DIA tidak mudah dilihat di mana-mana. Masanya sentiasa penuh dengan pelbagai tugasan dan kegiatan. Dalam kebanyakan majlis sastera, kehadiran dan kepulangannya sering tidak disedari. Bagi sesetengah penulis lelaki terutama yang masih muda, nama Mawar menjadi sebutan sebagai penulis wanita tercantik Bagi saya, Mawar agak eksklusif dan impresif dalam banyak hal.
Pertemuan dan perkenalan saya secara lebih dekat dengan Mawar berlaku di Masjid Negara, sewaktu diadakan majlis penyampaian Hadiah Pertandingan Cerpen berunsur Islam kali ke 1X tahun 1996, anjuran BAHAEIS, Jabatan Perdana Menteri.
Kebetulan saya agak terawal sampai, bertolak cepat dari rumah kerana bimbang terperangkap dalam kesesakan di lebuh raya Persekutuan. Saya duduk di kerusi kedua dari kanan pada barisan kedua dari depan yang dikhususkan untuk penerima hadiah. Kerusi pertama di kanan saya isi dengan beg tangan serta buku cenderamata, menandakan tempat itu sudah berpunya.
Faisal Tehrani (pemenang pertama) datang, duduk di kiri saya. Faisal meminta izin untuk memberikan kerusi di kanan saya agar diduduki oleh Hizairi Othman yang juga bakal menerima hadiah, yang masuk sedikit lewat daripada Faisal. Tapi saya beritahu, kerusi ini untuk Mawar, bagi memudahkannya supaya tidak terkial-kial melintas kaki dan lutut pemenang lelaki yang sudah memenuhi hampir setiap kerusi disediakan.
Alasan saya pasti meyakinkan biarpun sebab sebenar ialah saya memang ingin duduk di samping Mawar, pertama kerana (kalau tidak silap) hanya kami berdua penulis wanita yang diundang menerima hadiah pada hari itu. Kedua, ingin berkenalan lebih dekat: kami belum pernah bersua muka jauh sekali berbicara. Biarpun urusetia kejap menyimpan rahsia nama pemenang dan memenangi hadiah keberapa, namun antara sesama penulis perkara itu tidak pernah dirahsiakan. Kami saling berhubung berkongsi kegembiraan dan saling mengucapkan tahniah atas kejayaan yang diraih. Sebelum ke Masjid Negara saya mendapat tahu Mawar juga antara pemenang pada hari itu.
Sebaik tiba dengan langkah cepat dan jalan yang laju, Mawar terus ke sisi saya, “Kak Zaharah,” katanya dengan suara lembut sambil membongkok menghulur salam mencium tangan. Begitulah lumrah warga penulis, biarpun tidak pernah berjumpa sebelumnya, namun kami kenal akrab melalui tulisan yang disiarkan media massa, dan keakraban itu tidak disembunyikan malah semakin intim apabila bertemu.
Cerpen Mawar berjudul Al-Kahf dan cerpen saya berjudul Air Mata Lelaki menemukan kami dalam kemeriahan sebuah majlis. Namun bagi saya dan Mawar, keakraban itu tidak berakhir di situ sahaja. Ia dijalin dengan suatu kenangan lucu yang tidak dapat dilupakan. Kelucuan itu bermula apabila saya terlupa membawa stokin yang memang tidak selesa jika dipakai ketika memandu (kaki terasa licin semasa menekan tiga padel di hujung tapak) tidak sempat mengambilnya di kereta kerana majlis sudah bermula. Saya meminta untuk meminjam stokin Mawar, kerana saya akan mengambil hadiah kedua terakhir sebelum Faisal. Mawar mengangkat kain sekadar cukup memperlihatkan stokin hitamnya, sambil pantas memandang keliling jikalau ada yang memandang. Setelah melihat ke bawah, wajah Mawar berubah. Terkedu. Malu. Dua tiga lubang memperlihatkan kulit kakinya yang putih cerah dalam balutan setokin yang berwarna hitam. “Stokin saya koyak,” dia memperlihatkan bukti ke mata saya.
Bermula dari saat itu berterusan sehingga kini keakraban persahabatan pernah membawa kami bersama terbang dan tinggal di Paris untuk beberapa minggu, serta ke Mekah mengerjakan umrah selama dua minggu.
Apabila saya diminta oleh Rozninah Abd. Azib Editor Dewan Sastera, memilih seorang penulis muda untuk diangkat dalam ruangan Tanggapan, pilihan saya jatuh kepada Mawar Shafei.
Mengapa Mawar? Bukan kerana keakrabannya dengan saya maka saya memilihnya, namun keakraban itulah yang membawa saya mengelani Mawar lebih daripada orang lain mengenalinya. Terutama kini, beberapa pihak menganggap Mawar sudah menghilang, tapi bagi saya Mawar tidak pernah sirna. Dalam sepi dia terus berkarya. Ilhamnya terus berarus tanpa henti.
Dilahirkan di Singapura pada 27 Februari 1971, Mawar merupakan anak tunggal kepada pasangan Shafei Othman [juruteknik] dan Zaitun Abdul Majid [surirumahtangga]. Kerana bumi kelahirannya Singapura, Mawar pernah dipertikaikan untuk menerima Hadiah Sastera Darul Takzim pada 1996. Persoalannya, sebagai warga kelahiran Singapura dia tidak layak menerima Hadiah Sastera Darul Takzim yang dikhusus untuk warga Johor. Yang layak hanya, sama ada penulis kelahiran Johor yang tinggal di luar Johor, atau rakyat negeri lain tapi bermastautin di Johor lebih lima tahun, dan pasti saja penulis Johor sendiri yang menetap di negeri Johor.
Biarpun terdapat warga sastera kelahiran Indonesia seperti SN Arena Wati, Umar Junus dan seorang berdua lagi penulis yang masih pekat dengan bahasa/telor Indonesianya namun berbanding dengan Mawar, bumi kelahiran tidak menghalang mereka daripada menerima sebarang Hadiah Sastera Negara ini, malah tidak pernah ditimbulkan sesiapa tentang kesahihan kewarganegaraan mereka.
Mungkin bagi Mawar ada pihak cuba menghalangnya daripada mendapat Hadiah Sastera Johor dengan beberapa andaian rambang, mengatakan dia tidak pernah tinggal di Johor, sebaliknya duduk di Kajang apabila dia belajar dan kemudian mengajar di UKM. Namun kisah duka itu akhirnya terlerai juga apabila andaian dilapisi fakta sebenar.
Menerima pendidikan awal di Duchess Primary School Singapura pada 1977, mengikut keluarga pindah ke Johor Bahru (JB) pada 1978, dan menyambung persekolahan di Sekolah Rendah Mohd. Khir Johari JB. Seterusnya memasuki Sekolah Menengah Seri Tebrau JB dari 1984-1986, Sekolah Menengah Teknik JB dari 1987-1988; Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim JB dari 1989-1990, dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi dari 1991-1994. Seterusnya menjadi tutor 1995-1997 dan pensyarah di UKM dari 1997 hingga kini.
Berbanding
dengan tokoh-tokoh Tanggapan sebelum ini, terdiri daripada kalangan penulis
sepenuhnya, Mawar Shafei adalah seorang sarjana yang menulis karya
kreatif. Sekaligus dia menjadi pelapis
bukan hanya di bidang penulisan kreatif malah menjadi pelapis kepada generasi
sarjana yang menulis seperti Dr. Othman Puteh, Mana Sikana, Sahlan Mohd. Saman,
Siti Zainon Ismail dan ramai lagi. Inilah juga yang menjadi asas kenapa saya
memilih Mawar untuk diangkat dalam Tanggapan.
Elok untuk diketahui, cerpen pertama Mawar berjudul Kerana Kau disiarkan pada 15 Mac 1986 di Mingguan Famili. Bermula dari tarikh tersebut, cerpennya sering dapat diikuti di akhbar-akhbar arus perdana dan di majalah-majalah sastera. Cerpen terbarunya berjudul Di Sumur Masitah (Dewan Masyarakat Januari 2001 dan Suara Ababil (Dewan Budaya 2001).
Dari 1986 sehingga 2001, sebanyak 33 buah cerpen Mawar sudah disiarkan dan 11 buah berjaya meraih hadiah sastera berprestij negara, menerusi Hadiah Sastera Utusan 1995,1997, 1998 dan 1999. Menerusi Hadiah Sastera Perdana 1996/1997; Hadiah Sastera Berunsur Islam 1X 1996; Hadiah Sastera Esso-GAPENA X; Hadiah Sastera Darul Takzim ll dan Hadiah sastera Sempena Bulan Budaya Pulau Pinang 1996.
Tahun 2002 sudah berlalu sepuluh bulan, khalayak pembaca terutama peminat karya Mawar nampaknya tidak berpeluang menikmati sebarang hasil karya kreatif daripada tangan lembut penulis bercita-cita keras dengan gaya penyampaian kontemporari, yang digemari penulis muda ini. Kenapa kekosongan ini terjadi?
“Saya
percaya sesetengah penulis memerlukan satu ‘jeda’ dalam perjalanan
kepengarangan mereka. Saya memerlukannya untuk dapat satu tenaga/mood/ diri
yang baru dan segar setelah ‘jeda’ lebih kurang 3 tahun. Kedua, saya secara peribadi ada menghasilkan
cerpen sepanjang ‘jeda’ tersebut tetapi saya tidak bersedia menghantarnya untuk tujuan penyiaran di
akhbar perdana. Besar kemungkinan saya
akan mengumpulkan cerpen-cerpen tersebut dalam kumpulan cerpen persendirian nanti.”
Ujar Mawar, yang sudah pun menghasilkan kumpulan cerpen Montaj ll, diteribitkan
Pustaka Nusa: Bangi 2002 dan sebelum ini kumpulan cerpen Zel terbitan
Galeri Melora: Bangi 1998.
Ketika khalayak sastera terasa bagaikan kehilangan seorang penulis yang berpotensi, dan pada waktu-waktu yang dianggap Mawar sebagai berjeda, dia sebenarnya bagaikan air sungai yang sentiasa mengalir dan tidak pernah diam. Jikalau pada permukaan air kelihatan tenang, namun di bahagian bawah tetap hidup dan berarus. Itulah Mawar yang saya kenali, sentiasa mengisi waktu dengan hal-hal yang lebih bermartabat, bakal menggugat dan mampu memperkasakan diri, sastera serta kerjayanya.
Selain menyiapkan penulisan novel berjudul Mashitah yang kini mencecah bab ke tujuh daripada sepuluh bab yang dijangkakan, yang ditulis berdasarkan cerpen-cerpennya sebelum ini, pada waktu yang sama Mawar Shafei juga sedang melanjutkan pelajaran untuk Ijazah kedoktoran dalam bidang Kesusasteraan Bandingan di bawah seliaan Dr. Hadijah Rahmat di National Institute of Education, Nanyang Technological Universiti Singapura, dari 2002-2005. Waktu inilah yang dimaksudkannya sebagai berjeda selama 3 tahun tadi.
Pelajar aliran sains/geografi/alam sekitar yang kemudian berpindah ke aliran sastera ini menulis karya kreatif kerana, “saya fikir menulis merupakan satu tindakan refleks, satu tindakan yang automatis, ada rangsangan bermakna mesti ada tindakan. Dengan kata lain, kalau ada yang merangsang saya akan segera menulis. Seperti ‘Sumur’ sebaik mendengar cerita sahabat saya yang sedang hebat bergelora jiwa keibuannya dan pada masa yang sama saya sedang seronok dan terharu membaca kisah Kenzaburo Oe sambil setiap hari mendengar cd anak Oe, Hikari, cepat saja ‘Sumur’ siap. Kalau tidak silap, sekali duduk saja ‘Sumur’ selesai ditangani. Selebihnya saya fikir saya menulis kerana ingin berkongsi pengalaman, pemikiran atau pendapat dengan orang lain secara kreatif. Lewat kertas kerja atau rencana kita seakan dikerah untuk jalinan hubungan dua hala, sebaliknya dalam penulisan kreatif kita seakan diajak berdamai untuk menerima sesuatu isu yang berbeza tanggapannya ini.” Begitu indah dan memikat lakaran hasrat penulisan kreatif Mawar ini. Keindahan sastera itu sendiri nampaknya berjaya menggagalkan pujukan Dr Othman Puteh agar dia terus berada di bidang alam sekitar dalam waktu yang sama boleh menulis kreatif. “Tapi saya berdegil!” Ujarnya.
Menjelaskan
tentang ‘Sumur’ serta ‘Masitah’ yang sering menjana penulisannya
sekaligus diangkat menjadi judul kepada banyak karyanya, ujarnya “Menjawab
soalan ini sebenarnya membentang sebahagian proses kreatif manuskrip Masitah.
Izinkan saya menjawab secara umum saja. Saya menjadikan sumur sebagai
lambang penyucian dalam kehidupan. Ia
merupakan sahabat Masitah yang akrab. Bukankah setiap hari kita
membersihkan diri, membersihkan jiwa. Bukankah setiap hari kita inginkan
penyucian lahir dan batin. Bukankah dalam kehidupan yang singkat ini, betapa kita dambakan laluan yang
bersih dan putih (walau laluan sebaliknya, tidak terelakkan.) Sementara Masitah
saya tanggap sebagai wanita sejagat. Masitah merupakan protagonis yang
berada dalam diri hampir setiap
wanita. Diri Masitah yang
saya temui ternyata mempunyai rasa bahagia, resah, durja dan dura. Saya mahu khalayak mengenali wajah Masitah
yang mempunyai garis-garis yang cukup pelbagai makna itu.”
Sebagai sarjana, sumbangan Mawar dalam bidang sastera pasti melangkaui pesisir sempadan karya kreatif. Selain menulis cerpen dan kini sibuk menyiapkan novel sulongnya Masitah, Mawar Shafei pernah membentang kertas kerja lebih daripada 28 kali, di dalam dan di luar negara. Antaranya, di Asean Writers Workshop dari 10-20 Disember 1996 dengan judul The History and Current Situation of Essay in National Context: Malaysian in Brief., Jakarta; Cerpen Melayu Mutakhir, 18 April 2000 di Institut National des Langues et Civilisations Orientales, di Paris Perancis dan Seminar Globasasi Sastera, Cerpen Melayu dalam era Globalisasi pada 3 Jun 2000 di KYM, Melaka (sekadar menyebut tiga judul pembentangan.)
Menulis makalah dalam majalah dan akhbar bukan sekadar menjadi satu kegemaran malah boleh ditafsir sebagai suatu tanggungjawabnya sebagai orang sastera. Untuk ini tulisan Mawar Shafei sudah meliputi 31 buah, disiarkan di media massa seperti Dewan Sastera, Tunas Cipta, Berita harian, Pelita Bahasa, Dewan Siswa serta Dewan Budaya. Antaranya: Bahasa: Wahana Diplomatik China-Empayar Melaka Abad ke-15. Disember 1994. Pelita Bahasa; Grisham: Antara Konvensi dengan Klasik. Mei 2001. Dewan Sastera dan Teater dan Bahasa di Kampus, September 1995 Dewan Sastera (pun sekadar mengangkat tiga judul makalah.)
Mawar Shafei tidak ketinggalan menulis karya deskriptif sebagai pelengkap
kepada beberapa genre di atas. Sehingga
kini, tujuh buah karya deskriptif Mawar pernah di terbitkan sebagai ‘makalah
dalam jurnal.’ Antaranya Kajian Syair Firasat Nabi dan Syair
Nadzam 25 Rasul dan Nyanyian Siti Fatimah: Julai-Disember 1966, Jurnal
Pangsura – DBP Berunai Darul Salam; Autoniografi
dalam 40 Puisi, Jurnal Perisa 4 1998 DBP Kuala Lumpur dan Cerpen Melayu
Mutakhir: Penggemblengan Ilmu Luar Sastera 2002 Sari Jilid 18, UKM Bangi.
(Sekadar mengangkat tiga judul juga.)
Belum lengkap
rasanya andaikata tidak disentuh mengenai Makalah dalam Prosiding hasil
pemikiran Mawar. Sehingga ini enam
judul telah ditulis. Antaranya, Sebuah
jukstaposisi Antara Sangkar Anwar Ridhwan dan Psikoanalisis Freud, 1997.
Wacana Persuratan Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Zaen
Kasturi dan Sri Diah, 2001. Kolokium Kesusasteraan Melayu Moden 1V. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kreativiti dan Sensiviti dalam
Cerpen Melayu Mutakhir. 2001. Dari Lontar ke Layar. Bangi: Jabatan Persuratan Melayu, UKM.
Andaikata, anda ingin meneliti secara rinci semua karya Mawar Shafei daripada semua sudut dan genre, silalah lawati laman web peribadinya, http://www.oocities.org/mawarshafei71. Di laman yang berlatarkan kuntuman bunga mawar berwarna merah jambu itu, segala hasil tulisan Mawar dapat dilihat untuk dijadikan bahan rujukan, mahupun mengisi waktu senggang sebagai pengetahuan juga santapan rohani.
Selepas tamat tempoh berjeda, saya percaya Mawar Shafei akan kembali menemui khalayak sastera dengan karya lebih bertenaga, pandangan lebih dalam dan luas dan kritikan lebih tajam, bernas serta membina.