Rumus   Kepimpinan dan Keadilan Impian  dalam 

Permata Desa Idris Boi 

oleh Mawar Shafei*

 

 

Pengenalan

Membaca novel Permata Desa [2000] oleh Idris Boi secara peribadi   tidak  begitu menuntut ruang masa yang lebar. Novel sepanjang 194 halaman ini menghidangkan satu laluan naratif yang disediakan rumusnya.  17 bab Permata Desa membahagikan plot cerita menurut rumus konvensional iaitu  permulaan – konflik – kemuncak cerita – penutup.

 

  Ia dimulakan dengan pengenalan protagonis Salim, seorang Pegawai Pertanian Daerah yang kembali ke desa kelahirannya, Kampung Pauh untuk meneruskan perkhidmatan.  Graf plot bergerak dengan beberapa tindakan Salim mentadbir  sosial dan pembangunan kampung. Salim menghadapi pelbagai konflik sepanjang usaha membaikpulih Kampung Pauh. Rata-rata tanggapan   tentang beberapa hambatan  Salim dalam menguruskan kampung dimaklumkan sejak  awal oleh pengarang bermula  tentang latar kampung yang ‘lesu dan tidak bermaya’ [hlm. 2].  Antara beberapa episod Salim dan konflik dari pelbagai pihak, diselitkan  juga  latar percintaan Salim-Cikgu Nuraida.  Permata Desa diakhiri dengan rumus pelengkap cerita, Salim menewaskan antagonis dan  membangunkan kampung kelahirannya. 

 

Latar  pembangunan kawasan luar bandar  dalam beberapa karya sastera Melayu umumnya bersifat identikal seperti novel Permata Desa. Rumus plotnya adalah  suatu dejavu oleh  kebanyakan  pengarang. Namun di samping konvensinya rumus keadilan impian [poetic justice] yang digunakan pengarang Permata Desa,  didapati juga  rumus kepimpinan yang menggerakkan plot serta protagonisnya, Salim. Justeru kecenderungan pengarang tersebut, kertas ini akan menjurus kepada beberapa tanggapan tentang kepimpinan dan kelompok lingkungannya yang mewajarkan plot cerita dibina sedemikian rupa. 

                                                                                                                                                                                                                   

           Terdapat beberapa anggapan tentang konsep “kepimpinan”. Misalnya kepimpinan sebagai tingkahlaku  individu apabila seseorang sedang mengarahkan aktiviti kelompok ke arah matlamat yang dikongsi bersama [Yulk, 1981:2]. Sementara menurut  Tannenbaum, Weshler  dan Massarik bahawa kepimpinan adalah pengaruh antara perseorangan yang dilaksanakan dalam sesuatu situasi dan diarahkan melalui proses komunikasi ke arah pencapaian matlamat atau matlamat-matlamat khusus [Yulk, 1981: 2].

 

   

Kemunculan pemimpin serta keperluan kepada kepimpinan mula menjadi suatu yang dituntut   apabila  ingin dicapai satu keputusan dalam sesebuah kelompok. Begitu juga untuk membolehkan  kelompok bertindak sebagai satu unit, seseorang pemimpin itu diperlukan. Fenomena hubungan pemimpin dan kelompok ini kelihatan begitu komprehensif dan bersifat timbal balik [reciprocal]  untuk mencapai sesuatu matlamat. Justeru corak  kepimpinan sebenarnya, seperti menurut  Fiedler,  ia tidaklah bergantung sepenuhnya terhadap ketokohan atau personaliti seseorang  pemimpin. Sebaliknya faktor kelompok juga kerap mempengaruhi iklim kepimpinan. “Kelompok” menurut Fiedler dalam konteks ini ialah  manusia yang biasanya  berkongsi matlamat yang sama dan anggota-anggotanya berinteraksi dalam usaha mencapai matlamat [Aminuddin Mohd Yusuf, 1990:8]. 

 

 

Hubungan timbal balik antara pemimpin dan kelompok ini berlaku dalam novel Permata Desa. Namun pengarang mewujudkan beberapa intrigue dalam plot novelnya ini yang rata-rata bertujuan memperlihatkan konsep serta  bentuk kepimpinan yang sepatutnya. Maka akan dilihat bagaimana “kepimpinan” ini dapat menggerakkan  graf naratif novel ini dan memenuhi pula tuntutan keakuran keadilan impian.

 

 

Analisis

 

Plot Permata Desa dimulakan dengan kemunculan semula protagonis Salim ke tanah kelahirannya sebagai seorang Pegawai Pertanian Daerah. Untuk memenuhi tuntutannya sebagai pemimpin baru di Kampung Pauh, sewaktu kepulangan Salim  pengarang mencipta latar kampung seperti,

 

Wajah-wajah lesu sawah yang hampir sudah tidak ada serinya. Wajah-wajah comot di sana sini memandang kepadanya dengan   pandangan yang memilukan… rumah-rumah masih lagi kelihatan usang. Ladang dan kebun kelihatan lesu tidak bermaya bagaikan   hidup segan mati tak mahu.  

                                                            [Idris Boi, 2000: 2] 

 

Malah Salim melakukan  perbandingan antara keadaan  Kampung Pauh dengan pembangunan Kampung Tersusun [kampung di daerah pentadbirannya sebelum ini].  Kampung Tersusun di bawah pentadbiran Salim dikatakan padat dengan  pelbagai pembangunan. Kehidupan penduduk semakin selesa dengan persekitaran yang bersih  dan prasarana yang teratur. Pengarang sebenarnya memberi tafsiran kepada keberkesanan kepimpinan Salim ke atas Kampung Tersusun. Secara implisit   ia mewajarkan kehadiran Salim di Kampung Pauh sebagai penggerak kepada masyarakat kampung ke arah pembangunan dalam proses pembaikpulihan seperti yang berlaku di Kampung Tersusun.  Tambahan Salim sudah membuktikan keupayaannya membangunkan Kampung Tersusun.

 

            Tindakan pertama  Salim dalam proses pembangunan Kampung Pauh ialah  melakukan pemerhatian awal   serta  mendapatkan laporan dari kakitangannya tentang  keadaan dan suasana kampung [Bab 3]. Melalui laporan Roslan, Ismail, Wahab dan Meor, Kampung Pauh dimaklumkan dalam keadaan yang serba serbi  kekurangan seperti prasarana yang tidak lengkap dan kegiatan sosial yang tidak menggalakkan.  Tuntutan terhadap kepimpinan Salim pada peringkat ini diistilahkan  Katz dan Kahn sebagai keperluan untuk perubahan pada persekitaran. [Aminuddin Mohd Yusof, 1990: 37]. Latar organisasi pentadbiran  Kampung Pauh yang diketuai Penghulu Hamid  sebelum kedatangan Salim tidak jelas.  Implikasinya dapat diperhatikan pada latar kampung yang tidak terurus.

 

Dalam monolog dalamannya  Salim pernah mempertikaikan soal “tanggungjawab” warga Kampung Pauh terhadap kemajuan dan kesejahteraan tanah kelahiran mereka [hlm. 3].    Tanggapan tentang pertanggungjawaban ini [accountability] memaklumkan bahawa seseorang pemimpin seperti pendapat Al Farabi antaranya memiliki sifat cintakan kebenaran  dan orang yang bersifat kebenaran. Malah Salim begitu optimis untuk memajukan Kampung Pauh. Ia diwajarkan pengarang dalam ucapan  Salim sewaktu menyambut kedatangan  Yang Berhormat Mohd Arif.   Keazaman yang kuat dan tidak mudah lemah semangat ini merupakan ciri kepimpinan Islam  yang dituntut [Aminuddin Mohd Yusof, 1990: 70].

 

 Pengarang juga mencipta ketokohan Salim  bersifat mikro dan lokal jika dibandingkan dengan kebanyakan daerah lain. Jawatan dan peranan seorang Pegawai Pertanian Daerah ternyata satu jawatan yang begitu berpengaruh bukan saja dalam konteks pertanian per se tetapi lebih lebar daripada itu dalam pendidikan, agama, ekonomi dan pentadbiran kampung. Ketokohan  tersebut  diwajarkan dengan latar Kampung Pauh sebagai sebuah kampung pertanian [Bab 3].

 

 

Program dialog dan kesedaran di kalangan warga kampung diusahakan Salim  untuk [hlm. 46]:

1.   mengubah kedaan hidup penduduk kampung agar menjadi ebih baik

2.   mengubah cara berfikir dan sikap untuk kebaikan penduduk sendiri

 

 

Jalur kepimpinan Salim tersebut  mewujudkan interaksi antara  kelompok di bawah pentadbirannya. Malah konsep “pemimpin bersama rakyat” ini dinilai  sebagai tuntutan pemimpin itu dalam kedinamikan sesebuah organisasi. Ia misalnya  dilakukan melalui   kegiatan bergotong royong warga Kampung Pauh membaikpulih bangunan sekolah dan  membersihkan surau. Salim juga berusaha menghidupakan semula kegiatan seperti kelas tambahan di sekolah, membuka perkhidmatan kesihatan di kelinik dan beberapa kegiatan belia. Namun teknik pengarang yang banyak “to tell” memaklumkan langsung semua usaha Salim dan jawatankuasanya berjaya . Misalnya tentang membaiki keadaan surau Kampung Pauh telah menjadikan kebanyakan penduduk kampung berjemaah di surau,

 

 

Kalau dahulu surau itu hanya dikunjungi oleh beberapa orang jemaah sahaja, kini mulai dikunjungi oleh ramai penduduk kampung. Hampir setiap malam surau itu penuh dengan para jemaah. Untuk menarik lebih ramai lagi yang datang bersembahyang ke surau itu terutamanya golongan muda an remaja, pihak surau  telah mengadakan kelas fardhu ain dan kifayah.    Kelas-kelas seumpama ini sebelum ini belum pernah diadakan. Ia diadakn bertujuan untuk menambahan lagi pengetahuan agama di kalangan penduduk kampung itu. Sejak aktiviti itu diadakan, boleh dikatakan  surau Kampung Pauh tidak pernah sunyi daripada kegiatan agama. Malah Salim juga membawa beberapa orang penceramah dari luar untuk memberi  ceramah agama di kampung berkenaan.

 

                                                                                    [Idris Boi, 2000: 49-50]

 

 

Beberapa ciri kedinamikan oraganisasi itu jelas dimaklumkan secara teknik “to tell” juga dalam kebanyakan  teks ucapan Salim dan Yang Berhormat Mohd Arif. Antaranya  sewaktu acara hari pertama Salim di pejabatnya [hlm 37],  dan perasmian  pembukaan balairaya Kampung Pauh [hlm. 64].

 

 Konsep interaksi dalam kelompok ini dilihat sewaktu Salim menubuhkan jawatankuasa dalam Projek IADPnya. Begitu juga dengan jambatan diplomasinya dengan Imam Saad rata-rata  menjayakan sebahagian besar perancangan Salim ke atas Kampung Pauh. Malah Imam Saad dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Projek IADP. Kedudukan dan pengaruh Imam Saad sebagai ketua institusi keagamaan digunakan Salim sebaik mungkin khususnya untuk membaiki warna sosial belia kampung.

 

Namun bagi seseorang pemimpin seperti watak antagonis Penghulu Hamid, soal pengiktirafan amat diperlukan bagi mewajarkan kedudukannya. Sokongan warga kampung dan berhasilnya upaya Salim mengembalikan kesejahteraan Kampung Pauh mendapat reaksi yang berbeza dari Penghulu Hamid.  Konflik Penghulu Hamid tidak dijemput ke mesyuarat yang dianjurkan oleh jawatankuasa  Salim,dijadikan peluru untuk memusnahkan kedudukan Salim.  Fenomena interpersonal underworld yang disebut Schutz membikin perbalahan di kalangan kelompok [dalam kasus ini Penghulu Hamid dan anaknya Sameon, mewakili kelompok di bawah kepimpinan Salim]. Penghulu Hamid mempunyai kehendak dan matlamat yang jauh berbeza daripada Salim dan kebanyakan penduduk kampung. Rancangan Salim adalah untuk IADP. Sebaliknya Penghulu Hamid, Sameon yang bersekongkol dengan Tauke Wong membeli secara paksa tanah orang kampung untuk tujuan pembinaan kilang papan di Kampung Pauh. Konflik ini menjadi satu kekangan yang lebar dalam usaha kedua-dua pihak – pemimpin dan kelompok – mendapatkan keputusan dan kesefahaman. Namun berdasarkan kepimpinan Salim, pengarang mencipta beberapa mekanisme  seperti “mencari kebenaran”[1] apabila Salim menyiasat di Jabatan Alam Sekitar; dipastikan bahawa rancangan pembinaan kilang papan itu tidak pernah diluluskan. 

 

 

            Bab 14 merupakan kemuncak Permata Desa. Suasana gembira dan riang di kalangan penduduk kampung rata-rata  memberi tafsiran kepada kesan kepimpinan Salim selama beberapa bulan di Kampung Pauh. Ia menunjukkan kepimpinan Salim berjaya membangunkan Kampung Pauh dari aspek material dan spiritualnya juga. Pada graf plot yang sama juga rumus keadilan impian semakin jelas apabila dicipta pengarang kematian Tauke Wong dan penangkapan Sameon yang terlibat dalam pengedaran dadah. Hubungan cinta Salim-Cikgu Nuraida juga mengampuhkan lagi climax  novel Idris Boi ini.

 

 

            Peribadi Salim sebagai pemimpin  begitu dilindungi pengarang sedaya upaya daripada sebarang intrigue. Ia termasuk batasan yang diwujudkan pengarang dalam hubungan kasih Salim-Nuraida. Konsep “kepimpinan melalui teladan” diperhatikan ada dalam diri kepimpinan Salim. Kedua-duanya tidak melangkaui batasan hubungan sepasang kekasih untuk menyelamatkan “kebersihan” kepimpinan Salim. Ia turut dibantu dengan episod kedua ibu bapa Salim yang menasihatkan agar Salim menjaga batas hubungannya dengan Nuraida [hlm.  192]

 

            Mengandaikan plot ala keadilan impian ini sudah selesai, pengarang separa mengejutkan [teknik ini disusuli dengan penanda [clues] yang banyak, [hlm.185], rumah Salim dibakar dalam episod anti-klimaks ini. Namun Salim sebagai wira atau protagonis yang diwajarkan dengan nilai “baik dibalas baik”, tetap diselamatkan pengarang. Bagi mengukuhkan lagi rumus keadilan impian dengan sifat kepimpinan yang agak ideal, Penghulu Hamid didapati bersalah kerana terlibat dalam kasus pembunuhan Tauke Wong. 

 

Rumusan

 

Melalui  beberapa ciri kepimpinan yang dibaur pengarang dalam protagonis Salim , ternyata dapat membantu menggerakkan plot novel Permata Desa ini. Malah rumus konvensional keadilan impian novel ini dapat diwajarkan dengan warna kepimpinan Salim, Imam Saad, Penghulu Hamid dan kelompok Kampung Pauh yang terlibat. Rumus keadilan impian dan juga konsep kepimpinan yang digunakan dalam kajian ini mewajarkan judul Permata Desa, novel Idris Boi. Salim alias pemimpin yang ideal itulah  “permata desa” untuk warga Kampung Pauh.

 

 

Bibliografi

Aminuddin Mohd Yusof. 1990. Kepimpinan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa

dan Pustaka.

 

 

Coon, Dennis. 2000. Essentials of Psychology: Exploration and

Application. Belmont: Wadsworth.

 

 



* Dibentangkan dalam Majlis Diskusi  Novel anjuran Bahagian Teori  dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka [DBP] dan  DBP cawangan Sarawak pada 16 Julai 2001.

[1] Menurut Imam Ghazali antara pertimbangan seorang pemimpin ialah:

 

1.     Dia tidak saja harus mengawal dirinya, tetapi juga diri orang bawahnya dan tidak bertolak ansur dengan tingkah laku bongkak mereka. Keadilan bermakna bertindak mengikut akal dan bukan emosi.

2.     Dia harus menembusi ke inti perkara, bukan hanya melihat pada bentuknya kerana keadilan berakar dalam kebaikan

 

Rujuk Aminuddin Mohd Yusof, hlm. 69.