Dialog Corydoras

oleh Mawar Shafei

 

 

“TOLONG  ya....”

            “Tolong?”

            “Mmm...tolong doakan agar kapal kami tidak tenggelam. Doakan kami. Doakan aku selamat. Tolong doakan.”

 

            “Ahhh, kau....” Dia gelak panjang seraya menggeleng beberapa kali. Aku sesegera itu mengutip nafas. Aku sememangnya kerap keciciran beberapa nafas di saat dan ketika sebegini. Ya, aku memang kerap mengah dan lelah apabila mula terkuaknya  lawang untuk berpisah. Selepas bersama di meja tambur, masing-masing menghulur salam selamat  berangkat alias  hingga jumpa lagi. Aku hampir saja terkedu langsung ingin mendaratkan tisu tangan di hujung mata yang sebenarnya masih jatuh di wajah ikhlas rafiknya. Aku benar-benar terkedu di waktu ini. Segala-galanya terasa ingin luruh. Angin semilir jam 4, menguasai kerimasan, kehangatan diri dan fikirku.

 

            Serasa berat untuk berpisah dengannya kali ini.  Entah mengapa begitu. Tidak seperti masa-masa  lalu. Cuma kali ini.  Namun  tisu tangan mendarat di hujung mata dan hidung akhirnya. Dia menoleh. Aku cepat-cepat menunduk.

 

                        “Banyakkan istighfar. Aku doakan segala-galanya selamat. Okay...” Dia melihat ke dalam mataku. Dan aku  tahu dia sebenarnya turut melihat jauh ke dasar  keharuanku.

 

                        “Aku doakan agar kau selamat. Aku doakan. Aku janji. ” Dia meletak, lantas kemudiannya aku mengangkat janji itu. Akhirnya.

 

 

*     *     *

 

           

            “Tepi! Tepi! Tepi!!!”

 

                        Aku mengheret beg pakaian ke tepi. Sedikit ke tepi daripada bagasi milik yang lain. Kemudian sedikit mendekati diri. Beberapa rakan serombongan hanya mampu untuk bertukar mata. Hanya mampu untuk bertukar rasa cuak yang mula menjuak-juak ke dalam diri. Turut ada sedikit sesak yang mula menghenyak, sebenarnya. Ada sedikit rancu yang  mula dapat kuhidu. Tiba-tiba angin yang menghantar nyaman berubah menghantar hawa  panas lagi merimaskan.

 

                        Kemudiannya sempat mataku jatuh pada suatu bahagian permukaan air yang kian membulat; dari saiz yang kecil ia mula melebarkan diameternya. Aku petiakan sungguh-sungguh. Ia membentuk semacam pusar. Begitulah. Tidak silap itulah yang mungkin dikatakan sebagai pusar perbani. Pembentukan pusar kian melebar tapi mendalam: Tajam. Satu fenomena yang maha pelik bila bahagian muka air  yang lain berombak atau beriak banyak;  tapi tanpa sebarang pusar. Tanpa sebarang perbani. Segalanya itu segera mengingatkan aku kepada beberapa lagenda yang tertinta pada lampiran sejarah. Antaranya tentang Charybdis, sebuah lubuk pusar di Selat Messina. Dalam catatan Odyssey ia digambarkan semacam raksasa laut yang menyedut lalu menjuakkan air ke atas kapal yang melintas. Sementara di Osaka, lubuk pusar di Selat Naruto dikaitkan dengan goblin dalam air, Kappa yang berasa puas dengan menelan manusia. Begitu juga dengan pusar perbani Maelstrom di Norway. Aduh, gerunnya!

 

                        Lelaki berbadan tegap yang berbaju-t biru, melontar tali ke arah sebatang kayu yang tercacak di sisi pengkalan. Sebatang kayu yang serendah pinggang, yang tercacak di hadapanku. Sauh telah dijatuhkan lebih awal daripada itu. Aku dapat mempetiakan segala-galanya itu dari jarak yang terdekat ini. Aku mempetiakan segala-galanya dengan rasa sedikit getar.  Saputangan yang sebelum ini  hanya terselit di saku, kini jauh lebih kerap menyeka rintik-rintik peluh yang kian mula tumbuh di sekitar daerah muka dan dahi. Nafasku kian mengah. Aku kian lelah.

 

                        Orang ramai yang bersesak di pengkalan kecil ini (termasuk rakan-rakan yang akan ke seberang) mula diserang angin nanar yang  entah datang dari arah mana. Aku turut terketar dengan angin nanar yang merusuh dengan tiba-tiba itu. Lebih-lebih lagi apabila telingaku mencecah pada bicara dua anak muda yang turut berdiri  di kiriku, “Selalunya tidak begini. Selalunya laut  baik. Angin pun tidak mengamuk. Tapi hari ni....” Kata-kata itu   mati tiba-tiba. Semua yang ada terkasima. Aku, lebih-lebih lagi.

 

                        Rasanya ingin saja aku berpatah balik ke pintu masuk pengkalan. Ingin saja aku kembali ke pondok telefon lantas bercakap dengan  Mama - “Hello Ma! Jadual kapalku terpaksa ditunda, keadaan laut dan angin tidak menentu hari ini bagi kami meneruskan perjalanan...” Dan  ho, ho,  sebenarnya tidak semudah itu untuk aku  menghubungi Mama. Sejak beberapa kali tadi cuba kutekan dada telefon, bunyi telefon tidak diangkat. Mungkin awal-awal pagi begini Mama ke pasar atau  sibuk membersihkan kawasan belakang rumah sehingga tidak mendengar telefon menjerit di ruang tamu bahagian hadapan rumah. Ma, please   Hoi! Hoi! Tepi! Tepi! Tepi!”

 

                        Aku menoleh ke tepi, bahagian  kiri pengakalan yang kian kelam kabut dan tidak membenarkan untuk aku menyedut nafas dengan sewajarnya. Aku berasa begitu sesak. Orang ramai di kiri kanan mula mula berasak-asak: Menolak, merempuh dan menjuak-juakkan diri dan kehendak masing-masing untuk dapat meloloskan diri dari pojok yang tidak lagi memegang kuat makna kukuh dan reliable. Aku sempat menarik tangkai beg pakaianku yang siap kugantung tag feri yang bakal dinaiki.

 

                        “Tolong! Tolong! Tolong!!!”

                        Dalam kesempitan ruang aku cuba untuk menoleh sekilas. Aku cuba mencari-cari suara yang tenggelam timbul dengan suasana pengkalan yang kurasa mula merengsa lantai pengkalan yang ada sedikit gegar.

 

                        “Ya Allah, selamatkanlah kami!”

 

                        Pun segera aku fikir, mungkin beginilah bentuk ajalku dan  dalam beberapa saat kudapati: Aku hanya mampu menyebut nama ar Rahman dan Rasulullah dengan kakiku yang satu tersangkut di lantai pengkalan (yang merekah) dan satu lagi  mula mencecah air .  Allah. Saat yang penuh kengerian. Hanya sempat kudengar ada beberapa suara yang menggeru namaku. Sungguh-sungguh!

 

 

                                                            *     *     *

 

 

Tiba-tiba aku berasa sedikit dingin.

 

                        Dingin? Bukankah sebelum ini aku kerap disentuh oleh angin panas yang cukup merimaskan? Bukankah sebelum ini ruang suasana begitu hiruk pikuk? Sehinggakan aku akhirnya tenggelam bersama kenanaran fikiran manusia lain.

 

                        Ahhh... amat sukar untuk kumaknakan mengapa aku harus di sini: Berada di hujung rangkulan garis-garis  pusaran perbani yang begitu  turut merangkul kekeliruanku.  Dalam seluruh hidupku memang banyak yang keliru. Minggu sudah saja aku dikelirukan oleh laporan data yang dihantar oleh Eco Consortium and Co. tentang kesan biokumulasi1 di daerah utara. Kekeliruan itu segesit mengingatkan aku kepada beberapa percanggahan penemuan. Aku sempat membaca sekali imbas peratusan kesan biokumulasi yang ditinta oleh mesin  Eztech Stylus Colour IIS   berbanding dengan pembayaran yang diperuntukkan sebanyak $2, 804 juta. Waduh, itu sesuatu yang mencapah daripada kewajaran. Aku fikir begitulah. Justifikasinya, jika banyak yang diperuntukkan maka sebanyak itu juga manfaat yang didapati. Tapi apa yang berlaku sebaliknya. Keliru! Ia benar-benar mengelirukan!!!

 

            “Well, victory was short-lived.”

            Iya? Betul? Eh, agh...? Siapa? Apa? Aku berpusing untuk  beberapa kali.  Cuba mencari-cari punca suara itu yang entah dari arah mana. Beberapa aliran garis-garis  arus yang menghimpit kiri dan kanan, terasa kian mengalun. Menjadikan diri separuh menari-nari (atau sebenarnya aku terapung-apung!). Setahu aku itu merupakan suara dalam Jonathan Livingston Seagull  yang pernah kubaca.

 

                        “Yang  hak  akan  diketahui  juga  nanti.  Begitu  juga  sebaliknya, kan? Jangan risau dengan  ketentuan Yang Maha Kuasa. Segala-galanya terancang. Pasti.”

 

            Aku terlongo.

            Ho, ho, pada hujung mulutnya terkeluar beberapa deret buih yang semacam sengaja dibentuk-bentukkan. Otot badannya pula semacam dilenggok-lenggokkan. Cis! Aku tahu dia sengaja ingin menunjukkan garis-garis  horizontal yang cantik pada abdomen, sirip belakang dan sedikit pada hujung ekornya yang sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Aku menelan air liur untuk beberapa kali, siapa dia? Bagaimana dia boleh mengetahui gerak hatiku? Telepathy?

 

                        “Aku Julii dari daerah Corydoras. Panggil saja Julii. Ada juga yang menggelar aku Leopard Catfish. Tapi... ahh, panggil saja  aku Julii.” Aku menerima huluran salam dorsal finnya (atau bagaimana seharusnya?!),  “Aku Win.” Aku hampir saja ingin tergelak  tapi cepat-cepat menutup mulut agar tidak ada buih-buih udara yang berjaya terlepas keluar. Julii, dia cantik. Ada iras Dia yang di atas sana. Cantik yang tipikal  dan tradisional tapi masih ada ciri capahan konvensionalnya - sedikit keras dan berpendirian. Ho, ho, hatta kami digolongkan sebagai wanita pasca modenisme!

 

                        “Kehidupan kami di sini pun penuh dengan kekeliruan. Mereka yang benar-benar kuat saja yang dapat meneruskan kelangsungan hidup. Survival for the fittest? Begitulah kira-kiranya....Ya, yang jujur akan turut survive tapi apa perlu jujur jika jalan pintas lebih mempercepatkan, lebih menguntungkan, betul? Kau percaya itu, Win?”

 

                        “Entah ya, mungkin aku agak konservatif. Aku masih akur pada prinsip - jujur walau ada jalan pintas. Ahh, malas hendak libatkan diri dalam hal-hal yang memeningkan kepala begitu.  Hidup yang tak sihat. Cukuplah dengan kerja-kerja di makmal komputer  yang walaupun kerap membuat aku hendak muntah hampir setiap hari!” Aku ketawa sendiri. Kemudian ketawa itu mati tiba-tiba.

 

                        “Apa kau kata tadi...? Kehidupan di sini turut penuh kekeliruan? Ho, ho jangan cuba samakan dengan kehidupan kami. Come one, aku senang di sini. Suasananya dingin, selesa dan menyegarkan fikiranku yang selama ini tak tentu arah. Lihat tu segala-galanya hijau. Bersih. Apa lagi yang kau harapkan daripada itu.” Aku hela nafas panjang.  Segera teringatkan kisah seorang ama2 yang memenuhi acara hidup remajanya dengan menyelam ke dasar  laut (sedalam 40 kaki). Ama itu  sanggup hampir setiap hari turun ke dasar laut  untuk membelai mother-of-pearl, lapisan lembut pada nakre dalam kulit keras seekor tiram.  Aku pernah ingin menjadi seorang ama. Aduhai, alangkah seronoknya kehidupan sebagai seorang ama! Hari-hari dapat menyelam ke dasar laut, menghirup nafas di daerah hidrosfera yang begitu terpelihara.

 

                        “Kau lihat saja pada kemaujudan Chlamydomonas, Chlorella, Ulothrix dan Ulva.3 Kandungan klorofil a, b, karoten serta beberapa xantofil yang melekat pada substrat di bahagian dasar laut serta bersimbiosis  ia dengan organisme lain - bukankah organisme bersel eukariot4 itu semua yang menambahijaukan dunia kalian di bawah ini? Kau sewajarnya bersyukur amat,” aku mula melabuhkan punggung di atas sebuah  anak  fringing reef5   yang comel; tidak terasa sakit pada sebahagian strukturnya yang walaupun sedikit tajam - ia lembut malah, “ah, kau mungkin belum tahu tentang kehidupan kami yang kian bobrok di atas sana. Kau belum tahu, kan?” Aku berkata begitu akhirnya. Julii, kupetiakan menghembus deretan buih.

 

                        Aku kembali melihat laporan Eco Consortium and Co. TSP - Total Suspended Particulate -  yang menjuak dari purata 50-80   mg/m3  hingga 80-100  mg/m3 begitu pernah melontarkan tanda tanya meteorologi yang besar ke dalam fail laporan mereka. Justeru mekanisme angin dan kestabilan atmosfera dikatakan dapat mengurangi atau paling tidak mengimbangi turbulence dan kepekatan cemar melalui proses vertical mixing. Namun kedua-dua mekanisme yang cuba dijadikan sebagai agen wash out hasil pembikinan terkini yang berteknologi, aku sering dalam menanti. Bila segala yang diatur akan dilaksanakan? Bila pula subsidence cemar akan menstabilkan semula ruang atmosfera  daerah utara? Ada tanda soal yang besar di situ, aku fikir.

 

                        “Kau mengeluh, Win.”

                        Aku menggaru-garu dagu yang terasa sedikit  terganggu dengan laluan sekumpulan Pearl Danio alias Brachydanio albolineatus yang berkerlipan dengan garis-garis berurna merah, emas dan ungu pada dorsal fin mereka. Huh, boleh tahan: Eksklusif! Sempat kulihat pada Julii yang  menjeling.

 

                        “Aku  percaya: Never believed to what your eyes are telling you. All they show is limitation. But look with your understanding. Di jabatan tempat aku bertugas, kami diamanahkan untuk menilai  beberapa agenda pembangunan. Memastikan tindakan akan diambil sekiranya terdapat mana-mana yang tidak wajar berlaku. Dan aku sejak dulu sering menyimpan andaian betapa  pembangunan merupakan sesuatu yang perlu agar tidak kehilangan sebuah makna modenisasi  nantinya. Kau tahu, makna modenisasi itu rupanya turut mengheret  beberapa konotasi lain seperti bangunan tinggi-tinggi harus didirikan sehingga kalau boleh mencakar langit, kemasukan pertukaran wang asing dan aku fikir termasuk juga orang asing (hah, hah, hah).”

 

                        “ Tapi,” aku membetulkan kaki baju panjang yang sedikit liar menari-nari  akibat dimainkan oleh angin dingin daerah Corydoras ini, “setelah kulihat segalanya dengan understanding, aku fikir suatu agenda lain sedang dan malangnya telah berlaku.” Aku menelan air liur untuk beberapa kali.  Dorsal fin Julii sedikit tegang. “Aku  rasa kesal, aku rasa tertipu. Apa yang selama ini aku lakukan, aku fikir sia-sia saja. Sebagai penganalisis data berupa laporan yang dibawa oleh Eco Consortium and Co., aku fikir aku terkeliru besar. Keliru yang amat sangat. Dan akhirnya aku bukan saja terkeliru malah tertipu. Oh Julii, sebahagian besar daripada spesiesku di atas sana sebenarnya telah jauh lari dari fitrah  nilai yang sebelum ini begitu ampuh diwarisi. Namun kini ia mula kedekadenan malah mula hilang akan makna jujur dan yang lebih besar lagi ialah nilai diri.”

 

                        “Akibat daripada hilangnya  segala makna yang  precious tu,  daerah   kami mula menghadapi satu demi satu runtuhan, tumbangan, hakisan dan segala macam kebobrokan. Pemusnahan habitat pada peringkat awal agenda pembangunan  cukup membuat  spesies yang lain kehilangan tempat tinggal dan kami kehilangan alternatif untuk bereakrasi. Pergerakan struktur dalaman tanih turut terkesan akibat resapan air bawah tanah dan hakisan ekoran agenda tersebut. Ho, ho dan kemudian pengubahsuaian kontur pada sesuatu pojok daerah pula  mengakibatkan banjir kilat berikutan pemendapan lumpur  yang menyekat saliran. Dan vicious circle terus bergerak Julii, saliran dan daerah tadahan kami terganggu langsung mengganggu kuantiti dan kualiti bekalan air. Dan kau tahu, dari pengubahsuaian kontur juga,  sistem mikroiklim  terubah. Berkurangnya kadar hujan, juakan suhu, air tercemar dan menjerebukan penglihatan dan fikiran.”

 

                        Aku bersandar pada dinding  anak fringing reef.

                        O, spesiesku! Ingatanku masih basah pada dialog Akhmadzhan dan Pavel Nikolayevich dalam The Cancer Ward Aleksander I. Solzhenitsyn.  Seorang manusia yang tamak inginkan jangkausianya selama 100 tahun; sedangkan Tuhan memberinya  suku abad saja berbanding dengan spesies lain. Dia kemudiannya mengemis usia dari kuda, anjing dan monyet. Dan akhirnya dia berjaya mengumpul kembali usia 100 tahun itu. Kemudian Tuhan meminta manusia itu menjalani kehidupannya dalam setiap suku  sebagai manusia, kuda, anjing dan monyet. (Rasakan, dengan sikap buruknya: First you borrow then you beg. Tak malu!).  O, Tuhan aku tidak mahu kufur pada nikmat-Mu. Berikanlah kepadaku apa juga nikmat yang dapat kumanfaatkan demi ubudiahku kepada-Mu. Amin.

 

                        It is unfinished business, right?”      

                        Tiba-tiba Julii berenang-renang di sekelilingku.  Ada garis-garis gelisah di sekitar matanya yang nampak berselaput jernih. Aku memangku dagu -  sesuatu yang selalu dimarah Mama. Aku kemudiannya mengangguk perlahan. “Right, it is unfinished business.” Aku menggetap bibir. Beberapa pergerakan gelombang kecil membuat aku, Julii dan beberapa  algae lain mengalun-alun. Senang rasanya sekali sekali diperlakukan begitu. Rasa dimanja. O, come on Win,  be rational!  We are post modenism ladies! Remember? Come on!

 

                        Aku terbatuk.

                        “Anggaplah ini sebagai suatu cerita baru buatmu. Cerita dari daerah Corydoras ini. Daerahku, daerah kami.” Badan Julii mengalun bersama  gelombang laut yang sekali sekali  mengusik diri dan fikir. Aku menunggu. Cerita baru? 

           

                        “Versi baru sebenarnya. Atau wajar kuklasifikasikan sebagai cerita adaptasi?” Julii ketawa kecil. Aku masih menggaru-garu. Masih  keliru tapi harapnya masih tidak tertipu!

              

                        “Begini,” Julii berdehem, “kekeliruan yang kau alami juga sebenarnya turut berlaku di  daerah ini, Win. Kami cukup tertekan dengan only the fittest will be survived. Aku tertekan. Pada suatu masa aku fikir aku tidak boleh hidup apalagi untuk bersaing dengan all the  fittest. Gila! Aku hanya Julii alias Leopard Catfish dari daerah Corydoras. Spesies yang tersohor dengan sensitif dan alahan pada sebarang entiti cemar. Spesies yang hanya akan meneruskan kelangsungan hidup pada  hidrosfera 23-24 °C.” 

           

                        “Terpulang kalau kami ingin digelar fragile. Aku akur. Bukankah kami sejak leluhur, begitu  akur dengan kesejahteraan, keharmonian dan kecintaan pada apa saja  yang murni? Bukankah kami dari spesies yang begitu tinggi memaknakan untaian kasih sayang? Aduhai Win, aku hampir putus asa untuk meneruskan perjuangan ini. Rasanya aku begitu lemah. I am just a dwarf amidst all the giants. Aku fikir wajar aku belajar lebih banyak makna lose and win”.

 

                        “Hei! Come on, wanita pasca modenisme harus kuat! Hey, wake up!”

                        Aku mencuit-cuit dorsal finnya. Julii memandangku tajam. Aku mengangguk. “Kita senasib, maksudku kita berada di  lorong perjuangan yang sama, Julii. Well,  we might be just  dwarfs... tapi, apa tu... mampu menggegarkan! Betul tak?” Aku terus mencubit dorsal finnya. Julii akhirnya kulihat mempamerkan insangnya yang sedikit tegang. Aku fikir dia mula terangsang. Ah! Aku sebenarnya juga tidak kuat, kawan. Semangat ini yang cuba kuampuh-ampuhkan. Bukankah aku masih merupakan wanita daerah sini yang tipikal dan tradisional walau kadangkala terpaksa  lari dari horizon konvensionalnya: Sedikit keras dan berpendirian.

 

                        “Namun apa yang cuba aku pertahankan ialah di mana-mana kebobrokan itu tetap berlaku, Win. Tidak kira di atas,  di daerahmu dan di bawah ini, di daerah Corydorasku. Kekerasan itu berlaku di mana-mana saja. Apa yang penting kita harus kuat untuk menghadapinya. Kita yang harus kuat. Pertahanan kita yang sewajarnya ampuh. Kau lihat saja di daerahku ini, pertumpahan minyak  sebanyak 14 000 tan akibat perlanggaran  kapal  tangki  Owell Spirit dengan kapal kontena Hidro Blessing beberapa tahun sudah  dan lain-lain perlanggaran lagi di selat ini, begitu merengsakan kesejahteraan kami.”

                       

                        “Malah baru-baru ini aku dengar  kandungan raksa, Pb dan Zn yang tertinggi adalah di daerah Corydoras iaitu 0.0775 mg/l sedangkan nilai standard yang  dibenarkan hanya 0.004mg/l. Wah, itu satu malapetaka yang maha dahsyat aku fikir, Win. Kau pastinya tahu tentang kasus di Minamata yang memangsakan ratusan spesies dengan pembuangan raksa klorida. Lebih dahsyat lagi apabila mikro-organisma di dalam endapan daerah itu mengubah sebatian tersebut kepada kandungan toksik yang lebih tinggi iaitu metil raksa.”

 

                        “Tapi itu juga berpunca dari daerahku, bukan? Adakah kau ingin menyalahkan spesiesku, Julii?” Aku berdiri. Julii menghampiriku, dia menggeleng. “Entahlah, Win. Kita sama-sama mengerti, kan? Segalanya bersifat vicious circle. It is like a chain. Namun aku tidak bermaksud begitu. Aku cuma menyatakan apa sebenarnya yang berlaku. Kau faham, bukan?” Akhirnya aku dan Julii,  sama-sama menghela nafas yang berekor. Waduh, segalanya ini tidak harus terus melankolik. Dan  tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan, kan? Ho, ho! Aku senyum.

 

                        “Hei! Spesies Corydoras, everyday is a newday. Come on!!!”

                        Aku mengenyit Julii. Dan Julii  semacam mengerti (aku sedar), turut mengenyit sama.

 

                                                                           *    *    *

 

                       

            AKU  persis terdengar sesuatu yang lazim. Bukan seperti di hidrosfera Corydoras yang kadangkala ada sedikit yang mengganggu telinga. Ya, aku fikir aku mula kembali kepada sesuatu yang terdahulu.

 

                        “Okay, tolong buat head tilt chin lift.”

           

                                                                                                                                                                                   

                                                                                                                Berita Mingu, 15 Disember 1996

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 



1 Biokumulasi berlaku apabila sesetengah bahan toksik yang tidak boleh dipecah atau diurai oleh organisme disimpan dan terhimpun pada sesuatu.

2 Gelaran bagi penyelam mutiara di Jepun.

3 Jenis-jenis algae hijau.

4 Organisme yang terdiri daripada banyak sel.

5 Jenis terumbu karang pinggir.