Oleh Mawar Shafei
“ADUH!”
Aku mengah dan separuh gegau.
Takat kepekatan TSP - Total Suspended Particulate - sebanyak 400 mg /m3 benar- benar membuat aku hampir saja lemas. Benar-benar membuat aku teraba-raba untuk menguis cari letak diri. Sebulan lalu paling maksimum hanya mencecah empat kali ganda kurang daripada itu. Tidak seperti ini. Ini benar-benar gharib.
Aku menutup pintu saluran olfactory epithelium. Aku sebenarnya lebih daripada itu cuba menutup segala apa yang terdedah pada diri, agar tidak bisa kuhidu sebarang molekul unsustainable developement. Agar tidak membobrokkan fikir dan suasana yang sedia ada.
Ah! Mungkin saja episod sesak yang menjuak henyak bekas daerahku ini, ekoran daripada pertambahan pecahan bahan cemar udara: 53% hidrokarbon, 10.5 NOx, 5.6% TSP, dan 26.5% Sox. Waduh! Itu sudah cukup membuat aku ingin meluru ke tangga DOE lantas kuketuk lawang sensitiviti mereka: Saudara tahu, bandar kita hampir zulmat apabila JJ (Jawatankuasa Jerebu) sibuk bertindak di bilik seminar. Dan aku kemudiannya hanya mampu untuk terkedu.
Kupaksa diri untuk menghirup nafas di perkarangan pejabat Ariq. Setelah menyusup kiri dan kanan Jalan Pustaka, aku mencuba untuk meloloskan katih ke perut pejabat Ariq di paras tiga. Dari kejauhan ini aku dapat mempetiakan Ariq yang sedang menghadap PC Vesca 486DX-50. Ada garis-garis kerut di dahinya.
Ariq, khabar apakah engkau?
Tubuhmu kian usak. Mengapa? Mungkin saja tugas editorial dan assignment sebagai suami begitu menghenyak pundak. Pantas kulalukan sinar-x pada tubuh Vesca 46DX-50 Ariq. Aku terkesima. Hah?! Tiada recycle materials seperti PC Moduloku? Ho, ho, Ariq apa yang telah berlaku? Mengapa usak sudah istikrarmu betapa bumi ini ingin kau panjang usiakan? Mengapa kau delete program sacred values of nature dari disket kewarasanmu? Mengapa Ariq, mengapa? Mengapa begini pantas angin waktu membawa kau jadi lugu?!
Ingatanku masih basah akan cemuhan Ariq pada Wid sewaktu kami sama-sama berada di meja kudapan. “Berapa ribu kali harus aku ingatkan: Kertas tisu bisa saja meranapkan daerah balak kita. Atau kau mahu 52.6% belantara kita jadi usak kepada 32.1% seperti di Eropah? Wid, kau tahu, kau merupakan salah satu daripada sumber bencana itu!” Wid yang baru mendaratkan kertas tisu di mulutnya yang selekeh, tersedu.
Sedu Wid yang lahir dari caran Ariq. Kurasakan nescafe yang masih berasap di cangkir pagi berbaur dengan kafin pahit yang tidak seperti selalunya. Dan aku kemudiannya separuh medu apabila kudapati sausage bunku turut jadi cahang akibat dibumbui hipokrasi Ariq dan sedu sedan Wid. Wid, yang akhirnya menjadi suri istana Ariq.
Sebelum aku menapak keluar dari ruang pejabat Ariq yang kerap kulewati sebelum ini, sempat mataku mendarat pada jurutaip Ariq. Aku mendengus apabila melihat ringan saja tangannya mencampak kertas yang baru diguna separuh muka, ke perut raga sampah. Pun aku kian harau. Lebih-kebih lagi apabila kudapati dari ronyokan kertas itu tertinta: PENGURANGAN KONSUMSI KERTAS MENYELAMATKAN BUMI ANDA! Wek! Hampir saja aku medu di tepi mesin pencetak VI MicroWriter PS 65 pejabat Ariq.
Sampai hati Ariq.
Dia pernah menyimpan gelar sebagai seorang pejuang. Pencinta alam. Tiap hujung minggu dialah yang selalu melaungkan “Selamatkan bumi kita! Panjangkan usia planet yang sudah tua ini!” Aku dan Wid sering saja berrtepuk tangan di baris hadapan, merancakkan lagi isihan agenda retorik Ariq di pojok pidato siswa. Dan kini....
Pon!
Wow, hampir luruh tangkai trakeaku yang berukuran 12.5 sentimeter panjang. Trakea yang menjadi struktur utama pergantungan bronkus primer. Aku mengurut dada. M24 lazuardi yang dipandu oleh seorang anak remaja belasan tahun benar-benar merencatkan katih fikirku.
Di luar sedar katih lelahku sudah mencecah lawang semi-D Wid dan Ariq. Awal pagi begini pasti saja Wid sedang sibuk di dapur sebelum mengajar sesi petang di MGS. Mataku sempat jatuh pada dada bingkai gambar comel yang berdiri di atas meja bulat berhampiran tangga. Hampir aku tersedu apabila melihat gambar Wid yag sedang senyum lebar bersamaku pada hari kami bergelar siswazah.
Wid, sihatkah kau?
Oh itu, abdomenmu kian membukit. Syukurlah justeru doa yang pernah kita panjatkan bersama, ampuh buat kau dan Ariq. Begini cepat. Masih mampukah kau menguruskan segala kerja rumah ini Wid? Atau kau seperti dulu. Masih terus menyimpan cita-cita sumurungmu: Ingin jadi pendidik, suri dan ibu yang terbaik.
Waduh, kau tidak membawa beg pasarmu? Bungkusan plastik yang berselerakan di meja kau buang saja ke raga sampah besar. Ho, ho jangan beritahu aku bahawa kau sudah lupa plastik mengambil masa berkurun lama untuk hancur. Atau sebenarnya kau hampir melupai prinsip kitaran setelah pemergianku kurang lebih sebulan ini. Oh Wid, aku masih menyimpan bicara Ariq di pojok retoriknya,
“Alam mempunyai caranya yang tersendiri untuk membalas perbuatan manusia. Kita sering merasakan segala-galanya sudah cukup ampuh untuk diteruskan makna modenisasi itu. Tapi dalam kealpaan excessive compartmentalization of knowledge, apabila makna pembangunan tidak lagi legitimate, buk, manusia terus jadi bobrok dan alam pasti saja menghukum.”
Wid, adakah kau bersekongkol dengan Ariq, suamimu? Adakah kalian berdua cuba mencipta sel-sel kazab di dalam kapilari percayaku? Tapi tidak segesit ini segala istikrar dan janji sebulan lalu dispose begitu saja. Tidakkah lamanya ia dapat bertahan seperti usia plastik yang kau humbankan ke raga cemar alam?
Wid!
Di luar sedar jemari sesalku tersentuh epidermis kesedaran Wid. Dia nampak terkesan dengan kehadiran pawana sesalku. Kupetiakan kepala fikir Wid bergerak ke kiri dan ke kanan, mencari sumber sentuhan itu. Sedangkan aku masih di sini, cuba melabuhkan ingatan rafik di hadapannya. Wid, aku di sini. Di hadapanmu.
Aku kian diisih oleh sel-sel melankolik. Sebulan ini beginilah, kehadiranku sering saja dizulmatkan atau paling tidak diilam-ilamkan. Aku risi. Amat risi sebenarnya.
Perlahan-lahan aku menapak sekali lagi ke ruang tamu semi-D Wid dan Ariq. Sepicing itu mataku yang ada genang air, memanah sekali lagi bingkai foto yang tersangkut di dada dinding. Foto yang benar-benar berjaya meragut lantas meluruhkan air suam dari tubir mata. Foto untaian rafik kami: Aku, Wid, Ariq dan... Zak.
Zak.
Dalam kepayahan ini rupa-rupanya aku masih mampu untuk menghayunkan katih kembaraku ke kampus lama. Kuseberangkan diri menuju ke fakulti fikir kami suatu ketika dahulu. Dia alur sungai ilmu yang kulintasi, sempat kupetiakan arusnya yang turut mengalir sama. Kupetia hanya variasi urna cemar CO2, CO dan CFC. Malah olfactory epitheliumku kian sendat dengan 356 microgramme per cubic metre SPM - Suspended Particulate Matter yang kelewaran di sana sini.
“Ho, ho, kampus hampir zulmat!”
Maling pendengaranku menangkap suara radio kampus. Kupantaskan larian katih fikir ke kamar Zak alias kamarku suatu ketika dahulu. Maling kamar kukuak. Sepi. Tiada siapa-siapa. Kerusi Zak kosong. Mejanya seperti biasa, berderet dengan buku-buku tebal. Monitor Multisyncnya masih tertenggek di hujung kamar, berhampiran jendela yang senantiasa tertutup. Segala-galanya masih seperti sebulan lalu.
Zak, ke mana kau?
Dari jauh aku datang hanya ingin mengakrabkan sesuatu yang mula jauh antara kita. Aku ingin mengutip kembali milikku yang tercicir di sini. Dan pasti saja aku mengharapkan kau tahu mengapa dalam tiba-tiba ini aku pergi, Zak.
Aku menyandarkan lelah di kerusi modular merah yang suatu ketika dahulu pernah menjadi milikku. Kuleraikan perlahan-lahan ikatan resah menanti Zak. Ingin saja aku meninggalkan pesan melalui fail Memo 3 di dada Multisync Zak. Itu yang kerap kulakukan apabila Zak tiada. Tapi, aku tidak seperti dahulu. Sekarang aku tidak punya kudrat lagi untuk mengisih kiar begitu meskipun ada sisipan pusa yang maha mendesak. Zak, ke mana kau? Aku hampir saja ingin berangkat.
Fikirku bangkit akhirnya. Aku mula menyusun katih ke pintu perpisahan. Pun apabila tombol selamat tinggal kupulas, mataku menjamah sekeping kad di atas meja. Meja yang pernah menjadi hakku suatu ketika dahulu.
Natalie,
kartumu sudah selamat kuterima.
Oxford begitu dingin. Di sini 19oC.
Segala-galanya beku. Namun tidak
begitu
ingatanku padamu
Aku senyum panjang. Rupanya Zak masih di sana. Mungkin program computer graphicnya diperpanjangkan. Aku hela nafas. Pastinya Zak masih belum tahu tentang diriku yang lalu. Sebulan yang lalu. Aku meneruskan baris akhir tulisan Zak. Senyumku kian lebar rabaknya.
P.S. Jangan kirim recycle postcard lagi
buatku, Nat.
Rasanya aku seperti barang terpakai buatmu.
Zak!
Senyumku mati.
Aku hampir saja menggeru. Frekuensi geru itu sama ketika aku dihempap oleh konkrit Megah Towers sebulan lalu. Sama gerunya ketika aku bersama 48 mangsa esotan bawah tanah yang menggugat keseimbangan struktur apartmentku. Sama gerunya ketika aku dimangsakan oleh pemaju yang membina towersnya dengan manifestasi dikotomi ringgit dan canggih. Sama gerunya ketika aku dipaksa menyerahkan hakku yang satu itu kepada Izrail....
Dan
aku menggeru sungguh-sungguh!
Mingguan Malaysia, 4 Januari 1995.