Mandala Haksiber

oleh Mawar Shafei

 

 

 

"DENGAN ini saudara dijatuhkan hukuman...."

            Hah?!

 

            Aku hampir saja ingin tergugu. Keluasan empat segi tepat ruang Mahkamah Siber ini bagai terus mengepungku daripada mengangkat muka. Lebih-lebih lagi untuk melihat duduk wajah Dia. Aku tahu Dia tidak melakukan segala tuduhan itu. Maksudku, ya Dia melakukannya. Tapi begini: Dia melakukannya tetapi atas dasar ia satu keperluan. Satu tuntutan. Tidak sekali-kali untuk tujuan membobrokkan. Apa lagi untuk menjahanamkan masa depan syarikat. Hah, bukankah Dia antara barisan hadapan Kumpulan Diversified Group Berhad? Mana mungkin gunting boleh berada dalam lipatan syarikat yang disayanginya (aku amat pasti tentang itu). Hah, mana mungkin!

 

            "Gila kau!"

            "Aku cuba membuat yan terbaik untuk syarikat kita."

            "Yang terbaik? Hei, aku silap mendengar? Yang terbaik? Mencuri begini kau kata kerja terbaik? Gila! Sepuluh kali gila!"

 

            "Hello, kau tahu kedudukan kewangan dan pelaburan syarikat. Semakin jatuh selepas kematian Ketua Pengarah. Kau tahu kita wajar menaikkan kembali imej syarikat yang lama. Unggul sebagai empayar automotif dan pengangkutan tempatan. Aku terdesak untuk mengekalkan reputasi lebih dua dekad itu. Tak tahulah dengan kau...."

 

            Dia memancing.

            "Hei kawan,  tolong sikit. Tugas pengambilalihan 80 peratus dalam syarikat pengeluar kereta sport terkenal seberang, Lionis Group International Berhad antara yang aku kerjakan bersama Allahyarham Ketua Pengarah.  Apa kau fikir aku tidak ada aspirasi seperti kau.  Sepuluh kali gila!"

 

            Tiba-tiba tangannya jatuh di bahuku.  Tangan laki-laki, panas.

            "Aku tahu itu.  Aku juga begitu.  Sudah banyak yang dilakukan oleh Allahyarham Ketua Pengarah.  Aku jadi  terdorong untuk mengekalkan segala yang lama itu di mata orang banyak.  Malah di mata antarabangsa, kau tahu, di Norfolk, CNN, APTV dan Reuters.  Aku mahu kita terus begitu."

 

            Aku menghela nafas yang berekor.  Panjang.  Aku merenung dasar mata Dia yang redup tetapi sentiasa ada sinar halus yang tajam lagi menirus.  Aku kenal Dia.  Aku kenal peribadi Dia.  Aku kenal aspirasi Dia.  Aku kenal semangat juang Dia.  Sewaktu di Louhborough, Dia pernah menyimpan gelar pelajar terbaik antarabangsa dalam bidang kejuruteraan automobil.  Dan kemudian peralihan bidang Dia ke sains teknologi dan maklumat di peringkat sarjana, mula menggandingkan kami.  Aku dan Dia kian akrab.  Semasa berada di Automotive Berhad kami berjaya menjadikan syarikat sebagai pemegang francais untuk pemasangan kereta penumpang dan trak Suzuka.

 

 "Dia manusia genius." Pernah telingaku melintasi komen itu dari beberapa mulut Ahli-ahli Lembaga Pengarah syarikat.

 

"Orang Melayu perlu berani untuk menghadapi persaingan ekonomi yang global."  Dia pernah bersuara ampun begitu.  Ah!  Aku kian jadi kuat juga.  Senario daerah fobia tiga sigma (tolak campur 100 peratus berisiko!) tidak pernah menghantui aku lagi.  "Berani!"  Tegur Dia.  Selalu.

 

Dan dalam beberapa bulan akhir ini, banyak yang keperhatikan tentang Dia.  Hampir setiap malam ketika hendak pulang ke apartment tempat aku menginap, kulihat lampu kamar kerja Dia masih terang bernyala.  Apabila cuba kujenguk, tersangkut tag JANGAN GANGGU di tombol pintu Dia.  Dan kemudian pada awal keesokan paginya ketika aku hendak memulakan hari baru, menerisi bidai yang sedikit terkuak, kupetiakan Dia tersandar di kerusi kerja.  Lena.  Segala fail dan kertas-kertas berselerakan di muka meja.  Danyang pasti kotak empat segi elektronik milik Dia CEN Versa 6050, notebook, di hadapannya masih turut bernyala bersama lampu kamar kerja.

 

            "Teknologi MMX dengan pemproses pentium 66mhz, rafik terbaikku.  Apa lagi dengan cache  internal dan eksternal 16KB.256KB.  Huh, kau fikir aku bergurau tentang data yang aku dapat dari halaman web AZ & Znet itu.  Siang dan malam aku cuba untuk mendapatkannya."

 

            Siang malam di pejabat.  Ah, Dia lain.  Lelaki.  Sendiri.  Dia masih bujang.  Pada usia pertengahan tiga puluhan begitu, baginya perkahwinan hanya satu bebanan.

 

            "Banyak kerja lain yang perlu dibereskan.  Terutama hal syarikat.  Kahwin?  Aku fikir, nanti dulu.  Atau aku fikir perkahwinan itu sesuatu yang bukan lagi bentuk keperluan.  Aku tak memerlukan seorang wanita yang bergelar isteri.  Sayang, keinganan itu sudah berlalu."

 

Hah?!

            Aku pernah terlongo untuk beberapa minit apabila mendengar segala itu dari mulutnya pada suatu hari ketika duduk bersama di meja rarau. Fish fillet yang sedang kutelan rasanya hendak terkeluar semula.  Begitu jijik dia mentakrifkan makna perkahwinan.  Ke manakah hilangnya fitrah Dia sebagai lelaki yang memerlukan seorang wanita dalam hidup.  Begitulah, aku seringkali dipukul dalam diam.

 

            "Tunangan kau di sana sedang buat apa agaknya?  Hei, lelaki jauh di mata jauh di hati, kau tahu?"

Cis!

            Aku hampir ingin menampar mulut celupar itu.  Aku tahu Dia.  Perkahwinan Zetty dengan Bal, pemuda asing dari Glasgow tahun sudah benar-benar meremukderaikan perasaannya.  Aku tahu .  Sewaktu  kami berada di London untuk sarjana.  Bal, yang berada di tahun akhir Jabatan Pathologi di universiti yang sama, berjaya mencuri hati Zetty.  Buah hati Dia itu rupa-rupanya sudah memiliki plan nombor dua dengan mengahwini bakal pakar perubatan itu untuk mendapatkan kemudahan hak kewarganegeraan  di kota London.  Ah! Aku faham perasaan Dia.  Mereka hampir berkahwin setelah sama-sama menamatkan sarjana yang hanya tinggal beberapa bulan saja.

 

            "Justeru itu, jangan percaya pada istilah pertunangan.  Terutama tunang kau tu, entah apa rancangan dia di sana.  States sama saja dengan London.  Jaga-jaga.  Beware!"

 

            Pernah Dia bersunggguh-sungguh bercakap begitu sebelum kami meninggalkan meja rarau di lobi bangunan syarikat.  Ah! Peduli apa.  Aku kenal hati budi bakal suamiku.  Buruk baiknya.  Kesetiannya.  Kalau tidak mana mungkin aku dapat menerima dia yang selama empat tahun mengekori aku dari jauh sejak aku berada di tahun pertama lagi.  Ah, I know him better than Dia!

 

            "Tapi kau sendiri tahu itu satu kesalahan.  Satu jenayah.  Aku fikir kalau Ketua Pengarah masih hidup, tidak dibenarkan kau melakukan segalanya ini.  Hatta kau kata ini semua untuk kebaikan dan kepentingan syarikat.  Tapi Kumpulan Diversified Group Berhad tidak pernah menghalalkan semua itu.  Masih ingat kata-kata Allahyarham Ketua Pengarah?  Jujur dna amanah dalam tanggungjawab walaupun kita hanya seorang staf bawahan.  Atau aku perlu juga ingatkan kau tentang Akta Tandatangan Digital atau Akta Perlindugnan Harta Intelek... It's a crime man."

Mulut masin!

            Sepuluh kali gila!!!

            Akhirnya Dia terperangkap.  Entah dari sumber mana Dia mendapat kata laluan untuk ke daerah larangan halaman web AZ & Znet.  Mungkin sepanjang malam dan pagi, sewaktu semua orang sedang dalam senyum dengan mimpi panjang, Dia sibuk di celah-celah halaman web... ah!  Segala rengsa yang datang sebelum ini hampir mencekik.  Segera rengsa itu mengingatkan aku kepada kasus Zack Zboralski, hacker dari Perancis itu.  Huh, mulut masin.  Akhirnya Dia terperangkap!

 

            "Tapi bagaimana Dia dapat menembusi perisian mereka?  Password apa yang digunakan?  Bagaimana Dia memperolehi password itu jika tidak ada talam dua muka dalam syarikat mereka?  Jangan main-main mereka kerugian hampir US$300 000!  Kau tahu?!  Habislah Dia.  Matilah Dia."

 

            Demi Tuhan, Dia sahabatku.  Dia masih sahabat terbaikku.  Dia sehabagian daripadaku.  Tidak akan aku biarkan dengan begitu mudah Dia duhukum.  "Kau mahu jadi saksi?"  Soal seorang kawan di jabatan pengeluaran syarikat Saksi?  Bagaimana kasu hacker begitu boleh ada saksi.  Bukti apa yang boleh aku berikan kepada mahkamah untuk menarik balik tuduhan ke atas Dia?

 

            "Tak apa pengajaran untuk yang lain. Penjara tidak melebihi 5 tahun dengan denda tidak melebihi RM50 000 itu aku fikir bukan satu beban kepada Dia."

 

            Sepuluh kali gila!

            Bagaimana dengan reputasi Dia di mata ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Diversified Group Berhad?  Aku pasti sementara Dia merengkok dalam penjara, kerusinya akan diduduki oleh orang lain.  Dan yang lebih buruk, kedudukan Kumpulan Diversified Group Berhad, bekas pimpinan raja automotif dan pengangkutan tempatan Allahyarham Ketua Pengarah.  Keunggulan betapa lebarnya empayar syarikat begitu dapat dirasakan di papan Bursa Saham Kae El.  Lapan syarikat milik Allahyarham digantung urus niaga selepas berita kematian Ketua Pengarah dan isteri akibat kemalangan nahas apa terbang peribadi di Tasik Biru.

 

            Kematian Ketua Pengarah lebih teruk mengakibatkan ketidaktentuan bagi syarikat yang dimilikinya.  Banyak penganalisis tempatan mendakwa kematian Ketua Pengarah lebih merupakan sesuatu yang negatif.  Mana tidaknya, pengganti Allahyarham tidak diketahui lagi.  Proses pembelian ekuiti 35 peratus dalam Maxcom Holdings Berhad dengan menggunakan syarikat milik keluarganya Suria Consolidated Berhad pada penghujung tahun sudah, belum selesai sepenuhnya lagi.  Waris Allahyarham Ketua Pengarah?  Anak-anaknya semua masih di bawah umur.

           

Mungkin segala itu yang menjadi beban di benak Dia.

            Selaku pegawai perancang strategi syarikat, aku faham Dia berusah untuk memulihsemula keadaan kepada biasa.  Aku faham.  Begitu  ampuh iltizamnya kepada syarikat.  Aku tahu Dia bukan gila kuasa.  Dia profesional.  Niat dan tujuannya baik.  Ya, cuma Dia seorang hacker.  Itu silapnya Dan aku dengar semasa penangkapan itu dibuat (waktu itu aku sedang berada di pejabat Suria  Consolidated Berhad)  Dia sedang memasuki perisian Cyperplus Syarikat M & Znet.  Dan belum sempat Dia menceroboh... tap!  Kali ini Dia terperangkap.

           

Aku hampir saja ingin tergugu.

            Keluasan empat segi tepat ruang Mahkamah Siber ini bagai terus mengepungku  daripada tadi.  Aku fikir aku ingin saja bangun dan berkata, "Dia tidak bersalah.  Justeru corporate coup dalam Kumpulan Diversified Group Berhad mendesak Dia untuk melakukan segala-galanya itu.  Tolong Dia.  Fahami Dia!'

           

Dan aku sedar jika aku melakukannya, pasti ruang empat segi tepat Mahkamah Siber akan mentertawakan aku kerana membela hacker seperti Dia.

            Gila!  Sepuluh kali gila!

 

                                                      

                                                                                                                                    Sayembara X, 2000