|
|
|
|
|
Proses Kreatif
DEMI: DARI RASA MARAH DAN SAKIT KE KATARSIS
Oleh MARSLI N.O
KEGEMARAN
membaca beberapa novel yang sama berulang-ulang kali semasa masih di bangku sekolah rendah merupakan antara sebabnya saya tertarik untuk menjadi pengarang. Dan saya masih ingat lagi judul novel-novel tersebut iaitu Atheis oleh Akhdiat K Mihardja, Pertentangan karya S. Othman Kelantan dan Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad.
Memang pada waktu itu, saya tidak sepenuhnya mengerti inti perdebatan pemikiran di dalam novel Athies dan Pertentangan dan saya malah pernah dilarang oleh seorang ustaz agar tidak membaca novel Atheis dengan alasan belum cukup umur, sementara dengan Ranjau Sepanjang Jalan pula saya boleh ketawa terkekeh sewaktu membaca adegan anak-anak Lahuma mengejar dan bermain dengan ketam di dalam sawah.
Tetapi meskipun demikian, saya tetap juga membaca novel-novel ini. Dan lama kelamaan atau jika saya fikirkan kembali pada saat ini bagaimana asal dan mulanya saya boleh tumbuh sebagai seorang pengarang, saya rasa tumbuhnya saya itu selain dari kegemaran membaca novel-novel tersebut juga lebih banyak kerana dorongan dari rasa kagum saya terhadap mereka yang bergelar pengarang kerana mampu mengucapkan apa yang terpendam di dalam jiwa mereka sehingga mampu memukau saya membacanya berulang-ulang kali. Dan kemudiannya juga saya menyedari, betapa dengan mengarang saya bukan saja boleh meluahkan apa yang terpendam di dalam lubuk jiwa saya tetapi saya juga boleh mengasingkan diri saya untuk seketika dari segala kegalauan perasaan dan jiwa saya sendiri. Dan ini ada hubungannya yang lain pula. Sebagai anak dari seorang bapa berketurunan Jawa dan sikap saya sendiri yang selalu suka "menentang" apa saja yang kurang saya persetujui saya sering kali menerima "balasan" yang agak kurang menyenangkan dari persekitaran dan membentuk saya menjadi manusia pemarah serta terlalu banyak memendam sesuatu di dalam diri.
Kemudiannya, setelah hanya menamatkan persekolahan pada tahun pertama di sekolah menengah dan mulai belajar hidup sendirian, saya tidak saja menjalani sejalur peristiwa hidup yang juga memeritkan tetapi melihat pelbagai peristiwa yang menurut hemat saya bagaikan ada sesuatu yang tidak kena mengenai hidup dan manusia.
Rasa tidak kena ini kemudiannya selalu pula berekor dengan pertanyaan-pertanyaan. Misalnya, kenapakah orang yang lebih kecil atau bodoh selalu menjadi mangsa kepada orang yang lebih besar atau licik?
Diasak oleh pertanyaan-pertanyaan sebegini dan kemudiannya sebagai satu usaha untuk melawan dengan caranya sendiri, saya memilih untuk lebih bersikap menyendiri dan menjalani hidup secara kasar dan keras. Dan untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan begini pula, sebagai pengubat rasa kurang menyenangkan di dalam diri serta marah dan juga dalam penyendiriannya itu, saya memilih untuk mengarang. Mengarang di tengah-tengah rasa kurang menyenangkan serta marah dan asakan pertanyaan demi pertanyaan mencari makna hidupnya sendiri.
Barangkali ini kedengarannya agak saya lebih-lebihkan. Tetapi apa yang mahu saya katakan lagi. Demikian-lah hakikat serta suratan pertumbuhan diri saya sebagai seorang pengarang. Saya mengarang kerana rasa kurang menyenangkan serta marah di dalam diri dan sekaligus juga dengan harapan agar rasa ini tidak akan sampai dapat membunuh atau memusnahkan hidup saya sebelum waktunya. Kerana saya sedar, demi kesopanan serta ketertiban hidup bermasyarakat saya perlu belajar menyimpan rasa marah di dalam diri dan sebagai peredamnya saya menyalurkan marah yang dengan sengaja dipendamkan itu ke dalam karya.
Saya kira, dilantarkan oleh peristiwa, pengalaman yang sedemikian inilah juga saya sedikit demi sedikit tumbuh sebagai seorang pengarang. Dan saya mengaku, sewaktu mengarang saya tetap membawakan bersama bara marah itu di dalam diri. Malah dan tanpa niat untuk melebih-lebihkan saya sebenarnya mengarang dalam suasana yang marah itu. Marah terhadap sesuatu yang saya fikir tidak seharusnya terjadi.
Tetapi, kerana tidak mahu menjadi seorang penghukum, saya seboleh mungkin cuba mengawal rasa marah itu dengan cara mengemukakannya lewat tanda dan lambang-lambang.
2
NAMUN begitu saya juga sedar. Untuk menjadi seorang pengarang tentu saja tidak memadai jika saya hanya mengandalkan diri terhadap rasa marah dan pengalaman diri yang sedemikian itu semata-mata.
Malah sebaliknya, suatu landas yang lebih kukuh sebagai penopang kerja-kerja kepengarangan saya perlu juga saya miliki dan topang itu tidak lain adalah "pengetahuan" mengenai dunia dan manusia itu sendiri.
Menyedari hal ini, saya lantas menyediakan diri untuk menjadi murid kepada sejumlah guru yang sempat saya temui di mana-mana, sama ada di dalam bengkel atau di luar bengkel dan juga dari buku-buku yang juga saya kutip atau beli di mana-mana kesempatan. Dan kerana saya tahu apa yang mahu saya kemukakan di dalam karangan saya itu adalah sesuatu yang berhubung dengan rasa dan "sakit" manusia, saya memilih untuk lebih mendekati ilmu kejiwaan.
Saya cuba memahami permasalahan ini secara dasarnya lewat Freud dan psikoanalisa, juga lewat Jung. Tetapi tentu saja, kerana tidak terdidik secara ilmiah, cara saya mendapatkan pada awalnya tidak secara teratur. Dan kemudian,
setelah semakin berusia dan ditakdirkan Tuhan bekerja di sebuah hospital, rujukan saya semakin bertambah -- tidak saja lewat buku-buku di dalam perpustakaan perubatan, tetapi juga secara pengamatan langsung terhadap pesakit-pesakit yang berhubung dengan masalah kejiwaan.
Bagi saya, peluang melihat secara langsung manusia-manusia sakit yang berhubung dengan masalah kejiwaan ini merupakan suatu anugerah yang tidak terhitung nilainya. Anugerah yang sekaligus memperkayakan pemahaman saya mengenai "kesakitan" manusia dan pada saat yang sama turut menginsafmenginsafkan diri betapa kesempurnaan yang sebenarnya itu sesungguhnya bukanlah milik kita yang bernama manusia ini.
Belajar memahami dan menerima akan hakikat ini, sedikit demi sedikit telah turut mengajar saya menjadi seorang manusia pengarang yang menolak untuk berkhutbah dan menghukum. Sebaliknya, sebagai seorang manusia pengarang, yang juga tidak sepenuhnya sempurna, saya berusaha untuk sekadar kembali menggambarkan "kesakitan" manusia -- dengan harapan akan ada sesuatu, meski sebesar zarah cuma, yang boleh dijadikan tamsil serta sempadan di dalam hidup.
Justeru itu jugalah, dalam menggambarkan itu, saya hanya memberikan semacam bayangan, bayangan untuk kembali difikirkan dan bukan untuk dicari benar atau salahnya.
Di samping itu juga, kerana saya kemudiannya turut terlontar ke dunia puisi dan menggulati pengalaman berteater, saya sedikit demi sedikit belajar memperhaluskan lagi cara membayangkan itu, lewat tanda serta lambang tertentu dan sekaligus juga berusaha menkonkritkannya. Dengan sikap atau kesedaran yang demikian, seringkali sewaktu sedang mengarang, saya terlebih dahulu membayangkan sebuah "dunia" pentas dan bukan sebuah "dunia" cerpen. Di "dunia" pentas itulah saya membayangkan watak demi watak muncul atau keluar dan perubahan latar tempat atau waktu tidak lain adalah perubahan pada warna lampu atau setting pentasnya sahaja. Sebuah cerpen bagi saya yang sekaligus terlibat dengan pengalaman pentas, tidak sekadar sebagai sebuah cerpen secara per se tetapi juga adalah sebuah naskhah yang boleh saja diangkat kembali ke pentas. Dalam kata lain, saya berusaha memperkayakan bentuknya: dari sebuah cerpen ke naskhah pentas atau dari naskhah pentas ke sebuah cerpen.
3
SEGALA tindak-tanduk manusia, apakah itu berupa tindakan secara fizikal, isyarat-isyarat atau tanda, mahupun tutur katanya, tidak lain berpunca atau sumbernya dari apa yang berada di dalaman dirinya.
Sesuatu yang berlaku atau bermula pasti ada punca dan sebab musababnya. Manusia berjuang bermatian-matian untuk mempertahankan sesuatu di dalam hidupnya pasti kerana ada punca atau sebab dan musababnya. Atau dalam kata lain adalah "demi", apakah demi perutnya, demi gengsinya atau demi apa pun.
Tetapi kerana sifatnya manusia itu memang tidak pernah atau sepenuhnya sempurna, ada jugalah di antaranya yang tergelincir dari landasan hidup yang lurus lagi benar. "Demi" yang dipilih sebagai puncanya atau menjadi sebab dan musababnya itu kadang-kadang bukan "demi" yang berada pada landasan yang benar lagi hak, yang dapat mensejahterakan hidup dirinya sendiri dan sekaligus juga diri orang lain. Lantaran itulah segelintir dari kita sanggup menjadi serakah,
pelahap, bajingan, penipu dan sebagainya lagi.
Dengan keyakinan atau kepercayaan yang demikianlah cerpen-cerpen di dalam kumpulan "Demi" ini saya karang. Dan kerana telah tergelincir dari landasan hidup yang lurus dan benar inilah maka saya menggambarkan betapa kebanyakan watak-watak di dalam cerpen yang saya muatkan di dalam kumpulan "Demi" ini tidak lagi memiliki sebuah jasad yang utuh yang dapat dinamakan sebagai manusia. Sebaliknya, apa yang ada dan saya gambarkan, sebagai isyarat dan tanda, hanyalah potongan-potongan tubuhnya sahaja yang terawang-awang di udara dan bergentayangan ke mana-mana.
Lewat cerpen ini, yang telah disiarkan dalam Dewan Sastera, Januari 1996 dan kemudiannya saya pilih sebagai judul kumpulan cerpen kedua saya dengan judul "Demi" ini terbitan (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988), saya mengambil dan menggabung sejumlah watak-watak secara imaginer yang mewakili seseorang dari kehidupan sebenar yang telah terpukau oleh kerlap dan kilau yang sifatnya sementara belaka sehingga akhirnya telah kehilangan sifat dan bentuk dirinya yang sebenar. Malangnya keinsafan yang menjelma telah terlewat.
Sebenarnya bukan tidak boleh saya memilih jalan pantas dan secara konvensional menggambarkan dalam cerpen ini bahawa watak ini telah insaf dan tidak perlu menerima akibat yang sedemikian fatal.
Tetapi saya lebih cenderung untuk bersetuju dengan Freud yang mengatakan manusia selalu menciptakan pelbagai helah bela diri yang bersifat psikologi bagi menghadapi kerisauan neurotiknya, antaranya ialah projeksi (Amir Awang: Teori dan Amalan Psikoterapi, Penerbit Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 1987) .
Bertolak dari dasar persoalan helah bela diri yang demikian jugalah sebahagian besar watak-watak dalam cerpen-cerpen lain di dalam kumpulan ini saya gambarkan menjalani hidup masing-masing penuh dengan kemunafikan, yang tidak sahaja telah melukakan hidupnya sendiri tetapi sekaligus juga hidup orang lain di sekitarnya.
4
SECARA umumnya demikianlah dasar yang menopangi proses pengkaryaan cerpen-cerpen saya di dalam kumpulan "Demi" ini.
Menceritakan latar diri serta dasar-dasar ini, bukanlah kerana niat hendak berlagak atau yang sejenis dengannya. Sebaliknya, saya sekadar cuba hendak memperbetulkan anggapan sebahagian pengamat yang kononnya mengatakan saya hanya bereksperimen dan tidak jelas tempat berpijaknya. Saya sebenarnya tidak bereksperimen dan cerpen saya bukan cerpen eksperimen. Di samping itu juga, saya harap dengan penjelasan ringkas ini, mereka yang selama ini tanpa sebarang bukti kukuh mengatakan saya banyak meniru Putu Wijaya dan Danarto itu akan dapat melihat secara lebih saksama bahawa saya sesungguhnya menjadi pengarang tidaklah semata-mata dengan cara "meniru" pengarang-pengarang besar ini. Malah di samping kedua-dua pengarang besar ini, rujukan saya sebenarnya lebih luas dan jauh dari itu.
Tetapi kalau masih ada yang mahu beranggapan demikian, apa lagi yang boleh saya katakan? Sebagai manusia biasa, saya sedar, saya memanglah bukan seorang pengarang yang sudah sempurna.
Namun begitu, apa yang paling penting dari semua ini, saya tetap juga meyakini bahawa sesuatu yang kurang pada diri seorang manusia itu bukanlah menjadi suatu tanda pengenal yang akan selamanya melekat pada batang tubuh seorang manusia. Asalkan saja berusaha dan berikhtiar, pastilah akhirnya kekurangan dirinya itu akan dapat diatasi juga.
Begitu juga dengan perbuatan kurang adil dan keterlaluan manusia. Tidak semua manusia tega bersikap seperti haiwan. Malah di samping segelintir haiwan yang bertopengkan manusia ini, masih banyak lagi manusia yang sesungguhnya memang benar-benar manusia.
Memang, segala yang ditempuh manusia selama hidupnya, baik yang indah mahupun yang perit sudah menjadi lumrah alam. Dan kerana itu jugalah akhirnya, dengan mengarang cerpen-cerpen yang demikian saya merasakan telah mencapai katarsis, meskipun hanya untuk sementara waktu.
-------------------------------------------------------------------------------------
** Dibentangkan dalam acara Bicara Karya anjuran Kelab sastera Universiti Sains Malaysia pada hari Ahad 13 Disember 1998 bertempat di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
KEMBALI

| |