Autobiografi dalam 40 Puisi

oleh Mawar Shafei

 

PERSIS tanggapan Wordsworth terhadap puisi, “ia adalah luahan perasaan yang melimpah ruah  secara spontan,” begitulah yang akan diwajarkan apabila selesai meneliti sekumpulan puisi Leo A.W.S. Penyair kelahiran Kampung Pasir Mas Salor, Kelantan ini cukup prolifik menghasilterbitkan sendiri puisi-puisinya sejak 1981 melalui Sajak Pagi hingga yang mutakhir buahtangan darinya, 40 Puisi (1997). Namun penglibatannya yang lebih awal bermula pada 1979 dengan puisi pertamanya, “Konvo” (Dian, Mei 1979).

 

            Pemerhatian ringkas ini sekadar pandangan peribadi setelah meneliti beberapa puisi penyair. Tanpa ada sebarang landasan teori, didapati ada sesuatu yang istimewa dalam puisi-puisi penyair gigih ini. Meneliti setiap kumpulan puisi Leo A. W.S. khususnya 40 Puisi, secara peribadi pembaca terasa mengalir sama dalam alir kreativitinya, bersahaja tanpa sebarang ambiguiti ketara. Sebaliknya terasa ada suatu yang menjadi milik bersama. Persis ada uniformity dan collective tetapi pada masa yang sama sesuatu yang agak  personal pula. Atau boleh dimaknakan di sini sebagai suatu autobiografi saja. Walau bagaimanapun menerusi “prapuisi” 40 Puisi, penyair sendiri menterjemahkan 40 Puisinya sebagai “40 puisi adalah judul penyesuaian “Sajak 40” yang saya hasilkan bersempena menyambut hari jadi yang ke-40 pada 1 Ogos 1994. Ia merupakan simbolik mudah: 40 puisi = 40 tahun; usia jati diri serta wawasan kepenyairan!”

 

            Justeru bersifat autobiografis, 40 Puisi bertolak dari akar peribadi, keluarga dan kerabat serta segala yang akrab dan bersisi rapat dengan diri penyair. Segalanya ini kelihatan begitu jernih, lahir  dari sentuhan pandang penyair langsung dicerna menjadi bait-bait yang memberi makna tersendiri. Apa tidaknya, bukankah kita juga mempunyai catatan diari diri tentang hari jadi, tentang anak dan isteri? 

 

            Seperti kita juga penyair merupakan perakam setia kepada edaran usianya sendiri. Puisi yang lebih awal seperti “Orang yang Gemarkan Sajak - usia ke-36” (Pilihan Semusim), “Pada Usia 37”, “Nota Harijadi ke-39” dan “Sajak 40” mewakili beberapa episod anjakan usia penyair. Penyair contohnya menanggap usia 40 sebagai “usia kedewasaan”, “usia kenabian” dan “usia peringatan”.  Melaluinya juga tanggapan dan harapan adalah amat mencapah agar usia diri penyair ranum bersama pohon iman yang membuahkan keinsafan. Namun pada masa yang sama, ranumnya usia memberi makna musim luruh juga kian tiba.  Musim luruh itu yang ditanggap penyair sebagai “usia sebagai peringatan”. Sesuatu yang menarik, melalui tiga buah puisi yang terakhir ini juga selain daripada memaklumkan pembaca tentang cerita hari lahir, khalayak juga dimaklumkan dengan lebih akrab tentang anak-anak penyair.

 

            Contohnya lewat puisi “Pada Usia 37”, penyair memberitahu akan kehadiran Abdul Muqit dalam  keluarga mereka,

 

                                    separuh bulan kelahiranku nanti

                                    kupangku anak ketiga

                                    bertambahlah tanggungjawabku

                                    maka tak henti kumohon pada-Mu:

                                    kemurahan rezekiku

                                    keberkatan hidupku.

                                   

 

Begitu juga melalui puisi “Nota Harijadi ke-39” pelbagai cerita sehari penyair tentang anaknya yang “menghadiahkan seluruh/ makna kemurnian bakti/”.

 

                                    sebatang pensil

                                    sebatang pena mata bulat dan sekotak

                                    rokok.

 

            Anak-anak merupakan antara  imajan yang akrab dengan diri penyair. Ada beberapa nama mereka yang sempat diperhatikan pengkaji menjadi bahan tinta penyair. Bermula dengan puisi “Benihku: III”, kelahiran Abdul Muqit pada 25 Ogos 1991 menjadi  catatan diari ingatan seorang ayah. Begitu juga dengan judul-judul puisi penyair sebelum ini seperti  “Hayyu Mawaddah”, “Rama-rama Untukmu (buat Ikhwati Aqilah)”, “Selepas 40 Hari (buat Zah dan Syifa Azzahara)”, “Sajak untuk Syifa Azzahara” dan  “Puisi Bayi” - kesemuanya tentang anak-anak penyair yang hingga tulisan ini dihasilkan berjumlah empat orang. Mereka adalah Ikhwati Aqilah, Syifa Azzahara, Abdul Muqit dan Hayyu Mawaddah. Nama-nama ini begitu akrab dengan hidup penyair. Nama-nama ini begitu lazim untuk terus menjadi indeks kepenyairan Leo A.W.S. Lihat saja bait-bait kasih sayang seorang ayah dengan kehadiran zuriatnya, “Sajak untuk Syifa Azzahara”,

 

                        Seekor kambing

                        akikah buatmu

                        hati budi kemanusiaan

                        rambutmu ditimbang

                        sedekah buatmu

                                    mahkota emas kewanitaan. 

 

 

 

Anak-anak pastinya hadiah cinta alias Rahmah buat keluarga.  Apalagi dikatakan bahawa anak-anak itu sebenarnya makna untaian kasih sayang keluarga. Dan anak-anak juga kata penyair, “Hayyu Mawaddah adalah kasih sayang emak dan ayah sentiasa berkekalan!”

 

            Begitu ibu dan ayah penyair juga tidak ketinggalan daripada menjadi sebahagian daripada catatan autobiografi ini. Pemergian ibu penyair masih basah di ingatan sehinggakan keluhnya dalam puisi “Ibu”, “Allahu akbar/tak sampai kuungkap/dalam sajak/ku!”  Sementara  ingatan terhadap ayah yang juga telah  lebih beberapa dekad pergi menemui Tuhan, turut terselitkan dalam halusinasi penyair. Catat penyair lewat “Halusinasi dengkuran Ayah”,

 

                        Di luar bilik

dekat tiang seri itu

tempat ayah selalu bersandar

dan berbaring

kudengar dengkurannya

jelas sekali: ggggkkkrrruuukkk....

.... gggkkkrrruuukkkzzz ....

 

            Dan akhir sekali latar yang agak  padat dimasukkan pada bahagian hujung  40 Puisi ialah pengalaman penyair sewaktu di Mekah sepanjang Mei 1994. Bermula dengan “Ziarah Masjid An-Nabawi” , “Mencukur Misai Kelelakian”, “Berjemaah  di Masjid Nabawi”, “Berunta di Hadapan Jabal Rahmah”, “Dari Jabal Thur ke Hadapan Kaabah”, “Tilam Hidupku di Makkah”, “Puisi Haji”, “Malam di Puncak Makkah”, “Menunggu Wuquf” hingga   “Tahallul Awal” merupakan puisi-puisi khas penyair ketika menjalani ibadah haji.

 

            Melalui puisi-puisi ini penyair    mengadun bahan pengalaman ibadah dengan “bau harum kota suci Madinah al Munawarah” dan  apabila “bibir mulutku di sebelah atas kiri/ telah terluka/ dek pisau cukur;/ maka berdarahlah luka keinsafanku/”. Penyair turut melakar betapa begitu “matahari memanas kepala jemaah haji dan/ rahmat kesejahteraan tak mungkin dapat/ dinikmati tanpa ujian daripada-Nya./, benar-benar  membuat “kulontar syaitan di dalam diri/ agar ia tak bermukim kembali/ pada masa mendatang./”

 

            Justeru puisi-puisi Leo A.W.S. ini dikatakan berurna autobiografis, maka diksinya amat sederhana memantulkan diri kepenyairannya. Ia terasa benar-benar mewakili diri dan ceritanya. Bahasa yang bersifat  harian dan agak spontan, mungkin dianggap suatu yang kurang puitis dan memudarkan ceria estetikanya; sesuatu yang kontras dalam makna sebuah puisi. Namun ini adalah suatu justifikasi kepada warna-warni autobiografis tadi: Ia sesuatu yang begitu peribadi dan menjadi milik sendiri iaitu milik penyair  40 Puisi  ini.

 

 

jurnal perisa - resensi

mac 1998