DUA PUISI KEMERDEKAAN MARSLI N.O

NEGERI INI, ANAK
Negeri ini, anak adalah tanah hijau penuh mahsul
terlalu pemurah dan saksama pada tiap warga yang berjasa
yang rela memberikan keringat serta setia untuk bumi tercintanya.
       Usah kau persoalkan tentang derita milik siapa di negeri kaya
dan kesuraman sekejap siapa pula menjadi dalang
kalau tiba-tiba terdengar laungan dari bukit penuh gelap
itu hanyalah lolongan sang pertapa yang lemas ditikam bayang!     
       Negeri ini, adalah tanah luas sesayup pandangan
yang telah melahirkan ribuan pahlawan. Rela memilih terbuang
dari berputih mata, kerana baginya, mati itu cuma sekali dan
tidak harus sia-sia. Mereka tidak rela ini negeri tercinta
jadi kuda tunggangan atau dipekosa warga tidak bernama. Meski darah dan tulang jadi gantian. Kerana baginya:
                 negeri adalah tanah
                 adalah air,
                 adalah api,
                 adalah angin.
                 Adalah maruah,
                 adalah permai,
                 adalah berani,
                 adalah susila.
                 Adalah segala-galanya.
       Dan hari ini, kata keramat itu dilaungkan. Tanpa mengira
kulit atau warna, tampuk atau asal, percaya atau agama:
                 MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
       Di negeri ini anak, mari kita hidup tanpa curiga atau rasa
berbeza. Siapa di sini adalah warganya, kerana meski putih atau hitam, darahnya tetap merah. Darahnya tetap merah.
       Usah dilebarkan jurang atau mencipta kelam. Mari kita
dirikan harapan dan teguhkan kesetiaan.

17 Jun - Julai 1988
Dari antologi:  Di Atas Mimbar Merdeka, terbitan DBP 1989.


UNTUKMU, ADUHAI NEGERIKU
Tidak pernah kulupakan namamu, aduhai negeriku
negeri yang pernah merentas seribu pahit peristiwa
dan akhirnya tegak menjadi perkasa
bersama mercu tanda serta wawasan pemimpinnya
megah setanding kini di tengah peta dunia
bergema suara mengacungkan sikap serta percaya
menjadi bukti bangsa merdeka, berdaulatnya negara

Aduhai negeri tumpah segala cinta dan setia warga
kalau dari kami kembali dipinta pengorbanan 
tanpa soal hati memberi penuh kerelaan 
kerana seperti kobaran api kau selalu marak di dalam kenang
dan nama demi nama para pahlawan yang terbilang 
meski bersemadi kini di tanah-tanah lindap bernama perkuburan  tetap kami sanjung dengan harum penghargaan
kerana budi dan jasa yang telah dicurahkan
kini mewariskan tanah gemilang
yang dimekarkan dengan harap serta kepercayaan 
berani dan yakin bangsa merdeka, berdaulatnya negara

Memang, kemerdekaan selalu menuntut pengorbanan 
dan kalau sesekali kembali terdengar hasut serta laungan 
tidak mudah hati kami memberikan percaya
terhadap segala bicara
betapa, manisnya di luar tetapi di dalam pekat bersalut tuba 
dan dari almanaknya, sejarah serta ribuan peristiwa
telah sejak lama mengajar kami menjadi warga lebih dewasa
betapa, leburnya sebuah negara tidak lain bila setia warganya
dicemar haloba dari hati bercabang para petualang

Tidak pernah kulupakan namamu, aduhai negeriku
negeri yang pernah merentas seribu pahit peristiwa
dan akhirnya tegak menjadi perkasa
Betapa, jutaan hari yang kami lewati bersama  semakin mengentalkan kasih cinta  dan kalau dari kami kembali dipinta pengorbanan tanpa soal hati memberi penuh kerelaan kerana kemerdekaan ini memang selalu menuntut pengorbanan meski keranamu nyawa terpaksa kami galang itulah tekad dan sumpah kami berikan

Untukmu, aduhai negeriku.

Mac 2000
Dari antologi: Aksara Merdeka, terbitan Gapeniaga Sdn Bhd, 2000

KEMBALI