Rencana Dewan Sastera

 

Sastera Mutakhir Singapura yang Meriah

oleh Mawar Shafei

 

NOVEL 4 dan kumpulan cerpen Tuhan Masih Sayang, merupakan antara wajah terbaru dalam perkembangan penulisan kreatif  Singapura. Kedua dua novel dilancarkan oleh Angkatan Sasterawan 50 atau Asas 50 pada 3  Ogos 2002 lalu.

 

Novel 4 karya Aliman Hassan, merupakan  sebuah novel konflik rumahtangga  protagonisnya, Osman Omar [Pak Man] yang mempunyai dua buah keluarga, Hamimah dan Masitah. Novel yang pada keseluruhannya berplot kronologi [dengan beberapa sisipan imbas kembali watak-wataknya], dimulakan dengan latar Pak Man dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung. Latar ini jelas memberi kewajaran kepada  pengarang untuk memperkenalkan watak watak lain serta konflik yang dihadapi. Sepanjang 14 hari Pak Man ditempatkan di wad 44, tingkat  4, blok 4, jagaan rapi selama 4 hari dan tidak sedarkan diri selama 4 jam, [kewajaran judul novel ini, 4] ternyata memberi ruang yang cukup lebar  kepada pengarang dan khalayak berinteraksi secara tidak langsung tentang prinsip kekeluargaan dalam adab Islam dan nilai Melayu.

 

 Pak Man yang beristeri dua ini diperagakan agak ideal dalam menangangi  kekacauan dalam dua buah keluarganya. Dia diberi watak isteri pertama yang begitu “putih”, yang banyak berkorban untuk perkahwinan kedua Pak Man. Begitu juga dengan Masitah, pemilik Butik Itah, isteri kedua yang turut berkorban dari segi kewangan untuk kesejahteraan rumahtangga mereka. Masitah juga diberi watak yang cekal menghadapi karenah dua orang anak Pak Man yang menentang perkahwinannya dengan ayah mereka. Pak Man juga diberi wajah sempurna dalam kerjayanya sebagai Pegawai Perhubungan Awam di MAMIS [Majlis Amanah Masyarakat Islam Singapura]. Watak ini disenangi hampir semua petugas dan jelas dimenangkan ketika bertembung dengan watak pegawai muda, Hisyam yang dikatakan bersikap angkuh.

 

   Aliman Hassan  dianggap Raman Daud [editor rencana Berita Harian Singapura] sebagai seorang  novelis  bergaya penyampai khutbah lewat novel ini. 4 merupakan novel pertama pengarang yang pernah dianugerahkan    Anugerah Tun Dalam bicara ringkas oleh pengarang, Aliman Hassan menyerahkan kepada khalayak sama ada mahu mengkategorikan tulisannya sebagai  sebuah novel atau hanya sebuah “tulisan panjang”.

 

Sementara  A Wahab Haji Hamzah menyenaraikan 13 buah cerpen lewat Tuhan Masih Sayang. Menurut  Masuri SN,  sewaktu pembukaan  majlis pelancaran, beliau menanggap kumpulan cerpen ini sebagai sebahagian daripada bahan  dokumentasi untuk khalayak meninjau perkembangan kehidupan masyarakat Melayu Singapura sejak 1993. Kenyataan ini rata-rata dipersetujui apabila membaca membaca cerpen seperti “Sudah Suratan”, “Pilihanku” dan “Yang Dikendong”. Ia antaranya berlatarkan kehidupan di rumah pangsa, perkahwinan campur, peranan Darul Arqam [institusi yang membantu saudara baru di Singapura] dan kedudukan bahasa Melayu di Singapura.

 

Sementara itu kekacauan dalam institusi keluarga jelas digambarkan pengarang dalam cerpen seperti “Hikmah”, “Pasrah”, “Hancurnya Sebuah Harapan” dan “Tina”. Sikap kebiadaban anak terhadap ibu bapa  serta hubungan suami isteri yang sarat dengan curiga menjadi antara mauduk cerita. Tanggapan Taine yang mengatakan masa dan zaman berperanan dalam karya sastera, membikin khalayak rata-rata mengasosiasikan latar kreatif ini dengan latar realiti. Adakah ia benar-benar mewakili kehidupan terkini masyarakat Melayu di Singapura.   Chan Maw Woh, mantan wartawan  yang mengulas kumpulan cerpen Tuhan Masih Sayang mendapati kecenderungan pengarang meniruskan pemerhatian terhadap konflik orang Melayu Singapura dengan tema kekeluargaan-agama. Di samping itu didapati juga  teknik aliran kesedaran yang dibancuh pekat dalam cerpen cerpen Abdul Wahab Hamzah ini.

 

Chan Maw Woh sebelum ini pernah menterjemahkan dua buah  cerpen Abdul Wahab Hamzah, “Genggamaannya Terlerai” dan “Igau”  yang terdapat dalam kumpulan cerpen awal, Igau. Kedua-dua cerpen terjemahan itu  terdapat dalam antologi  Segelas Arak dan Secawan Susu. A Wahab Hj Hamzah mula menulis secara serius pada tahun 1979. Pernah memenangi Hadiah Penghargaan Peraduan Menulis Cerpen anjuran Kementerian Kebudayaan 1982 dengan  cerpen   “Hidup Satu Persinggahan” dan   pada tahun 1983 dengan cerpen “Ajal.”

 

Sebuah kumpulan esei yang  dilancar sama ialah Melayu Singapura dalam Kritikan oleh Mohd Pitchay Gani Abdul Aziz. Beliau merupakan Pemangku Penyelaras  Program Latihan Khas Bahasa Ibunda di Institut Pendidikan Nasional [NIE] dan sedang menjalankan Ijazah Sarjana Sastera [Linguistik Terapan] di NIE.  42 esei yang terkandung di dalam kumpulan esei pertamanya  ini dibahagikan kepada 2 bab besar iaitu isu bahasa dan isu bangsa. Kebanyakan esei  tersebut pernah tersiar di Berita Harian [Singapura], Berita Minggu [Singapura] sejak 1998 hingga 2000 dalam ruangan Komentar dan Minda. Isu bahasa yang dihasilkan daripada 19 esei menyorot tanggapan dan penggunaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat Melayu Singapura. Laras-laras bahasa baru yang wujud dilihat sebagai akibat daripada proses pensejagatan dan budaya jaringan [internet]. Ini dapat diperhatikan dalam esei yang berjudul “Laras Bahasa  Internet Tidak Melanggar Aturan Berbahasa”, “Bahasa Ibunda Berkuasa di Maya” dan “Bahasa Internet: Evolusi Sihat atau Pencemaran’. Isu yang diangkat antaranya  merupakan reaksi pengarangnya terhadap tanggapan sedia ada  masyarakat. Beberapa esei yang menyentuh tentang kedudukan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris juga dicatat misalnya dalam “Apa Kurangya  Bahasa Melayu Berbanding Bahasa Inggeris.”

 

Seterusnya bab isu bangsa yang mengandungi 23 buah esei antara lain mengangkat isu –isu yang membelenggu masyarakat Melayu Singapura seperti isu pendidikan, institusi agama dan kepimpinan. Pengarang menyorot  peranan pemerintah dan masyarakat Melayu dan mengusul  beberapa bentuk penyelesaian  kepada masalah tersebut seperti dalam esei “Pengajaran Agama di Sekolah” dan “Masyarakat Perlu Ubah Tanggapan Terhadap Guru Bahasa Melayu.”  Melalui beberapa esei ini penulis persis memberi arah pandu kepada khalayak untuk menilai dan memahami isu-isu semasa yang mengikat masyarakat Melayu antaranya cabaran yang kian menjejas imej Islam. Esei-esei ini dianggap penulis  bersifat trans-komunal kerana kepentingannya bukan saja kepada masyarakat Melayu tetapi kepada negara Singapura –rakyat dan pemerintah Singapura.    Kumpulan esei ini diulas oleh A Ghani Hamid.

 

Majlis pelancaran Buku oleh ASAS ’50 di Balai Rakyat Kampung Ubi, Geylang Serai itu ialah sempena Bulan Bahasa 2002.  Bulan Bahasa 2002 yang berlangsung dari 5 Julai sehingga 4 Ogos 2002 menyediakan  beberapa acara sastera  lain yang diadakah antaranya ialah sayembara membaca puisi, sayembara penulisan kreatif, pameran-pameran bahasa, sastera dan budaya di beberapa perpustakaan dan bicara ilmiah. Acara bicara ilmiah kali ini yang diadakan di NIE, Universiti Teknologi Nanyang, membawa Budi Darma dan Mana Sikana yang masing-masing membicarakan “Perwatakan dan Moral dalam Sastera” dan “Bahasa Sastera: Pencarian Harta Karun.” Kedua-duanya kini memberi kuliah di   Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. Bulan Bahasa kali ini yang bertemakan “Indahnya Bahasaku” merupakan acara dwi tahunan anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura.