Al Kahf
oleh Mawar Shafei
FIKIRKU masih jatuh pada perisian Exploration 96 World Atlas.
Melalui Find, aku cuba untuk mengkotak-kotakkan beberapa kawasan gurun - gurun panas, gurun hawa sederhana, gurun sejuk-tundra: Atacama, Thor, Patagonia, Namib, Gobi .... Di dada monitor berCPU 486/33, aku dapat mempetiakan pemaparan beberapa arca: Sepertiga daripada peta dunia yang menjuakkan mandala kontang atau separa kontang. Kekontangan: Satu fenomena pada putaran atmosfera di atas bumi yang berputar.
Kekontangan satu fenomena
kekeringan, kegersangan, ketandusan, kehausan,
kedekadenan dan lantas kehilangan akan sebuah makna yang lazim. Yang
wajar. Kerpasan tidak mencapai kemaujudannya dengan tekanan tinggi pada latitud
30 darjah begini. Begitu juga dengan yojana yang melebar dari
garis pinggir laut berserta hambatan ketinggian perbukitan dan pergunungan.
Kekontangan merupakan suatu yang
kedekadenan!
Aku menoleh muka bulat Chris Lauren di pergelangan tangan kiri.
Ho, ho! Suku minit jam tujuh. Hah, di luar sana hari kian nampak berbalam. Aku lewat sudah untuk mengambil bas jam 6.30 seperti biasa. Ada debar yang tiba-tiba menghenyak dada. Aku lewat sekali. Namun beberapa buku yang bersepah di dada meja masih sempat kusatukan di pojok kiri. Ada beberapa tajuk buku yang sempat dijamah mata: Tropical Climatology Nieuwolt, Weather and Climate Woodcock dan Physical Geography tebal Strahler.
Beberapa helai kertas pula kusumbatkan ke dalam mulut beg kanvas yang tersandar di tepi meja kerjaku. Mataku mengitari ruang pejabat yang sudah lama dikosongkan sejak jam empat tadi. Aku hela nafas yang bertali. Setelah mematikan suis monitor dan CPU, aku bangkit. Menyangkut beg tangan hitam di bahu kiri dan tangan kanan menjinjit beg kanvas yang mengandung kertas dan fail.
Begitu aku melepasi punca suis elektrik, aku lantas memetikmati lampu dan alat hawa dingin jenis Eco Cool 1263. Segala-galanya bertukar zulmat. Dengan bantuan sedikit cahaya hari yang kian nampak berbalam dan samar-samar dari tingkap-tingkap kaca yang terdedah, aku mencongak langkah arah ke anak-anak tangga. Pun belum sempat tanganku memegang besi tangga,
“Allah!”
* * *
Aku cuba untuk melebarkan mata. Aku cuba untuk mendepakan telinga (yang mungkin selama ini begitu sempit, begitu terhimpit).
Di mana aku?
Serasa agak sukar untuk kugerakkan fikir yang persis dihempap berat. Setelah dapat menyandarkan belakangku pada dinding yang sedikit berlekuk, aku mula menoleh ke kiri dan kanan. Zulmat. Sebahagian mandala ini beratapkan beberapa unjuran semacam stalagtit. Aku menghela nafas yang bertali. Beberapa laluan O2 cuba kukutip lantas menjadikan nafas yang mula beruntaian.Tapak tanganku masih melekat pada lantai yang sejuk dan sedikit berpasir. Baru aku sedari betapa aku sedang berada di kepala sebuah lorong kecil.
Di hujung lorong ini semacam ternampak sebuah lagi lorong untuk ke kanan. Dalam zulmat ini sebenarnya aku masih dibantu oleh sedikit cahaya yang disedari datang dari dalam mataku sendiri (ajaib, kan?!). Justeru itu akhirnya aku dapat berdiri dan mencipta beberapa tapak ke arah lorong untuk ke kanan itu. Tapi rupanya ia masih jauh, di hujung sana. Aku mengah dan mula berhenti di sini.
Di sini cuba kustrukturkan kemaujudan beberapa batuannya. Proses exfoliation1 kufikirkan mengakibatkan pecahan dan serpihan jisim batuan di daerah ini. Apalagi dengan juakan suhu pada 30 darjah siangnya dan malamnya 20 darjah - pasti saja menggiatcepat peleraian strukturnya yang kuandaikan selama ini ampuh. Ia sinonim dengan kajian yang sedang kujalankan menerusi penelitian pada perisian Exploration 96 World Atlas seminggu ini. Peleraian lantas memaujudkan mandala sebegini. Proses kelupasan ini lebih kerap berlaku pada mandala berbatuan igneus jalar dalam seperti granit dan gneis.
“Pernah anti fikir betapa proses kelupasan itu turut seperti kelupasan lapisan demi lapisan iman dan kemanusiaan?”
Aku terketar.
Siapa pula si lelaki berjubah gelap ini. Dari mana munculnya. Gerangan apa dia di sini - di mandala proses kelupasan yang agak memirukkan ini. Perlahan-lahan aku menarik tudung putih yang tersangkut di kepala agar lebih kemas. Lebih menutup harga diri wanitaku.
“Jangan gusar. Ana seperti anti, turut mengkaji struktur pengukuhan dan pengampuhan akibat proses kelupasan. Lihat ni,” lelaki berjubah gelap itu menekan sesuatu pada dada papan kekunci CeraNote Light 350PC, notebook. Wah, eksklusif! Dalam gua tertutup ini, aku bertemu dengan seorang lelaki berjubah panjang berurna gelap bersama notebooknya!
Aku
sedikit mendongak ke arah skrin putih yang ditunjuk oleh lelaki berjubah gelap
itu. Beberapa figura yang agak akrab, pantulan dari monitor terpamer di dada
layar. “Granular disintergration process2 ?” Aku menoleh ke arahnya. Lelaki
berjubah gelap mengangguk sambil tersenyum,
“Na’am....”
“Saudara geologist juga?’
“Na’am,” suara lelaki berjubah labuh itu bergetar, “Ana, membuat kerja bandingan. Bumi, alam dengan diri manusia.” Wah, menarik itu! Aku menghampirkan diri dengan skrin putih. Segalanya nampak jelas daripada sebelumnya. Beberapa anak panah mengufuk kepada contoh batu konglomerat dari jisim yang padat dan keras. Akhirnya melalui granular disintergration, ia mula pecah dan terlerai kepada butiran batuan yang lebih halus. Kemudiannya sekali lagi lelaki berjubah gelap itu menekan dada papan kekunci.
Kali ini lebih berupa semacam sidang antara jaringan. Aku dapat melihat penularan pembentukan peta dunia pada dada skrin monitor. Beberapa lokasi ditinta merah. Melalui heli-view dipaparkan beberapa peristiwa yang sedang berloncatan. Ada resah. Ada mengah. Ada sesuatu yang membuat aku jadi begitu. Sesuatu yang membuat fikirku jadi begitu tidak menentu. Aku membetulkan letak duduk Monde Exclusive yang jatuh sedikit di hujung hidung agar dapat memperjelas segalanya.
“Anti sedar apa yang sedang berlaku di sini sekarang ini?”
Lelaki berjubah urna gelap itu mengarah satu daerah di bahagian sedikit utara dari Grenada, Dominica, Barbados dan St Lucia. Hah? Kenapa pula dengan daerah pulau kecil tu? Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Apa? Ho, ho kisah si dajal yang hendak menyerang? Kisah si dajal yang hendak mempertahankan fahaman demokrasi dan kebebasan rakyatnya?
“Ya tentang proses kelupasan akan makna kemanusiaan serta kedekadenan makna redha dengan apa yang ada. Semua itu telah hilang dari mata, hati dan fikiran mereka. Kerakusan untuk mendapatkan kuasa terus gencar di setiap inci kapilari darah dan nafsu mereka. Kau tahu bukan, betapa di sini pula,” lelaki berjubah gelap memfokus pada sebuah lagi lokasi merah yang lain: Kira-kira di sekitar wilayah Hakkari dan daerah sempadan utara sebuah negara di tengah-tengah negara-negara lain.
“51 pemberontak Kurdis dibunuh oleh tentera tetangga baru-baru ini. Malah sejak kempen kemerdekaan PKK (Parti Pekerja Kurdistan) kurang lebih sedekad lalu, 19 000 nyawa dengan murahnya tergadai.”
Aku kembali menghantar pandangan ke arah hujung lorong ini, sebuah lorong untuk ke kanan. Masih basah petikan dari sebuah buku Hemingway yang pernah dipinjam oleh seorang rakan penulis di pejabat, why they did make the birds so delicate and fine as those sea swallows when the ocean can be so cruel. Dari siratan pengalaman dan sejarah yang sempat kubongkar, proses exfoliation memang sentiasa menjadi agenda zaman. Proses kelupasan akan sentiasa berjukstaposisi dengan rentetan sejarah manusia sejagat. Seperti cerita lelaki berjubah gelap ini, beberapa kasur di sana sini. Wah, kekontangan merupakan suatu yang kedekadenan rupanya!
“Malah aku fikir sebenarnya proses kelupasan itu turut berlaku dalam diri, dalam diri manusia secara peribadi, betul?” Aku menyua tanya separuh menduga. Lelaki berjubah gelap kupetiakan mengangguk bersungguh-sungguh. “Betul, betul. Ana turut bersetuju dengan pendapat anti. Malah dalam diri merupakan garis mulanya.”
Aku kembali melihat diri.
Aku kembali melihat berlakunya proses kelupasan dalam fikir dan pertimbangan. Begitu ramah mata lelaki berjubah urna gelap yang kini kian mendasari fikiranku. Begitu pantas pertimbanganku melompat lantas mengembangkan keraguanku.
“Aku manusia yang kerap hilang akan makna diri, kau tahu? Aku kerap kenanaran akibat keciciran rasa syukur atas segala yang kuperolehi. Atau, entahlah, aku sebenarnya sudah kehilangan makna syukurlillah, hilang sudah makna redha dengan apa yang dikurniakan buatku.”
“Ana fikir itu satu yang lazim buat seorang yang bergelar manusia biasa. Kerap kufur nikmat. Kerap tidak bersyukur.”
Aku tersentak.
Cepat kurapatkan vest bila kudapati tiba-tiba ada angin liar (di lorong tertutup ini? ) yang menggigit epidermis kewarasanku. Astagfirullah al azim...astagfirulah al azim...astagfirullah al azim... sudah jauh aku kelewaran. Sudah entah ke mana aku kesasar. Entah! Benar, kekontangan merupakan suatu yang kedekadenan!
Aku kembali menyelak ingatan pada kajianku seminggu ini.
Bukankah proses kelupasan memaujudkan kepada pembentukan monolit3 yang berpermukaan bujur dan bulat seperti Stone Mountain di Georgia dan Half Dome di Yosemite. Malah penghasilan kaolinit dan andesit (berupa tor yang bulat dan tertonjol dari horison ) turut merupakan kerja-kerja kelupasan. Wah, justeru itu proses kelupasan tidak saja berhenti di takat pengelupasannya saja malah lebih daripada itu memaujudkan sesuatu yang baru.
“Ho, ho tolong jangan cuba kata yang hilangnya makna diri dan kewarasanku akan membuahkan sesuatu yang lain pula, wahai lelaki berjubah gelap!” Tiba-tiba suaraku berketar antara gelombang bunyi di daerah gua yang tertutup ini. Aku begitu terkasima yang amat dahsyat apabila dengan tiba-tiba lelaki berjubah gelap meledakkan ketawa besarnya. Dan perlahan-lahan kemudiannya aku rasa kecil. Kian kecil. Aku rasa begitu direngsa.
“Pasti saja akibat proses kelupasan itu akan mengakibatkan monolit, kaolinit dan andesit. Pastinya begitu. Fitrahnya begitu wahai saudaraku!” Cis, dia ketawa lagi! Sampai hati lelaki berjubah gelap itu. Rasanya aku hampir saja hendak menangis. Atau sebenarnya aku turut sedang mengalami proses kelupasan: Mudah kelupasan epidermis akan makna keampuhan dan swadaya yang sewajarnya terus berada di fikir dan bukan di dasar katih yang mudah dilari-larikan ke sini dan ke sana!
Wahai Tuhan, tolong berikan kekuatan yang kian perlina dari simpanan kantung kewarasan dan keimananku! Tolong Tuhan. Kurniakan aku sebuah kekuatan baru. Gencarkanlah doa yang sering kusuji di cindai Iradah-Mu (yang aku tahu begitu lembut namun meyakinkanku betapa kau menerimanya): Kekalkanlah kebaikan dalam diriku sebagaiman Engkau kekalkan ia dalam setiap hati hamba-Mu yang kau inginkan. Gencarkanlah ia wahai Tuhan! Gencarkanlah! Aku tidak mahu aku diistidrajkan dengan segala macam kemaujudan yang penuh narawastu yang mengalpakan tetapi sebenarnya di dasar kemaujudan itu penuh dengan kebusukan dan kejijikan yang maha jelik!
“Aku tidak mahu dihinggapi kebobrokan. Tolong, aku tidak mahu akibat kekecewaan itu aku berwajah baru: Penuh garis kesumat, benci, dengki dan segala yang buruk. Cukuplah aku redha dengan segala ketentuan Tuhan buatku. Biar, aku mahu mula belajar erti terima kasih, erti bersyukur, erti cukup pada apa yang diberikan.”
Persis dihantar apa yang sedang berkelewaran di fikiran, lelaki berjubah urna gelap untuk sekian kali menekan dada papankunci CeraNote Light 350PCnya. Aku perlahan-lahan menyeka sedikit air suam yang kian kering di kedua-dua pipiku; yang entah bila menjadi sebahagian daripada kekalutan alias kenanaranku.
“Di sinilah,” lelaki berjubah urna gelap memfokus satu lokasi yang begitu akrab dengan daerah kajian kekontanganku, di sebuah negara besar yang dirintangi oleh garisan tropic of cancer (23° U), “tertinta di lembaran sejarah dua orang hamba Tuhan yang redha menghadapi kekejaman puak musyrikin Quraisy. Berhijrah melewati Gua Thur begitu merengsa diri dan fikiran seorang daripada mereka. Keresahan dan kenanaran takut diketahui musuh sering menghimpit.”
“Sehinggakan, anti tahu apa yang dikatakan oleh seorang sahabat yang satu lagi? Apakah yang menggelisahkanmu, bukankah Tuhan menemani kita? Jangan engkau berdukacita, sesungguhnya Tuhan bersama kita. Tuhan menurunkan ketenangan-Nya....” Lelaki berjubah gelap bersuara perlahan.
Aku terlongo.
Bukankah itu sebuah kisah agung? Bukankah itu sebuah kisah pengorbanan? Bukankah itu sebuah kisah keredhaan atas apa juga ketentuan yang Tuhan kurniakan.
“Bukankah itu kisah besar penghijrahan Rasulullah dan Saidina Abu Bakar yang singgah di Gua Thur untuk ke Madinah? Bukankah di ketika itu juga terselit sebuah cerita pengorbanan Ali yang menggadai nyawa untuk Rasulullah tercinta? Bukankah ia sebuah cerita sawang labah-labah yang turut membantu mereka? Itulah kisah... exfoliation; mengelupasnya rasa takut, resah dan kecil kepada suatu kemaujudan baru: Berani, tenang dan yakin pada sebarang ketentuan Tuhan. Sebuah lagi kasus kelupasan? Ho, ho kelupasan ...granular disintergration process?”
Ho,
ho kekontangan sebenarnya bukan mer upakan sebuah kedekadenan! Dan aku kian
nampak dengan jelas betapa ada lorong untuk ke kanan. Aku akan ke sana! Ya!
* * *
“Allah!”
Aku pantas berpaut pada besi tangga.
Serasa mukaku dan sebahagian tangan dilekap oleh sesuatu yang merengsa. Ada sesuatu yang persis melekat di sini sana. Dalam suasana yang sudah zulmat (namun ada sedikit cahaya lampu di luar bangunan pejabat yang nampak berbalam dan samar-samar dari tingkap-tingkap kaca yang terdedah), aku terketar.
Mana lelaki berjubah urna gelap?
Aku seorang di sini? Tapi bagaimana dengan proses kelupasan atau granular disintergration? Rasulullah dan Saidina Abu Bakar? Kekontangan dan kedekadenan? Atau sebenarnya aku seorang di sini? Dalam berbalam itu aku menguis sesuatu yang melekat di muka dan tangan. Selaput halus?
Aku menoleh sekilas bila ada angin liar yang datang dari arah belakang, mencuit bahuku. Ho, ho! Aku terkesima. Aku terkesima apabila melihat sawang labah-labah yang terobek di muka anak-anak tangga. Aku terkasima! Ya, ia terobek!
Menanti Subuh, 1997
__________________________
1 Proses kelupasan dalam disiplin geografi fizikal.
2 Proses penyepaian granul, satu proses yang melibatkan pecahan atau relaian butir-butir batuan .
3 Monolit, kaolinit dan andesit merupakan batuan yang terhasil akibat proses kelupasan.