Ulasan Buku:
MENJEJAKI "TAWASSUL" ISA KAMARI

Judul: Tawassul
Pengarang: Isa Kamari
Penerbit: Pustaka Nasional, Singapura
Tebal: 160 halaman
Cetakan pertama: 2002
Pengulas: MARSLI N.O

"MERPATI itu membawa khayalanku jauh ke awang-awangan di celah awan kapas. Impianku menjengah pelangi yang melengkung di dada, ketika pancaran mentari memintas renyai gerimis di jiwaku. Dengung enjin dan putaran kipas pesawat menambahkan gemuruh yang mengiringi pencarianku kali ini. Aku merasakan akulah masa hadapan yang akan mengunjungi masa lalu. Dan pesawat ini adalah mesin jelajah waktu yang akan mengenderakan dan menyatukan harapan dan sejarah. Harapan setinggi awan. Sejarah seluas mega. Dan aku adalah sebutir pasir yang terapung-apung di antara kedua-duanya.”

Ini adalah petikan dari para pertama pembuka halaman novel Tawassul karya pengarang Singapura, Isa Kamari, yang semakin memperlihatkan kekuatan daya kreatif serta wawasan dalam pengkaryaannya. Novel setebal 157 halaman ini diterbitkan oleh Pustaka Nasional, Singapura pada tahun 2002 dan tidak dapat dinafikan betapa bahasanya terasa indah dan memukau.

Namun tidak cuma itu. Novel “Tawassul” yang merupakan novel keempat Isa selepas “Satu Bumi” terbit tahun 1998 dan ulang cetak pada tahun 2002, “Kiswah” (2002) dan “Menara” juga diterbitkan pada tahun 2002 yang dibahagikan kepada 10 bab ini mempunyai komposisi penceritaan yang agak menarik bila mana pada setiap bab yang berlainan pengarang memberikan fokus terhadap topik atau sudut pandangan watak yang berbeza dan mempunyai sub kisahnya yang tersendiri: Bab 1, 4, 7 dan 9 mewakili watak Syan. Bab 2 dan 6 mewakili Hasyr. Bab 3 watak Anisa, bab 5 (Nutaib), Bab 8 (Hijaz) dan bab 10 Hira.

Walau bagaimana pun meski kelihatan bagaikan terpisah-pisah, namun jika dibaca dan dihayati secara keseluruhan novel ini dikesani diikati oleh benang merah persoalan utama yang disimpulkan melalui judulnya Tawassul, iaitu mengenai persoalan manusia mencari kejatidian serta asal muasal kejadian dirinya sendiri.

Novel ini bermula dengan watak Syan, seorang botanis yang menjejaki kembali perjalanan Datuknya, seorang antropologis yang telah melakukan kajian mengenai kehidupan Orang Imorot di lembah Tuwau. Datuk Syan digambarkan sebagai seorang yang cenderung mencari “punca dan kebenaran empiris di sebalik alam manusia”. Kerana kecenderungan ini jugalah Datuk akhirnya terputus dari tali kekeluargaan dan dianggap telah murtad.

Berpandukan buku hasil dari penyelidikan Datuk berjudul “Peribumi Alam” mengenai Orang Imorot dan walaupun dibangkang keras oleh ibu dan ayahnya, namun Syan nekad ke lembah Tuwau. Di Tanun, perhentian terakhir sebelum ke Tuwau, Syan telah berkenalan dengan Hijaz, juruterbang pesawat Cessna yang dinaikinya dan walaupun pada mulanya agak keberatan menerima keramahan Hijaz, namun hujan yang tiba-tiba melanda dan didesak oleh suasana sekitar yang tidak begitu ramah terhadap seorang wanita sepertinya Syan menerimanya juga. Hijaz telah membantu Syan menyewa sebuah kamar hotel dan mengisi waktu di kamarnya menelaah buku hasil penyelidikan Datuk mengenai orang Imorot. Dari pembacaannnya, Syan semakin banyak mendapat gambaran mengenai orang Imorot yang kuat berpegang kepada kepercayaan karut yang tidak berlandaskan agama serta sains. Berdasarkan kandungan kajian itu juga, barulah Syan memahami kenapa Datuk telah dituduh murtad oleh bapa mertuanya (moyang Syan).

Novel ini memang sebuah kisah yang dipenuhi dengan misteri serta berbaur dengan unsur-unsur anakronisme serta magis. Jika di bab pertama kita berhadapan dengan kisah pencarian Syan, begitu menjengahi bab dua, sedikit demi sedikit tabir misteri itu diselak dengan kehadiran pengkisahan dari sudut pandatangan watak Hasyr yang kembali ke Tuwau selepas 12 tahun meninggalkannya dan mengesani sesuatu perubahan yang dirasakannya aneh dan sama sekali berlainan.

Semakin lanjut menelusuri novel ini, semakin banyak jawapan akan ditemui oleh kita selaku pembaca. Watak demi watak dan peristiwa demi peristiwa yang diperkenalan serta didedahkan akan membawa kita ke hujung persoalan yang menjadi tunjang utama novel ini.

Anakronismenya terasa bila beberapa peristiwa penting dari sejarah penyebaran ajaran Islam, kalau pun tidak dijadikan model seratus peratus, kembali dipaparkan Isa Kamari dalam konteks ruang waktu yang lebih baru. Sehingga dengan begitu, sesekali terpacul juga tanya di benak kita, apa tidakkah ini merupakan satu parodi terhadap sesuatu peristiwa yang benar-benar dan pernah berlaku?

Walau pun Syan akhirnya hanya dapat menatap kubur dan tidak berkesampaianlah hasratnya untuk bertemu Datuk namun setidaknya terurai juga persoalan betapa yang sedang dalam pencarian itu tidaklah hanya beliau tetapi juga Hijaz.

Bagi pembaca yang inginkan sedikit kelainan atau berubah selera dalam pembacaannya, novel ini memang pilihan yang tepat. Dengan komposisi penceritaannya yang sedemikian rupa, sebagai pembaca kita tidak menjadi pembaca pasif yang menerima begitu saja apa yang disogohkan pengarang. Malah secara tanpa sedar kita didesak agar menjadi pembaca yang aktif untuk kembali merujuk serta mencari konteks di antara bab demi bab yang sudah dilewati dengan bab-bab berikutnya.

Kepada Isa Kamari, tahniah diucapkan kerana berupaya memberikan sesuatu yang kalau pun tidak terlalu baru di segi teknik, tetapi setidaknya “mendidik” kita sebagai pembaca supaya kembali belajar bagaimana membaca sebuah karya sastera!



ISA KAMARI


KEMBALI