Masyarakat Melanau adalah antara masyarakat yang terdapat di Sarawak. Umumnya masyarakat Melanau mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu baik dari segi kepercayaan, kebudayaan dan adat resam. Justeru itu masyarakat ini merupakan satu cabang dalam masyarakat Melayu. Namun begitu masyarakat Melanau tetap mempunyai budaya dan adat resam mereka yang tersendiri. Adat resam ini jelas terlihat dalam aspek kehidupan mereka seperti kelahiran, perkahwinan dan juga kematian. Adat resam atau amalan ini diwarisi sejak zaman berzaman dan masih diteruskan hingga ke hari ini.

Gadis Melanau

 

    Seperti masyarakat etnik yang lain, masyarakat Melanau juga mempunyai pantang larang dan amalan tertentu dalam aspek kelahiran. Ini merangkumi peringkat sewaktu mengandung, semasa bersalin dan selepas lahir.

    Tiada sebarang adat khusus yang diamalkan oleh wanita hamil di kalangan masyarakat Melanau, namun begitu mereka juga terikat daripada mengamalkan pantang larang. Kebanyakan larangan yang dikenakan banyak bergantung kepada faktor pemakanan seperti:-

·        Tidak boleh memakan buah-buahan yang berbau kuat seperti durian atau ulam dan petai kerana badan akan menjadi busuk.

·      Wanita hamil tersebut juga tidak boleh makan pucuk paku kerana susu badan akan menjadi  masam.

·     Haiwan buruan yang dibunuh di dalam hutan tidak boleh diberikan kepada wanita hamil kerana diyakini anak dalam kandungan akan melecur seluruh badan.

 

    Larangan ini juga tidak terhad kepada wanita hamil tersebut sahaja, malah si suami juga dikehendaki menjauhi beberapa perkara:-

·       Si suami tidak boleh memotong kayu yang bertindan atau memakan ikan pari kerana dikhuatiri bibir anak akan menjadi sumbing.

·        Si suami juga tidak boleh mengecat kerana dikhuatiri anak di dalam kandungan akan diiringi minyak.

·       Sekiranya terdapat sebarang kematian, si suami tidak boleh melihat kerana anak di dalam kandungan akan mendapat penyakit.

·        Suami juga tidak boleh memotong akar temalet kerana anak akan meninggal dunia tanpa sebab.

·  Semasa mengandung juga wanita tersebut tidak boleh ditakut-takutkan kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak dalam kandungan cacat ataupun gugur.

    Apabila si ibu melahirkan anak, orang kampung dan saudara mara akan datang melawat. Mereka lazimnya akan membawa hadiah bersama. Masyarakat Melanau juga dilarang daripada memuji bayi yang baru dilahirkan. Sebaliknya mereka lebih senang jika bayi itu dikatakan hodoh dan sebagainya.

 

    Perkahwinan dalam masyarakat Melanau mengandungi beberapa istiadat yang sangat diambil berat kerana implikasi sosial yang terdapat padanya. Aspek pangkat dititikberatkan dalam institusi perkahwinan berbanding dengan institusi yang lain. Masyarakat Melanau juga begitu mementingkan status sosial mereka iaitu sembilan pikul, tujuh pikul, tujuh betirih dan lima betirih. Jenis barangan dan hadiah yang perlu dibawa untuk "Tanda tunang" dan barang yang mengiringi mas kahwin seperti "Adat Menuga", "Adet Mebin" dan "Pakan" juga dikira berdasarkan status sosial ini. Namun begitu, asas adat perkahwinan adalah sama seperti masyarakat lain iaitu merisik, meminang dan majlis perkahwinan.

 

    Di kalangan masyarakat Melanau, perkahwinan antara pasangan daripada status sosial yang sama dikenali dengan 'sama gara'. Perkahwinan antara pasangan yang berlainan status sosialnya dikenali sebagai 'sida adat'. Wakil pihak lelaki mengunjungi rumah keluarga perempuan untuk mengetahui lebih lanjut dan memastikan status sosial keluarga perempuan dan untuk menentukan sama ada gadis itu sudah berpunya atau belum. Sekiranya gadis itu belum berpunya, ditanyakan sama ada gadis itu boleh dipinang ataupun tidak serta mas kahwinnya.

 

    Pada hari yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak keluarga lelaki dan perempuan, maka diadakanlah adat tanda tunang, wakil keluarga lelaki, iaitu beberapa orang lelaki dan perempuan yang telah berumur akan menyerahkan barang hantaran peminangan iaitu sebentuk cincin emas, sebilah senjata, segantang padi, sebiji kelapa dan satu pikul barang tembaga. Dengan penyerahan barang tersebut oleh wakil keluarga lelaki dan diterima oleh wakil keluarga perempuan maka rasmilah pertunangan itu. Kedua-dua pihak hendaklah mematuhi segala syarat yang telah dipersetujui bersama. Jika persetujuan dilanggar, pertunangan boleh diputuskan. Sekiranya pihak perempuan yang memutuskannya, barang tanda tunang mesti dikembalikan kepada pihak lelaki tetapi jika pihak lelaki yang memutuskannya, tanda tunang itu menjadi milik pihak perempuan.

 

Bangsa Sembilan Pikul

    Oleh kerana masyarakat Melanau mempunyai beberapa golongan, terdapat beberapa peraturan yang mesti diikuti oleh setiap golongan. Bagi golongan Sembilan Pikul (dalam sama gara) wakil pemuda akan mengunjungi pihak perempuan dan mengemukakan cadangan peminangan dan membawa adat (bertanyakan pangkat, mas kahwin pihak perempuan). Setelah perbincangan dan mendapat persetujuan pihak pemuda akan membawa hadiah sebagai tanda tunang. Bagi golongan Sembilan Pikul wakil lelaki perlu mengunjungi pihak perempuan dengan bertanyakan pangkat/tuntutan. Pada masa yang sama pemberian bagi golongan Sembilan Pikul adalah seperti berikut:

    Tempoh penghantaran barang-barang ini dan perkahwinan dinamakan "Tarikh Tunang". Dalam masa itu jika pihak lelaki yang memutuskan pertunangan, semua barangan akan menjadi milik perempuan. Jika sebaliknya perempuan pula yang akan membalas sekali ganda.

    Semasa bertunang, golongan Tujuh Pikul perlu menyediakan pelbagai jenis barangan sebagai tanda tunang. Antara barang-barang tanda adalah sebentuk cincin emas diletakkan ke puran. Kemudian segantang padi diletakkan ke dalam bekas segamut dan ditudung. Sebiji kelapa diletakkan di dalam bukut dan ditudung juga.

 

    Majlis perkahwinan diadakan secara besar-besaran kecuali perkahwinan jenis "Peramas" iaitu perkahwinan kerana ditangkap basah. Bakal pengantin lelaki dikehendaki menyerahkan hadiah mas kahwin iaitu "Penyekab" dan "Berian" dan hadiah lain seperti "Adat Menuga", "Adat Mebin" dan "Pakan" sehari sebelum majlis itu diadakan. Penyerahan ini disusul dengan acara pernikahan. Pernikahan boleh juga diadakan pada pagi keesokannya iaitu pada hari diadakan majlis perkahwinan. Kenduri perkahwinan diadakan di rumah kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang dihadiri oleh sanak saudara, jiran dan sahabat handai.

    Kemuncak acara majlis ialah persandingan yang biasanya diadakan pada tengah hari. Persandingan pertama diadakan di rumah pengantin lelaki dan ini diikuti dengan persandingan kedua di rumah pengantin perempuan. Pada hari yang ditetapkan, bakal pengantin perempuan bersama-sama rombongan keluarganya pergi ke rumah pengantin lelaki. Ketibaan mereka disambut oleh keluarga pengantin lelaki. Wakil keluarga pengantin lelaki akan menghadiahkan 'adat pahe' kepada pengantin perernpuan. Penyerahan hadiah ini sangat penting kerana selagi pengantin perempuan belum menerima hadiah tersebut, dia dilarang memakan sebarang makanan di rumah pengantin lelaki itu.

    Selesai bersanding di rumah pengantin lelaki, diadakan pula persandingan di rumah pengantin perempuan untuk menjalani "Adat Petudui" iaitu penyerahan pelbagai barang, antaranya termasuklah sebentuk cincin emas dan seutas gelang perak oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Semasa menjalani adat ini, kedua-dua pengantin dikenakan pelbagai pantang larang, misalnya tidak boleh mandi di sungai dan tidak boleh tidur pada waktu siang.

    Pada sebelah malam, di rumah pengantin perempuan diadakan pula upacara makan nasi temuan. Semasa jamuan berlangsung upacara suap-menyuap antara kedua-dua pengantin itu dilakukan. Selepas itu, diadakan pula upacara "Pegendang", iaitu tari-menari. Hadirin dijemput untuk ikut serta tetapi pasangannya mestilah daripada kaum sejenis yakni lelaki berpasangan sesama lelaki dan perempuan dengan perempuan. Mereka menari hingga larut malam. Pada hari ketujuh, diadakan upacara membebaskan mereka daripada pantang yang dikenakan. Upacara membuang pantang ini juga bertujuan untuk membuang ke laut segala bala atau bencana yang mungkin mengancam pasangan suami isteri itu. Upacara ini sebenarnya lebih merupakan upacara bersukaria dan mandi-manda beramai-ramai di tepi pantai.

 

                                                    

Pasangan selepas berkahwin

 

 

 

 

 

    Bagi masyarakat Bidayuh, perkahwinan ialah satu cara untuk menjadi anggota sesebuah "Biik" atau "Ramin" dan menikmati hak sebagai anggota "Biik" atau "Ramin" itu. Masyarakat Bidayuh mengamalkan monogami sahaja. Namun demikian, perkahwinan semula selepas penceraian ialah satu perkara biasa. Oleh sebab larangan yang kuat terhadap "Inses", perkahwinan luar daripada keluarga sendiri ialah peraturan penting dalam masyarakat tensebut.Masyarakat Bidayuh juga melarang perkahwinan antara sepupu.

    Kumpulan seperti Dayak Selako melarang ahlinya daripada berkahwin dengan anggota kaum yang pernah menjadi musuh perang mereka kerana khuatir akan termakan sumpah namun kerana sudah berlaku perkahwinan yang pertama antara nenek datuk rnereka dengan keturunan bekas musuh rnereka, maka larangan tersebut mansuh. Di kalangan kumpulan Dayak Bukar-Sadong, peraturan tentang perkahwinan agak longgar. Lelaki dan perempuan boleh bebas bergaul dan berkenalan antara satu dengan lain sebelum mereka berkahwin. Pihak lelaki dibenarkan menemui perempuan yang disukainya di rumah perempuan secara sulit pada waktu malam selagi perempuan itu membenarkannya. Tetapi pihak perempuan juga inginkan kesungguhan daripada pihak lelaki yang mengunjunginya.

 

    Dalam masyarakat ini, tidak ada upacara merisik. Perkahwinan biasa berlaku apabila seseorang sudah cukup dewasa dan memilih pasangan hidup. Sebagai petani, bakal mentua inginkan calon suami yang boleh bekerja di kebun lada mahupun bertanam padi. Mereka juga mengharapkan calon menantu lelakinya berpekerjaan tetap dengan kerajaan atau swasta supaya kehidupan anak dan keturunannya terjamin. Kecuali perkahwinan yang terlarang, masyarakat Bidayuh bersikap terbuka terhadap pilihan anak-anak mereka. Dalam kumpulan Bukar-Sadong dan kumpulan Selako, mereka dibenarkan untuk memilih pasangan yang disukainya tanpa mengira asal kaum.

 

    Cara perkahwinan dilakukan berbeza mengikut kumpulan. Dalam kumpulan seperti Selako, Jagoi dan Lara, perkahwinan boleh didahului dengan pertunangan. Pertunangan ditandai dengan pertukaran cincin antara kedua-dua belah pihak. Andai kata pasangan itu merasakan mereka secocok, perkahwinan boleh dilangsungkan kemudian.

 

 

    Majlis perkahwinan yang diadakan sangat bergantung pada kemampuan ekonomi keluarga pengantin. Dalam masyarakat Bidayuh, pilihan tempat tinggal selepas berkahwin bergantung pada banyak faktor. Faktor utama ialah kedudukan ekonomi pasangan yang berkahwin. Pihak suami yang berada dan berkedudukan boleh mempengaruhi pihak isteri untuk tinggal bersama-sama keluarganya (Amalan Virilokal) dan begitulah sebaliknya (Uksorilokal). Dalam keadaan perkahwinan suami isteri sudah stabil, mereka boleh duduk di rumah sendiri (Amalan Neolokal).

    Kumpulan Dayak Selako melarang pengaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Perkahwinan boleh berlaku secara 'terpaksa' melalui amalan yang dikenal sebagai "Batangkap". Ini merupakan amalan apabila pasangan lelaki dan perempuan yang kerap dilihat berdua-duaan boleh dihadapkan kepada para pemimpin kampung supaya tindakan dapat diambil. Mereka yang ditangkap bersetuju untuk berkahwin setelah dibicarakan oleh pemimpin serta penduduk kampung supaya hubungan mereka sebagai suami isteri boleh disahkan dengan mengadakan sedikit upacara setelah denda atas kesalahan rnereka telah dijelaskan. Amalan Batangkap dilakukan atas pasangan yang menghadapi tentangan daripada ibu bapa.

    Satu lagi cara melangsungkan perkahwinan adalah melalui amalan "Nyagam", apabila bakal suami dihantar bersama-sama segala tikar bantalnya ke kediaman bakal isteri setelah mendapat persetujuan daripada pihak perempuan. Biasanya lelaki yang memilih untuk berkahwin cara demikian ialah seorang duda atau balu.

    Perkahwinan yang sempurna mengikut pandangan suku Selako, Jagoi dan Lara ialah perkahwinan yang melibatkan pengetahuan, peranan dan perancangan oleh ibu bapa kedua-dua belah pihak. Perkahwinan juga mungkin melibatkan peranan orang perantaraan atau dikenal sebagai "Picara" dikalangan masyarakat Selako untuk mewakili pihak lelaki. Setelah semua pihak bersetuju, hari dan masa yang sesuai akan ditetapkan.

 

 

                          *ETNIK-ETNIK LAIN YANG TERDAPAT DI SARAWAK:-

·   Iban

·   Penan

·   Punan

·   Ulu

·   Kelabit

·   Kenyah

·   Kayan