MAWAR Shafei
dilahirkan di Singapura dan meraih Ijazah Sarjana Sastera pada 1997 dari
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah memenangi beberapa anugerah sastera
dan terbaru Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor (2003). Beliau terbabit dalam
genre esei dan cerpen untuk beberapa wadah serantau dan kini calon Ijazah
Kedoktoran di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, pengkhususan dalam
Kesusasteraan Bandingan.
Xin shang de ren er you xiao de mian pang
Ta ceng zai shen qiu gei wo chun guang
Xin shang de ren er you duo shao bao zang
Ta neng zai hei ye gei wo tai yang.
(Kekasihku senyumanmu, memberi wajah musim bunga dalam musim luruh kekasihku,
cahayamu menyuluh pada malam berjelaga penuh).
LELAKI tua itu sejak tadi menyanyi – lagu cinta, lagu kesuma. Sejak saya masuk
ke perut tren panjang, sehingga sekarang, ketika kami sama-sama hampir tiba di
bumbung stesen terakhir, stesen pertukaran tren, dia masih menyanyi.
Saya menoleh beberapa kali. Anak muda di hadapan saya hanya mengenyit mata
persis berkata, kau tahu sejarah lelaki gila ini? Dia pernah dikecewakan wanita
10 kali! Antara wanita yang dipujanya ialah seorang primadona paling masyhur.
Namun kasih mereka tiada penyudah – si primadona entah ke mana dan lelaki gila
ini terus merana. Oh Tuhan, pasti hidupnya begitu dihimpit sunyi. Bayangkan
hidup tanpa teman. Hidup tanpa sesiapa yang dapat kita bertukar cerita, ketawa
dan sedih luka. Kemudian cepat saya melanjutkan cerita tanpa dalil nyata itu,
kepada cerita seorang lelaki yang pernah saya kenali. Lelaki yang hidupnya
dikepung sunyi. Antara simpang gerak ceritanya begini.
Ah! perjalanan hidup saya. Sejak kecil saya tidak mengenal siapa ibu dan bapa
sendiri. Bagi saya itulah cerita yang paling malang dalam seluruh hidup,
apabila kita tidak tahu dari mana asal tubuh badan sendiri. Dapatlah saya
katakan, itulah detik mulanya kisah malang dalam hidup saya. Bukan begitu?
Sesuatu yang paling malang dalam hidup ialah tiada siapa yang dapat memberitahu
asal diri, siapa yang melahirkan dan sehingga kita berada di sini. Di tempat
kita berdiri sekarang. Seribu kepedihan, begitulah!
Apa yang saya tahu dan masih kekal mengingat ialah saya membesar di sebuah
rumah kebajikan yang akhirnya dapat membawa saya mengenal buku di sekolah.
Namun mungkin asal kejadian saya dengan kromosom yang kurang bijak, maka saya
tidaklah dapat menjejaki mana-mana institusi pendidikan tinggi untuk meneruskan
pengajian. Tetapi apa yang saya sedar dalam diri, saya dididik untuk menjadi
manusia budiman. Manusia yang suka berbakti. Tidak kira kepada siapa sahaja. Di
rumah kebajikan saya diajar menjadi manusia baik, buat kebaikan sebanyak
mungkin. Saya diasuh agar tidak menjadi tuan dan sebaliknya bukan hamba.
Melaluinya saya belajar, jangan cuba menjadi tuan, sebab sehingga bila-bila
saya akan terus bergelar hamba kepada yang mencipta saya. Dia yang mencipta
semua yang ada. Melalui didikan ini saya belajar untuk tidak bersikap besar
diri dan memandang orang lain lebih rendah daripada saya.
Sehinggalah beberapa tahun sudah, saya mendapat pekerjaan sebagai pemandu di
sebuah hospital persendirian. Sejak bekerja di sini, saya bukan sahaja belajar
tentang kereta sakit yang perlu dikendalikan di bahagian enjin, serba sedikit;
tetapi lebih daripada itu saya mula mengenal beberapa pegawai kesihatan –
doktor-doktor yang baik. Daripada mereka saya mendapat nasihat percuma tentang
kesihatan yang selama ini tidak saya perhatikan walaupun segalanya ada di atas
tubuh badan saya. Pelik ya! Kehairanan saya menular kepada soalan, siapa lagi
yang saya punya dalam hidup ini? Saya tidak punya isteri, apa lagi kekasih yang
dapat saya suarakan segala yang ada dalam dada. Anda pasti bertanya, tidak
pernahkah saya bertemu dengan wanita yang menjerat cinta? Dan kemudian saya
sendiri terperangkap dalam rindu dendam percintaan itu?
Ah, saya sering juga berselisih dengan mata wanita cantik. Kadangkala mereka
pesakit yang datang ke hospital. Atau sebulan lalu saya menemui seorang gadis
manis sewaktu saya dalam perjalanan pulang dari kerja. Gadis sopan itu duduk di
hadapan saya dalam tren panjang membelah malam. Namun rasanya saya menerima
nasib seperti watak dari sebuah novel grafik Taiwan yang saya pernah saya lihat
dari bilik Dr SK. Penulisnya Jimmy Lin. Saya ikuti juga adaptasi filemnya.
Kisah cinta mereka lebih kurang begini, masing-masing - si lelaki dan si
perempuan, sentiasa jalan dalam arah yang bertentangan. Kiri dan kanan. Mereka
tidak pernah bertemu walau sebenarnya mereka tinggal bersebelahan di sebuah
‘apartment’. Kuasa Tuhan menemukan keduanya, mereka akhirnya berjumpa satu hari
dalam hujan. Yeun Fan, kata Dr SK. Jodoh. Kemudian ternyata mereka saling jatuh
cinta dan saling bertukar nombor telefon. Dan seperti nasib saya, malang sekali
nombor telefon masing-masing dipadam air hujan. Sungguh kejam, bukan? Mereka
terpisah lagi. Begitulah saya. Setiap kali bertemu wanita bermata cantik
seperti mata Feng Huang, mata cenderawasih, tiada lagi pertemuan untuk kali
kedua. Malang sekali bukan, hidup saya? Pernah saya cuba menaiki tren tepat
pada waktu saya bertemu si mata Feng Huang dahulu, namun yang ditunggu tidak
menjelma. Malang dan sepi sekali jiwa saya agaknya seperti kota Taiwan yang
manusianya mula hidup sendiri-sendiri. O Tuhan. Atau saya begitu derhaka
terhadap Tuhan yang sudah mencipta kehidupan saya jauh lebih baik daripada
kehidupan mereka di bumi yang selalu digegar atau bumi yang penuh sengketa atau
bumi yang penuh dengan lapar dahaga.
Sehingga satu hari sewaktu sedang menunggu arahan atas panggilan kecemasan atau
apa sahaja di lobi hospital, saya melihat Dr Lutz yang gemar berbaju jingga
berjalan beriringan dengan Dr SK. Antara yang saya dengar perbualan mereka
ialah dasar republik kami untuk meningkatkan kadar kelahiran – demografi, itu
istilah yang diguna. Bukankah saya sudah katakan, walau saya tidak sempat ke
mana-mana institusi, di sinilah tempat saya banyak belajar terutama tentang
perubatan, kesihatan dan segala macam harapan. Juga kekecewaan. Ya, republik
kami sedang menggalakkan pertumbuhan penduduk, setelah sekian lama, ibu-ibu
dikenakan bayaran tambahan jika melahirkan anak mereka yang keempat. Malah awal
dekad dahulu, sebuah keluarga hanya ada seorang anak. Dan kini dengan dasar
baru, kami dinasihatkan mengamalkan cara pemakanan yang sihat untuk melahirkan
lebih zuriat. Jika beratur di kaunter kafe, tertulis nota, antaranya: ‘sila
minta sayuran lebih’, ‘sila minta kurangkan kuah’, ‘sila minta kurangkan
minyak’ atau ‘pastikan dua set sayuran dan buah-buahan setiap hari’. Saya cepat
menghubungkan segala itu dengan kadar kelahiran. Soal demografi republik
diambilkira sehingga ke perbuatan mengambil kuah dalam nasi yang disuap setiap
hari. Wah! Hari ini republik kami mahu rakyat yang ramai. Insentif tambahan
untuk ibu yang menambah kelahiran.
Jadi apa lagi saya boleh lakukan dalam hidup? Saya mula memikirkan apa yang
dapat saya sumbangkan. Bukankah sudah acap kali saya katakan, saya diasuh sejak
kecil untuk jadi manusia budiman. Dan akhirnya pada satu pagi saya mengetuk
lawang bilik kerja Dr Lutz dan saya lepaskan hasrat saya yang sekian lama
terkepung dalam dada. Dr Lutz senyum panjang, tanda bersyukur atau menyenangi
kehendak hati saya. Sebelum melangkah keluar dari bilik kerja empat seginya
yang seperti biasa ada lagu Flight of the Bumble Bee, Dr Lutz mengingatkan
saya, "Jangan lupa, kurangkan kuah dalam makanan tengah hari nanti!"
Matanya mengenyit. Saya angguk beberapa kali.
Kemudian tibalah hari dan waktu saya harus melangkah masuk ke Boy's Room. Saya
seperti diiringi muzik Rimskij-Korsakov, Flight of the Bumble Bee. Lagu yang
selalu dipasang di bilik rehat Dr Lutz. Katanya lagu itu menuang semangat. Dan
saya seperti menumpang semangat yang sama, mula menyandarkan badan di sofa
empuk dalam bilik suram, sebelum meluruskan badan di katil berbungkus gebar
putih. Ada beberapa majalah berkulit depan wanita dan lelaki dalam aksi yang
membuat saya mahu muntah. Tetapi memikirkan apa yang saya lakukan ini akan
membahagiakan orang lain, membahagiakan saya pada masa yang sama, saya teruskan
juga menyelak halaman-halaman yang semakin menyesakkan dada saya. Ada gelora
yang tiba-tiba liar dalam kepala langsung turun ke seluruh saraf dalam tubuh
saya. Seraya meneruskan apa yang seharusnya saya lakukan di Boys's Room seperti
arahan Dr Lutz, saya membayangkan sesuatu jauh menembusi tembok bilik suram dan
dingin ini. Bagaimana nanti saya menjejaki bayi yang lahir daripada sperma saya
ini. Atau saya tidak mahu tahu sama sekali siapa pasangan suami isteri yang
akan menerima sperma saya dari karung Bank Sperma. Atau bagaimana 10 tahun
kemudian saya menemui seorang anak manis di dalam perut tren atau bas, yang
matanya atau bibirnya atau seluruh bulat mukanya, adalah persis milik saya.
Atau ketika itu saya akan menjerit dalam hati, dengan gemanya, "Wahai
anakku!" Dan mungkin ketika itulah untuk pertama kali saya merasakan ada
jeda panjang pada kisah malang saya selama ini. Tetapi bagaimana jika saya
tidak mengenali anak itu sehingga akhirnya saya bertemu dengannya di belahan
tren panjang, setelah dia jadi perawan kesuma, saya jatuh cinta pada mata feng
huangnya. Dan lebih malang, bagaimana sekiranya nanti kami sama-sama terjaring
dalam perangkap cinta yang maha hebat? Namun, dia bukan anak saya. Dia hanya
lahir daripada himpunan sel-sel sperma saya dan kemudian hidup dalam kantung
rahim wanita yang saya tidak tahu sama sekali, apa lagi bersatu tubuh
dengannya. Maka dia, wanita bermata feng huang yang saya cintai, bukan anak
saya.
Lengkap separuh pusingan jam bulat jarum panjangnya bergerak, saya memasang
semula zip celana seraya menjeling botol kecil berisi semen sendiri. Saya
letakkannya di sisi meja. Kemudian sempat saya berdiri di tepi pinggang
jendela. Saya menyelak birai biru jernih persis warna langit pagi. Ada
anak-anak yang sedang berlari-lari di bawah sana. Oh Tuhan, inilah perkara
terbaik saya pernah lakukan untuk membuang segala yang malang dalam seluruh
kehidupan saya. Dan waktu memulas tombol pintu, saya berdoa yang sama agar
jururawat yang bertugas hanya memandang saya nanti sebagai seorang yang
budiman. Bukan pandangan yang sarat prasangka.
"Terima kasih. Encik Chen, boleh dapatkan minuman panas dan mufin di
hujung sana. Di ruang rehat, ya." Saya tahu itulah tanda terima kasih
pihak hospital atas sumbangan saya. Secawan coklat panas dan mufin perasa
coklat atau vanila. Sama sahaja waktu saya menyumbang darah di bank hospital
tempat saya bertugas. Sperma dan darah. Hah, nilainya sama dengan secawan
coklat panas dan mufin coklat atau vanila rupanya! Walaupun ia kemudian dapat
menyambung nyawa atau zuriat dan mencipta seluruh erti kebahagiaan!
Waktu meneguk coklat panas, saya rupanya ditemani beberapa lelaki lain. Ada
yang sedang membelek muffin dengan chips di tengah. Kami bertukar suara yang
tidak kedengaran, "Hello, bagaimana rupa anak kita nanti, ya?" Waktu
yang sama, saya mendengar begitu lebat dengungan bumble bee - keluar dari bilik
rehat Dr Lutz, dari Boy's Room dan berada di antara kami, di ruang rehat ini.
Mengepung kesunyian jiwa kami.