|
SING KAYA NGENE: Kembara, Tamsil dan Seadanya Dari Puisi Dua "Orang Kampung" Oleh MARSLI N.O
"SING Kaya Ngene" dalam bahasa Jawa bererti "Yang sepertinya" atau lebih tepat lagi "ya, beginilah" merupakan judul kumpulan puisi dua penyair yang menamakan dirinya sebagai "orang kampung" atau dalam bahasa Jawanya "wong kampung". Dua penyair yang dimaksudkan ialah Saring Sirad atau lebih dikenali dengan nama samarannya Ismas Saring dan Ibrahim Ghaffar. Kedua penyair ini bergabung tenaga serta modal menerbitkan sendiri kumpulan puisinya ini pada awal 1999.
Kedua mereka ini bukanlah orang baru di tanah sastera kita. Saring Sirad atau Ismas Saring sebagai contohnya, selain penyair juga dikenali sebagai penulis rencana umum, catatan perjalanan atau pelancongan, cerpen dan skrip drama. Antara skrip drama Ismas yang terkenal ialah "Seruan Damai" yang dipilih menjadi teks wajib bagi pertandingan drama anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sekitar tahuhn 1968-1969 dan di RTM pula skripnya "Senandung Pertiwi" sebanyak 32 siri disiarkan sepanjang tahun 1974-1975.
Ibrahim Ghaffar pula, selain penyair juga terlibat selaku seniman teater dan pelukis. Semasa menuntut di luar negara, Ibrahim pernah mengadakan pameran solo lukisannya "On Journey 83" yang bermula dari Berlin, Paris dan London sekitar tahun 1983-1984. Sebelumnya, pada tahun 1978, bersama kumpulan teaternya di bawah Persatuan Aktiviti Kulitkraf (AKRAF), Petaling Jaya beliau mementaskan drama "Demi Cinta" di Hari Puisi Nasional ke 6 yang berlangsung di Kuantan pada 14 hingga 16 April 1978.
Selaku seorang seniman yang banyak mengembara, Ismas Saring kelihatannya tetap tidak lupa untuk mencatatkan kesan perjalanannnya itu ke dalam puisi-puisi beliau. Di dalam kumpulan ini, kelihatan dominan puisi-puisi yang dihasilkan beliau di sepanjang kembaranya. Antaranya sebagai contoh ialah "Algojo vs Tante Girang" (hal. 1), "Di Hujung Pertemuan" (hal. 10), "Di Persimpangan" (11) dan "Memburu Salju Rontok" (hal. 27).
Jika di dalam puisi "Algojo vs Tante Girang" Ismas memaparkan peri kehidupan malam dan suram manusia yang segolongannya, di dalam puisi "Di Hujung Pertemuan" pula Ismas merakamkan betapa pun amat berat terasa perpisahan ketika sedang sesama mesra, tetapi tetap diakurinya betapa: "pertemuan dan perpisahan ini sebenarnya/ adalah garis permulaan/ erti kasih sayang insan/ antara kita tanpa penghujung jalan/ bertanda noktah."
Di dalam puisinya "Di Persimpangan" pula Ismas seakan kembali mencari makna kesetiaan di dalam suatu kembara: ""Kita saling mencari kesetiaan/ dalam kembara yang bersimpang/ & lemas di bawah kata hati/ ternyata kehidupan membentuk manusia seperti kita/ & sayangpun sering terungkai/ meskipun/ mesra kian berputik."
Atau di tengah dingin salju di Mt Bernes, Switzerland Ismas merakamkan betapa beliau berlari dan: "dengan dada membara/ memburu salju rontok/ mencari pengertian/ kemanusiaan sejagat."
Jika Ismas Saring ketara lebih banyak merakamkan kesan kembara serta persepsi hidupnya di dalam puisi, Ibrahim Ghaffar pula kelihatannya lebih melihat hidup ini sebagai suatu ibarat dan justeru itu perlu sering dinisafi akan di mana kesudahannya.
Di dalam puisinya "Aduhai, Senandung Keketuaan" (hal. 69) dikatakan penyair sebagai suatu peringatan kepada setiap yang bergelar ketua betapa: "Janganlah tanah dijadikan/ hanya untuk kedudukan/ kerana siang makin menghampiri malam/ dan sinar akan terpadam."
Atau di dalam puisinya "Wayang Pak Dalang iii" (hal. 75), menyatakan betapa hidup ini tidak lain adalah: "Tamsil ibarat/ garam segenggam larut di laut/ pasti akan tenggelam hanyut/ kehilangan rasa/ kehilangan rupa/ kehilangan nama/ lautan tetap sediakala/ "Ikan hidup sepanjang hayat/ daging tak pula menjadi masin./ Kalau tak garam mengasinkan ikan/ jangan menjadi langau jahanam"
Lanjut menelaah kumpulan puisi ini akan kian terasa betapa apa yang dimaksudkan sebagai "ya beginilah" dari dua orang penyair yang mengakui dirinya sebagai "orang kampung" ini tidak lain merupakan pengakuan dan pernyataan rasa hati secara jujur oleh penyairnya. Memang, di dalam kumpulan puisi ini tidak akan kita temui banyak kata-kata atau ungkapan baru, namun dilihat di segi mesej yang cuba disampaikan penyairnya, kesan kejujuran itu akan tetap terasa. Terasa dalam erti kata dinyatakan secara apa adanya.
Ini misalnya dapat ditelaah dari puisi Ismas Saring berjudul "Prologue" (hal. 43): "Kasihnya/ kasih seorang ayah/ cintanya/ cinta seorang ibu/ setianya/ setia seorang anak/ tapi bilakah/ kasih ini berputik/ sayang ini berkembang/ setia berakar umbi/ dalam pengertian sejati."
Atau berikutnya pengakuan Ismas dalam puisinya "Perjalanan Syahdu" (hal. 39): "…di tengah perjalanan yang gersang/ tiba-tiba aku jadi termangu/ …. syurga bukan di sini/ juga bukan di rumahku/ kerana sebenarnya syurga/ milik pengembara bukan sepertiku/ milik bukan manusia/ yang memburu & diburu…."
Atau di dalam puisinya "Hadirku" (hal. 125), penyair Ibrahim Ghaffar pula mengakui: "Aku menulis bukan kerana nama/ demi kasihku kepada mereka/ dan mereka adalah aku/ yang menyanyikan lagu rindu./ Dan berdoa "Runtuhlah tembok ini,/ dan kita menjadi satu kembali."
Lanjut menelaah serta berusaha mengimbas makna dari kumpulan puisi ini, akan ditemu semacam pengakuan penyair yang mengaku dirinya sebagai orang kampung, yang tentunya masih tetap belum luntur sifat rendah hatinya namun memiliki semangat kental demi melanjutkan kembara kepenyairannya. Dalam puisinya "Kembara II" (hal. 128), Ibrahim Ghafar menyatakan: " Kembara ini masih belum sampai ke perhentian/ harga diri bukan penghujung perjalanan/ keakuanku bukan lagi pencarian/ dan kembara masih belum berakhir."
Sebagai insan biasa, siapa pun kita akan tetap bertembung dengan resah serta gelisah. Hakikat ini kelihatannya sangat diarifi penyair dan untuk itu tidak perlu untuk kembali dijadikan penghalang demi meneruskan perjalanan hidup yang masih berbaki. Secara terbuka ini dinyatakan Saring Sirad di dalam puisinya "Kerdipan Bintang" (hal. 18): "… sesekali kenanglah/ bahawa kita/ sering bermain resah. Hingga/ di akhir pencarian."
Memang pun demikianlah kenyataan hidup manusia. Siapa pun kita, tanpa mengira yang bernafas di tengah kota kosmo mahupun jauh hidup terperuk di pedalaman kampung, akan tetap mendepani duga di dalam hidup. Tinggal lagi sikap dan bagaimana kita menerima segala duga dan cabar itu sajalah yang membezakan apakah kita sudah berbuat atau sekadar mengeluh meratapi nasib malangnya.
Setidak-tidaknya selaku penyair, Saring Sirad dan Ibrahim Ghafar telah membuktikan. Betapa pun hidup terperuk jauh di pedalaman kampung, mereka tidak pernah merasa gagap dan silu untuk menyatakan sikap serta pendirian hidupnya di dalam puisi-puisi mereka. Dan lebih membanggakan lagi, jika sejumlah penyair yang miskin jiwanya sering merintih mengharapkan agar buku puisinya diterbitkan konon oleh penerbit yang lebih bermartabat, tetapi Saring dan Ibrahim tampil secara mandiri mengusahakan penerbitan buku puisi mereka.
KEMBALI
|