|
"Perihal Puisi Kepada Orang" Kumpulan Puisi Leo A.W.S Oleh MARSLI N.O
SEBAGAI
seorang penyair, Leo A.W.S yang pernah penulis namakan di dalam sorotan kumpulan puisinya "Pemacu Waktu" (Penyair: 1991) sebagai "penyair pemotret" pasti sajalah sejak dari awal lagi telah pun menetap serta menyedari kepada siapakah puisinya mahu ditujukan.
Dengan penetapan serta kesedaran itu jugalah, Leo A.W.S sekaligus telah membentuk sikap serta cara kepenyairannya sendiri dan ini kelihatannya diteruskan dengan penuh rasa yakin.
Memang sebuah puisi sebagai sifatnya karya sastera akan melahirkan reaksi timbal balik sebagai kelangsungan suatu komunikasi dan untuk itu diperlukan hadirnya dua pihak yang dapat saling melangsungkan proses tersebut iaitu penyair pada satu kutub dan pembaca di kutub yang lain.
Namun begitu bagi Leo A.W.S, kenyataan itu rasanya ingin lebih beliau pertegaskan dengan sebuah pernyataan yang vokal sifatnyanya dan justeru itu jugalah menjudulkan kumpulan puisinya ini dengan judul yang dapat dijadikan rujukan langsung mengenai kepada siapakah puisinya mahu ditujukan.
Dalam kata lain, secara langsung Leo A.W.S mahu menyatakan bahawa beliau menujukan puisi-puisi beliau kepada "orang" dan bukan kepada "pokok" atau "batu".
Penegasan langsung beliau ini pasti saja punya sebab-sebab yang tersendiri dan ini tentu saja menarik untuk sama ditelusuri.
Terutamanya jika diteliti sifat puisi Leo A.W.S sendiri yang mana akan segera terkesan sifatnya yang langsung dan lugu. Ini misalnya dapat disemak daripada puisinya dalam kumpulan ini yang berjudul "Sajak Awal Tahun" (halaman 3):
Sejuk malam ini/
kita tidur bersama;/
hari nak kemarau/
kita hadapi jua!
Lantaran kesan pertama ini jugalah, seringkali bagi sebahagian pengamat menganggap puisi-puisi Leo A.W.S kurang memiliki bobot kepuitisan lantaran sifat langsung (mudah difahami) itu.
Tergoda atau merasakan perlu menentang kembali pernyataan kurang berhemat ini dengan caranya sendiri, maka dengan tegas dan tanpa sedikit pun rasa silu Leo A.W.S
langsung menyatakan maksudnya, seperti yang dipaparkan beliau dalam puisi berjudul "Sajak Kepada Orang" (halaman 50) ini:
Bersajak tentang/
lembu, burung, rama-rama/
dan seumpamanya .../
Betapapun mudah, adalah/
susah kepada/
orang yang mandul minda!
Lewat puisi ini, secara tersiratnya, Leo A.W.S ingin memperjelaskan betapa "orang" yang beliau maksudkan itu adalah orang yang dapat menerima sebuah puisi sebagai bahan
untuk berfikir dan bukan menerimanya seperti menerima angin yang lalu semata-mata.
Apakah pernyataan Leo A. W.S seperti yang diungkapkan beliau di dalam puisi di atas dapat dianggap benar? Menjawab tanya ini, Leo A.W.S menyatakan lewat puisinya seperti antara lain dalam puisi yang berjudul "Distikhon Ghairah" (halaman 42):
Mereka seakan pohonan yang lembut/
meliuk-liuk ditiup angin gelora.//
Dan mereka seakan rerambut rumpai/
meriuk-riuk dirempuh arus gelombang.//
Gelora angin menumpukan mata pohonan/
gelombang arus menumpukan mata/
rumpai.//
Jadilah mereka lelaki yang berahi/
dek perempuan ghairah yang rupawan.
Betapa pun terasa adanya gambaran erotiknya di dalam puisi di atas, namun apa yang mahu dipaparkan Leo A.W.S bukan hanya erotiknya tetapi lebih kepada mengajak pembaca berfikir lantaran apakah "berahi" itu wujud. Di dalam puisi itu secara tidak langsung Leo A.W.S memberikan jawapannya bahawa "lelaki menjadi berahi" kerana adanya "perempuan ghairah yang rupawan". Lalu bagaimana untuk mengelak terjadinya "berahi" dan "ghairah" sehingga merentetkan pula hal-hal yang negatif? Leo A.W.S tidak menurunkan khutbah. Beliau sebaliknya hanya memberikan gambaran untuk sama difikirkan pembaca, tentunya bagi pembaca yang tidak mandul minda.
Memang, dalam kumpulan 43 puisi yang diakui Leo A.W.S sebagai gabungan dua judul iaitu "Perihal Pasu dan Puisi" (kumpulan pertama) dan "Sajak Kepada Orang" (kumpulan kedua) ini jelas sekali sifat "langsung" serta naratifnya. Namun demikian, kelangsungan ini mahu tidak mahu harus diterima sebagai sifat khusus diri kepenyairan Leo A.W.S dan tidak wajar dianggap sebagai suatu keaiban pula.
Malah paling tidak pun, Leo A.W.S harus dipuji kerana sifat jujur dan berterus terangnya di dalam puisi. Hal yang dengan demikian menjadikan kita sebagai pembaca terasa lebih dekat mengenali beliau lewat puisi-puisinya. Mengenali sikap, cita-cita dan pandangan hidup Leo A.W.S di tengah dunia yang semakin memberhalakan kemunafikan dengan segala macam salutan atau pamur yang hanya menyilau di permukaan ini.
Keyakinannya yang mungkin agak berlebihan untuk menujukan puisinya kepada "orang" ini kadang-kala bukan tidak mungkin menjadikan tampang dalaman Leo A.W.S lebih mudah dapat diterka. Tetapi ini kelihatannya sedikit pun tidak meresahkan Leo. Bagi Leo, sebagai penyair, apa pun tanggapan "orang" terhadap dirinya, sanggup diterimanya dengan siap.
Namun begitu, meski memaksudkan puisinya kepada "orang", tidak bererti Leo A.W.S hanya memilih orang sebagai subjek untuk melontar sikap atau pun kritiknya terhadap "orang", malah ada juga puisi beliau yang turut menggunakan "lembu" dan "biawak" sebagai subjek menghantarkan kritik. Ini misalnya dipaparkan beliau lewat puisinya yang berjudul "Sajak tentang lembu & biawak" (halaman 14):
Inilah 2 buah sajakku
tentang lembu & biawak itu//
i LEMBU/
Bodohnya macam lembu/
memakai cermin mata hijau/
batu pun menjadi rumput/
lalu dimakannya juga.//
ii BIAWAK/
Aku tak suka orang bercakap/
bohong macam biawak/
lidahnya bercabang/
lalu dijelirnya juga.
Apa yang dikisahkan Leo A.W.S di dalam puisi ini mungkin sudah terlalu biasa. Namun begitu, sebagai "orang" yang memiliki "otak", wajar juga kita bertanya apakah tidak kita juga sering bersikap demikian?
Dengan lidah yang bercabang, kita masih juga mengucapkan pelbagai janji, meski janji itu tidak pernah kita tunaikan!
Kuantan, 22 Jun 1999
KEMBALI
|