Lacan dalam “Cermin” Azmah Nordin*

oleh Mawar Shafei

 

 

 

Pengenalan

Kertas kerja ini akan membincangkan Teori Psikoanalisis Lacan dan aplikasinya dalam teks sastera Melayu. Justeru Teori Psikoanalisis Lacan antaranya  melihat aspek kejiwaan manusia, maka tidak terelakkan daripada dibincangkan watak yang terlibat dalam cerpen kajian kertas ini, “Cermin” karya Azmah Nordin. Daripada bacaan Lacan dalam cerpen ini, akan cuba ditafsirkan makna  konflik diri serta makna keseluruhan yang hendak disampaikan pengarangnya.

 

Teori Psikoanalisis Lacan

 

Jacques Lacan  [1901-1981] merupakan seorang psikoanalis Perancis.  Beliau pada asalnya terlatih dalam bidang psikiatri malah dalam dekad-dekad 30-an dan 40-an pernah merawat pesakit psikotik di Paris. Setelah keluar dari International Psychoanalytic Association pada 1953 kerana perbezaan amalam perubatan, Lacan bersama Daniel Lagache menubuhkan Societe Francaise de Psychoanalyse. Dalam tahun-tahun 1950-an Lacan mula mengembangkan versi psikoanalisisnya berdasarkan gagasan  strukturalis linguistik dan antropologi. Sebahagian besar daripada  gagasan awal Sigmund Freud tentang psikoanalisis mempengaruhi pemikiran Lacan. Beliau kemudiannya  melakukan interpretasi semula psikoanalisis Frued itu dalam gaya strukturalis dan pasca-strukturalis. Justeru itu didapati kerangka teori ini secara kasarnya  menggabungkan dua  teori awal iaitu psikoanalisis Freud dan strukturalisme  Saussure[1].

 

Lacan juga menubuhkan Ecole Freudienne di Paris pada 1964 setelah teorinya kian berkembang.  Bukunya Ecrits [1966] mendapat perhatian dari banyak pihak; walau  ia  dikatakan sukar ditanggap masih mempengaruhi    bidang lain seperti linguistik, teori filem dan kritikan kesusasteraan . Tulisan  Lacan yang lain antaranya ialah The Four Fundamental Concepts of Psychoanalysis [1977], Feminine Sexuality [1982] dan tiga volum dalam  The Seminar of Jacques Lacan [1988].

 

Psikoanalisis Freud merupakan satu sistem  interpretasi dan rawatan terapi terhadap    gangguan psikologi.  Psikoanalisis ini muncul apabila Freud menyudahkan pengajiannya di bawah seorang neurologis Perancis, J.M. Charcot di Paris. Beliau percaya bahawa histeria berpunca bukan dari simptom organik dalam sistem saraf sebaliknya ia disebabkan gangguan emosi. Kemudiannya bersama Josef Breuer, Freud menulis dua kertas berkenaan histeria ini yang merupakan   asas kepada teori psikoanalisisnya. 

 

Freud menggagaskan bahawa dalam diri manusia terdapat tiga  daerah kesedaran  [consciousness] iaitu kesedaran [consciousness], pra sedar [pre conscious] dan bawah sedar [unconscious]. Ketiga-tiga peringkat ini rata-rata mempengaruhi tingkahlaku, pemikiran dan emosi seseorang. Melalui daerah kesedaran ini beberapa konsep dikembangkan seperti id, ego dan superego. Id dikatakan sebagai satu dorongan biologikal [libido] yang mendorong manusia berbuat  apa saja untuk kepuasan diri [desire]. Ia bergerak atas prinsip hedonistik.  Ego pula bertindak bagaimana memuaskan kehendak id berdasarkan prinsip rasionaliti. Sementara untuk mengimbangkan segala kehendak ini, superego memainkan peranannya berdasarkan prinsip  moral.

 

Namun seringkali berlaku konflik antara ketiga-tiga daerah ini yang dinamakan kebimbangan [anxiety]; antaranya yang banyak difokuskan Lacan kemudiannya  ialah kompleks Oedipus. Ia merupakan satu bentuk kekeliruan identiti apabila anak lelaki berasa imej ayah merupakan pesaing untuknya  mendapatkan kasih sayang ibu.    Walau bagaimanapun satu   kaedah akan digunakan ego untuk mengawal kebimbangan ini iaitu melalui mekanisme helah beladiri [defence mechanism]. Dalam konteks konflik kompleks Oedipus, satu bentuk identifikasi dilakukan oleh anak lelaki misalnya mengampuhkan sifat kelelakian mereka seperti ketegasan dan kekuasaan. Beberapa fenomena ini  meresap kembali dalam Teori Psikoanalisis Lacan yang kadangkala  dalam tafsiran baru.

 

Strukturalisme Sassure  pada dasarnya bermula dengan era Kritikan Baru [The New Critic] yang akhirnya mendorong kepada perkembangan strukturalisme itu sendiri. Tokoh Kritikan Baru di Amerika begitu taksub dengan fenomena pemusatan terhadap sesebuah teks sastera dengan mengabaikan aspek sastera lain yang bersifat lebih luas dan struktural. Mereka berpendapat betapa kritikan sastera harus berpusat pada karya sastera itu sendiri tanpa memerhatikan pengarang, khalayak dan sesuatu yang berada di luar karya tersebut. Kritikan Baru juga sering dikatakan      sebagai sebuah aliran yang mengenepikan kedudukan dan peranan sejarah.

 

Kemunculan Ferdinand de Saussure dengan bukunya Course in General Linguistics [1916] memulakan penelitian secara strukturalisme terhadap penggunaan bahasa. Menurutnya strukturalisme berkait rapat dengan struktur dalam linguistik. Bahasa sebagai sistem perlambangan harus dikaji secara sinkronik  dan bukan sebaliknya.  Menerusi pendekatan ini, penelitian ditumpukan pada teks kajian tanpa penglibatan sebarang aspek luaran. Kerja mengasing-cantum semula dilakukan untuk menanggap objek yang tersembunyi [Mana Sikana, 1998: 253] Kajian teks sastera secara strukturalisme  dilihat sebagai sebuah struktur iaitu terdiri   daripada susunan unsur-unsur yang bersistem yang mempunyai hubungan, saling berkaitan dan saling melengkapi. Kaedahnya dengan melihat objek sebenar,mengasingkan dan menceraikan kemudian dicantum dan kembali untuk menunjukkan suatu makna yang baru.

 

 

Terdapat enam prinsip strukturalisme iaitu hubungan [relation] yang beranggapan unsur-unsur dalam karya sastera berkait rapat untuk menentukan makna keseluruhan karya. Kedua prinsip keseluruhan [wholeness] iaitu melihat bentuk dan isi yang mempunyai hubungan dengan makna. Ketiga, transformasi iaitu struktur itu mengalami proses perubahan yang berterusan. Malah ia memungkinkan pembentukan karya yang bertahap avant garde hatta menjadi aliran pada suatu masa. Keempat karya sastera mempunyai regulasi diri [self regulation] iaitu karya sastera memenuhi dirinya tanpa bantuan dan hubungan dengan sesuatu yang ada di luar karya sastera tersebut seperti pengarang dan dunianya. Kelima kajian karya sastera secara strukturalisme hanya dilakukan secara sinkronis atau menyeluruh. Keenam ciri desentralisasi iaitu pendekatan ini menekankan unsur-unsur dalaman. 

 

Menerusi Teori Psikoanalisisnya  Lacan menyatakan bahawa   daerah bawah sedar mempunyai susunan atau sistem yang mampu membina tanda, metafora dan tanda/symbolic seperti dalam bahasa. Malah antara analisis teori Lacan   memberi penekanan kepada aspek metafora, metonimi, alegori, naratif dan dialog. Ia bukanlah semata-mata untuk tujuan aestetik tetapi untuk memantulkan fenomena  “bawah sedar”. Justeru itu  Lacan membezakan “psikoanalisis”nya daripada fahaman Freud. Menurut Lacan psikoanalisis Freud tidak bersifat saintifik kerana ia berdasarkan konsep mimpi  dan beberapa istilah yang digunakan Freud agak abstrak, sukar untuk dihurai dan tidak dapat dipastikan kewujudannya.

 

Lacan turut menjelaskan konsep kejiwaannya dengan  menyatakan konsep desire atau ”keinginan”. Keinginan digerakkan oleh kuasa diri yang kuat ke arah nafsu [libido]. Ia kadangkala mengimbas kembali masa lampau untuk seseorang mengisi tuntutan masa kini dan sentiasa bersifat “ketidakpuasan”. Keinginan-keinginan ini sentiasa tumbuh  sehinggalah  seseorang itu mempunyai kuasa pengimbang seperti ideologi yang dapat memenuhi segala tuntutan.

 

Freud pernah membincangkan tiga tahap psikoseksual manusia yang awal iaitu: mulut [oral], dubur [anal] dan kubul [phallic]. Tahap-tahap ini akhirnya mencipta era dewasa melalui beberapa wahana seperti kompleks oedipus dan kompleks dikasi  [castration]. Walau bagaimanapun Lacan mencipta kategori yang berbeza untuk menjelaskan hal yang sama – perkembangan kanak-kanak ke dewasa.  Lacan mengutarakan tiga konsep iaitu need-demand-desire yang bertaut erat dengan tiga  tahap perkembangan manusia –  imajan/imaginary,  tanda/symbolic dan real.

 

Seperti Freud, Lacan juga berpendapat bahawa tahap perkembangan bayi/kanak-kanak bermula dengan sebuah tanggapan bahawa dirinya bersatu dengan ibunya. Pada tahap  ini bayi belum lagi mengenali dirinya. Apa yang diketahuinya ialah “keinginan” [need] pada makanan atau perlindungan. Keinginan-keinginan ini dapat dipenuhi dengan adanya  suatu objek lain. Walau bagaimanapun pada tahap ini didapati bayi masih percaya “sesuatu objek” itu merupakan sebahagian daripada dirinya – belum ada lagi konsep sesuatu yang di luar daripada dirinya. Hanya yang wujud ialah keinginan dan objek yang memenuhi tuntutan keinginannya itu. Tahap ini menurut Freud dan Lacan perlu dileraikan untuk membentuk dunia sosial bayi. Peleraian itu sebahagian besarnya akan mengakibatkan “kehilangan” apabila bayi mula sedar perbezaan antara dirinya dengan ibunya. Proses penentangan binari/binary opposition, pendewasaan dan pengidentifikasian mula berlaku.

 

Walau bagaimanapun menurut Lacan jika bayi masih tidak melalui tahap peleraian tersebut, malah merasakan keinginannya sudah cukup dipuaskan, bayi akan memasuki tahap real – kesempurnaan/kesatuan diri. Malah menurut Lacan pada tahap ini tidak diperlukan bahasa kerana dianggap segalanya sudah begitu sempurna sehingga bahasa tidak lagi berperanan. Setelah melangkaui tahap need-real itu, bayi/kanak-kanak akan beralih kepada fenomena “memerlukan” atau demand. Demand tidak dapat dipuaskan dengan objek sebaliknya diperolehi daripada pengiktirafan. Proses menyedari bahawa wujud the other daripada dirinya, membikin kanak-kanak membina peleraian atau otherness.

 

Kebimbangan ini membuatkan kanak-kanak ingin kembali ke alam realnya dan segalanya ini masih bergerak di alam bawah sedar kanak-kanak tersebut. Dia mahukan kepuasan daripada the Other[2] itu untuk kembali kepada “kesatuan” dalam dirinya. Akhirnya kanak-kanak berhasrat untuk menghapuskan the other itu. Inilah antara proses pembentukan nilai yang berulang [pengulangan struktur keinginan] dalam diri kanak-kanak – proses penyatuan, peleraian dan penyatuan kembali. Proses ini berlaku antara bayi/kanak-kanak yang berusia 6-18 bulan dan masih dalam keadaan belum boleh berkata-kata. Segala bentuk kepuasan yang diberi masih belum dapat memenuhi demand. Pada tahap ini konsep “diri” masih belum jelas dalam diri bayi/kanak-kanak.

 

Tahap ini yang dinamakan Lacan sebagai tahap cermin [mirror stage]. Pada tahap umur 6-18 bulan, bayi/kanak-kanak belum lagi menguasai tubuh badan, pergerakannya dan belum jelas tentang dirinya sebagai suatu keseluruhan/kesatuan [wholeness]. Sebaliknya bayi/kanak-kanak merasakan dirinya terpisah-pisah. Namun melalui tahap cermin ini, bayi/kanak-kanak mula melihat pantulan imejnya pada cermin [proses identifikasi imajan], menjelaskan bahawa wujud dirinya dan diri lain [the other] misalnya “ibu”.  Fenomena ini memaklumkan bahawa bayi/kanak-kanak mencipta apa yang dinamakan Lacan sebagai wholeness itu.

 

Walau bagaimanapun semasa berlaku proses identifikasi imajan itu, sebenarnya bayi/kanak-kanak membuat kesilapan dalam menafsir wholeness atau apa yang diistilahkan dalam psikoanalitik sebagai keunggulan ego [ego ideal]. Keunggulan ego ini membatini diri bayi/kanak-kanak itu dan membayangkan bahawa “diri” begitu bersifat sempurna. Keunggulan ego ini turut dianggap sebagai “gantirugi” terhadap kehilangan original oneness [contohnya ibu] sebelum ini. Rumusannya apabila “diri” kehilangan  original oneness untuk melibatkan diri dalam latar budaya, keunggulan ego digunakan untuk melindungi kehilangan itu.

 

Justeru tahap ini mengangkat fenomena demand dan penerimaan    identiti  dalam hubungan imajan/imaginary [mirror stage] Lacan menamakan tahap ini sebagai tahap imajan/imaginary. Tahap ini sebenarnya merupakan satu metafora bagi suatu konsep diri rekaan yang tidak memerlukan cermin sebenar dan bayangan cermin [Mana Sikana, 2001: 27]. Ia juga merupakan tahap penyatuan dikotomi diri/self  dan the other  yang sebelum ini pernah dipisahpecahkan akibat kesilapan identifikasi.

 

            Setelah kanak-kanak mempunyai rumus tentang otherness dan dapat mengidentifikasi diri, mereka akan masuk ke tahap tanda/symbolic. Tahap imajan  dan tahap tanda ini agak bertindihan, tidak seperti  tahap-tahap perkembangan Freud.  Ia tidak begitu jelas pembahagian antara keduanya. Susunan tanda-tanda menurut Lacan adalah seperti struktur bahasa.[3]

 

Konsep other dalam kasus ini  mewakili tanda kehilangan, kanak-kanak yang tidak lengkap/sempurna. Lacan menganggap gagasan tentang other dan Other  itu adalah kesilapan identifikasi diri yang berlaku pada setiap kanak-kanak. Namun ia membantu membentuk struktur asas susunan tanda dalam bahasa; kanak-kanak harus melewati tahap ini untuk menjadi dewasa. Maka itu otherness juga memainkan peranan dalam struktur idea. Maka pada tahap ini terdapat struktur otherness  dan struktur “kehilangan”.

 

Other [O besar] merupakan satu kedudukan struktur dalam susunan tanda. Ia merupakan ruang  untuk setiap orang memasukinya bagi membezakan “diri” dan other [o kecil]. Konsep “pusat” [center] dalam sistem  tanda  merujuk kepada “bahasa”. Persis “pusat” itu,  Other tidak boleh digabungkan dengan sesuatu yang lain. Maka itu  kedudukan Other mencipta seterusnya merentetkan “kehilangan” yang tidak berkesudahan atau apa yang digelar Lacan, desire. Desire ini  hendak menjadi the Other – ia tidak lagi boleh dipuaskan oleh suatu objek lain sebaliknya ia hendak menjadi “pusat” sistem tanda atau sistem bahasa. “Pusat” dalam kasus Teori Psikoanalisis Lacan ini juga diwakili phallus, meminjam konsep dari  kompleks oedipus Freud.

 

Tahap cermin ini dapat dikatakan tahap pra-oedipus.  “Diri” dibina dalam hubungan dengan  the other, gagasan the Other malah “diri” ingin bersatu dengan the o/Other itu. Dalam tanggapan Freud persoanliti “ibu” itu  mempunyai kedudukan yang istimewa di mata kanak-kanak; mereka ingin bersatu dengan ibu. Kanak-kanak memutuskan  bahawa mereka boleh bersatu dengan ibu mereka sekiranya mereka menjadi seperti yang diingin ibu. Kanak-kanak pada peringkat ini menurut Lacan cuba memenuhi desire ibu mereka.

 

Konsep “diri” itu menurut Lacan  berdasarkan tanggapan  terhadap “bawah sedar”. Ia terstruktur seperti bahasa. Pendapat Lacan ini merujuk kepada dua mekanisme utama dalam proses bawah sedar iaitu pemadatan [condensation] dan pindahgantian [displacement]. Kedua-duanya merupakan fenomena linguistik iaitu  pemadatan [dalam metafora] dan pindahgantian [dalam metonimi]. Rumusan Lacan bahawa   “bawah sedar” adalah terstruktur seperti  bahasa. Dalam kasus ini Lacan akur pada gagasan Saussure tentang  hubungan signifier dan signified;  menurut Saussure kedua-duanya  membentuk “tanda”. Modifikasi yang dilakukan Lacan ialah memfokuskan hanya pada signifier – segala elemen bawah sedar seperti “keinginan”, “nafsu” atau “imajan”. Rantaian signifier ini membawa hala tafsiran ke arah pecahan makna yang lebih jamak. Maka itu Lacan menterjemahkan   rantaian signifier ini persis “bawah sedar”.  

 

 Tahap tanda ini  dimasuki kanak-kanak menerusi jalur perkembangan bahasa dan kemudiannya   daerah sosial. Pada awalnya kanak-kanak belajar mengenali tanda tentang dirinya [subjektiviti], kemudian beralih menguasai subjek diri, memahami sesuatu dan menanggap apabila menguasai gender. Secara perlahan mereka memasuki susunan simbolik – sistem struktur yang sedia ada seperti kelahiran, kekerabatan, gender dan bahasa. Maka kanak-kanak pada tahap ini mula memerhati  kedudukan “ayah” dalam keluarga. “Ayah” dilihat sebagai tanda kekuasaan/undang-undang dalam pemikiran bawah sedarnya. Hubungan libido dengan ibu diganggu dengan kehadiran ayah. Undang-undang sosial yang akhirnya menenggelamkan nafsu [desire] atau bawah sedar itu. Maka itu bagi Lacan kewujudan pengalaman bawah sedar adalah serentak dengan kewujudan bahasa kanak-kanak. Ia berbeza dengan Freud yang mendakwa bahawa pengalaman bawah sedar wujud sebelum bahasa berperanan.  

 

            Daripada  beberapa kajian ini juga menemukan Lacan kepada istilah dalam bidang paranoid iaitu skizofrenia. Ia mewakili fenomena kenanaran [chaos] dalam bahasa, hubungan yang tidak lazim antara signifier, tanda-tanda yang silang menyilang dan bersifat paradoksikal. Kecelaruan ini akhirnya mewujudkan watak-watak dan teks-teks yang bersifat  skizofrenik.

 

Akhirnya dirumuskan bahawa teori ini cuba mengkaji aspek kejiwaan manusia melalui tanda-tanda bagi memenuhi keinginan atau kuasa. Seperti pendapat Barthes sewaktu menafsir kerja Lacan ini katanya, tahap cermin membawa  konotasi objek “cermin” sebagai suatu objek yang nyata persis kanak-kanak yang menghadap cermin; ia tidak memberi apa-apa makna. Namun pantulan pada cermin itulah merupakan dunia tanda kepada kanak-kanak. Oleh kerana kanak-kanak itu masih di tahap belum beridentiti maka apa yang dilihatnya hanyalah tanda sehinggalah perubahan kepada dunia real iaitu apabila kanak-kanak tersebut didominasi bahasa/kuasa/ideologi.

 

 

Kepengarangan Azmah Nordin

Azmah Nordin dilahirkan pada 10 Januari 1958 di Kulim, . Kedua-dua orang tuanya berasal dari Negeri Sembilan.  Namun kemudiannya mereka sekeluarga kerap berpindah atas keperluan ayahnya yang pada ketika itu bertugas sebagai seorang anggota polis. Mereka pernah menetap di Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.   Walau bagaimanapun Azmah Nordin   mula menetap di Kepayan, Sabah sejak tahun  1973 setelah berumahtangga dengan seorang pemuda dari Papar. Sehingga kini mereka dikurniakan tiga orang cahayamata.                                

                                                                                                                        

Azmah Nordin menerima pendidikan awal di Kulim, Kedah  dalam aliran Melayu dan Inggeris hingga ke peringkat MCE. Justeru pendidikan yang sederhana  ini melalui sebuah wawancara bersama Lim Swee Tin Azmah Nordin  menyatakan,

 

“Saya sedar dalam pendidikan saya hampir tidak mempunyai apa-apa. Oleh itu, dalam berkarya saya perlu gigih. Jika tidak, saya tidak akan sampai ke mana-mana.”

 

                                                                        (Mingguan Watan, 14 Mei 1995)                   

 

            Justeru itu didapati  Azmah Nordin daripada hasil pembacaan itu menghasilkan karya yang kerap dilihat sebagai “karya di luar konvensi”. Azmah Nordin  kerap menjadikan sejumlah bahan bacaan dari latar non-sastera sebagai bahan rujukan utamanya sewaktu menghasilkan karya kreatif. Antara latar atau bidang yang turut dibaur dalam karyanya ialah seperti perubatan, sains komputer, senibina, sukan dan budaya etnik Sabah.

           

Azmah Nordin memulakan langkah penulisannya dengan menghasilkan  cerpen pertamanya,  “Bosan” [Wadah, Oktober 1986]. Beliau kemudiannya  menghasilkan dua buah kumpulan cerpen iaitu Singkowoton [1994] dan Wizurai [1997]. Novel dewasa pertama Azmah Nordin berjudul   Dukanya Abadi [1988] diikuti dengan beberapa novel lain dalam kategori dewasa [9 buah], remaja [22 buah] dan kanak-kanak [9 buah] - lihat lampiran.

           

Novel-novel Azmah Nordin seperti Syumul, Menongkah Lumrah, Awang Kirana Mudir Besar dan Halusinasi – merupakan antara karyanya yang memfokus pada protagonis wanita alam dunia korporat dan politik. Watak wanita yang diangkat pengarang kerap digambarkan sebagai watak yang penuh dengan konflik gender – persaingan keupayaan dan kemampuan dengan watak lelaki. Rosnah Baharuddin berpendapat karya Azmah Nordin, 

 

Watak-watak yang ditampilkannya tidak ramai lagi terkepung dalam dunia tradisi dan rumahtangga sahaja. Wanita yang bersedih dan meratapi nasib tanpa mampu bertindak dan bangkit melawan penganiayaan sudah semakin jauh ditinggalkan. Mungkin watak-watak begini tidak menarik perhatiannya. Mungkin juga sebagai pengarang Azmah Nordin berusaha menganalisis masalah wanita dekad 1990-an pula.

 

                                                     (Dewan Sastera, September 1995: 54)

           

Beberapa pengiktirafan sastera yang diperolehi Azmah Nordin antaranya ialah,

 

·        Hadiah Penghargaan dalam Peraduan Menulis  Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dengan kerjasama Jabatan Ketua Menteri Sabah 1986 melalui novel Kukui

 

·        Hadiah Kedua dalam Peraduan Menulis Novel Kanak-kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 1987 melalui novel Noor Ainku Sayang.

 

·        Hadiah Ketiga Sayembara Anugerah Novel Sejarah Nasional 1988 [tiada pemenang pertama dan kedua] untuk novel Timulak Kapal Perang.

 

·        Hadiah Sastera Sabah dan Hadiah Sastera Malaysia 1988/89 untuk cerpen “Singkowoton”.

 

·        Hadiah Sastera Sabah 1988/89 untuk novel Dukanya Abadi.

 

·        Hadiah Ketiga dalam Peraduan Menulis Novel (kategori dewasa)  oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan  Sabah dengan kerjasama Jabatan Ketua Menteri Sabah 1989 untuk novel Debur Menerpa .

 

·        Hadiah Pertama Peraduan Menulis Novel 1989 Sempena 25 tahun Sabah Merdeka, Hadiah Sastera Sabah 1993 dan Hadiah Sastera Malaysia 1992/93 untuk novel Dari Dalam Cermin.

 

·        Hadiah Kedua dalam Sayembara ESSO-GAPENA VIII 1991 untuk cerpen “Kuntum Perdamaian”.

 

·        Hadiah Pertama kategori novel remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan  Sabah 1991 untuk novel Puteri Harapan .

 

·        Hadiah Pertama dalam Peraduan Mengarang Cerpen anjuran MAYBANK-DBP 1991 untuk cerpen “Mikrotome”.

 

·        Hadiah Istimewa Peraduan ESSO-GAPENA 1994 untuk novel Syumul.

 

·        Hadiah Sastera Sabah 1995 untuk novel Kewujudan Maya dan cerpen “Lintasan Cinta”

 

·        Hadiah Saguhati dalam Anugerah Buku Kanak-kanak 1995 anjuran Mobil-MABOPA untuk novel Ima Puteri Air.

 

 

Aplikasi Teori dalam Teks

Sebuah cerpen Azmah Nordin  yang akan dibincangkan dalam kertas ini ialah  “Cermin”. Dalam cerpen ini  Azmah Nordin memperkenalkan   watak Riad, seorang jurubina. Lewat watak protagonis Riad,  Azmah Nordin memperihalkan pemikiran, perasaan dan konflik  seorang jurubina. Riad dilukiskan sebagai watak representasi kepada generasi muda  yang menolak adat tempatan iaitu mansayau atau  proses pemindahan penghuni rumah panjang dalam kepercayaan suku kaum Murut. Riad menolak  permintaan dan rayuan penduduk rumah panjang agar dibatalkan projek Wisma Utama yang dijalankan di kawasan mereka.

 

             Lewat cerpen ini Azmah Nordin  menggunakan objek cermin sebagai ‘lawan dialog’ Riad dengan salah seorang penduduk rumah panjang: Lelaki yang   diilustrasikan bercawat dan sedang menari-nari di lansaran. Antara yang dibincangkan ialah kesilapan  Riad  membakar rumah panjang kaum Murut itu. Cerpen “Cermin” diakhiri apabila  Riad mendapat berita dari anaknya, Susan bahawa bangunan yang didirikan di atas tapak kawasan rumah panjang tersebut mampat akibat banjir kilat.

 

Pengarang memulakan narasinya dengan pemaparan watak Riad yang  melakukan pencarian diri atau subjektiviti. Struktur keinginan [need]  dikesan pada para pertama lagi iaitu,

 

Mungkin, beginilah perasaan  seseorang apabila meraih kejayaan, fikirnya. Kejayaan yang diibaratkan sudah berada di dalam tangan. Riad tersenyum lebar. Dia berasa seperti ada cahaya dalam dirinya. Seolah-olah cahaya itu bersatu dalam sukma, pada pagi hari di mana sinar matahari menguak dan menyerap ke seluruh salur nadinya. Terasa begitu indah segalan-galanya. Bagaikan dia sedang berada di lingkaran keharuman jutaan bunga dari syurga. Dia bersemadi di dalamnya. Dia menghidu sepuasnya. 

 

                                                            [Singkowoton, 1994: 97]

 

Keinginan Riad terhadap projek pembinaan bangunan Wisma Utama akhirnya tercapai. Rentetan kegembiraan itu Riad mendapati  “cahaya dalam dirinya”  yang kemudian  “bersatu dalam sukma”. Fenomena penyatuan ini  menjelaskan bahawa Riad  percaya “suatu objek“ lain itu masih merupakan sebahagian daripada “dirinya”. Riad masih belum dapat mengasosiasikan kejayaannya itu dengan suatu yang lain [Rahmat Tuhan, kegigihannya atau kesengsaraan penduduk rumah panjang yang dianiaya]. Malah setelah memenuhi keinginan itu Riad beralih ke tahap real iaitu apabila keunggulan egonya wujud. Menurut Lacan Riad perlu meleraikan  the wholeness itu bagi membentuk daerah sosialnya. Mengidentifikasi dan meleraikan  the wholeness atau  meninggalkan original oneness itu yang wajar dilakukan Riad agar dia mampu memahami getar serta keperitan yang dialami penduduk rumah panjang. Riad perlu juga melihat aspek penentangan binari iaitu antara dirinya dengan penduduk rumah panjang [atau “kejayaan” dengan  “kegagalan” – kegagalan penduduk rumah panjang mendapat ihsan pihak pemaju Wisma Utama.

 

Demand Riad semakin jelas apabila dia memerlukan satu bentuk pengiktirafan dari majlis perasmian tapak Wisma Utama yang akan dilakukan oleh  Ketua Menteri. Kesengsaraan penduduk rumah panjang yang dipinggirkan Riad, masih tidak dapat memuaskan keinginan Riad. Apa yang masih dihajatinya ialah pencapaiannya itu diwajarkan dalam majlis perasmian minggu depan. 

 

Keinginan, keunggulan ego serta demand watak Riad  bergerak di bawah sedar lewat imbas kembali yang dihadapinya. Protagonis jurubina ini didesak pengarang untuk menggali makna dirinya dengan sengaja mencipta perlanggaran kod budaya sewaktu Riad menjalankan kerja pembinaan bangunan Wisma Utama.  The other  diwakili watak lelaki yang ”bercawat yang diperbuat daripada kulit kayu. Baju tradisional itu ditepek dengan berjenis-jenis siput laut” [hlm. 99]. Dalam dialog antara dirinya  dengan Riad, Lelaki bercawat itu  [mewakili penduduk rumah panjang kaum Murut] menyatakan  kekesalannya terhadap sikap Riad. Selaku pemaju bangunan Wisma Utama, Riad dikatakan meminggirkan upacara mansayau. Ia adalah  acara ritual memindahkan roh dan semangat orang yang tinggal di rumah lama ke rumah baru termasuk semangat tengkorak manusia yang ada dalam simpanan. Jika tidak dipindahkan ia akan  menderita kelaparan atau  kesejukan [hlm. 101].

 

Pengulangan yang berlaku antara Riad dan the other itu merupakan antara metafora makna    keangkuhan golongan generasi muda yang diwakili Riad terhadap pelestarian adat serta khazanah kebudayaan kaumnya. Ia juga mewakili ketamakan sebahagian pihak pemaju yang hanya mementingkan keuntungan dalam beberapa projek pembinaan. Hak serta kepentingan masyarakat yang diambil tanahnya itu tidak diambilkira. Pengulangan serta alegori ini cukup jelas dimaklumkan Azmah Nordin dalam episod dialo Riad-Lelaki bercawat.

 

Kesempurnaan diri yang dialami Riad akhirnya dikesan sebagai “gantirugi” yang ditanggap Lacan bagi menutup kesilapan yang dilakukannya terhadap penduduk rumah panjang. Riad pernah mengupah orang-orang suruhannya   membakar rumah panjang sewaktu penghuni sedang nyenyak tidur [hlm. 105]. Melalui tahap cermin, khalayak rata-rata dimaklumkan tentang pantulan  semula [pengulangan] dan juga proses intertekstual yang berlaku. “Teks luaran”  dalam cerpen Azmah Nordin ini  ialah  pencarian diri [subjektiviti] watak Riad untuknya memasuki alam realiti sosial.  Riad cuba menjejaki “dirinya” sebagai generasi baru kaum Murut alias seorang pemaju projek pembangunan. Namun apa yang berlaku ialah meletus  desakan desire bagi mencapai need.     Riad tidak melakukan identifikasi yang betul tentang sejarah dirinya. Imej datuknya,  [merupakan waris kaum Murut yang masih akur dan akrab  dengan adat] serta watak Lelaki bercawat itu, memberi kesan keampuhan subjektiviti yang cuba dikenalpasti oleh bawah sedar Riad. Apa yang didapati daripada pantulan imej keinginannya itu ialah ketaksuban kaumnya dalam amalan adat  serta perihal spiritual. Riad tidak melihat kekayaan kaumnya sebagai suatu aura yang begitu istimewa dan tiada makna harga.    

 

            Peleraian “Cermin” rata-rata memenuhi tuntutan katarsis apabila pengarang menghukum kecelaruan need Riad dengan teknik keadilan impian [poetic justice]. Susan, perantara  konflik subjektiviti Riad membawa berita tentang keadaan tapak  bangunan Wisma Utama yang dihenyak  banjir kilat. Begitu Azmah Nordin menoktahkan keunggulan ego Riad, rata-rata khalayak turut mempersaksikan Other dan otherness yang wajar diambilkira oleh manusia iaiatu  perancangan Tuhan terhdap perlakuan manusia. Ternyata ia lebih mengesankan dan mendidik. Teknik  pathetic fallacy  pengarang ini persis mewajarkan  kedudukan bawah sedar Riad iaitu kecelaruan yang berlaku antara “dirinya” dengan other. Warna otherness    bersama  garis-garis keunggulan ego Riad sebenarnya dalam nada yang begitu  melankolik [seperti hujan] jika dilihat asal makna manusia yang masih tercari-cari “dirinya” . 

 

 

Rumusan

 

Menyelusuri  teori ini menemukan kebanyakan khalayak terhadap  tahap real - melihat hubungan kesatuan -   kemudian ke tahap imajan dengan mirror stage  - mengenal diri dan o/Other sehingga ke tahap simbolic iaitu  berlaku kecenderungan terhadap unsur bahasa.   Melalui beberapa tinjauan terhadap asas teori, konsep dan ciri-cirinya, Teori Psikoanalisis Lacan ini didapati mempunyai hubungan yang dalam terhadap aspek perwatakan. Ia bukan saja satu kajian internal watak [bawah sedar secara khusus]  tetapi menghubungkannya dengan      aspek internal “teks luaran“nya. Ia satu kaedah penelitian watak, pastinya bukan saja dalam teks sastera, yang begitu rinci walau kadangkala ditemui kerencaman fenomena.

 

 

 

Bibliografi

Azmah Nordin. 1994. Singkowoton. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Coon, Dennis. 2000. Essentials of Psychology: Exploration and Application.

Belmont: Wadsworth.

 

Cuddon, J.A. 1998. Literary Terms and Literary Theory. London: Penguin Books

 

Mahmood Nazar Mohamed. 1990. Pengantar Psikologi: Satu Pengenalan Asas

kepada Jiwa dan Tingkahlaku Manusia. Kuala Lumpu: Dewan Bahasa dan

 Pustaka.

 

Mana Sikana. 1992. “Citra Arena Wati Pengalaman Membaca bersama Lacan”

dalam  Dewan Sastera, Jun.

 

Mana Sikana. 1998. Kritikan Sastera Moden:Teori dan Pendekatan. Shah Alam:

 Fajar Bakti

 

Mana Sikana. 2001. Teori Psikoanalitik Lacan dan Penerapan dalam Kajian

Teks. Bengkel Penerapan Teori Sastera dalam Kajian Teori, 18

 September, Hotel Mandarin Court, Kuala Lumpur

 

Miller, Jacques-Alain Miller (ed). 1992. The Ethics of Psychoanalysis 1959-1960.

 London: Routledge

 

Miller, Jacques-Alain Miller (ed). 1992. The Four Fundamental of Concepts in

 Psychoanalysis Jacques Lacan. New York: W.W. Norton 

 

 

http://www.colorado.edu/English/ENGL2012Klages/lacan.html

http://www.mii.kurume-u.ac.jp/~leuers/Lacan.htm

http://www.tnellen.com/cybereng/lit_terms/

 

Lampiran

 

Novel  Azmah Nordin

[i] Kategori Novel Dewasa

1.      Dukanya Abadi, 1988

2.      Kukui, 1990

3.      Dari dalam Cermin, 1992

4.      Debur Menerpa, 1992

5.      Pantai Kasih, 1994

6.      Halusinasi, 1995

7.      Menongkah Lumrah, 1996

8.      Awang Kirana Mudir Besar, 1996

9.      Singgahmata, 1996

10.  Syumul, 1999

 

[ii] Kategori Novel Remaja

1.      Tiara, 1989

2.      Kembara Planet, 1989

3.      Setulus Sarina, 1989

4.      Tiumulak Kapal Perang, 1989

5.      Sewangi Hati Irani, 1989

6.      Permata Biru, 1989

7.      Pejuang di Bawah Bayu, 1990

8.      Dilambai Debur Cinta, 1990

9.      Jauh  Tidak Berantara, 1990

10.  Gadis Pinggiran, 1990

11.  Janji, 1990

12.  Fatim, 1991

13.  Biarlah Kasihmu Terukir, 1991

14.  Ribut di Gua Gomantang, 1992

15.  Sembilu Kasih, 1992

16.  Sitti Ariana, 1993

17.  Di Bawah Unggul-Nya, 1993

18.  Tanaut, 1994

19.  Impian Akuatik, 1995

20.  Puteri Harapan, 1995

21.  Kewujudan Maya, 1995

22.  Misteri Aini, 1995

23.  Puteri Indrasariayu, 1996

 

[iii] Kategori Novel Kanak-kanak

1.      Si Bidul, 1987

2.      Noor Ainku Sayang, 1988

3.      Si Tarra, 1992

4.      Melatiku Sayang, 1992

5.      Ima Puteri Air, 1994

6.      Puteri Khairuni, 1994

7.      Dewi Labu Kundur, 1992

 

 

 



* Dibentangkan dalam Bengkel Penerapan Teori anjuran Jabatan Teori dan Kritikan , Dewan Bahasa dan Pustaka pada  10 November 2001 di Mandarin Court, Kuala Lumpur

 

[1] Walau bagaimanapun  Mana Sikana merincikannya kepada dua lagi gagasan  yang berkaitan iaitu   surealisme dan   falsafah Heidegger dalam kertasnya, Teori Psikoanalitik Lacan dan Penerapan dalam Kajian Teks. Bengkel Penerapan Teori Sastera dalam Kajian Teori, 18 September, Hotel Mandarin Court, Kuala Lumpur .

 

[2] Perbezaan other dan Other [huruf o kecil dan besar] membezakan: o kecil other pada imej, o besar Other  merujuk konsep. Rujuk Mary Klages dalam http://www.colorado.edu/English/ENGL2012Klages/lacan.html.

[3] Misalan yang dibuat Mary Klages, kanak-kanak yang sedang bermain gelendong benang. Apabila ia dilontar kanak-kanak akan menafsirnya sebagai “hilang” dan “kembali” apabila gelendong didapati semula.