Azmah Nordin dan Rosmini Shaari

dalam Perkembangan Novel Dekad 90-an[1]

oleh Mawar Shafei

 

 

 

Pengenalan

Kertas kerja ini akan membincangkan dua orang pengarang novel  iaitu Azmah Nordin  dan Rosmini Shaari dalam perkembangan penulisan novel Melayu dekad 90-an. Beberapa  novel mereka akan dibincangkan khususnya dari aspek  teknik penceritaannya. Beberapa isu terutamanya persoalan  kewanitaan yang menjadi antara kecenderungan utama kedua-dua pengarang ini juga tidak terelakkan daripada  turut difokuskan. Ia diwajarkan melalui teknik   penceritaan yang digunakan kedua-dua pengarang yang berasal dari Kedah ini. 

 

Kedua-dua pengarang yang dikaji ini  mula menulis dalam dekad 80-an. Azmah Nordin memulakan langkah penulisannya dengan menghasilkan  cerpen “Bosan” [Wadah, Oktober 1986]. Beliau turut menghasilkan dua kumpulan cerpen seperti Singkowoton [1994] dan Wizurai [1997]. Novel dewasa pertama Azmah Nordin berjudul   Dukanya Abadi [1988] diikuti dengan beberapa novel lain dalam kategori dewasa, remaja dan kanak-kanak yang berjumlah kira-kira empat puluh buah [lihat lampiran].

 

            Sementara Rosmini Shaari lebih menjuruskan kepengarangannya dalam genre novel dewasa.  Isteri   [1988] merupakan novel sulungnya. Sehingga kajian ini dijalankan, Rosmini Shaari menghasilkan  tujuh buah novel iaitu Isteri [1988], Janji [1989],  Jaringan [1990]  Hujan Debu [1991]  Mak Nyah [1991] Mas Maria [1991] dan  Selendang Sutera [1991].

 

 

[i]

 

 Azmah Nordin

Terdapat beberapa teknik yang diguna pengarang rata-rata bertujuan bagi mengangkat sesuatu isu.  Daripada sepuluh buah  novel dewasa yang tersenarai, dalam pembentangan  ini akan difokuskan dua buah novel yang lahir dari genre cerpen yang dihasilkan sebelum ini. Cerpen “Cermin”   [Singkowoton, 1994] dilebarkan proses kreatifnya hingga menjadi sebuah novel dengan judul Dari Dalam Cermin [1992]. Sementara Halusinasi [1995] merupakan novel  Azmah Nordin yang dikembangkan dari cerpen “Plankton” [Wizurai, 1999].

 

Novel Dari Dalam Cermin  digerakkan dari cerpen Azmah Nordin yang berjudul “Cermin”. Cerpen “Cermin”[2] memperkenalkan khalayak kepada protagonis Riad, seorang jurubina Wisma Utama. Riad, dilukiskan sebagai wakil generasi muda suku kamu Murut yang menolak adat tempatan iaitu mansayau. Ia merupakan proses memindahkan roh dan semangat  orang  yang tinggal di rumah panjang lama. Mereka harus dibawa ke rumah panjang baru agar tidak sengsara, lapar, dahaga dan kedinginan. 

 

Pada satu episod di awal cerpen, Riad mengalami satu bentuk halusinasi apabila arcanya pada cermin memantulkan dirinya  yang memakai baju dan cawat dari kulit kayu bertepekkan siput laut. Khalayak rata-rata dimaklumkan konflik Riad yang membina kejayaannya di atas kesengsaraan  orang lain.  Riad menolak permintaan dan rayuan penduduk rumah panjang agar dibatalkan projek Wisma Utama yang hendak dijalankan di kawasan mereka. Malah Riad mengarahkan supaya rumah panjang itu dibakar.  Objek di  “cermin” dijadikan semacam wadah  dialog antara Riad dengan salah seorang daripada penduduk rumah panjang tersebut – lelaki yang kerap menari di lansaran seraya memalu gong. Azmah Nordin mengeksploitasi teknik keadilan impian [poetic justice] apabila akhirnya anak Riad, Susan memaklumkan berlaku banjir kilat yang meruntuhkan bangunan  di  tapak kawasan rumah panjang itu.

 

Perwatakan protagonis Riad dikembang lebarkan lagi dalam Dari Dalam Cermin.  Riad masih dikekalkan sebagai seorang jurubina Wisma Utama setinggi tigapuluh tingkat, lulusan luar negara. Riad juga digambarkan sebagai seorang suami bengis-dingin terhadap isterinya, Rohayu. Pengarang lebih merincikan watak Riad melalui watak ciptaan baru iaitu Suli. Watak wanita lulusan jurukur bahan dari universiti di semenanjung ini rata-rata dilihat sebagai protagonis yang banyak menggerakkan plot naratif ini. Watak putih ini diacukan sebagai pejuang maruah masyarakat bawahan [penduduk rumah papan nelayan].  Watak Suli juga merupakan watak putih yang menjaga ibunya yang menghadapi  tumor. Watak Suli juga akhirnya membikin hubungan rumahtangga Riad-Rohayu retak dan terbelah. Riad dikatakan menjalin hubungan cinta dengan Suli hasil perkenalan ketika Riad menyelamatkan Suli yang kemalangan semasa menunggang kuda.

 

Menggunakan teknik imbas kembali dan masa kini, Azmah Nordin memperkenalkan watak-wataknya. Ia juga digunakan untuk  memaklumkan khalayak tentang tragedi kebakaran rumah papan/setinggan nelayan    enam tahun lalu. Kawasan perumahan itu merupakan tapak bangunan Wisma Utama. Suli, ibunya [Makcik Tipah] dan penduduk rumah papan itu dihalau keluar oleh pihak pemaju Wisma Utama.  Rumah mereka dibakar apabila arahan ketua pemaju, Haji Salam [ayah angkat Riad]  dibantah penduduk antaranya, Suli. Kemudian antara himpitan kesumat dan marah, Suli melakukan projeksi  dengan  bertekad untuk menyambung pengajiannya dalam bidang senibina [hlm. 87] dan akhirnya bekerja dengan Zulkarnain Construction Company Limited.

 

Imej ‘cermin’ masih dijadikan satu makna yang berspektrum. Ia memberi pantulan makna yang berselerak dalam proses intertektual yang dilakukan Azmah Nordin.  ‘Cermin ‘ dijadikan imej pantulan kedudukan – kasus kebencian Riad terhadap Rohayu yang dikahwini di luar rela; keterikatan pada budi ibu bapa angkatnya – Haji Salam dan Hajah Sainah yang mengatur perkahwinan mereka.  Hubungan perkahwinan Riad-Rohayu ternyata dicipta pengarang untuk mewajarkan tindakan Suli seterusnya untuk membalas dendam terhadap tindakan  pemaju  Wisma Utama [Haji Salam dan Riad].  

 

Puncak kemarahan Suli terhadap keberingasan sikap pemaju Wisma Utama digarap pengarang apabila Suli ingin membakar banglo Riad. Pada ketika itu juga Azmah Nordin melakukan proses pemindahan episod “Cermin” dalam hampir  tig per empat bab 10 Dari Dalam Cermin [hlm 124-135].  Episod Riad berhalusinasi dengan lelaki bercawat dan memalu gong dihidupkan pengarang sepenuhnya. Namun  pengarang menggugurkan watak Susan dalam cerpen awal. Watak tersebut digantikan dengan Suli yang mula mendobrak pintu kemarahannya. Namun bagi mewajarkan kedudukan Suli yang sejak awal diberi watak putih, pengarang melakukan satu bentuk reversal apabila Suli tidak membakar banglo Riad, sebaliknya membuat panggilan kecemasan kerana Rohayu baru melahirkan anak.

 

Teknik pathetic fallacy yang digunakan Azmah Nordin juga membantu khalayak lebih mewajarkan tindakan Riad terhadap nasib kaumnya sendiri. Hujan lebat dan banjir dalam cerpen “Cermin” yang dipindahkan juga dalam  Dari Dalam Cermin akhirnya memusnahkan tapak kawasan bangunan Wisma Utama. Ia juga sebagai tanda musnahnya harga diri lelaki, Haji Salam dan Riad.

 

Secara ringkas beberapa aspek yang diintertekstualkan Azmah Nordin dalam novel ini ialah,

 

 

 

        

 

 

“Cermin”                             

 

 

- pengembangan watak [Riad]

 

- kehadiran watak baru [ Suli, Rohayu, Haji Salam, Hajah Sainah, dsb]

 

- latar dilebarkan [penduduk kawasan nelayan, pembinaan Wisma Utama ]

 

- isu dikembang kukuhkan [perjuangan hak,   kemanusiaan, cinta dan

 rumahtangga]

 

Dari Dalam Cermin             

          

 

Proses Intertekstual “Cermin” ke Dari Dalam Cermin

  

 

Cerpen “Plankton”[3] pula terbina dengan latar tempat sebuah daerah akuatik.  Watak Bun, seekor ikan  diperkenalkan pengarang sebagai  seorang pemimpin yang menghuni sebuah ruang penginapan yang eksklusif dan mempunyai “pengekor-pengekor setia”.  Antara konflik yang timbul di  antara  Bun dan masyarakat di bawah pimpinannya ialah kewujudan Tembok Halimunan yang merupakan tembok pemisah antara dua kawasan habitat.  Tembok yang dibina Bun ini dianggap  sebagai bentuk penyeksaan kebebasan, pemusnah harapan dan pemisah kasih di kalangan rakyat bawahan. Isu ini kian menular kepada beberapa bangkangan khususnya oleh watak “laki belut betina”, asalnya merupakan pendukung Bun. Dikatakan Bun  sering mendakwa kawasan  habitatnya lebih kaya dengan haiwan plankton daripada sebuah wilayah lain. Namun kekayaan tersebut disedari tidak dibahagi sama rata kepada semua rakyat sebaliknya berlaku skandal pemilikan kekayaan di kalangan segelintir pemimpin.

 

Azmah Nordin mematikan watak “laki belut betina” dengan cara sadis iaitu apabila Bun mengarahkan haiwan upahannya    membunuh  “laki belut betina”. Episod ini mewajarkan watak Belut Betina mengalami anxiety lantas  merancang untuk membunuh Bun. Satu bentuk mekanisme bela diri [defence mechanism] kategori fantasi apabila Belut Betina bermimpi  dia  membunuh Bun. Azmah Nordin menggunakan teknik keadilan impian apabila Bun akhirnya benar-benar diserang  haiwan plankton [rakyat di bawah pimpinan Bun] menyerang dan menggigit siripnya. Malah untuk mewajarkan lagi teknik penamat keadilan impian itu, Bun  mendapatkan perlindungan daripada ikan lumba-lumba yang merupakan ayah angkat Belut Betina.     

 

Melalui proses intertekstual pemindahan [transformation], watak Bun dikekalkan dalam Halusinasi dengan perwatakan yang sedemikian juga – pemimpin yang rakus lagi beringas dengan kekayaan wilayahnya. Malah berlaku dengan lebih lebar lagi proses pengembangan [expansion]  watak ini. Latar diri Bun dilukiskan sebagai pemimpin yang tidak wajar dicontohi dari beberapa aspek, misalnya,

 

Diri sendiri

Keluarga

Kepimpinan/politik

Peminum

Menyeranah isteri [“bini tua lisut” – Upu]

 

Tamak kuasa – membina Tembok Halimunan

Skandal dengan Ara, Inga

Tiada hubungan yang rapat dengan anak, Puteri

 

Tidak mengambil pandangan rakyat

 

 

Membunuh Eli kerana perbezaan fahaman politik

 

 

 

Mendapat nasihat dari Salmon/ negara asing, Pantai Austral

 

 

Sikap Negatif Watak Bun

 

  Bagi mewujudkan watak putih yang menentang Bun, Azmah Nordin  menghadirkan protagonis baru iaitu  Inga, watak ikan singa laut betina. Inga  juga merupakan pejuang parti GIK [Gabungan Ikan-ikan Kedaerahan] diwujudkan untuk menjadi wakil  golongan rakyat yang menjalankan penentangan terhadap kepimpinan  Bun. Penentangan tersebut juga  pernah dilakukan watak Belut Betina dalam “Plankton.” Watak Inga ini persis watak       Suli dalam Dari dalam Cermin. Mereka adalah sequel watak wanita yang dicipta Azmah Nordin sebagai  pihak yang akan menentang kekejaman yang dilakukan watak lelaki dan menjernihkan konflik yang ada.  

 

 Watak Belut Betina alias Bel dalam novel ini didapati terlindung dengan kehadiran watak Inga. Azmah Nordin persis melakukan teknik  “satu lawan satu”  antara Inga dengan Bun. Namun perjuangan Inga tetap disokong beberapa watak lain seperti Bel sendiri,  Akas [doktor haiwan akuatik] ibu Inga, Sin dan Nenek Ayu.  Watak-watak sokongan ini turut berperanan sebagai reminder kepada Inga yang pernah dikatakan lari daripada  landasan perjuangannya [hlm. 217]. Misalnya petikan berikut yang mewakili kekuatan pendirian Bel,

 

…melihat jantina betina sebagai bini atau teman sosial sahaja. Tugas utamanya hanyalah untuk melahirkan  telur-telur hasil persenyawaan dan berkurung di dalam habitat, menanti kepulangan laki mereka. Tidak perlu ambil peduli sama ada betina-betina itu ‘bijak bertindak’ … mengawal ekonomi kekeluargaan mahupun dalam pentadbiran ataupun tidak.

 

                                                                                                            [Halusinasi, 1995:45]

 

Antara yang diperjuangkan Inga dan sahabatnya ialah isu skandal seks dalam kelompok kepimpinan Bun. Selain Bun,  Andak yang walau sudah beristeri dua [Dewi dan Iyam], mengadakan hubungan sulit dengan isteri Bun sendiri, Upu. Malah Andak bersikap ‘meminjamkan’ isterinya [Dewi] dan anaknya [Angel] kepada kawan-kawan termasuk Bun. Pada masa yang sama Kaci, pemimpin muda Parti PAIN [Pertubuhan Anak Ikan Negeri]  mempunyai hubungan dengan Angel. Begitu juga dengan Rasse, ikan harlequin tusk-wrasse yang mempunyai hubungan dengan Kuntum Merak dan Kuntum Bunga Terumbu Karang, walau sudah beristerikan Ara. Inga ternyata menggunakan kedudukannya sebagai Setiausaha Cawangan Persatuan Belia dan kemudian menjawat Presiden Perhimpunan Belia malah akan bertanding di peringkat Dewan Undangan Tinggi Wilayah Impi. Dalam konteks kasus ini, Azmah Nordin persis mengeksploitasi watak betina/wanitanya untuk menjernihkan kekeruhan yang dilakukan watak jantan/lelaki.

 

Hubungan interlokal yang berlaku antara Wilayah Impi [pimpinan Bun] dan Wilayah Alam  [pimpinan Pak Tua] juga merupakan intrigue yang lebih diperjelaskan pengarang dalam Halusinasi. Malah latar daerah tersebut dimaklumkan secara agak terinci oleh pengarang. Secara ringkasnya dinyatakan kedua-dua wilayah pada asalnya merupakan satu wilayah namun akibat perbezaan pendapat tentang agihan kekayaan dan campurtangan pihak  asing [Salmon, dari Pantai Austral], kedua-duanya dipisahkan oleh Tembok Halimunan.  Bantahan yang dibuat “laki Belut Betina” [dinamakan Eli dalam Halusinasi]  dalam cerpen awal terhadap pembinaan Tembok Halimunan, kemudiannya dikembangkan pengarang dalam novel. Eli, Timbalan Tuan Penguasa Agung sejati,  dituduh menjual rahsia sulit pentadbiran Bun kepada Pak Tua [hlm 92].  Pengarang masih mengekalkan hukuman terhadap Eli, iaitu dia dibunuh oleh haiwan suruhan Bun.

 

Di samping itu Azmah Nordin juga menggunakan teknik intrusive author dalam menyokong atau menyindir satu-satu tindakan watak. Misalnya pengarang menyelitkan sindirannya dalam teknik tulisan condong [italic] dan dalam kurungan tentang hubungan interlokal antara dua wilayah itu seperti,

 

… Salmon, dari perairan berhampiran dengan persisiran pantai Austral akan memastikan dirinya selamat.

 

(‘Rakan kongsi gelapmu yang menjadi ‘ikan tengah’ bagi pihak lamprei yang bermukim di perairan persisiran pantai Romi – memberikan arahan dalam gelap itu maksudmu?’)

 

                                                                                                [Halusinasi, 1995: 50]

 

Lewat proses intertekstual cerpen “Plankton” ke novel Halusinasi ternyata lebih mengampuhkan lagi struktur cerita bagi menyampaikan gagasan keseluruhan termasuk persoalan kesenjangan dalam politik, skandal [rasuah dan seks] serta kerakusan yang berlaku dalam politik. Proses pemindahan formal/fizikal  watak, latar dan isu  secara abstrak, rata-rata mengukuhkan lagi proses kreatif karya satira politik Halusinasi ini.  Ia diringkaskan dalam bentuk rajah  berikut,

 

 

 

 

“Plankton”                             

 


- pengembangan watak [Bun, Bel, Pak Tua]

 

- kehadiran watak baru [Inga, Akas, Kaci, 

   Angel, Upu, dsb]

 

- latar dilebarkan [Wilayah Impi dan

  Wilayah Alam]

 

- isu dikembang kukuhkan [skandal seks,

  hubungan politik asing, perjuangan

  keadilan]

 

 Halusinasi                        

 

 

Proses intertekstual “Plankton” ke Halusinasi

 

 

 

 

 

[ii]

 

 

Rosmini Shaari

 

Rosmini Shaari muncul dalam mandala kreatif Melayu melalui novel pertamanya, Isteri [1988]. Rata-rata novel Rosmini Shaari selepas itu masih setia mengangkat tema, latar dan konflik kewanitaan. Ia termasuk dua buah novelnya yang difokuskan dalam kesempatan kajian ini,   Jaringan [1990] dan   Hujan Debu  [1991].

 

            Jaringan yang terdiri daripada 23 buah  bab  menyenaraikan watak yang rencam. Sejak awal pengarang memperkenalkan watak Sofian, seorang pensyarah bertaraf professor di Universiti Singapura.   Watak ini digerakkan sehingga bertemu dengan kekasih lamanya, Masni, penyanyi kelab malam. Kemudian dimunculkan watak Dahlia, pelajar Sofian yang diberi perwatakan yang nakal-manja. Kedua-dua watak wanita ini diwujudkan sedemikian rupa untuk mewajarkan hubungan cinta Sofian dengan mereka dan pada masa yang sama berlaku perpisahan antara Sofian dengan Titik Hamidah/Hamidah, isterinya. Hamidah merupakan seorang pengurus/usahawan Syarikat Jayamaju yang diberi warna watak  megah dengan kedudukannya.

 

             Jaringan ternyata mewakili simbol sebuah ‘jaringan’ [network] hubungan antara manusia yang terlibat dalam intrigue keluarga,  cinta bersegi-segi dan keruncingan dalam dunia perniagaan. Teknik peripeteia atau reversal  yang dilakukan Rosmini Shaari sebenarnya rata-rata dapat disedari khalayak apabila beliau menggunakan teknik fragmentasi pada setiap bab. Misalnya dalam  bab 8[4], pengarang memulakan teknik fragmentasi yang mewakili setiap latar dan watak yang berbeza iaitu:

 

                        Fragmen 1: Watak Hamidah

                        Fragmen 2: Watak Dahlia

                        Fragmen 3: Watak Hamidah

                        Fragmen 4: Watak Dahlia-Sofian-Masni

 

Melalui keempat-empat watak ini pada awalnya dilihat sebagai penggerak  plot Jaringan. Lewat watak Sofian, pengarang akhirnya  menemukan Dahlia dengan ayahnya, Arnontojo alias Zainol – anak angkat bapa saudara Hamidah [Pangiran Subardojo]. Episod penemuan tersebut agak tragis apabila diketahu Arnontojo terlibat dalam kumpulan penjenayah antarabangsa yang memperdagangkan gadis dan wanita[5] Watak Sofian juga yang menemukan Dahlia dengan kekasih lamanya, Hisyam alias Udin [Hisyamudin]. Pengarang menggunakan nama yang berbeza pada awal cerita iaitu ‘Hisyam’ [kekasih Dahlia] dan ‘Udin’ [anak Sofian], namun latar pendidikan Hisyamudin di Amerika Syarikat kian memberi tanda yang agak jelas akan kedudukan watak ini antara Sofian dan Dahlia. Pengarang rata-rata didapati dengan sengaja mengaburkan kedudukan Hisyamudin untuk mewajarkan hubungan cinta Sofian-Dahlia.

 

            Dahlia pula bertindak sebagai wanita yang dianggap unggul dalam cinta bersegi-segi  Sofian. Watak ini malah dapat ‘menewaskan’ watak Masni dan Hamidah yang pernah mendapat tempat di hati Sofian sebelum ini. Namun warna putih watak Dahlia pernah diragui Sofian apabila dikatakan Dahlia hanya sebagai hiburan [hlm. 308]. Kehadiran Dahlia didapati rata-rata berperanan sebagai surrogate –pengarang untuk memenangkan  golongan berpendidikan. Dahlia [mahasiswa] berjaya menundukkan Masni [penyanyi kelab malam] dan Hamidah [usahawan ego, bab 4,  alias isteri yang derhaka – merendahkan maruah suami]. Pengarang juga memberi laluan yang mudah kepada Dahlia untuk memenangi cinta Sofian dengan menghadirkan sama watak Zaitun yang hilang, Badrul yang cacat dan Hamzah yang difitnah. Sementara Hamidah dibantu watak Puteri Radin Adriani dan Simon Shaw untuk melepaskan watak Arnontojo dan disatukan dalam diri watak Dahlia [dan ibunya, Intan Salbiah].

 

            Sementara watak-watak  lain seperti watak sahabat  Dahlia – Salim, Aziz, Ariana dan Johny Kassim – hanya membantu kuat kemenangan cinta Sofian-Dahlia. Salim, Aziz dan Johny Kassim yang juga menyintai Dahlia akhirnya ditewaskan watak  Sofian yang matang, ilmuan [profesor sejarah] dan bersifat pelindung.  Watak Datuk Arif dan Tan Sri Jamal, mewakili golongan usahawan yang beringas dalam mandala perniagaan. Hasrat mereka untuk menjatuhkan Hamidah   dalam syarikat ‘dijayakan’ pengarang untuk memberi ruang semula   dalam hubungan rumahtangga Sofian-Hamidah.     Ia menjadikan penutup novel ini bersifat open ending apabila pendirian Sofian terhadap Dahlia dan isterinya, Hamidah masih berbelah bahagi.

 

            Hujan Debu  mewajarkan kehadiran watak-watak yang cukup banyak untuk sebuah novel setebal 599 halaman ini dengan latar masa hampir setengah abad [sekitar 1940-an sehingga 1980-an]. Pengarang memberi latar masa dan tempat [Kampung Cempaka, daerah utara Semenanjung Malaysia berhampiran sempadan Thailand] yang berperanan menggerakkan plot cerita selanjutnya. Latar Bab 1 hingga bab 11 masih merupakan zaman pemerintahan Jepun. Tidak kelihatan dengan jelas watak yang difokuskan. Namun watak Arfah dan Samad diperkenalkan lebih awal daripada watak-watak lain rata-rata sebagai kewajaran kepada kehadiran protagonis Sabri yang akan dibincangkan. Begitu juga dengan watak Dillah, Bahari dan Hirosyo yang melahirkan watak Hirani kemudiannya. Sebahagian daripada watak-watak  seperti Mak Som, Mak Limah, Saodah, Shamsiah, Bidan Salmah, Norain, Kamil, Ah Chong dan John digunakan pengarang pada penghujung  novel untuk mengampuhkan lagi jalinan naratif ini.

 

Bermula dengan latar keruncingan gelora  peperangan tersebut, pengarang membawa khalayak ke mandala yang pekat dengan keruncingan kasih-cinta, pencarian diri serta pengorbanan bermula  bab 12.  Tiga watak yang agak jelas dieksploitasi pengarang untuk menjayakan  persoalan yang ingin diangkat   ialah Sabri, Hirani dan Kamaliah.

       

Watak Sabri dewasa bermula pada bab 12  diperkenalkan sebagai siswazah lulusan luar negara [London] dan kemudiannya bertugas sebagai wartawan di akhbar Berita Negara. Hubungan cinta platonik Sabri dan Hirani  sejak mula diwajarkan Rosmini Shaari dengan pernikahan Hirani dengan Ahmad[6]. Malah dengan konflik besar itu, Sabri akhirnya berkahwin dengan Kamaliah [tertangkap basah]. Namun hubungan cinta Sabri-Hirani   jelas ‘direstui’ apabila Rosmini Shaari menemukan mereka semula di akhir plot iaitu dengan tindakan Kamaliah meninggalkan Sabri dan ketika Sabri dalam keadaan kritikal  memberi sum-sum tulang kepada ayahnya, Samad.

 

            Pencarian diri   yang dilakukan Kamaliah persis dibentuk dari awal perkahwinannya dengan Sabri. Kedudukan Sabri sebagai wartawan yang kerap ke luar negara dan hasrat Kamaliah untuk  melanjutkan pengajian di peringkat kedoktoran di Amerika Syarikat,  dibina pengarang dengan begitu kemas  untuk mewajarkan tindakan Kamaliah. Malah atas beban kecewa terhadap,

 

·        kasih Sabri terhadap Hirani yang masih bersisa,

·        kejutan dengan kehadiran tiba-tiba Indera [bekas isteri Sabri] dan Mohd Zafar [anak Sabri-Indera]

 

watak Kamaliah dibekalkan dengan semangat terus belajar dan berkhidmat di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.   Namun daripada nafas melankolik yang diberi kepada watak Kamaliah, pengarang didapati rata-rata memberi satu ruang eksklusif  untuk watak wanitanya  mendapat,

 

·        pencapaian yang lebih tinggi daripada watak lelaki

·        tahap pengorbanan yang dilakukan – menyatukan Sabri-Hirani

 

 Inward turning yang dilakukan pengarang ini agak jelas mewakili apa yang dikatakan Showalter sebagai gynocritics - frequently emphases the evolving female consciousness reflected in literature and explores the ways in which women writers have comprised and aided "a world of their own.”[7]

 

            Namun satu bentuk keseimbangan masih dikekalkan Rosmini Shaari apabila  watak lelakinya, Sabri juga dilukiskan sebagai anak yang banyak melakukan pengorbanan khususnya ketika Sabri mencari ayahnya, Samad.  Mencari Samad hingga ke Mung Tung, desa terpencil di Burma mewajarkan sikap Sabri yang sabar dan gigih mencari akar dirinya. Pengarang di samping itu turut menggunakan latar pencarian Sabri  untuk memperkenalkan dan mengimbas kembali watak-watak latar zaman perang.    

 

Penutup yang bersifat wind-up, dipilih Rosmini Shaari sebagai jalan keluar kepada peleraian konflik Kamaliah-Sabri-Hirani. Kamaliah diacukan dengan perwatakan yang tetap pendirian  [terus menetap dan bekerja  di Amerika Syarikat]. Sementara Sabri dan Hirani menyambung plot cinta platonik mereka yang terputus-putus akibat kehadiran watak Ahmad, Kamaliah, Indera dan Mohd Zafar. Ternyata watak Hirani begitu dilindungi pengarang sejak awal sejarah ibunya, Dillah, yang mendapat ‘perlindungan’ dari Hirosyo dan Bahari. Kemudian berkahwin dengan Ahmad [walau hampir kembali kepada Sabri] dan akhirnya kembali semula kepada Sabri.  

 

             

 

Rumusan

 

 

Kreativiti di tangan dua pengarang novel yang difokuskan, Azmah Nordin dan Rosmini Shaari rata-rata diperkasakan dengan jalinan teknik penulisan yang berkesan. Sebagai wadah penyampaian persoalan, beberapa teknik yang digunakan seperti intertekstual dan eksploitasi watak-watak, ia diperhatikan satu bentuk  integrasi yang akhirnya menjayakan matlamat pengarang  untuk menyalurkan gagasan kreatif khususnya  tentang mandala peribadi mereka – mandala wanita.   Namun dalam perkembangan  kesusasteraan Melayu, kedudukan kedua-dua penulis ini tidak terlepas daripada memperkatakan permasalahan  wanita.

 

 

Bibliografi

 

Azmah Nordin. 1994. Singkowoton. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Azmah Nordin. 1997. Wizurai. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Mawar Shafei. 1997. Antara Disiplin dalam Cereka. Kertas Projek Sarjana.

 Bangi: Jabatan Persuratan Melayu

 

Rosnah Baharuddin. 1993. Hujan Debu: Terasnya Kasih Sayang. Dewan

 Sastera, Februari:89-92 

 

http://www.cumber.edu/litcritweb/theory/showalter.htm

 

http://www.cumber.edu/litcritweb/glossary.htm#G

 

 

 

Lampiran

 

[i] Novel  Azmah Nordin

Kategori Novel Dewasa

1.      Dukanya Abadi, 1988

2.      Kukui, 1990

3.      Dari dalam Cermin, 1992

4.      Debur Menerpa, 1992

5.      Pantai Kasih, 1994

6.      Halusinasi, 1995

7.      Menongkah Lumrah, 1996

8.      Awang Kirana Mudir Besar, 1996

9.      Singgahmata, 1996

10.  Syumul, 1999

 

Kategori Novel Remaja

1.      Tiara, 1989

2.      Kembara Planet, 1989

3.      Setulus Sarina, 1989

4.      Tiumulak Kapal Perang, 1989

5.      Sewangi Hati Irani, 1989

6.      Permata Biru, 1989

7.      Pejuang di Bawah Bayu, 1990

8.      Dilambai Debur Cinta, 1990

9.      Jauh  Tidak Berantara, 1990

10.  Gadis Pinggiran, 1990

11.  Janji, 1990

12.  Fatim, 1991

13.  Biarlah Kasihmu Terukir, 1991

14.  Ribut di Gua Gomantang, 1992

15.  Sembilu Kasih, 1992

16.  Sitti Ariana, 1993

17.  Di Bawah Unggul-Nya, 1993

18.  Tanaut, 1994

19.  Impian Akuatik, 1995

20.  Puteri Harapan, 1995

21.  Kewujudan Maya, 1995

22.  Misteri Aini, 1995

23.  Puteri Indrasariayu, 1996

 

Kategori Novel Kanak-kanak

1.      Si Bidul, 1987

2.      Noor Ainku Sayang, 1988

3.      Si Tarra, 1992

4.      Melatiku Sayang, 1992

5.      Ima Puteri Air, 1994

6.      Puteri Khairuni, 1994

7.      Dewi Labu Kundur, 1992

 

[ii] Novel Rosmini Shaari

  1. Isteri, 1988
  2. Janji, 1989

3.      Jaringan, 1990

  1. Hujan Debu. 1991
  2. Mak Nyah, 1991
  3. Mas Maria, 1991
  4. Selendang Sutera, 1991

 

 

 

 



* Dibentangkan dalam Kolokium Kesusasteraan Moden V (1991-2000) pada 2-4 Oktober 2001 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di  Hotel Century Mahkota,  Melaka.

 

[2] Turut tersiar buat pertama kalinya dalam Mastika, April 1989

[3] Turut tersiar buat pertama kalinya dalam Dewan Sastera, Mei 1993.

[4] Dalam Bab 2, pengarang sudah membahagikan fragmentasi pada watak Dahlia dan Masni. Namun watak Hamidah hanya diperkenalkan dalam Bab 4.

[5] Arnontojo diberi latar diri sebagai anak yang diambil dari kumpulan lanun di Kepulauan Sulawesi oleh bapa saudara Hamidah, Pangiran Subardojo.

[6] Watak ini juga diperkenalkan lebih awal dalam era pemerintahan Jepun. Malah semacam diwajarkan pengarang, Ahmad mengahwini Hirani kerana dia pernah menyelamatkan Amin, anak Ah Chong, saudara sesusuan Sabri

[7] http://www.cumber.edu/litcritweb/glossary.htm#G