MARISSA @ MERDEKA

 

 

 

“SAYA ingin bebas, kanda”

Astaghfirullah. Kata-kata Marissa, isteri saya, beberapa hari lalu itu sebenarnya cukup membuat saya jadi sedat. Pada mula. Apa tidaknya. Begitu punggung Marissa mendarat di kerusi kereta ketika saya menjemputnya dari pejabat, itu yang diucapkan. Bergetar sungguh fikir lelaki saya. Sama getarnya dengan jalur  gemilang yang disambar pawana petang; sempat saya lihat di hadapan bangunan masuk fakulti tempat Marissa bertugas. Entah di mana silapnya saya sebagai suami atau nanarnya jiwa Marissa.

 

            Kata-kata Marissa yang pendek itu cukup membuat saya jadi libang-libu. Marissa, seorang isteri yang baik. Sebelum-sebelum ini sewaktu menjemputnya sebaik tangan yang disambutkucup, sebaris senyum akan dihadiahkan buat saya. Tapi petang itu tidak begitu. Apa yang saya tahu kami cukup bahagia, lebih-lebih lagi dengan diri biologis Marissa yang sedang berbadan dua.

 

            Tetapi sebenarnya apa yang terjadi di sebalik itu. Ah, atau bagaimana jika saya mulakan kisah Marissa, isteri saya itu dengan baris-baris puisi pendek yang saya terima terselit di saku e-melnya buat saya pagi ini (saudara tidak tahu, betapa setiap pagi, buat saya ada saja baris-baris ucap cinta di lama e-mel saya daripada Marissa!).

 

            Nah, begini e-mel Marissa,

 

                        Kanda,

Ini puisi Leonid Zavalniuk yang berjudul “Maka Tuhan Bertanya”, antaranya berbunyi,

-         Engkau mahu apa? Boleh saya berikan

-         Apa sahaja?

-         Apa sahaja.

Kanda, maka diberi Tuhan akan segalanya. Kemudian diseru dengan suara hati cemburu. Tuhanku, tolong berikan saya apa yang dimiliki orang yang tidak berada! Jawab Tuhan, ini bukan hak saya. Mintalah kepada mereka.

                        Kanda, saya menangis. Rendahnya diri manusia itu sebenarnya!

           

            Saya dapat membayangkan betapa air jernih mula bergenang di daerah kecil mata coklat milik Marrisa. Lalu dengan perlahan-lahan jatuh pula di tebing pipi Marissa yang putih. Setahu saya Merissa merupakan perempuan yang cukup akrab dengan air mata; kehidupan awalnya begitulah. Cukup sarat dengan airmata. Inilah fragmen-fragmen kisah isteri saya.

 

Kisah I

 

“Saya kecewa, Kanda. Makna diri yang sewajarnya punya rasa bebas, rasa merdeka, tiba-tiba diragut hebat. Saya tidak lagi mengerti sebenarnya. Fakulti menerima surat daripada panel, sub persembahan teater tradisional sempena Hari Merdeka negara saya diarah dihentikan serta merta. Saya dikata membaurkacau seni lama – hanya itu sesungguhnya. Kanda, sayan masih berpegang pada harison kepercayaan lalu dan langsung mentakrif dengan segala yang terjadi pada hari ini. Makna negara yang sedang memanjat multi dalam segala-gala, mesra dalam bersaudara, yakin dalam pelbagai dimensi iklim dan suasana, dan apa lagi? Segalanya ingin saya rakamkan sebagai apresiasi dalam pecah cerita. Lewatnya juga ingin saya tempelkan sama cerita Dewa Multi yang berjaya membawa puranya ke puncak alam. Tetapi sebaliknya saya hilang rasa merdeka untuk berkarya! Atau adakah sebagai seorang yang asing daripada mandala seni lama milik khazanah bangsa Kanda, kebebasan saya itu diragut hebat? Hah!”

 

            Dan saya kian tersaring rasa hilang bebas Marissa apabila sekarang ini saya sedang menantinya di luar kamar Maternity. Di sisi siku lorong hospital persendirian ini, saya ditemani suara Marissa yang sejak akhir-akhir ini begitu menganggu sebenarnya. Dan suara itu malangnya sedikit mengganggu kandungan Marissa. Semoga segalanya selamat, pinta saya.

 

            Rupa-rupanya pada kesempatan inilah saya kian menyeluk dalam rasa hilang bebas isteri Marissa. Saya tahu, ia bukan hanya bermula dari penafian bikinan teater tradisionalnya itu. Segala-gala bermula sejak dahulu. Ya, sejak dahulu di negara asal Marissa. Ah, saya terlalu menyelak-nyelak sejarah. Namun fikir saya ia terlalu perlu untuk tahu mengapa Marissa begitu. Mengapa isteri saya itu agak mengocak rutin perasaan dan fikir saya, suaminya.

 

Kisah II

 

“Daerah kelahiran saya tumpah di bumi yang turut menjadi milik Maxim Gorky, Vladimir Mayakovsky atau Alexender Solzhenitsyn.” Suara Marissa buat pertama kalinya saya dengar. Ia kurang lebih setahun lalu, sewaktu saya dihantar fakulti member kuliah singkat dua minggu di Univerisiti Linguistik negara asal Marissa. “Saya ingin sekali melihat tuntutan terhadap keresahan serta harapan rakyat dimerdekakan. Lewat “Universitasku” dan “Ibunda”, Gorky dalam Tales of Italy begitu menggetarkan suara hati bebas”.

 

            “Kehidupan kami yang awal begitu menjernihkan. Di daerah pengungsian Stalingrad, papa menjadi buruh di ladang koleltif dan lombong arang batu di Donbass. Malangnya selepas itu untuk menyelamat maruah negara, papa terkorban sewaktu menjadi tentera di Timur Jauh. Hah, begitulah harga kebebasan buat kami. Begitulah harga diri manusia buat kami. Segalanya bagitu dituntut. Segalanya menjadi wajar diturut.”

 

            “Saya insaf. Betapa setiap manusia itu memiliki makna dirinya sediri. Begitu dia keluar dari kantung peribadi ibunya setelah kurang lebih sembilan bulan akrab bergantung, dia memerlukan dirinya sendiri. Setiap inci janjinya kepada Tuhan sebelum ini dengan tag nama diri sebagai nutfah, ‘alaqah dan mudghah, hah, perlu saja membikin diri serta nurani yang fasih kemudiannya dengan tag nama baru “merdeka” dan “kita serupa”. Masih ingat kita semua dibikin daripada nutfah. Hello, kita serupa, kan? Dan atas tag itu juga kemerdekaan tidak perlu dipersiakan, sehingga makna diri manusianya tergadai dengan harga yang amat murah.”

 

            Serentak itu, saya turun menyenangi jiwa bebas yang Marissa harap-harapkan. Segala inci sejarah awal kehidupan Marissa dan keluarganya begitu membuat saya sedar. Penjajahan jiawa dan fikiran sesungguhnya akan terus berentetan sehingga bila-bila selagi jiwa bebas alias merdeka itu yang kita cicirkan dari saku peribadi yang sebenarnya selama ini rabak, selama ini koyak. Saya tersedak. Ah, selama ini terlalu banyak yang saya ketepikan. Orak-arik pengorabanan kemerdekaan negara kelahiran saya, begitu jarang diperhatikan. Begitu jarang memberi kesan.

 

            Dan genap dua minggu usia mengenali Marissa, akhirnya Marissa Gabrielian Abdullah bersama saya pulang ke Malaysia.

 

 

Kisah III

 

“Kanda, saya ingin bebas. Merdeka. Dan saya selalu berdoa kepada Tuhan agar zuriat kita turut dibikin dengan siratan kapilari kebebasan sempena kelahirannya pada merdeka. Agar dia dapat memaknakan hidup ini sebagai hamba hanya kepada Tuhannya. Dan kemudian daripada itu hidupnya sebagai manusia merdeka tidak dipersiakan dengan menjadi manusia peminta tanpa dapat memberi apa-apa kepada Tuhan, negara dan bangsanya. Amin.”

 

            Wahai, isteriku Marissa, semoga ia menjadi sesutu yang terbaik buat ahli keluarga baru ini. Saya sering mengusapsayang rasa pada kandungan Marissa yang sebulan dua ini genap usia ranumnya. Namun saya segara teringat kata-kata ibu saya, sebaik saja ibu mengetahui Marissa terlibat dalam pembikinan sub persembahan Hari Merdeka itu.

 

            “Buka panggung, jangan lupa. Pesan Ibu untuk Marissa. Penggawa perlu dimohon izin. Semoga semuanya selamat.”

 

            Saya senyum bahagia.

            Marissa juga mengerti betapa konotasi penggawa yang dimaksudkan ibu itu ialah tidak lain hanya Allah yang Maha Besar. Bukan yang lain daripada itu. Ya.Allhu Akhbar!

 

Kisah IV

 

“Lagu Bertabuh diikuti dengan Betabik akan cukup harmoni diadun untuk membuka lawang acara. Di hadapan rebab bersama gendang ibu, gendang anak, tatawak, canang, serunai dan kesi, Sang Pak Yong Turun akan mengiringi gendang yang menukar suasana. Mengadap Rebab kemudiannya akan turut dilanjutkan dalam pecah cerita, peran muda turut di sisi penggesek rebab.”

 

            “Kanda, cerita diadun begitu mesra seperti bersatunya bumbu persembahan bertih, beras kunyit, tifa piak sirih pinang, air bunga melur. Alangkah indah melihat secara halus dan berseni kehidupan manusia multi negara kita yang tidak pernah lalai menghargai jiwa merdeka merdeka.”

 

            Begitulah menurut Marissa, acara itu kan dipersembahkan sehingga tutup panggung. Saya dengan sedikit sesu, persis ingin mencium pankal dahi Marissa yang selalu terasa dingin walau dialas selendang milik jiwa merdekanya. Ah Marissa!