Laman Sastera MARSLI N.O

Panduan dan Tanya jawab
KHUSUS UNTUK CALON SASTERAWAN

Panduan ini ditujukan khusus untuk peminat, pelajar dan calon sasterawan yang sudah pun menulis dan memerlukan maklumat asas mengenai sastera, penulisan serta selok belok pengiriman karya ke media. Sebarang soalan atau kemusykilan yang berkaitan bolehlah dikirimkan lewat e-mail kepada pengelola dan akan diusahakan jawapannya sesegera mungkin. Setiap soalan perlulah dicatatkan kod TANYA di dalam setiap e-mail yang dikirim

Kemaskini Pada:
Ogos 3, 2003

BAGAIMANA MENGIRIMKAN KARYA KE PENERBITAN?

Kirimkan karya anda ke mana-mana penerbitan yang anda fikirkan sesuai bersama surat lampiran kiriman karya. Di dalam surat tersebut, catatkan nama dan alamat anda dengan jelas serta jika diperlukan atau dipinta oleh penerbitan tertentu, catatkan juga nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank anda bagi tujuan pembayaran saguhati.

Contoh surat:

Nama pengirim:
(Nama samaran, jika ada):
Alamat:

Tarikh:

Editor/Pengelola Ruangan Sastera
Nama majalah atau akhbar
Alamat

Tuan,

KIRIMAN PUISI

Bersama ini saya kirimkan sebuah puisi saya berjudul “Membelah Larut Malam”.

Jika sesuai mohon pertimbangan saudara/tuan untuk disiarkan di ruangan puisi/cerpen majalah/akhbar tuan.

Di atas pertimbangan dan pemilihan pihak saudara/tuan, saya ucapkan jutaan terima kasih.

Wassalam,


tandatangan
(NAMA PENGIRIM)
No. KP Pengirim
No Akaun bank pengirim


KARYA BAGAIMANAKAH YANG DITERIMA OLEH PENERBITAN?

Setiap karya yang baik dan bermutu tentu saja akan diterima oleh penerbitan. Namun begitu perlu juga diperhatikan agar karya tersebut tidak sampai dapat ditafsirkan menyinggung mana-mana pihak, sama ada dari sisi moral, agama, politik mahupun perkauman.

Ingat, sasterawan bukanlah penghukum atau wali yang serba sempurna. Justeru itu sebaiknya usah sekali-kali cuba menjatuhkan hukuman mahupun penilaian, apa lagi yang sangat berat sebelah terhadap mana-mana pihak. Tugas saterawan tidak lain hanyalah berkarya.

Penting juga diperhatikan apa yang disiarkan oleh sesebuah penerbitan sebagai panduan. Contohnya jika sebuah majalah khusus untuk wanita. Tentulah karya yang sampai dapat dianggap merendahkan martabat wanita tidak akan diterima untuk siaran.

Begitu juga jika penerbitan tersebut adalah khusus untuk pelajar. Tentu saja karya yang akan diterima ialah karya yang difikirkan sesuai serta dapat membina minda khalayak pembacanya.


BAGAIMANA DENGAN NAMA SAMARAN?

Kalau mahu menggunakan nama samaran tentu saja tiada siapa yang melarang. Tetapi biarlah nama samaran yang dipilih itu tidak sampai menampilkan imej serta pengertian yang kurang elok.

Sewaktu mengirimkan karya, di samping nama samaran, nama sebenar penulis perlu juga disebut. Tujuannya, kalau penerbitan tersebut barangkali mahu membayar sagu hati dengan cek, tentu sulit nanti untuk menunaikan cek tersebut di bank bila nama samaran penulisnya tidak sama dengan nama di dalam kad pengenalan. Payah bukan?

Yang bertanya: AMIR AKRAM ABDUL MAJID, Penulis, Kuala Terengganu, 21 Februari 2000
BAGAIMANAKAH CARANYA UNTUK MEROBOH TEMBOK YANG MENJADI PEMBEKU IDEA TATKALA KEPUTUSAN IDEA?

Pelbagai sebab terjadinya kebekuan idea. Banyak yang bergolak di sekitar tetapi diri tidak terangsang untuk berikan reaksi. Dalam kata lain, hati dan perasaan telah menjadi keras,kaku. Sedangkan, seorang sasterawan mahu tidak mahu mesti sentiasa mengaktifkan hati serta perasaan dalamannya. Juga imaginasinya. Tanpa mengaktifkan hati, perasaan dan imaginasi, seorang sasterawan (yang seniman) akan menjadi beku, tidak sensitif, tidak peka.

Idea sebenarnya tidak pernah beku. Idea sentiasa ada. Hanya lagi sang tubuh yang memiliki hati, perasaan dan imaginasi itu yang tidak peka, sengaja menjadikannya kaku lagi beku. Jadinya, peroboh tembok bagi kebekuan idea itu (tetapi idea sentiasa ada di mana-mana) tidak lain dan tidak bukan dengan cara sentiasa mengaktifkan instrumen-instrumen (hati, perasaan dan imaginasi) tersebut.

Jadinya diri memerlukan juga waktu untuk berhening. Bersunyi barang sejenak untuk kembali menelusur ke daerah dalaman dirinya sendiri. Bertanya apa yang telah dan sudah diperbuat untuk hidup seharian, juga hidup kesenimanannya. Kegaduhan, keriuhan tidak memungkinkan waktu untuk benar-benar berhening. Jadinya carilah waktu yang sesuai. Saya seringkali mencari waktu itu seusai solat dan kerap juga saat melalui pengalaman perit dan di tengah rasa marah.

Dengan kepekaan, berhening, menukar peristiwa pahit atau rasa marah sebagai motivasi, memungkin tembok kebekuan idea dirobohkan. Mahu tidak mahu, upaya meroboh rasa malas, terlalu ingin bersantai atau berenak-enak di dalam diri itu perlu dirobohkan dulu!

Semoga menjawab kemusykilan anda.


Yang bertanya: AMIR AKRAM ABDUL MAJID, Penulis, Kuala Terengganu, 21 Februari 2000
ANTARA CERPEN DAN CERITA DI MANAKAH TERLETAKNYA TITIK UKUR YANG MENJADI BATU SEMPADAN?

Titik ukur yang menjadi batu sempadan di antara cerpen dan cerita adalah sebatas kulit bawang atau seperti menarik rambut di dalam tepong. Namun sebagai garis pandu secara umum, masih terdapat sedikit garis yang kasat mata sebagai "pemisah".

Pemisahnya, walaupun cerpen itu tidak lain adalah sebuah cerita atau bertolak dari sebuah "cerita", tetapi cerita yang dijadikan "cerpen" (tentu saja cerita + pendek) adalah cerita yang telah pun diberikan bumbu atau solekan. Tanpa bumbu atau solekan tersebut, cerita baru dalam bentuk bahan mentah.

Jadinya, untuk mengelak sifat "bahan mentahnya" itu, sebagai sifat tambah yang baru, cerita yang dijadikan cerpen telah dipakaikan baju imaginasi, penyamaran, pelupusan, malah kadang-kala diperlebih-lebihkan pula. Kerana itu jugalah, kalau mahu dicari sesuatu yang benar-benar sreg, fit, kena serta aktual dengan sesuatu yang faktual, dari sebuah cerpen yang lahir dari tangan seorang pengarang yang benar-benar menginsafi keterbatasan sifat maknusiawinya, tentu saja itu sudah jauh berputar atau tergelincir 180 atau 360 darjah.

Maksudnya dari kalangan pengarang yang ini, mereka tidak mahu membawa peranan meniru atau menyalin realiti, itu bukan tugas mereka, tetapi peranan yang lebih berkuasa dari segala-galanya. Pengarang kalangan ini, hanya mengemukakan sedikit biasan atau kesan dari sesuatu, hanya sedikit. Seperti menggambarkan api, apa yang dipaparkan hanyalah kesannya, yang hangus, yang terbakar, tetapi bukan (kononnya) mahu menyalin api itu sendiri.

Tentu saja sebahagian orang merasa kecewa dengan sikap pengarang yang begini. Mereka berkoar dan bertanya: Mana realitas sosial dalam cerpen-cerpen kita? Wah, hebatnya. Walhal, realitas itu sendiri merupakan kata yang sangat abstrak dan tak sepenuhnya mereka mengertikan luar dalamnya.

Apapun, pokoknya terserah masing-masing pengaranglah. Apakah mahu mengarang cerpen atau mengarang cerita. Kitakan hidup di negara demokrasi. Jadi bebas memilih. Kita tidak perlu saling mengacung tinju dan mengatakan mereka lebih suci, mulia dan terhormat ketimbang diri orang lain.

Semoga menjawab kemusykilan anda.


Yang bertanya: WAN NOR AL-TASNIM SAAD, Peserta Minggu Penulis Remaja 2000, Arau, Perlis, 12 November 2000
SEBAGAI SEORANG REMAJA YANG MULA BERJINAK-JINAK DENGAN BIDANG SASTERA, APAKAH BUKU-BUKU YANG SEHARUSNYA DIBACA UNTUK DIJADIKAN PANDUAN DAN RUJUKAN?

Bagi seorang pemula, menurut hemat saya buku-buku yang perlu dijengah dan kemudian dikunyah, selain buku petunjuk mengenai penulisan adalah buku-buku falsafah, sejarah, agama dan mantik/teknik berfikir.

Falsafah memungkinkan anda mempunyai landas yang kuat bagi mengukuhkan persepsi atau tanggapan anda serta memilih sikap mengenai hidup. Agama mengukuhkan sikap dan moral anda dalam membezakan mana yang benar serta salah. Sejarah memungkinkan anda mempelajari mengenai jatuh dan bangun sesuatu bangsa atau negara. Sementara dengan mantik/teknik berfikir, anda akan mempelajari bagaimana menalarkan pemikiran serta memberikan anda alternatif lain untuk berkreatif serta berkreativiti.

Buku-buku petunjuk pula, suka saya mengesyorkan buku-buku berikut:
KREATIVITI DALAM PENCIPTAAN KARYA SASTERA (Hizairi Othman)
PENGANTAR ESTETIK (Hamidah AbdulHamid)
PENGANTAR LOGIK (Hamidah AbdulHamid)
PENULISAN CERPEN: VISI DAN LANGGAM (Othman Puteh)
PERSEDIAAN MENULIS CERPEN (Othman Puteh)
PERSEDIAAN MENULIS SAJAK (Rahman Shaari)
LANDAS KREATIVITI PENULISAN CERPEN (Othman Puteh)
PENULISAN CEREKA NOVEL (Othman Puteh)
PENULISAN CEREKA CERPEN (Jais Sahok)

Untuk makluman anda, kesemua buku ini adalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Dan di samping itu tentu juga jangan lupa, anda tentu saja perlu membaca sebaik mungkin karya sastera yang baik sebagai cermin pembanding.

Semoga menjawab kemusykilan anda.


Yang bertanya: CAMELIA TAHIR, Penulis Sambilan, Kuala Lumpur, 28 Januari 2000
APAKAH KEBAIKAN SEORANG PENULIS UNTUK MENGANGGOTAI MANA-MANA PERSATUAN?

Menganggotai persatuan memungkinkan anda menerima maklumat serta peluang mengikuti kursus atau bengkel penulisan yang mereka anjurkan. Persatuan yang sudah mapan sering anjurkan kursus dan sediakan maklumat untuk anggotanya secara konstan. Tetapi awas, ada juga persatuan yang hanya riuh seperti ayam tetapi kurang lakukan yang praktikal. Jadi hati-hatilah memilih persatuan.

Tetapi jika anda ingin mandiri atau rajin berusaha, lebih baik secara solo dan maklumat mengenai penulisan dapat anda peroleh lewat bacaan atau kini di siber pula. Selalulah tinjau kegiatan-kegiatan sastera yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka atau ditinjau buku/artikel/majalah sastera. Anda boleh ikut serta seminar sastera yang sering dianjurkan oleh DBP. Acara ini biasanya secara percuma dan kalau pun dikenakan bayaran, bayaran itu amat berpatutan.

Semoga menjawab kemusykilan anda.


Yang bertanya: CAMELIA TAHIR, Penulis Sambilan, Kuala Lumpur, 28 Januari 2000
ADAKAH TERDAPAT APA-APA BADAN ATAU PERSATUAN PENULIS YANG MAMPU DIRUJUK SEKIRANYA AHLINYA DISAMAN OLEH MANA-MANA PIHAK ATAS SEBAB PENERBITAN, HAK CIPTA ISI KANDUNGAN ATAUPUN ROYALTI?

Setahu saya secara jelasnya tidak ada. Anda disyorkan dapatkan kontrak atau perjanjian secara jelas dari mana-mana penerbitan sekiranya karya anda mahu diterbitkan. Jangan serahkan manuskrip kepada sesiapa atau penerbit yang tidak mapan atau jika tiada hitam putih mengenai kedudukannya. Pastikan anda menyimpan satu salinan dan kalau punya modal daftarkan dengan peguam atau matikan setem bagi karya/hakcipta anda sebelum diserahkan kepada penerbit. Sebaiknya kirimkan naskhah anda dengan pos berdaftar dan simpan butir-butir pengiriman ini serta nama/alamat penerimanya untuk rujukan.

Mungkin boleh juga dapatkan pengakuan beberapa teman secara bertulis atau bersedia untuk menjadi saksi jika apa-apa berbangkit mengenai naskhah atau pengakuan hakcipta anda. Untuk lebih selamat, kirim dan berurusan sajalah dengan penerbit yang jelas seperti DBP, Fajar Bakti, Utusan Melayu. Penerbit ini, khususnya DBP tidak memangsakan penulis, hanya penapisan atau penilaian karya oleh mereka agak ketat. Tetapi diterbitkan oleh mereka membuat anda rasa selamat.

Semoga menjawab kemusykilan anda.


ADAKAH GAPENA MEMPUNYAI PEJABAT ATAUPUN NO. TEL DI KL?

Pejabat Gapena terletak di Jalan Dewan Bahasa. Kalau tidak silap memang ada petugas di sana. Cuba anda temuinya secara tatap muka. Kalau tidak silap ada papan tanda yang agak besar di pintu pagarnya. Atau lewat surat anda boleh hubungi alamat: Rumah Gapena, JKR 734 Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. Telefon/Faks: 03-2442412 atau e-mail: melgape@pd.jaring.my

Semoga menjawab kemusykilan anda.


Yang bertanya: ANJAN AHZANA, Penyair, Kuala Lumpur, 18 Disember 2002
APA YANG MENYEBABKAN SAUDARA MELAHIRKAN SAJAK DAN SETERUSNYA MEMASUKI DUNIA SASTERA?

Saya memasuki tanah sastera ini dengan niat mahu sama menyumbangkan sesuatu yang berupa buah fikir buat tatapan masyarakat. Saya kira, kerana saya tidak mampu di segi benda atau wang, maka saya berharap semoga dengan cara melahirkan sesuatu yang difikirkan berguna untuk masyarakat itu, saya telah turut sama menyumbangkan amal buat sesama manusia dan sekaligus juga mengajak diri saya untuk sama memikirkan siapa diri dan asal penciptanya.

Dengan nawaitu yang sama jugalah saya melahirkan sajak. Meski dalam proses penciptaannya ada resah serta likunya yang tersendiri, tetapi dorongan serta nawaitu sedemikianlah yang menjadi misi saya sebagai manusia.

Semoga menjawab kemusykilan anda.


Yang bertanya: ANJAN AHZANA, Penyair, Kuala Lumpur, 19 Disember 2002
SAYA MENDEKATI 9 SAJAK (MENCARI NUR) DALAM SEGUGUS PUISI CINTA DI LAMAN SAUDARA INI. ADAKAH KERANA NUR YANG MENYEBABKAN SAUDARA MENCIPTA SAJAK-SAJAK TERSEBUT? BOLEH TAK CERITAKAN SEDIKIT LATAR BELAKANG NUR.

Ada waktunya kita kembali disentuh oleh suatu kenangan. Dan pada waktu yang sama, ketika ingin diucapkan kembali dalam bentuk puisi, kita berusaha untuk cuba mengungkapkan pengalaman itu agar tidak kelihatan polos dan hanya sarat emosi melulu. Lalu kita ikhtiarkan agar, kalau pun itu berjaya, agar menjadi sesuatu yang lebih kaya makna: boleh ditafsirkan sebagai NUR yang objek atau NUR yang metafizik. Kata lainnya, untuk mengungkapkan rasa “keagamaan” kita, saya kira kita tidak perlu atau semestinya menyebut secara langsung kata TUHAN, ALLAH dsbnya. Kerana, bagi saya, kalau kita tidak benar-benar ikhlas (tentunya Tuhan tahu niat dalam hati kita) segala itu jadi mainan dan sia-sia belaka. Malah akan terasa mengada-ada saja. Begitu juga tentang kerinduan kita kepada NUR. NUR itu tidak semestinya Nur yang berjasad, tetapi NUR yang lain. Kalau pun benar pernah ada seorang yang bernama Nur, seseorang itu hanyalah pencetus kepada suatu kesedaran yang lebih dalam terhadap sesuatu yang juga lebih mendalam, tetapi bukan sebuah permulaan.

Semoga menjawab kemusykilan anda.


Yang bertanya: WAN SALSABILLA WAN NORUDIN, UIAM, Gombak, Selangor, 31 Julai 2003
BAGAIMANAKAH MAHU MENGHASILKAN SUATU KARYA YANG BERSIFAT SEGAR DAN TIDAK STREOTAIP?


Kesegaran karya dapat dicapai bila dalam menciptakannya pengarang berusaha untuk menjauhi serta mengelak mengulang-ulang klise di segi pengucapan, pemilihan kata-kata dan mungkin juga di segi bentuk. Katakanlah sebuah puisi, mengulang lagi ungkapan “sekali bererti sesudah itu mati”, “aku ini binatang jalang dari kumpulan yang terbuang”, yang digunakan penyair Chairil Anwar di dalam sajaknya tentulah terasa sangat klise dan membosankan. Jadi pengarang mahupun penyair harus berusaha bermatian-matian mencari dan mencipta ungkapan-ungkapan baru. Ini memang kerja yang sukar dan menuntut ketahanan mental dan diri yang tidak calang-calang. Harus rajin melakukan penerokaan dalam berbahasa. Di segi bentuk pula, mungkin tidaklah perlu dilakukan secara ekstrim. Yang membedakan sebuah karya seorang pengarang dengan yang lain adalah adanya unsur-unsur kelainan sama ada di segi pemilihan kata-kata dan cara mengungkapkan sesuatu idea. Alat utamanya ialah bahasa. Bagaimana kata dan bahasa dimanfaatkan serta dipergunakan pengarang atau penyair dalam sesebuah karyanya, selain menampilkan cirri keperibadian pengarang mahu pun penyairnya, juga dapat memberikan rasa kesegaran dan mengelak streotaip.

Semoga menjawab kemusykilan anda.


Kirimkan kemusykilan anda kepada Pengelola

KEMBALI