengasih masih memberimu usia/ meneruskan sisa hayatmu dalam taqwa dan redha.”
Atau setidaknya, kita sebagai pembaca akhirnya menjadi mengerti kenapa meski sudah lanjut digayuti usia, namun Masuri masih tiada hentinya melakarkan kata-kata puisi. Puisinya “Mendambakan Makna” setidaknya memberikan jawapan: “Dari dulu sejak kanak-kanak/ kucari kukejar/ selongkar seluruh sudut/ ingin bertemu suatu pengertian/ ke mana perginya udara yang kuhirup/ tadinya di sini segarnya masih kukucup./ “
Memang di dalam kumpulan ini dapat kita temui sejumlah lagi puisi yang dirasakan semacam pengakuan peribadi di pihak Masuri kenapa dia memilih menjadi penyair. Seperti puisinya “Menulis Sajak”, “Aku Tak Tulis Lain Dari Puisi” atau “Aku Menulis”.
Di dalam “Menulis Sajak” Masuri mengakui: “... itu kerjaku/ apakah mutunya/ bukan urusanku/ hatiku tumpah/ niatku tersurah/ seluruh diriku lega/ setelah selesai/ mengucapkan suara batin...”
Malah diakui Masuri di dalam puisinya “Penyair Tidak Mencipta Apa-Apa”: “Penyair tidak mencipta apa-apa/ puisi itu sedia ada di mana-mana/ penyair sekadar menemukan/ dalam renungan/ menenangkan kegelisahan/ dan keluh-kesahnya.”
Sebagai seorang penyair angkatan terdahulu, memanglah agak sulit menemukan kata-kata yang dihiasi berlebih-lebihan demi untuk mencapai apa yang dikatakan sebagai “kesegaran dalam pengucapan” di dalam kebanyakan puisi Masuri di dalam kumpulan ini. Namun meski dengan kata-kata biasa tetapi dilantarkan oleh kejujurannya dalam pengucapan, kita sebagai pembaca masih dapat berkongsi kesan dan makna dari puisi-puisinya. Kesan inilah yang dapat dirasai dari sejumlah puisi Masuri di bahagian akhir dalam kumpulan ini seperti “Akal”, “Umur”, “Detik” atau “Kukucup Waktu”.
Di segi bentuk pula, 208 puisi di dalam kumpulan ini berbentuk bebas dan hanya satu yang menggunakan rangkap (empat baris satu rangkap). Puisi tersebut ialah “Segugus Kenangan”. Menatap tipografi puisi ini segera mengingatkan kita kepada bentuk pantun. Walaupun tidak sepenuhnya mematuhi ciri-ciri pantun di segi sukatan suku kata, namun kesan nostalgik Masuri jelas terasa di dalam puisi ini: “.... Lapang hatimu lapang/ senyummu sendiri makin memanjang/ telah jauh jaraknya sekarang/ antara cinta remaja yang hilang.”
Bermula dengan kumpulan puisinya “Awan Putih” yang diterbitkan pada tahun 1958 kini Masuri menghadiahi kita dengan “Suasana Senja”. Justeru wajar juga rasanya kita sama berfikir seperti pinta Masuri dalam salah puisinya “Fikirkan” di dalam kumpulan ini: “... hidup ini seperti musafir/ berjalan singgah/ berjalan mampir/ tahu-tahu saja/ riwayat kita telah berakhir.”
KEMBALI

|