MARSLI N.O

Proses Kreatif Saya:

Di Antara Ada Atau Tiadanya Diri di Dunia Tanda dan Lambang

  

1

PADA suatu waktu dahulu, sewaktu sedang terkial-kial mencari jejak sendiri di peta kesusasteraan tanah air ini, lantaran digerunkan oleh sejumlah petuah yang didengungkan oleh para empu dan priyayi sastera tertentu mengenai siapa yang sepatutnya layak dipanggil pengarang dan sekali gus juga kerana rasa rendah diri sendiri, pertanyaan sedemikian itu memang selalu mengganggu diri.

Tetapi kemudiannya, setelah semakin lama hidup dan lebih mengenal siapa dirinya, saya pun memutuskan untuk tidak merasa malu ataupun kekok untuk menjawab "ya" bagi pertanyaan ini.

Bagi saya kini, meski atau biar apa pun tanggapan para empu dan priyayi sastera tertentu terhadap diri saya, apakah layak ini atau tidak dipanggil seorang pengarang dan sekaligus juga apa yang saya hasilkan itu layak atau tidak dipanggil cerpen, saya tidak mahu ambil peduli. Yang penting, begitu saya telah memilih untuk memasuki dunia ini secara penuh dan melakukan kerja mengarang itu dengan segala keyakinan serta kepercayaan saya, saya merasakan diri saya ini memang seorang pengarang dan apa yang telah atau sudah saya hasilkan itu memang cerpen.

Soal apakah benar atau tidak saya ini memang seorang pengarang, biarlah tinggal menjadi urusan para empu dan priyayi sastera tertentu yang mungkin kerjanya hanya memberikan label-label. Tugas saya ialah jalan terus dengan keyakinan saya.

Sebenarnya, ada sebabnya kenapa tulisan atau percakapan ini saya mulai dengan pertanyaan yang demikian.

Bagi saya mengarang, (atau juga berpuisi) itu tidak lain adalah sebuah tanggungjawab yang mesti saya pikul dengan sepenuh kedirian yang saya miliki. Dengan begitu juga, bererti saya tidak boleh bersikap acak-acakan. Saya mesti dan perlu menerima segala risiko kerana pilihan saya itu. Malah sekali gus juga meyakininya secara penuh dan tanpa dolak-dalik lagi. Dan untuk membuktikan itu, saya memang sudah pun berbuat. Saya memang mengarang dan (juga berpuisi).

2

MENGAPA saya mengarang?

Godaan untuk mengarang, bagi saya secara peribadi, tidak lain adalah sebuah usaha untuk meredakan rasa sakit dan rasa terbuang di dalam diri. Sebuah rasa sakit dan rasa terbuang yang selalu membuatkan diri menjadi resah, gelisah tidak menentu dan dengan atau setelah selesai mengarang itu sajalah baru diri saya merasa sedikit beroleh pencerahan. Tetapi itu rupa-rupanya hanyalah untuk sementara saja. Besok atau lusa, atau mungkin juga pada waktu kini, rasa sakit dan terbuang itu kembali mendatangi saya dan dengan begitu saya mahu tidak mahu terpaksa mengarang lagi.

Maka dengan begitu juga, proses atau kerja mengarang itu bagi saya secara peribadi menjadi sebuah proses atau kerja yang tidak pernah kenal makna hentinya. Meski dengan demikian, saya akan sentiasa menjadi manusia yang resah dan gelisah, namun ternyata saya tidak akan mungkin dapat menghindarinya lagi. Atau dalam kata lain, selagi masih bernafas saya terpaksa menerimanya sebagai suatu kenyataan hidup diri saya dan dengan begitu perlu mengarang terus menerus.

Menerima hakikat ini sebagai suatu proses, bagi diri saya secara peribadi sekali gus juga bererti kerja mengarang itu bukan sewaktu menghadapi huruf, mesin dan kertas semata-mata. Malah jauh dan lebih awal sebelum itu, proses itu bermula sejak atau kerana saya sendiri sudah berada di dalam kehidupan itu sendiri. Hidup di antara ada dan tiada atau pun sebaliknya. Sama ada sewaktu jaga mahupun sewaktu tidur. Hanya kemudiannya, setelah proses yang berlanjut terus dan menerus itu tiba pada saat yang benar-benar jelas dan memerlukan bentuknya secara nyata, barulah segalanya dituangkan ke kertas sebagai bentuknya sebuah karya.

Ada dasarnya kenapa saya menjadi pengarang atau didorong oleh hal yang demikian. Pengalaman masa lalu, masa kecil dan juga masakini, sangat banyak membentuk keperibadian hidup saya sebagai seorang pengarang.

Tanpa niat mahu berlebih-lebihan, terus terang saya katakan betapa hidup yang saya kenal dan alami sewaktu kecil dan di masa lalu, bagi saya secara peribadi merupakan sebuah kehidupan yang sulit lagi perit. Sebuah hidup yang selalu berhadapan dengan cemoh, kecaman dan henyakan-henyakan. Antaranya berpunca dari latar ekonomi keluarga yang pecah belah, juga kerana jalur marga di sebelah bapa yang dianggap sebagai orang luar kerana darah Jawanya, sehingga dengan latar yang demikian saya selalu merasakan bagaikan hidup "di negeri orang". Namun saya tidak pernah mahu menyalahkan segala yang telah dan pernah terjadi.

Kerana hidup yang sedemikian itulah maka saya belajar untuk bertahan dan membina benteng-benteng serta sekali gus menangkis segala henyakan. Sehingga akhirnya saya menjadi lali atau imun (imune) terhadap semuanya. Tetapi sekaligus saya juga sedar, untuk menjadi seorang pengarang saya tidak hanya berpada dengan kekuatan fizikal. Malah sebaliknya, di samping yang fizikal, saya juga perlu sesegera mungkin memperkaya dan memperkuatkan batin dan sekali gus mindanya.

Untuk memperolehi itu, kerana ketidaksempatan di masa lalu, saya perlu cepat dan lebih gigih berusaha. Lalu saya menjadi rakus terhadap buku, sama ada yang bersifat harfiah mahupun yang tidak (kehidupan itu sendiri) atau sama ada yang diperolehi secara asal atau hanya salinannya dan kemudian, kerana ketimbang tersedia pula teknologi internet, saya menjadi pelayar setia laman sastera dan buku di dunia siber.

Lewat buku-buku dan bahan-bahan inilah saya mengutip dan belajar mengenali dunia dalaman kehidupan manusia yang diungkapkan lewat kesusasteraan, sama ada yang sedia ada atau yang jauh tersorok di sebalik khazanah lama. Dan kemudian, setelah semakin berusia, saya menjadi sedikit lebih pemilih – memilih hanya yang saya fikirkan benar-benar penting dan inti sahaja. Di antara yang penting itu, ada beberapa di antaranya menjadi sumber rujukan saya yang tidak pernah sudah, iaitu beberapa kitab dan hikayat.

Barangkali sumber-sumber yang saya anggap terpenting ini sudah tidak dianggap perlu lagi bagi sebahagian orang, atau saya mungkin dianggap terlalu nostalgik. Tetapi saya tidak peduli. Saya tetap menyayanginya seperti saya menyayangi diri saya sendiri. Di mana pada saban waktu saya kerap mendatanginya. Terutamanya bila di luar dari sumber rujukan itu, saya kerap bertembung dengan sesuatu yang kelihatannya agak lain. Dan ternyata sikap yang demikian itu membantu saya agar tidak terlalu mudah mahu menjadi penurut buta atau tergoda mahu menyunglap diri sepenuhnya menjadi tokoh-tokoh pengarang tersohor tertentu. Lebih penting dari itu, saya lebih mengenali siapa diri saya sendiri.

Dengan sumber dan rujukan ini, juga dengan sedikit pengalaman menggulati dunia teater kemudiannya, cara dan pilihan kepengarangan saya terbentuk.

Sebagai seorang pengarang cerpen, saya melihat sebuah cerpen tidak lain adalah sebuah pentas yang memaparkan kejadian demi kejadian, menampilkan watak demi watak dan sebagai pengarang saya sekadar bertindak sebagai sutradara yang diizinkan untuk sementara waktu mengendalikan pentasnya. Hanya bezanya, di antara saya sebagai pengarang dengan seorang sutradara pentas, pentas saya sebagai pengarang adalah kertas dan bukan pentas yang sebenarnya.

Kerana melihat cerpen sebagai sebuah pentas jugalah maka saya sekadar mahu menjadi pengarang yang sekadar berdongeng lewat tanda dan lambang dan sekali gus juga meyakini bahawa kesamaran yang menyarankan kepada makna-makna yang lebih luas dan jitu atau yang dianggap oleh sebahagian orang sebagai absurd itu sebenarnya sudah lama menjadi milik khazanah kesusasteraan bangsa saya.

Mempercayai atau meyakini ini jugalah, maka sebagai seorang pengarang saya tidak pernah tergiur untuk menjadi peniru realiti, sebaliknya saya sekadar berusaha menggambarkan kembali sebuah atau suatu realiti menurut tanggapan atau persepsi saya sendiri.

Barangkali memang, usaha saya itu tidak sepenuhnya sempurna. Tetapi sebagai pengarang, sejak dari mula memang pada posisi yang demikianlah saya meletakkan diri saya. Saya sedar, sebagai seorang pengarang yang sekedar berdongeng dan sekali gus seorang manusia yang dengan segala kelemahan serta keterbatasan dirinya, saya tidak akan mungkin dapat menjadi peniru yang sepenuhnya berjaya meniru segala realiti di maya pada ini. Sebaliknya, upaya yang saya miliki, yang dianugerahi oleh Ilahi kepada saya, tidak lain hanyalah secuil upaya untuk menanggapi - hidup, permasalahan dan persekitarannya. Dan ini pula saya kesani lewat objek-objek, tanda-tanda dan lambang-lambang belaka.

Seperti misalnya kalau saya mahu menggambarkan api. Saya tidak mungkin apa lagi berniat mahu meniru api. Sebaliknya, yang mampu atau ingin saya lakukan hanyalah berusaha menggambarkan kesan dari api itu - yang terbakar, yang rentong atau yang merasa sakit kerananya. Dan ini pun hanya mampu saya ungkapkan kembali menurut upaya saya yang kecil ini lewat objek-objek, tanda-tanda dan lambang-lambang tertentu sahaja.

Namun pada sisi yang lain, dengan memilih beberapa kitab dan hikayat sebagai sumber dan rujukannya tidaklah pula bererti saya berniat untuk sepenuhnya kembali memanggil atau mengocak-ngocak sejarah. Sebaliknya, saya sekadar mahu memanfaatkan apa yang dimiliki oleh bangsa saya dan telah menjadi khazanah atau perbendaharaan kesusasteraannya yang tidak ternilaikan harganya. Dan kalau misalnya barat berbangga dengan teori novelnya, maka saya dapat juga berbangga dengan teori "novel" milik bangsa saya sendiri melalui dongeng dan hikayatnya.

Hanya barangkali, kesombongan atau mungkin ketidaktahuan sebahagian kitalah yang menyebabkan kita sulit atau merasa malu untuk mengakui itu.

3

SEBUAH cerpen bagi saya adalah sebuah dunia yang saya namakan sebagai "dunia cerpen" yang mana di dalamnya memuatkan pula sebuah dunia lain yang saya anggap sebagai pendahulu sebelum lahirnya "dunia cerpen" itu.

Dunia lain sebagai pendahulu yang saya maksudkan itu ialah "dunia kehidupan" yang mana di dalamnya hidup dan bernafas anak manusia dengan segala tingkah, perilaku, resah dan gelisahnya. Di antara kedua dunia ini iaitu "dunia cerpen" dan "dunia kehidupan" itu, ada pula pembahagiannya.

Pembahagian itu saya namakan sebagai "yang sebelum", "yang sedang" dan "yang selepas". Ada sebabnya saya memberikan pembahagian yang demikian. Bagi saya, sebelum lahirnya sebuah cerpen mesti ada yang terlebih dahulu mendorong sebuah cerpen dilahirkan dan setelah dilahirkan pula, sebuah cerpen perlulah mempunyai isi dan isinya itu tidak lain adalah kehidupan dan kehidupan itu pula menurut hemat saya pastilah ada awal, tengah dan akhirnya. Dan ini juga bererti setiap sesuatu itu tidak berdiri sendiri.

Bertolak dari pembahagian yang demikian ini jugalah bagaimana sebuah cerpen saya mulai diramu, dicerna dan terbentuk akhirnya sebagai sebuah karya.

Sebagai pendahulu atau sebelumnya, selain dorongan untuk mengarang itu sendiri, saya selalu digugah oleh sesuatu hal, peristiwa atau kesan-kesan tertentu. Di bahagian pertengahannya atau sedang itu pula, gugahan itu semakin mengkristal dan bersatu dalam urat serta nadi diri, yang sentiasa menjadi bahagian dari kehidupan saya sama ada di antara ada ataupun tiada, sama ada sewaktu sedang tidur atau sewaktu sedang jaga. Dan kemudian, pada bahagian selepasnya, sebagai suatu kesatuan, lahirlah cerpen dalam bentuk sebuah karya.

Tetapi, begitu lahirnya sebuah karya, ketiga-tiga "yang" itu tetap juga berlanjut terus dan menerus tanpa hentinya. Lalu dengan begitu, proses mengarang cerpen bagi saya, selagi hidup dan bernafas, menjadi suatu proses yang sentiasa mengalir dan sekaligus, di luar dari proses itu, tidak dapat dengan sengaja atau terlalu saya rancang-rancangkan terlebih dahulu. Malah, jika berada di luar dari proses itu, saya juga tidak pernah tahu secara jelas bagaimana cerpen saya akan berakhir dan kalau pun saya cuba menetapkan pengakhirannya, pengakhiran itu pun sama sekali menjadi lain dari apa yang telah dirancangkan pada mulanya. Atau, jika di penghujung dari proses itu, cerpen saya diakhiri juga, itu tidak lain kerana rasa resah di dalam diri saya telah sedikit menjadi reda.

Dilingkari oleh resah yang berulang-ulang yang menjadi dorongan untuk saya terus menerus berada di dalam proses mengarang dan kerana terikat oleh "yang" yang sama dan itu-itu pula menjadikan saya seolah-olah selalu mengulang-ulang hal yang hampir sama di dalam setiap cerpen.

Secara demikianlah cerpen-cerpen saya sedikit demi sedikit terbentuk dan menjadi jelas akhirnya sebagai sebuah karya. Dan kalau pun tema atau pokok persoalannya, watak, latar dan waktunya berlainan, kelainan itu masih tetap diikat oleh benang merah "yang" yang sama iaitu sebagai "yang sebelum", "yang sedang" dan "yang selepas" atau awal, tengah dan akhir itu juga.

4

BAGAIMANAKAH saya mengarang?

Proses mengarang saya adalah tidak lain sebuah proses pengulangan belaka. Pengulangan yang dikat oleh benang merah bernama sebagai "yang sebelum", "yang sedang" dan "yang selepas" atau awal, tengah dan akhir itu.

Sementara dorongannya pula, tidak lain kerana mahu meleraikan rasa resah dan gelisah di dalam diri. Dan kerana rasa yang demikian itu jugalah maka saya selalu melihat objek-objek yang menyeringai kesakitan bergentayangan di dalam imaginasi dan pada saat yang sama pula pendengaran saya turut mendengar rintih sayu, raung ngilu dan pekik sakit yang entahkan datang dari mana. Dan pada saat yang bersamaan juga, bagaikan suatu kontradik pula, saya turut mendengar hilai sinis, tawa ejek dan nyanyi ria yang juga entahkan datang dari mana.

Kesemua ini kemudiannya berbaur di dalam imaginasi saya, sama ada sewaktu sedang ada atau tiada, sewaktu sedang jaga atau lena. Kerana itu juga, saya selalu merasa tidak berada di tempatnya meski memang sedang berada di tempatnya. Atau ketika sedang tidur pula, tanpa mampu dan dapat saya kawal saya sering meracau, bercakap-cakap dan malah seolah sedang berkelahi dengan seseorang, sehingga sering kali melahirkan pekik dan jeritan yang menggangu nyenyak orang lain.

Mengingati ini semua, saya kadang-kadang merasakan takut untuk terus mendepaninya. Apalagi setelah segalanya itu semakin mengkristal dan memperjelaskan bentuknya dan saya pula sedang berada pada proses terakhir penciptaan yang memaksa saya menzahirkannya secara lebih jelas sebagai sebuah karya.

Pada saat-saat yang demikian, meski pun di dalam imaginasi pada mulanya, seakan terasa segala yang bergentayangan di depan pandangan dan segala yang terngiang dipendengaran saya itu memang benar-benar ada. Ini semakin atau lebih menjadi jelas lagi kerana sewaktu menyiapkan karya pada proses terakhir itu saya selalunya melakukannya di waktu malam yang sangat larut atau di pangkal pagi, sewaktu orang lain nyenyak tidur. Lalu, agar tidak terus diancam oleh rasa takut itu, saya pun memaksa agar segalanya itu dapat saya penjarakan sesegera mungkin dan penjaranya itu tidak lain adalah di atas kertas.

Jadi dalam kata lain, cerpen-cerpen saya adalah refleksi atau biasan dari segala rasa takut dan cemas saya. Dan segala biasan itu pula merupakan biasan lain dari segala objek-objek yang demikian itu yang kemudiannya saya zahirkan secara tersurat lewat tanda-tanda dan lambang-lambang dan secara tersirat pula maknanya saya selitkan lewat tanda-tanda dan lambang-lambang juga.

Tetapi, biar bagaimana pun, dengan mempergunakan tanda dan lambang-lambang dan sekaligus meletakkan posisi karangan saya sebagai sebuah dongeng, sama ada untuk diri saya sendiri atau barangkali juga kepada orang lain (atau pembaca) yang sudi mendengarkannya, saya sama sekali tidak berniat mahu mengada-adakan sesuatu yang tiada atau mahu meletakkan diri saya ini kononnya satu takah lebih tinggi berbanding dengan teman pengarang yang lain.

Sebagai pengarang, dengan cara atau pilihan yang demikian, saya sekadar mahu melaksanakan tanggungjawab kepengarangan saya, juga dengan kepercayaan penuh terhadap kemerdekaan kreatif saya dan orang lain, untuk mengucapkan sesuatu.

Tidak lain dari itu.

5

DARI manakah saya mendapat bahan?

Tentu sajalah bahan untuk setiap cerpen saya itu saya petik atau ambil dari hidup sehari-hari yang saya depani ini sendiri. Sama ada yang saya depani langsung secara peribadi, atau apa yang saya lihat, apa yang saya baca, apa yang saya dengar, inilah yang menjadi bahan bagi cerpen-cerpen saya.

 

6

SEHINGGA sejauh ini, sebagai seorang pengarang (atau juga penyair), sudah di manakah sebenarnya saya berada?

Sungguh, bagi saya peribadi, biarlah pertanyaan ini menjadi urusan orang lain sebagai penilainya. Tugas saya hanyalah mengarang dan terus mengarang atau juga berpuisi dan terus berpuisi) menurut apa yang telah dan sudah saya jadikan pilihan atau jalan hidup saya.

Saya tidak pernah menganggap soal di mana itu sebagai suatu soal yang terlalu penting. Sebaliknya bagi saya, soal apa itulah yang lebih penting. Maksudnya, apa yang saya kerjakan, apa yang saya yakini, apa yang akan terus dikerjakan, itulah persoalan-persoalan yang selalu menjadi perhatian penuh saya. Yang selain dari itu tidak.

Jadinya, kalau saya mengarang (atau juga berpuisi), yang selalu saya fikirkan pun demikianlah juga. Apa yang saya karang, itulah yang penting. Sementara soal bagaimana boleh apa saja. Kalau ada yang mahu atau yakin sebagai peniru, silakan. Yang penting adalah keterbukaan. Dan kerana itu saya tidak pernah menganggap di antara satu pihak atau satu generasi dengan yang lain ada perlu ada kasta dan pemeragaan keegoan. Malah secara peribadi, saya selalu memandang dengan hormat dan kagum terhadap karya, pengarang dan generasi apa pun. Dan saya harap sikap seperti ini menjadi milik semua kita yang bernama pengarang.

Sebagai pengarang, saya beranggapan sebuah karya sastera itu tidak lain adalah sebuah dunia karya yang menawarkan apa saja kemungkinan. Di mana di dalamnya boleh saja menawarkan kebodohan mahupun kecerdikan. Dan kedua-dua ini punya hak untuk hidup dan bernafas. Lalu dengan begitu juga, bagi saya secara peribadi, pada dasarnya tidak ada pengarang yang cerdik dan pengarang yang bodoh. Yang jadi perbezaan hanyalah soal apakah mampu atau tidak dia memberikan bobot seni – seni yang mampu mengusap takaran batin khalayak (pembaca) karyanya.

Berhubung dengan diri saya sendiri, secara peribadi, untuk menentukan apakah benar atau tidaknya apa yang telah saya cuba gambar dan utarakan di dalam karya-karya saya, saya serahkan kepada khalayak (pembaca) untuk menentukannya.

Apakah saya hanya berbohong, apakah saya munafik, khalayak (pembaca)lah yang berhak menentukan dan saya dengan hati terbuka siap untuk dinilai sebagai apa pun. Buat diri sendiri, sebagai pengarang saya meyakini betapa sebuah karya, yang sastera maksud saya, tidak selalunya berniat menawarkan hiburan melulu kerana yang cuba diusapinya adalah minda dan bukan emosi semata-mata.

 

7

SEBAGAI pengarang (atau juga penyair), tentu saja saya tidak lahir sebagai anak buluh betong. Terus-terang saya akui, selain persekitaran dan usaha diri, banyak sekali tokoh-tokoh, editor dan tidak terkecuali juga musuh-musuh yang telah membantu saya. Kepada sekelian tokoh-tokoh, , editor dan juga musuh-musuh ini, tentu saja, atas segala budi dan jasa mereka, saya sangat berterima kasih!

 

Kuantan, 17 - 26 ogos 1997

 

KEMBALI