Analisis cerpen Dewan Sastera Oktober 2002

 

 

 

Subteks dan Suara dalam Cerpen

Oleh Mawar Shafei

 

 

 

ADA dakwaan berbunyi bahawa sebuah cereka yang baik merupakan hasil kerja antara pengarang dengan khalayaknya. Ia merujuk bagaimana pengarang berkarya dan tindak balas khalayak terhadap cereka itu. Malah ia dikatakan sebuah cereka yang baik jika dapat berdialog antara keduanya. Untaian yang terjalin antara pengarang dengan khalayak itu juga rata-rata merupakan antara indeks yang memberitahu beberapa nuansa yang mencipta sesebuah narasi. Ia mungkin saja pemaknaan dan penghargaan [apresiasi] antara kedua-duanya. Ia mungkin juga termasuk satu ruang yang bersifat implisit,  tidak langsung [indirect] atau halus [subtle]. Ruang eksklusif ini wujud dalam kedua-dua mandala pengarang dan khalayak; menyediakan satu ruang narasi subteks -  ruang yang tidak dapat diucapkan sebaliknya mengalir di dalamnya gumpalan perasaan, kehendak atau saja ideologi. Namun lazimnya melalui pengucapan [tema], ia akhirnya disampaikan juga walau secara tidak langsung.   

 

            Justeru itu subteks itu pula bertalierat dengan “pengucapan” atau “suara” – bunyinya seperti satu metafora dalam cereka. Ia mujarad tetapi pada masa yang sama sesuatu yang konkrit pula.  Subteks dan “suara” ini merupakan gabungan yang membantu khalayak memaknakan sesebuah narasi. Seseorang pengarang pernah dikatakan bukan merupakan pembicara yang lancar; selancar arus kepengarangannya. Maka itu “kehidupan” bagi pengarang lebih bernyawa di atas kertas. Justeru itu  “suara” pengarang  terdengar melalui “suara” watak-wataknya atau memang terkesan “suara” pengarang secara langsung dalam sesebuah karya itu. “Suara” ini bersifat konkrit. Sementara “suara” yang bersifat mujarad pula adalah subteks yang dikatakan berciri  - implisit,  tidak langsung [indirect]  atau  halus [subtle]. Namun “suara mujarad” itu menawarkan nuansa emosi lewat percakapan yang tidak langsung/pelbagai makna, bahasa gerak–geri [body language] atau frekuensi gema “suara” itu sendiri. Melalui empat buah cerpen Dewan Sastera keluaran Oktober 2002, aspek  subteks dan “suara” ini akan cuba diperhalusi.

 

i

Cerpen “Sayang Selasih” dimulakan dengan pertemuan antara Orang Pelarian dengan Aku; pertemuan yang merupakan hampir satu rutin. Mereka bertemu hampir setiap hari jam 5 petang, duduk di bangku taman, tepi muara sungai di satu daerah di Terengganu [berdasarkan latar nama Kampung Seberang Takir dan Sungai Terengganu]. Lewat satu pertemuan tiba-tiba Orang Pelarian berkata, “Aku ternampak kejadian saat-saat akhir di negara aku dulu sedang bermula di sini.” Ia merupakan “suara” awal pengarangnya, Ali Jusoh dan ia merupakan mulanya titik konflik antara dua watak utama cerpen ini. Kenyataan ini juga berperanan untuk menggerakkan keseluruhan cerpen ini. 

 

Rentetan daripada kenyataan itu khalayak  mula diperkenalkan dengan watak Orang Pelarian yang berusia 50 tahun  sebagai mantan pembesar di negara asalnya. Dia menceritakan bagaimana dia bersama tiga ribu rakyat negaranya melarikan diri meninggalkan tanahair mereka sewaktu pemerintahan komunis. Dikisahkan juga bagaimana komunis berpura-pura pada awal kedatangan mereka dengan memperbaiki segala prasarana di pusat ibadah. Malah dinyatakan [hlm. 56-57],

 

“Kebaikan komunis itu bukan  setakat itu sahaja, malah mendaftarkan semua imam, bilal dan guru agama juga. Dilibatkan juga agama lain. Yang menjadi musuh komunis pada masa itu ialah saki-baki tentera lama yang terus diburu dan dibunuh. Orang Islam tak berasa apa-apa pun kerana pemerintahan lama tak pernah ambil tahu hal mereka, malah memusuhi mereka. Mereka tak kisah. Kami pula ditatang bagai minyak yang penuh.”

 

 

Namun   “suara konkrit” pengarang tentang “aku ternampak kejadian saat-saat akhir di negara aku dulu sedang bermula di sini,” pengarang memperakukannya dengan melanjutkan kisah lama Orang Pelarian dengan pendirian sebenar pemerintahan komunis yang anti-agama itu. Rakyat dikatakan  seperti “binatang ternakan dipelihara dan digemukkan sebelum disembelih” [hlm.59]. Watak antagonis Algojo dipertentangkan dengan watak Orang Pelarian dan rakyat negaranya yang beragama Islam. Algojo merupakan “suara mujarad” atau subteks pengarang terhadap pihak yang menghalang pegangan apa juga agama. Kebanyakan  orang yang  menganut mana-mana agama merupakan musuh utama komunis. Analogi Algojo ini yang diangkat pengarang terhadap  “… kejadian saat-saat akhir di negara aku dulu sedang bermula di sini.,” Secara implisitnya “suara” watak ini merakamkan kegusaran pengarang melalui watak si pendatang ini.

 

 Subteks pengarang dalam cerpennya kali ini ialah mempersoalkan peranan kerajaan dalam urusan keagamaan. Kritik Orang pelarian jelas apabila amalan keagamaan di negara ini  dikatakan persis yang pernah berlaku di negaranya [hlm. 59]

 

“Di sini pun kerajaan yang menentukan agama. Imam dan bilalnya pun dibayar gaji. Mengajar agama pun kena ada permit. Masjid  dan surau pun sudah berkunci.”

 

Subteks cerpen “Sayang Selasih”  ini diperagakan dengan teknik tidak langsung [indirect] iaitu apabila pengarang tidak menyatakan secara langsung negara asal Orang Pelarian. Begitu juga dengan  makna “kad” yang diberi kepada Orang Pelarian oleh Perdana Menteri Negara ini dan makna “ramalan Perdana Menteri saya itu benar” seperti kata Aku. Jawapan kepada semua “suara” itu mungkin saja dapat ditebak khalayak. Namun  inilah seni pengucapan subteks - implisit,  tidak langsung [indirect] atau halus [subtle].  Melaluinya juga Ali Jusoh mempertentangkan beberapa hal dalam kehidupan; misalnya “kemerdekaan dengan penjajahan” atau “hak dengan batil.”  Merentasinya pengarang menyarankan agar khalayak  bertafakur, menginsafi dan mensyukuri dengan makna “kemerdekaan” dan “hak” yang dimiliki .

 

                                                                        ii

Cerpen kedua,  “Angan-angan Mat di Jenin”  secara keseluruhannya agak sarat dengan eksploitasi “suara konkrit” dan  percubaan untuk  menyuarakan subteksnya.  Lewat judul cerpen Samsiah Mohd Nor kali ini sejak awal lagi sudah menyuarakan teknik pun dan parody atau intertextual. Rata-rata cerita rakyat klasifikasi cerita jenaka saduran “Angan-angan Mat Jenin” dalam Pancatantra, Sukasaptati, atau Jataka.  Watak Mat [Sharom] dan Pak Yassir sejak awal lagi dipertentangkan dengan isu pencerobohan dan sikap haloba. Teknik pun yang diguna pengarang berakhir apabila kedua-dua watak ini yang mempunyai signifikan diberi latar konflik  sebenar antara Ariel Sharon dan Yasser Arafat. Antara imej-imej itu ialah kereta kebal, nama  watak Pak Arab [Saudi] dan Pak Hosni [Mubarak] serta latar “bumi anbia pun berubah wajah. Daripada satu menjadi dua” [hlm. 63].  Agak jelas berbanding teknik Ali Jusoh dalam “Sayang Selasih”, Samsiah Mohd Nor begitu cepat menyuarakan subteksnya.

 

            Para selanjutnya cerpen ini merentetkan latar serangan Mat Sharom dan tentera zionisnya. Persis episod “bumi yang luka parah dengan merah kemanusiaan memamah jiwa lalu memuntahkan nista, dendam yang berulat, bernanah sekian lama” [hlm. 64]. Jika Algojo  dalam “Sayang Selasih” ialah komunis, dalam “Angan-angan Mat di Jenin” ialah Mat Sharom yang  merupakan antagonis yang menakluk Hebron, Nablus, Baitulmuqaddis dan Jenin.  Fakta tentang daerah yang dikuasai Palestin ini digandingkan pengarang dengan fiksi ini merupakan antara teknik subteks walau seperti yang dikatakan ia tidaklah sepenuhnya subteks atau ia dapat dikatakan sebagai teknik  tour de force  - latar asing yang dapat diwajarkan pengarang.

 

Pengarang rata-rata menyuarakan pendirian peribadi apabila memenangkan pihak “Pak Yassir”; mewajarkannya dengan teknik keadilan impian [poetic justice]. Wahana “tompokan awan besar” yang menyerang kumpulan Mat Sharom  ternyata satu lagi latar intertekstual juga – “Abrahah dan Ababil”  iaitu [hlm. 67],

 

Tompokan besar kian mendekat. Lembaga bersayap terbang rendah. Roh ababil berkepak-kepak di angkasa mengepit batu-batu sebesar tembikai di antara sepasang  kaki. Habuan digugurkan dan jatuh betul-betul di bawah lelangit bumbung orang-orang Mat Sharom. Pekikan nyaring memenuhi ruang. Tubuh-tubuh bergolek berbungkus darah….

 

iii

Watak Mar dalam cerpen “Kayu Bersurat” ukiran Siti Zainon Ismail  menyimpan suara gelora wanita. Cerpen intertekstual ini dibina dari cerpen awalnya, “Mar…” [Attar dari Lembah Mawar, 1988]; ia dimaklumkan melalui nota hujung cerpen ini. Intertekstualnya  juga terkesan apabila latar Aqran yang pernah “menyapa seorang wanita [yang mirip Okam] dalam bas sepanjang menyusur ladang gandum di Ellon.” Begitu juga dengan latar tempat yang sama iaitu [hlm. 70],

 

Deru ombak Laut Aberdeen yang berlangit kelabu, bangunan batu yang juga berwarna kelabu, memang dia melihat wajah Mar yang sendu kelabu. Maaaaar!

 

Ternyata latar imbas kembali ini merupakan sebahagian latar  dalam “Mar….”  Pengarang memindah, mengembangkan atau mungkin saja mencipta baru watak Mar, wanita “India Merah dari suku Tupi” yang putus cinta dengan pemuda Melayu, Nudin. Dari teks hipogram itu suara Mar yang lalu melantun lagi  dalam cerpen “Kayu Bersurat.” Mar kali ini diberi nama lain iaitu  akronim Okam [= Orang Kampung] merupakan seorang wanita pengukir kayu bersurat dari Pantai Irama. Mar juga dikatakan seorang sarjana komunikasi budaya yang mengambil alih tugas ayahnya sebagai pengukir Nusantara. Ternyata suara Mar dalam “Kayu Bersurat” sudah bukan lagi  suara Mar dalam “Mar…”; suara Mar telah menjalani proses intertekstual – haplologi, deviasi dan eksistensi. 

 

Watak-watak baru dalam cerpen ini ialah Dr Aqran, Prof Mike dan Do Raman. Berdasarkan “kayu bersurat” ada konflik nilai  antara Okam dengan Mike, sarjana barat yang melanjutkan penyelidikan tentang batu bersurat. Mike menganggap “kayu bersurat” ukiran Okam ialah kayu nisan, kayu bercitra nisan.  Melalui suara Okam pengarang cuba menjelaskan konsep seni rupa ini iaitu [hlm. 69],

 

“…jadi anda fikirkan ini kayu nisan? – ah anda juga seperti peneliti budaya yang lain, memandang serong, aneh, ini arca, jadi mengapa aneh, gerun dengan citra nisan? Ini konsep baru saya, siri kaligrafi seni rupa sebagai langkah ke abad siber….”

                       

Secara intertekstual juga pengarang memanjangkan frekuensi suara itu kepada dengung “suara mujarad”; suara pengarang meletuskan rasa kecintaan Islami melalui watak Okam.  Ia kedengaran dalam zikir sewaktu Okam mengukir seperti katanya, “… hanya hati yang lapang, fikiran yang tenang dan sukma yang luluh dalam zikir dinihari mampu mencipta bunga yang diingini” [hlm. 70].

 

Suara ini persis suara peribadi pengarang juga apabila konsep seni rupa yang menjadi hujahan. Bukankah genre seni rupa atau seni benda antara bidang penyelidikan dan akademik pengarang; di samping pengalaman peribadi khalayak mengenali kesenimanan Siti Zainon Ismail yang terkini – ukiran kayu [bersurat]. 

 

Suara kewanitaan, kecintaan pada seni dan hubungannya ketuhanan yang bergema dalam cerpen Siti Zainon Ismail kali ini rata-rata bersifat intertekstual  yang subtle; transformasi  latar dan emosi  Mar [bersama Yusri dan Nudin] dalam  “Mar…”  terus bertala-tala. Kegundahan jiwa wanita rata-rata  masih berbekas. Suara mujarad ini yang sebahagiannya masih bersifat subteks - berbalam apalagi dengan andaian Aqran, Mike dan Do Raman wujudnya hubungan ketuhanan sewaktu Okam mengukir  [hlm. 71],

 

… ada zikir lewat jalinan kerawang, bunga cengkih, sulur bayung dan unggas kecil… di situ menyatu jalinan surat abadi yang telah saling terikat tersimpul hanya dapat dibuka melalui mata hati.

 

                                   

                                                            iv

Persis watak Mar dalam “Kayu Bersurat”, watak Mar dalam cerpen “Menyimpan Cerita Sebuah Penjara” menyuarakan satu catatan panjang percakapan batin watak Mar, seorang pembantu rumah yang dikatakan banyak menyimpan rahsia  keluarga majikannya. Mar bertindak sebagai narrator, merupakan pekerja yang setia menjaga kebajikan keluarga majikannya selama 20 tahun di sebuah banglo mewah di atas bukit.   Persis kata Mar “…kalau ibarat orang buta, derianya sudah cekap mengenali setiap liku di rumah itu.” Begitulah digambarkan hubungan Mar dengan keluarga majikannya. Namun berkhidmat dengan keluarga ini menyebabkan watak Mar  berkorban banyak dalam hidupnya – masa remajanya, keluarganya sendiri dan  perasaannya terhadap “cerita” keluarga majikannya. Sejak berusia 22 tahun Mar dihantar bapanya bekerja dengan keluarga enam beranak ini. Mar tidak dapat meneruskan pengajiannya atas kekangan kewangan dan tanggungjawab terhadap ibubapa dan adik-adiknya yang masih kecil ketika itu. Dalam usia muda itu juga Mar mempelajari mengurus hampir semua hal ehwal rumahtangga majikannya [kecuali “peranan sebagai isteri Tuan”] serta menjadi  pemerhati konflik rumahtangga majikannya. Itulah suara wanita yang persis mohon diperdengar akan runtunan keluh jiwanya.

 

Malah dalam gelora rasa yang begitu menghenyak, pengarangnya Hajijah Jais melalui suara Mar, turut melaungkan kekusutan jiwa serta kenanaran perasaan seorang isteri yang derita. Watak Puan dikatakan menjadi mangsa suami yang bengis, panas baran  dan penuh kepura-puraan. Watak Tuan, suami Puan digambarkan seperti [hlm. 75],

 

… tetapi hati anak-anak dicalarkan oleh Tuan dengan tengkingan dan maki hamun yang menghapuskan nilai kasih sayang…

 

…ketika situasi runcing, Puan akan diam. Jika tidak, Puan akan menerima padah yang lebih teruk. Sepak terajang Tuan akan menggila.

 

 

Di samping tugas harian, Mar turut menjaga Puan yang menderita “penyakit murung yang keterlaluan akibat menghadapi tekanan perasaan yang berpanjangan” . Sindrom depresi  itu bukan sahaja berlaku ke atas Puan tetapi Mar turut menerima tempias psikologi apabila [hlm. 76],

 

Sebagai saksi utama ketidakadilan dan kezaliman Tuan, dia sakit hati dengan Tuan. Baginya, Tuan memusnahkan hidupnya. Tuan sering menakutkannya dengan perlakuan kasar dan kata-kata kesat itu, malah dia turut terseksa jiwa dan batin berada dalam keadaan itu…lama kelamaan ketakutannya merebak menjadi penyakit takut akan lelaki.

 

Begitulah suara sengsara dua wanita – lahir dan batin oleh bahana lelaki dalam hidup mereka. Begitu  dengan sikap ganjil  Tuan yang sering berubah, pernah mengelirukan kedua-dua wanita itu. Tuan hanya berlaku bengis dan panas baran terhadap Puan dan anak-anak. Sebaliknya di luar [dan terhadap Mar] Tuan berimej “mesra, periang, peramah, baik hati, pemurah dan dermawan” [hlm. 75].

 

  Subteks  atau “suara mujarad” cerpen  Hajijah Jais ini cenderung memperkatakan nasib jiwa wanita – Mar dan Puan – lambang  pengorbanan dan derita wanita untuk kebahagiaan orang lain [keluarga].  Sementara watak Tuan diperagakan sebagai lelaki yang mengalami kecelaruan akal [mental disorder] dengan sikap yang berubah-ubah di kalangan ahli keluarga dan umum.  Kerancuan ini  disampaikan pengarangnya dengan suara psikologikal dan feminisme yang ampuh; namun masih terasa implisit khususnya melalui teknik  monolog dalaman.

 

v

Menulis dengan menggunakan teknik subteks ternyata merupakan antara seni penyampaian makna literal yang tidak bersifat lurus.  Ia menyarankan nuansa emosi  melalui gerak watak yang pelbagai makna. Pasti saja kerencaman penelitian dan pemaknaan ini menuntut keseriusan dan penumpuan yang sedikit lebih daripada teknik formalistik yang lazim digunakan.  Sementara “suara” yang bersifat konkrit atau mujarad itu merupakan  antara perca-perca subteks yang dapat membantu khalayak mendapatkan makna yang diaju pengarang. Kali ini di tangan empat penulis Ali Jusoh, Samsiah Mohd Nor, Siti Zainon Ismail dan Hajijah Jais, suara pengarang  tentang kebebasan, hak, hubungan manusia dengan Tuhannya dan jiwa wanita, persis bertala-tala. Bunyinya persis satu metafora. Atau bunyinya persis  satu  dialog yang harus diketahui semua - suara manusia.