BIODATA SASTERAWAN ANGKATAN 21
AMIRUL FAKIR
Nama pena bagi Amiruddin Husin. Berasal dari Kampung Manjoi, Ipoh, Perak dan lahir pada 8 April 1967. Menerima didikan awal di kampung kelahirannya dan kemudian di peringkat menengah di Sekolah Menengah St. Michael Institution, Ipoh. Mula menulis sejak 1990 Karyanya berupa rencana, puisi, novel remaja dan cerpen. Pernah menggunakan nama samaran Gerimis June untuk sejumlah puisinya yang pernah disiarkan di beberapa penerbitan seperti majalah Wanita, Jelita, Variasari dan Mingguan Malaysia. Karya beliau berbentuk cerpen dan rencana pula disiarkan di majalah NONA, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Harian Metro dan akhbar Watan. Novel remaja beliau yang telah diterbitkan ialah Warga Kemuning (DBP: 1991). Beliau juga merupakan seorang calon penterjemah yang berpotensi. Sekarang bekerja sendiri.
Lihat foto AMIRUL FAKIR
DJAZLAM ZAINAL
Nama pena bagi Zainal Jazlan. Berasal dari Kelang, Selangor dan lahir pada 12 Februari 1960. Menerima didikan awal di Sekolah Tengku Idris Shah, Kapar dan Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Kelang dan kemudian pada tahun 1982 mengikuti Kursus Penulisan Kreatif di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Mula menulis pada tahun 1983. Karyanya berupa esei-kritikan, novel, cerpen dan puisi. Pernah meraih anugerah dalam Peraduan Menulis Sastera Selangor, Puisi Remaja Esso-Gapena dan Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-Gapena 1992 dengan puisinya Namaku Inderaloka. Novel beliau yang telah diterbitkan ialah Di Mana Bumi Dipijak (Marwilis Publisher: 1991) dan Mencari Sinar Yang Hilang (1992). Kumpulan puisi perseorangan beliau ialah Kilir-Kilir Makna (GEMA: 1996) dan Balada Orang Berdua merupakan kumpulan puisi beliau bersama Nasrihusin (GEMA: 1996). Sementara cerpennya pula dimuatkan dalam kumpulan bersama Mannuquin (1986), Kematian Kedua (1987), Meraih Mimpi (1990) dan Juliana (1992). Kini bertugas sebagai Penolong Pengarah Kebudayaan.
Lihat foto DJAZLAM ZAINAL
HASSAN ABDUL MAJID
Dilahirkan pada 5 Januari 1966 di Kuala Lumpur. Mendapat pendidikan di Kuala Lumpur dan Melaka. Menceborkan diri dalam pelbagai genre penilisan sejak tahun 1982 dan puisi merupakan bidang yang amat diminatinya. Karya pertamaya berupa puisi berjudul "Antara Ruang Sepi, Kebebasan dan Rindu" disiarkan dalam majalah Dewan Sastera 1989. Selain Dewan Sastera, karyanya banyak tersiar dalam pelbagai majalah dan akhbar berpengaruh seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Wanita. Tahun 1995 puisinya antara yang memenangi hadiah utama Hadiah Sastera Utusan - Public Bank. Sekarang bertugas di sebuah syarikat kewangan dalam jabatan pasaran wang.
Lihat foto HASSAN ABDUL MAJID
IJAMALA MN
Nama pena bagi Mohd Noor Hamzah. Berasal dari Perak dan dilahirkan pada 2 Februari 1967 di Kampung Jamuan, Kuala Kangsar, Perak. Mendapat didikan awal di Sekolah Rendah Clifford, Kuala Kangsar dan kemudian di peringkat menengah ke Sekolah Menengah Clifford, juga di Kuala Kangsar. Mula menulis pada tahun 1985. Karyanya berupa puisi tersiar di pelbagai media seperti Dewan Sastera, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Watan, Mastika dan Wanita. Karya beliau turut dimuatkan di dalam antologi bersama "Mutiara Timur" (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1993) dan "Cetera 94" (Kelab Sastera DBP: 1994). Kini bertugas di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Lihat foto IJAMALA M.N
IMLAN ADABI
Nama pena bagi Mazlan Ismail. Berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Beliau mula aktif berkarya pada awal 1980. Karyanya berupa puisi, cerpen dan rencana tersiar di pelbagai media seperti Dewan Sastera, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Watan, Mastika dan Bahana (terbitan DBP Brunie Darussalam). Pada tahun 1984 meraih tempat kedua Hadiah Puisi Pemadam, tahun 1988 puisinya "Kota Tinggi" antara yang meraih Hadiah Sastera Malaysia dan tahun 1991 puisinya turut meraih Hadiah Puisi DBKL. Kumpulan puisi beliau yang telah diterbitkan ialah "Lelaki" (DBP: 1993. Kini bertugas sebagai penyunting di akhbar Berita Harian..
Lihat foto IMLAN ADABI
MARSLI N.O
Nama pena bagi Ramli Selamat. Dilahirkan di Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu pada 7 Oktober 1957. Mula melibatkan diri dalam bidang penulisan secara sungguh-sungguh pada tahun 1979. Karya-karyanya berupa cerpen, novel, puisi, naskhah drama pentas, resensi dan rencana. Tahun 1989, puisinya Negeri Ini, Anak antara yang memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena. Pada tahun 1994 cerpennya Belon antara yang meraih Hadiah Cerpen Maybank-DBP dan tahun 1995 cerpennya Pembela turut meraih anugerah yang sama. Terlibat juga dengan teater dan aktif membacakan naskhah. Pada 13 Februari, bersama beberapa teman dari Bengkel Teater Kuantan pimpinannya membacakan cerpen karya beberapa pengarang mapan tanah air di Sudut Penulis, DBP dan pada 25 Oktober 1993 menjadi hos Baca Puisi DBKL. Antara bukunya yang telah diterbitkan ialah kumpulan puisi Negeri Ini, Anak (DBP, 1994) dan Hanya Kata (DBP, 1995). Kumpulan cerpennya yang telah diterbitkan pula ialah Biduan (DBP, 1994) dan Demi (DBP: 1998). Secara persendirian pula, beliau telah menerbitkan kumpulan puisi Siapa di Balik Sana? (1986), Bla Bla Bla (1990), Ninabobok (1993), Buku Sejarah (1999: edisi percubaan) dan kumpulan cerpen Penipu (1997). Dalam kumpulan bersama karyanya berupa puisi dimuat di dalam Manifestasi (telah diterjemah ke bahasa Arab, DBP: 1994 -Pena: 1982); Takhta dan Rakyat: Suatu Manifestasi (DBP: 1993), Cetera 94 (Kelab Sastera DBP: 1994), Puisi Baharu Melayu 1961 -1986 (DBP: 1990),. Di luar negara puisinya turut dimuat di dalam ASEANO: An Anthology of Poems From Southeast Asia (Asean Committee on Culture & Information: Manila, 1995). Pada April 1993 hingga Oktober 1995 pernah menjadi pengacara rancangan Galeri Minda di Radio Tiga Kuantan dan pada 27 Januari hingga 3 Februari 1995 mewakili negara ke Second ASEAN Writer's Conference Workshop (Poetry) di Manila. Puisinya Begitu Kata Malam antara yang meraih Hadiah Sastera Perdana 1996/1997.
Lihat foto MARSLI N.O
MATTAIB NORDIN
Nama pena bagi Mohd Taib Nordin. Berasal dari Kampung Solok Duku, Masjid Tanah, Melaka dan lahir pada 22 November 1954. Menerima didikan awal dan menengahnya di Melaka sehingga ke peringkat STP. Karyanya berupa puisi, cerpen dan rencana mendapat tempat di Dewan sastera, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. Puisinya termuat dalam beberapa antologi bersama Keris Dalam Bunga Raya (1985), Puisi Puncak (1982), Rumpun 2 (DBP: 1983), Puisi Ulang Tahun Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1988), Perhimpunan Penyair Muda Malaysia '87 (1987) Temu Puisi (KKKP: 1991) dan Lambaian Nusa (DBP: 1991). Karyanya berupa cerpen pula ikut dimuatkan dalam Kehadiran Yang Dilupakan (DBP: 1988), Cermin (DBP: 1990) dan Terbuang Jauh (DBP: 1991). Beliau merupakan antara pelopor yang menggerak dan menubuhkan Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM). Kini bertugas di Bahagian Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lihat foto MATTAIB NORDIN
MUHD NASRUDDIN DASUKI
Lahir pada 26 Disember 1959 di kampung Bukit Kerayong, Kapar, Selangor. Menerima didikan awal di kampung kelahirannya dan kemudian ke Sekolah Menengah Tengku Idris Shah, Kapar, Selangor. Mula menulis sejak 1976 dengan karyanya berupa skrip drama radio dan kemudian berupa puisi, rencana, berita, novel dan drama tv. Pernah bertugas sebagai wartawan akhbar mingguan tabloid di beberapa penerbitan selama beberapa tahun sebelum beralih ke bidang penerbitan buku. Karyanya tersiar di pelbagai akhbar dan majalah seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Watan, Dewan Sastera, Dewan Budaya dan Dewan Masyarakat. Sehingga kini lebih 100 buah cerpen beliau telah disiarkan serta 17 dalam antologi bersama iaitu Kehadiran Yang Dilupakan (DBP, 1988); Mencari Wajah Sebenar (Mastika Publisher, 1989); Kata Semahal Mutiara (Fajar Bakti, 1991); Kampung Hutan Hulu (Fajar Bakti, 1991); Amirul (Utusan Publication, 1991); Laila Qamar (Utusan Publication, 1991); Janji Srikandi (Utusan Publication, 1991); Pesan Pada Angin (Fajar Bakti, 1991); Mimpi Resah (Fajar Bakti, 1994); Hujan Emas di Negeri Orang (Marwilis Publisher, 1995); Menarah Gunung (Fajar Bakti, 1994); Tina (Utusan Publication, 1991); Terbuang Jauh (Utusan Publication, 1992); Kepak-Kepak Menggapai (Utusan Publication, 1995); Wakaf (Utusan Publication, 1991); Bulan (Utusan Publication, 1992); Gadis (Utusan Publication, 1992); Merenda Mimpi (Utusan Publication, 1995); Kasut Hitler (Utusan Publication, 1996); Alam Niskala (Sasbadi, 1997); Antara Dua Hati (Fajar Bakti, 1992) dan Mercu 4 (DBP - Maybak, 1995). Antologi cerpen perseorangan beliau ialah Purbawisesa (DBP: 1992) dan Cisarua merupakan kumpulan drama/cerpen (mapen) beliau yang diterbitkan pada 1998. Sementara novel beliau yang telah diterbitkan ialah Gerimis Masih di Pipi (Mastika Publisher, 1987); Issabella (Majalah Production, 1988); Kudiam Hatimu Selama (Tempo Publishing, 1993); Perawan dari Lembah (DBP, 1991); Puteri Intan Suraya (DBP, 1991); Sembilu (NR Production, 1995); Mengukir Impian (Marwilis Publisher, 1993); Meracik Impian (Kharisma Publicaion, 1996); Kemilau (Alaf 21 Sdn. Bhd., 1996); Mei Hua (BAHEIS, JPM, 1995); Suratan Kasih ( NR Production, 1996); dan Cerminan (Alaf 21 Sdn Bhd, 1997). Anugerah yang telah diraih beliau ialah Hadiah Utama cerpen remaja Utusan -Public Bank 1990; Saguhati cerpen dewasa Utusan -Public Bank 1991; Hadiah Utama cerpen dewasa Utusan -Public Bank 1992; Hadiah Utama cerpen remaja Utusan -Public Bank 1992; Saguhati cerpen remaja Utusan - Public Bank 1994; Hadiah Penghargaan Sayembara Cerpen Perpaduan anjuran jabatan Perpaduan Negara 1995; Hadiah Penghargaan Sayembara Menulis Novel Remaja berunsurkan Islam anjuran Jabatan Perdana menteri 1992; Hadiah Ketiga Sayembara Menulis Novel Kanak-Kanak berunsurkan alam sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar dan Utusan Melayu 1995; Hadiah Saguhati cerpen DBP -Maybank 1995. Sementara drama tv beliau "Panas Bara" memenangi Anugerah Seri Angkasa '96, Kategori Teleplay Terbaik Panggung RTM. Pada 11 hingga 17 Oktober 1998 mewakili Malaysia ke Bengkel Cerpen Majlis sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Bogor, Indonesia.
Lihat foto MUHD NASRUDDIN DASUKI
NAPIE MAT
Berasal dari Pasir Puteh, Kelantan dan lahir pada Disember 1957. Menerima didikan awal dan menengah di Tumpat. Pada tahun 1977 memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris dan pada tahun 1989 melanjuttkan pelajaran ke Universiti Pertanian Malaysia Serdang sehingga memperolehi ijazah Bachelor Pendidikan (Kepujian). Mula menulis sejak 1978 dan pada tahun yang sama juga puisi pertamanya berjudul Riak-Riak Malu disiarkan di majalah Sarina. Selain puisi, juga menghasilkan esei sastera. Kumpulan puisi perseorangannya yang telah diterbitkan ialah Dongeng Purba (DBP: 1993). Puisinya juga termuat dalam beberapa antologi bersama seperti Cetera (Kelab Sastera, DBP: 1994). Pada tahun 1985 memenangi hadiah utama Hadiah Sastera Utusan-Public Bank.
Lihat foto NAPIE MAT
NASSURY IBRAHIM
Nama pena bagi Maniyamin Ibrahim. Berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan lahir pada 11 September 1964. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tokah, Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah, Dungun sehingga STPM. Pernah juga mengikuti program Diploma Pemikiran Islam dan Diploma Falsafah Sains Islam di Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI), Institut Bahasa Kuala Lumpur dan Universiti Malaya. Mula menulis pada awal tahun 1980-an. Karyanya berupa puisi, cerpen dan novel. Cerpen dan puisinya tersiar dalam Dewan Sastera, Mingguan Malasyia dan sebagainya lagi. Memenangi hadiah Puisi DBKL- DBP sempena 100 tahun Kuala Lumpur dan hadiah puisi SHAAPADU- GAPENA pada tahun 1993 dengan puisi beliau Pidato Umum Di Dataran Merdeka. Tahun 1995 kumpulan puisinya Sejak Kau Hadir turut meraih anugerah penghargaan Anugerah Sastera Darul Iman III (ASDI III) (Puisi).
Lihat foto NASSURY IBRAHIM
NORZA
Nama samaran bagi Noordin Zainal Abidin. Beliau dilahirkan pada 14 Januari 1962 di Kampung Sungai Belukang, Rungkup, Bagan Datoh, Perak. Menerima didikan awal di Sekolah Kebangsaan Selekoh, Bagan Datoh, Perak dan Sekolah Menengah Tun Abdul Razak, Selekoh, Bagan Datoh, Perak. Mulai menulis pada tahun 1980-an berikutan kemenangannya dalam Pertandingan Menulis Cerpen Peringkat Sekolah Daerah Bagan Datok pada tahun 1983. Selain cerpen karya beliau yang lain ialah berupa puisi, rencana, skrip drama radio dan skrip tv/filem. Giat menulis sejak di bangku sekolah dalam genre puisi dan genre cerpen, disamping kegiatan melukis termasuk melukis cartoon, catan hidup semulajadi dan sebagainya. Kini giat menulis dalam genre puisi, cerpen, essei, kritikan rencana dan penulisan skrip drama pentas, TV, radio dan filem. Kini berjinak-jinak dalam bidang penulisan novel. Pernah memenangi hadiah cerpen di peringkat sekolah di sekitar tahun 80-an Daerah Hilir Perak. Karya beliau disiarkan di pelbagai media massa seperti Berita Minggu, Watan, Dewan Sastera, al-Islam dan sebagainya. Di dalam antologi bersama puisinya dimuatkan di dalam Merpati Putih Terbang Lagi (Kosovo), Apresiasi Puisi Ramadan (1999)dan Pelangi Keakraban. Pada tahun 1996 mewakili negara ke Bengkel Puisi ASEAN di UKM. Menerima Diploma Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada tahun 1989 dan pada tahun 1999 telah menerima ijazah Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) dengan Kepujian di Univerisiti Teknologi Mara (UITM). Di samping sebagai Pelukis dan Penulis Bebas, beliau kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana (MA) di Universiti Putera Malaysia.
Lihat foto NORZA
RAHIMIDIN ZAHARI
Berasal dari Peringat, Kelantan dan lahir pada 28 Mac 1968. Menerima didikan awal di Kelantan dan mengikuti kursus Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia. Karyanya berupa cerpen esei, skrip drama pentas dan novel. Puisinya "Batu-Batu di Laman" memenangi Hadiah Pertama dalam Peraduan Menulis Sajak Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1986. Dalam Sayembara Cerpen ESSO-GAPENA VIII pada tahun 1991 cerpennya "Pak Da Megat Wan Setapa Mek Mah Tuk Bagih" memenangi Hadiah Penulis Muda Terbaik. Pada tahun 1992 pula, puisinya "Kota Bharu II" dan "Perkebunan Tanah Air" antara yang memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-GAPENA. Tahun 1995 dua puisinya, "Tok Janggut" dan "Pemimpin: Antara Gelapnya Malam, Kaulah Sebutir Bintang" antara yang memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan ESSO-GAPENA. Karya-karya beliau, di samping termuat dalam beberapa antologi bersama, juga dalam bentuk perseorangan: Lakaran Kampung (1987, sajak), Sekepal Tanah (DBP: dan Matahari Berdoa (Gema: 1998); Cempaka Putih (1994, cerpen) Wira Sekolah (1994, buku kanak-kanak) dan Pewaris (1995, novel). Karyanya berbentuk skrip drama pentas telah diterbitkan dalam antologi Baginda Puteri (DBP: 1993) sempena judul skrip drama beliau. Pada tahun 1995 memenangi Hadiah Utama Anugerah Sastera Darul Iman III (ASDI III) (Puisi) dengan antologi "Sekepal Tanah" yang meraih RM 15,000. Kini bertugas sebagai Penolong Pengarah Kebudayaan.
Lihat foto RAHIMIDIN ZAHARI
RAJA YUSOFF ARIFIN
Berasal dari Perak. Karyanya berupa cerpen, puisi dan rencana disiarkan di pelbagai media seperti Dewan Sastera, Berita Harian, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Berita Minggu dan lain-lain. Karya beliau berupa cerpen juga diterbitkan di dalam pelbagai antologi bersama dan karya beliau berupa naskhah drama berjudul "Sketsa Bas Mini" diterbitkan oleh DBP pada tahun 1992. Kini bertugas sebagai salah seorang sidang pengarang majalah Emosi.
Lihat foto RAJA YUSOF ARIFFIN
SAZALEE YACOB
Berasal dari Kelantan dan dilahirkan pada tahun 1962. Memiliki Sijil Pengurusan Tani dari Nogyo Daigaku, Jepun dan Diploma Pengurusan Seni Universiti Malaya. Sebelum menceborkan dirinya secara sepenuh masa di bidang perniagaan Typesetting/Percetakan, beliau memiliki pengalaman kerja sebagai Penyelia Rancangan Tanah Felcra (1980 - 1993), Penyelia Rancangan Tanah Kanan (1993 - 1996) dan Pengurus Projek Felcra (1996 - 1997). Mula menulis pada tahun 1989. Karya beliau berupa puisi disiarkan di pelbagai media massa dan telah meraih anugerah Hadiah Sastera KEMUDI 1994, Hadiah Utama HSUMPB 1994, Hadiah Puisi Kebangsaan 1995 dan Hadiah Saguhati HSUMB 1995. Di dalam antologi bersama, karya beliau turut dimuatkan di dalam Mutiara Pertiwi (DBP), Rumah Merdeka (Gapena), Kasut Hitler (Utusan), Puyan Jelepek (Utusan), Cetera 94 (DBP), Riak Kabus Danau Maninjau (DBP) - Cerpen, Calar Mimpi (DBP)- Cerpen, Kelahiran (KEMUDI), Semakin Hampir Kita (KEMUDI). Beliau juga merupakan seorang deklamator dan menjadi Johan Kuala Langat 1994, Final Selangor 1995, Tempat ke 3 Selangor 1996 dan Johan Terengganu 1998. Di samping meneruskan kerja-kerja penulisan dan menguruskan perniagaannya, beliau juga merupakan Penolong Editor Sinar Budaya terbitan Majlis Kebudayaan Selangor, Kolumnis Ruangan Komputer Majalah Peneroka Jaya terbitan Felcra Bhd., Pengerusi JK Kebudayaan KEMUDI dan merupakan web master atau orang yang bertanggungjawab membina laman web sastera KEMUDI.
Lihat foto SAZALEE YACOB
SHAMSUDIN OTHMAN
Pernah menggunakan nama samaran S. Mansha. Dilahirkan pada 31 Julai 1966 di Tangkak, Johor. Mendapat didikan awal di Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur. Kemudiannya ke ITM Shah Alam, Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur (1987-1989), Institut Bahasa (1994), Universiti Pertanian Malaysia dan terakhir di Universiti Malaya. Karyanya berupa puisi dan cerpen tersiar di pelbagai media seperti Dewan Sastera, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Era dan Jelita. Karya beliau turut dimuatkan di dalam antologi bersama "Hadiah Terakhir" (Dewan Bahasa dan Pustaka: ), "Subang Zamrud Bertatah Berlian"(DBP: ), "Mutiara Pertiwi"(DBP: ) dan "Sayang Ayah" (Fajar Bakti: ). Pada tahun 1995 puisinya antara yang meraih Hadiah Puisi Esso-Gapena, Hadiah Puisi Remaja DBP 1996, Hadiah Puisi Kedamaian Malaysia 1991. Setelah menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya di peringkat sarjana muda beliau kini meneruskan pengajian peringkat sarjana, di samping bertugas sebagai pendidik di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur.
Lihat foto SHAMSUDIN OTHMAN
SHUKRI ABDULLAH
Nama pena bagi Ahmad Shukri Abdullah. Dilahirkan di Kampung Padang Sidin, Arau, Perlis pada 20 Mac 1968. Menerima didikan awal di negeri kelahirannya sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang. Selepas beberapa tahun menjadi pendidik di negeri Selangor, beliau melanjutkan pula pengajiannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Media di Universiti Malaya. Aktif berkarya pada awal 1990-an dan karyanya berupa puisi dan naskhah teater yang telah disiarkan di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Watan, Mastika, Jelita, Pelita Bahasa dan Dewan Sastera. Di samping itu, beliau juga aktif dalam deklamasi puisi dan menjadi johan bagi negeri Pulau Pinang (1990 dan 1991), Perlis (1993), Institiut Pengajian Tinggi (1995 dan 1996) dan tahun 1996 menjadi juara di peringkat kebangsaan. Drama arahannya Kaki Lima berjaya meraih anugerah Drama terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Seni Pentas 1996 di Universiti Malaya. Pada tahun yang sama juga menerima Anugerah Seni Pelajar Institiut Pengajian Tinggi. Selain itu, karyanya juga pernah memanangi Hadiah Utama Skrip Drama Sejarah 1990, Hadiah Utama Cerpen Remaja (1993) dan Hadiah Puisi Penghargaan (1995) anugerah sastera Utusan-Public Bank. Tahun 1997 mewakili Universiti Malaya ke Festival Kesenian Universiti ASEAN di Brunei Darussalam. Taman Bahasa Ibunda (DBP: 1991) merupakan antologi puisi bersama yang turut memuatkan karya beliau.
Lihat foto SHUKRI ABDULLAH
S.M ZAKIR
Nama pena bagi Syed Mohd. Zakir. Dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada 4 Februari 1969 dan dibesarkan Pulau Pinang dan Selangor. Menerima didikan awal di Sekolah Menengah Penang Free School, Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi dan Sekolah Tinggi Kajang, Selangor sehingga STPM dan memiliki Certificate in Computer Programming. Karyanya berupa cerpen dan puisi, telah disiarkan di Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, Mastika URTV, Nona, Wanita, Era, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Dewan Budaya dan Dewan Sastera. Di samping itu, beliau juga menghasilkan novel dan rencana. Karya beliau yang telah diterbitkan ialah Di Bawah Lembayung (novel remaja, DBP: 1991), Kembang Kanigara (novel remaja klasik, DBP: 1992) dan antologi cerpen Merengkuh Langit (DBP: 1995). Pada 1990 cerpennya Mimpi Senapati memenangi hadiah pertama peraduan menulis cerpen sempena 100 tahun Kuala Lumpur anjuran DBKL-DBP, juga pada tahun yang sama dengan Debu-Debu di Jalan memenangi hadiah saguhati Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Garis-Garis Paralel meraih hadiah saguhati Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP pada tahun 1991, Enigma Dari Sebuah Mimpi meraih hadiah utama Hadiah Sastera Utusan- Public Bank tahun 1992, Relung, Pelita dan Pohon Zaiton meraih hadiah kedua Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP 1993, Seorang Lelaki dan Sebuah Laut meraih hadiah saguhati Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1993 dan Mahd meraih hadiah saguhati Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1994 dan antologi cerpen Merengkuh Langit meraih Hadiah Sastera Malaysia 1995/1996. Pada Disember 1992 beliau terpilih mewakili negara ke ASEAN Writer's Conference/Workshop di Pulau Pinang.
Lihat foto S.M ZAKIR
TALIB Y.K
Nama pena bagi Talib Yaakub. Berasal dari Bukit Chenda, Gunung, Kelantan dan lahir pada 31 Disember 1950. Menerima didikan awal di kampung kelahirannya dan kemudian ke Sekolah Menengah Bachok. Tahun 1982 hingga 1983 mengikuti kursus Sijil Seni Kreatif (Kesusasteraan) di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Mula menulis sejak tahun 1969. Karyanya berupa rencana, puisi dan cerpen termuat dalam pelbagai media seperti Berita Minggu, Dewan Sastera, Mingguan Malaysia dan lain-lain. beliau juga menghasilkan novel dan skrip drama radio. Kumpulan cerpen perseorangan beliau yang telah diterbitkan ialah Anak Zaman (Heineman Asia: 1980), Keinginan (Eastern University Press: 1981) Birunya Biru (DBP: 1993) juga dalam kumpulan bersama Rumpun Hijau (DBP:). Novel beliau yang telah diterbitkan ialah Mega-Mega Di Langit (Teks Publishing: 1985) dan Pijar Langit Malam (Teks Publishing: ). Puisinya termuat dalam beberapa antologi bersama. Pada 1995 puisi Wak Dogol memenangi hadiah utama Hadiah Sastera Utusan-Public Bank.
Lihat foto TALIB Y.K
ZAINAL RASHID AHMAD
Berasal dari Alor Setar, Kedah dan lahir pada 30 Jun 1967. Menerima didikan awal di sekolah Rendah Iskandar dan Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman, Mergong, Alor Setar, Kedah. Tahun 1992 hingga 1993 mengikuti Kursus Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Mula menulis pada tahun 1990. Karyanya berupa cerpen, puisi dan esei yang dimuat dalam pelbagai media seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan Dewan Sastera. Pernah memenangi peraduan menulis puisi Alam Sekitar 1991 dan hadiah puisi SHAPADU-GAPENA pada tahun 1992 dengan puisinya Pamflet Kemerdekaan Kepada Generasiku. Kini bertugas di Bahagian Berita NTV7.
Lihat foto ZAINAL RASHID AHMAD
__________________________________________
Hakcipta Terpelihara
© MARSLI N.O
Biodata ini akan dikemaskini dari masa ke semasa. Sesiapa yang berminat untuk memuatkan biodatanya di laman ini atau ingin mengemukakan sebarang komen serta saran, sila hubungi:
MARSLI N.O, No 246 Lorong 9, Balok Maju 26100 Kuantan, Pahang MALAYSIA
Atau e-mail:
marslino@yahoo.com
Last update:
Oktober 26, 2000
KEMBALI