Virus Zel Untuk Abah

oleh Mawar Shafei

 

AKU kembali tersandar.  Namun mataku masih jatuh pada dada monitor.  Cursor yang bergerak-gerak semakin kutenung dalam-dalam.  Jemariku tetap berada di kepala mouse.  Sengaja aku lari-larikan cursor ke kiri, kanan, atas, bawah.  Kemudian dengan teliti aku menekan huruf-huruf pada keyboard sehingga terbentuk frasa:

 

            ZEL VS ABAH.

 

            Pun di luar sedar tiba-tiba saja ada dub dab dub dab yang maha kencang di dalam sana.  Ada keringat dingin yang entah bila mula tumbuh di pangkal dahi.  Aku mengesotkan kerusi beroda menghampiri suis sistem penyaman udara albers Air yang terlekat pada ruang muka tembok bilik.  Angka tiga kuubah ke angka lima.  Albers Air yang menggabungkan proses pendinginan sejatan dengan penyahlembapan bahan pengering itu memang aku yang syorkan kepada mama.  Dengan alat alternatif nyaman itu, bahan penyejuk yang memusnahkan ozon dan pemampat yang menggunakan banyak tenaga, tidak lagi diperlukan.

 

            Aku menggenggam erat kelima-lima jari kanan.  Pun  begitu kuhentak meja, melepaskan geram.  Ah! Segala-galanya sungguh kejam!  Mengapa semuanya itu harus menimpa aku yang tidak berdaya.  Aku yang kerap mendengus bila menerima hempapan konkrit rumit.  Tapi sejurus itu kata-kata seorang teman yang sedia menyua harapan dan ketenteraman luhur yang tak terhingga menyinggah.

 

            “Allah hanya akan menguji hamba-Nya mengikut kekuatan akal dan iman kita.  Tidak diberatkan dengan apa yang berada di luar daya kita.  Insya-Allah ada hikmah yang tersirat, yang sebenarnya kita sendiri tidak menyedarinya.  Percayalah.”

 

            Sebentar itu aku kian melihat, menilai dan mentafsir bicara sahabat terbaik yang kini sedang menuntut di Kaherah.  Tapi sebentar itu aku mendengus lagi.  Ah! Sesiapa saja boleh mengucapkannya.  Tapi aku yang menelan jadamnya.  Aku!

 

-       Abah tak pernah cuba faham perasaan Zel!

-       Jangan cakap begitu Zel.  Zel silap…

 

-  Oh abah, Zel memang selalu silap.  Zel memang anak-abah yang selalu tak pernah betul.  Tapi abah, sejak dulu tak pernah cuba untuk mengerti, memahami tentang diri Zel.  Tentang keinginan Zel.  Abah… abah… Zel benar-benar kecewa.  Cukup kecewa dengan apa yang telah berlaku antara abah, ma dan Zel.  Zel kecewa dengan keadaan keluarga kita abah!

 

-       Abah tak dapat berbuat apa-apa.  Ma, Zel terlalu keras.  Abah tak dapat lagi untuk membentuknya sebagai isteri abah.  Ma terlalu keras.

 

-       Tapi abah seorang lelaki.  Seorang suami.  Abah seharusnya lebih dalam segala-galanya.  Abah sepatutnya…

 

-       Ya, mungkin abah atau ma sendiri yang silap.  Silap abah yang tidak mengukur baju di badan sendiri ketika memilih ma dulu.  Atau mungkin silap ma yang lebih banyak menerima abah dengan simpati daripada keikhlasan hati.  Ah! Abah tidak sepatutnya ceritakan ini semua pada Zel.  Zel tidak perlu tahu ini semua.

 

-       Abah, Zel dah hampir 20 tahun.  Anak abah ni dah dewasa.  Jangan abah lupa, Zel sebahagian daripada abah dan mama.

 

Akhirnya kuperolehi juga kesempatan yang telah kuintai hampir sekian lama untuk meluahnya.  Meluahkan segalanya pada abah.  Rupanya aku masih gagah untuk mencapai kesempatan ini untuk mencungkil resah kalut abah selama ini, lebih-lebih lagi tentang mama.

 

Sesungguhnya sejak dulu lagi lubuk hatiku terbeban dengan saratnya timbunan persoalan tentang mama-abah.  Malah kurang lebih lewat 10 tahun lalu aku mula mencipta, menggadai, menafsir tentang mereka.  Apa lagi dengan keresahan dan nanarnya aku bagi memastikan jawapan terbaik untuk kawan-kawan sekolah yang kerap menujah aku dengan deretan soalan yang menyentuh, menggigit dan menghiris malah harus saja menyeksa perasaan anak gadis seperti aku yang tidak mengerti apa-apa ketika itu.  Apa yang abah cuba cipta sebagai penyelesaian ialah;

 

“Memang itu kenyataannya.  Zel perlu berterus-terus kepada kawan-kawan Zel yang antara mama dan abah memang dah tiada jodoh.  Zel tak perlu berdalih, mencipta sesuatu lain yang tak benar.  Abah tak pernah mengajar Zel untuk berbohong.”

 

Ah! Abah, tidak pernah hendak mengetahui apa lagi memahami tentang itu semua sejak 10 tahun lalu hinggalah ke detik ini.  Mudahnya abah menuturkan itu semua.  Tapi bagaimana Zel harus terima renungan maha pelik dari kawan-kawan yang turut tak pernah mahu mengerti.  Kawan-kawan yang hanya enak untuk mendengar ocehan indah dan menyeronokkan.  Kawan-kawan yang tak pernah sudi untuk menghulur salam ketabahan dan simpati padaku yang sering dan cepat mendengus pada kerumitan.  Sebarang kerumitan.  Pun mungkin hanya mama – insan yang teramat kucintai – hanya ma – yang tidak pernah jemu untuk meladeni inci keberantakan yang menghimpit diri dan perasaan,

 

Mama!

 

“Zel, ma tak pernah halang Zel daripada berjumpa abah.  Itu Abah Zel.  Tetap begitu untuk selamanya.  Jangan Zel fikir yang bukan-bukan antara ma dan abah.  Itu urusan kami.  Apa yang penting ma hendak lihat hubungan Zel dengan mama masih seperti dulu.”

 

Mama!

 

Aku pernah mendakap mama erat lantas mengucup tangan sejuk ma bila kata-kata itu menghanyutkan aku ke alam keharunan.  Rasanya aku ingin sentiasa dalam pelukan keibuan ma yang tersangat kurasakan darjah perlindungannya.  Siapakah aku tanpa mama.  Di manakah aku tanpa mama.  Bagaimanakah aku tanpa mama.

 

“Kita harus buktikan pada semua orang yang kita boleh terus survive tanpa lelaki dalam hidup.  Ma bukan hendak mempengaruhi Zel agar menafikan akan kewujudan lelaki dalam hidup Zel.  Buktinya mama tak pernah larang Zel daripada berjumpa dengan Abah.  Tapi dalam keadaan yang menghimpit dan kita terasa dihimpit oleh peristiwa yang berlaku, kita wajar bersikap optimistik: Kita mesti kuat malah sedikit lebih kuat untuk terus hidup, untuk terus berjaya.  Ma hampir dapat buktikan yang ma dapat teruskan hidup, dapat mencipta kejayaan, dapat didik Zel teruskan hidup, dapat mencipta kejayaan, dapat didik Zel hingga kini Zel hampir dapat melanjutkan pelajaran ke U.K. Ma bangga dengan kejayaan kita.  Ma bangga dengan kejayaan kita.  Ma bangga dengan Zel, sayang.”

 

            Aku hampir terkedu.  Pernah sebakku berbaur dengan perasaan yang menghenyak pundak bila ma menyongsong kotak Apple Macintosh Powerbook 165c dengan berat kurang lebih 3kg pada 27 Februari lepas.

 

            “Ini bukan hanya lambang kasih sayang ma pada Zel sempena hari lahir Zel.  Tapi ma mahu lambang kecanggihan ini dapat Zel jadikan gerakan untuk terus berjaya dalam pelajaran, dalam hidup.  Selamat hari lahir, sayang mama.”

 

            Aku terkesima.  Powerbook yang memiliki kelebihan pemproses 68030 yang beroperasi pada kelajuan 33 megahertz itu merupakan keluaran terkini syarikat usahasama ma, MZ Interscience Co.  Aku hanya mampu geleng kepala beberapa kali dengan pemberian termahal itu.

 

            Komputer Powerbook 165c ini mempunyai reputasi sebagai komputer yang jauh lebih bertenaga daripada kebanyakan komputer desktop utama di pasaran.  Zel tahu, Power book ini boleh menampung sehingga 14 megabyte RAM untuk Zel kerja dengan pelbagai penggunaan pada satu masa.”

 

            Terang mama yang sedang sibuk menilik-nilik katalog yang terlampir.  Dalam usia mencecah 45, aku sesungguhnya bangga mempunyai seorang mama yang berkebolehan dalam bidang komputer.  Mama bukan sekadar menjadi pengedar peralatan komputer tetapi bijak tentang apa saja dalam dunia komputer.

 

            “Mama kau tu advanced.  Patutlah abah kau rasa inferior.”  Pernah Win berbisik begitu bila kami tersempak dengan ma di ruang legar pusat membeli-belah di bandar.  Ketika itu ma sedang sibuk mengadakan pameran komputer Powerbook terbarunya.

 

            “Apa maksud kau?”  Aku menarik lengan Win keluar dari ruang legar menerusi pintu automatik.

 

            “Yalah, lelaki mana yang tak rasa tercabar bila lihat wanita berjaya begitu lebih-lebih lagi wanita itu isterinya.  Sorry Zel, aku tak bermaksud untuk merendahkan abah kau.  Tapi aku fikir reputasi abah kau sebagai guru sekolah rendah tercabar bila melihat mama kau jauh lebih berjaya Huh! Wanita sukses dalam bidang komputer dan perniagaan.  Wow! That’s great enough for a woman like your mama!”.

 

            Kembang kuncup dadaku bila mendengar kata-kata Win – teman baik sejak kecil.  Tapi sebentar itu aku hampir terduduk bila memikirkan sesuatu yang jahat, sesuatu yang tidak wajar, sesuatu yang menyimpang jauh daripada pemikiran luhur.  Ia, adakah mama – career woman yang sengaja mahu mengeksploitasi keintelektualannya, kebijaksanannya, kecerdasannya, kebolehannya, kelebihannya agar abab rasa ingerior?  “Setiap manusia ada menyimpan ego.  Tak ada pengecualian antara lelaki dan wanita.”  Kata-kata Win kembali menyelit.  Ma ada ego?  Ma hendak tunjuk egonya?  Yang akhirnya membuat mereka terpisah?  Kami terpisah?

 

            Oh! Tidak.  Mama Zel tidak begitu.  Setinggi-tinggi ma terbang, asas kehidupan-ketauhidan, ibadah, nilai hidup islamik – tak pernah kering daripada membasahi kulit harian ma.  Malah bagiku ma masih setia dengan tudung litupnya walau ke mana sekalipun, merupakan model muslimah alias serikandi masa ini.  Tidak keterlaluan kukira.

 

            Pantas aku nyah jauh-jauh andaian buruk tentang mama.  Kupejamkan mata rapat-rapat sambil menyimpul keyakinan bahawa mama merupakan insan terbaik dan insan yang paling kucintai.  Hanya mama.  Keyakinan itu kusimpul menjadi kesatuan yang utuh.  Malah pernah aku simpan keyakinan itu untuk semua wanita, semua ibu di dunia ini.  Di setiap pelosok jagatraya.

 

Semua ibu?

 

            Mungkin tidak.  Mungkin ada pengecualian.  Mungkin Aunty Syarifah tidak.

 

            “Ma, kenapa anak-anak Aunty Syarifah tu?  Tak matured.  Zel dah malas nak pergi rumah abah.  Zel tak faham mengapa mereka macam tu terhadap Zel?  Zel tak sukalah ma!”  Aku merebahkan punggung pada sofa di ruang tamu.  Mama yang baru selesai berbual di telefon, menghadapku kembali.  Beg pakaian yang agak sarat untuk penginapan selama hampir seminggu, kutenung dalam-dalam.  Namun wajah-wajah mereka yang terjuntai-juntai di sana-sini.  Wajah-wajah abang Awi, Aman dan Arif.  Ah! Benci untuk kuingat wajah mereka yang begitu jelik dan…dan…

 

            “Ma faham daripada apa yang Zel ceritakan tadi,” mama menggaru-garu dagu.  Satu kelaziman bagi ma bila ingin memulakan bicara.  “Zel pernah dengar tak, ada manusia yang tidak dapat; yang mungkin satu sifat semulajadi, mereka seakan sukar untuk berkongsi sesuatu bersama.  Tiada semangat kolektif untuk mendapat sesuatu.  Sesuatu yang akhirnya terpaksa dimilimi bersama.”  Mama berdehem.  Aku berpeluk tubuh.  Sekejap-kejap mataku jatuh pada wajah sejuk mama.  Sebentar itu mataku berpinar mengikut pusingan kipas yang berputar ligat di siling.  Pun begitulah sel-sel otakku ligat mencari dan mentafsir, menilai ketentuan yang sedang kucarigali.  Akhir sekali aku memandang tepat ke arah mama yang masih begitu, membetulkan anak-anak rambut yang sedikit keputihan yang menjulai di dahi.

 

            “Itu sesuatu yang lumrah, sayang.  Ingat tak cerita dua orang anak Nabi Adam yang tak mampu untuk berkongsi kasih sayang antara adik-beradik.  Mereka tu anak nabi Allah, Zel.  Ini sedangkan kita, manusia yang kerap lupa nikmat, kerap menyimpan khianat, kerap merasakan diri kita lebih sempurna daripada orang lain.  Namun apa yang perlu Zel pahatkan dalam fikiran, bahawa Zel jangan lupa manusia banyak belajar dan dewasa dalam hidup melalui dan dari bencana.  Setelah segalanya berlaku baru disedari betapa murahnya nilai diri kita bila kita berada di dalam sifat-sifat keji.”

 

            Aku bangkit.  Melabuhkan punggung perlahan-lahan di sisi mama.  Aku menyandarkan kepala di bahu mama.  Mesra.  Dapat kucium harum rambut mama yang baru disyampu.  Perlahan tangan lembut mama jatuh di lenganku.  Melabuhkan panggung perlahan-lahan di sisi mama.  Aku menyandarkan kepala di bahu mama.  Mesra.  Dapat kucium harum rambut mama yang baru disyampu.  Perlahan-lahan lembut mama jatuh di lenganku.

 

            “Zel faham maksud mama, bukan?  Sebagai anak mama, satu-satunya anak mama, ma yakin ma telah mendidik Zel sekarang.  Ma yakin Zel tidak akan bersikap bodoh malah ma tahu Zel matang dalam menjalani setiap pergerakan dalam hidup lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan keluarga abah – Aunty Pah dan abah.  Mereka pendidik yang berjaya di bidang akademik, Zel.  Mungkin dengan ruang waktu dan pengetahuan yang lebih, mereka dapat didik abang Awi, Aman dan Arif lebih daripada mama.  Tapi sebaliknya abang Awi, Aman dan Arif saja yang belum dapat capai piawai kematangan seperti mana yang telah Zel perolehi sekarang.”

 

            “Mama!”

 

            Pun di luar sedar, air jernih yang tanpa aku jemput, perlahan-lahan menuruni cerun pipi.  Aku memeluk mama, erat sekali.  Begitu mulia hati mama.  Tidak pernah aku duga selama ini mama sebegitu luhur.  Murni.  Suci.  Kudus.  Sedangkan aku separuh mati memikirkan yang buruh-buruk tentang abah dan keluarga barunya.  Bagi aku Aunt Pah sekeluargalah yang telah mencipta segala malapetaka dalam keluargaku dengan mencuri abah dari kami.  Tapi dalam andaian buruk itu rupanya mama…oh! Mama!

 

            Dagu kusangkut pada bahu mama.  Aku masih terkedu.  Cuba kuusir jauh-jauh nama Arif yang menyambutku di lawang rumah abah awal pagi tadi dengan wajah hodohnya.  Cuba kulempar jauh-jauh cebikan Aman bila  kuceritakan tawaran yang kuterima untuk ke U.K.  Pun cuba kesatukan ikhuwah yang kuharap dapat kutenunjalinkan antara diriku dengan abang Awi – satu-satunya saudara tiri yang menjadi harapan sebagai penghubung antara lain.

 

            Aku untuk sekian kali tersandar.  Cursor masih terkedip-kedip di sebelah huruf ‘H’.  peluh dingin semakin hilang ditelan mulut Albers Air.  Mataku jatuh pada Vancall Logic.  Wajar Win tiba-tiba tersangkut di fikiran.  Pantas kutekan huruf ‘W’.

 

-         Win?

-         Zel?

-         Ya, aku masih di sini.  Aku perlukan pendapat kau.

-         Ya, kalau boleh a tau mampu aku bantu.

-         Tentang abah.  Mmm…kau setuju, Win?

-         Oii! Kau gila! Kau gila Zel!

-         Win Shut up!  Aku hanya perlukan pendapat kau.  Bukan pekikan kau.

-         Oh ya, begitu?  Well itu pendapat aku bahawa kau dah gila!

-         Sekilat itu punat Vancall Logic kutolak ke bahagian off

 

Win!  Sampai hati kau.  Adakah kau juga merupakan sebahagian daripada manusia yang kerap membuat aku mendengus dengan kerumitan Win!

 

            Prittt!

 

            Vancall Logic keluaran MZ Interscience Co, menjerit sekitar ruang komputer mama, ruang komputer kami.  Tanpa perlu melekapkan gagang ke telinga, aku membalas suara Win yang kembali menyapa.

 

-  aku tahu kau tak waras ketika itu, dulu.  Tapi sekarang tidak, Zel.  Kau akan ke U.K. – bakal siswi undang-undang.  Bakal seorang pengamal undang-undang.  Seorang yang mengamalkan kebenaran, melenyapkan yang batil.  Justeru itu kau tak wajar bertindak begini.  Itu bukan salah abah kau.  Aku… aku tak berani untuk menyalahkan sesiapa.  Tapi kau perlu harus ingat kata-kata mamamu, Zel – Mama tersayangmu bahawa manusia banyak belajar dan dewasa dari dan melalui bencana.  Cukuplah kau jadikan segalanya itu sebagai pelajaran, bukan satu dendam yang perlu kau balas apa lagi dengan… dengan…

 

-  Ah! Kau juga seperti abah yang hanya mudah kata itu, ini.  Tapi telah aku katakan aku yang menelan jadamnya.  Aku dan ma yang menelannya.  Kami yang merana.  Kami! Aku dan ma!.

 

            Aku teramat risi dengan apa yang berlaku.  Deras saja air suam yang sedia bertaku di tubir mata, luruh.  Lebat.  Serasa hanya aku dan mama yang teronggong.  Sementara wajah-wajah lain terpingkal-pingkal.  Lebih-lebih lagi wajah Aunt Pah abang Awi, Aman dan Arif (atau mungkin abah, jika tidak ada pengecualian).  Aku kian ke sasar.  Aku terus mencari-cari wajah sejuk mama.  Mama!

 

-         Zel!

 

            Suara Win semakin jauh.  Sejauh aku meninggalkan pedihnya kata-kata abang Awi lewat beberapa hari lalu.

            “Abah tentu terperanjat dengan hadiah kita ini.  Zel.  Maksud abang hadiah dari abang, Aman, Arif dan Zel.”  Aku mengangguk, sedikit riang dengan “kita” dari abang Awi – pegawai muda di MACPA.  Aman yang ada majlis makan malam tidak dapat menyertai kami.  Arif yang seusia denganku, terpaksa bertugas malam di pusat eksais.  Abang Awi ketika menjemputku tadi sempat mencium tangan mama, sebelum berjanji untuk menghantarku pulang tidak lewat daripada jam 11.00 malam.  Aku senang begitu.

 

            “Zel, abang tanya.  Warna baju ni sesuai tak dengan abah?”  lamunanku terencat.  Abang Awi yang mesra (sedikit mesra kukira), tergelak kecil dengan keadaanku yang agak leka.

 

            “Biru?  Zel tahu benar warna kegemaran abah.  Abah suka warna hijau tua.  Macam ni…” Aku menghulur  kemeja batik lumut tua.  Ada kerut di dahi luas abang Awi.

 

            “Hijau?  Hijau tua?  Abah tu abah abang.  Abang tahulah taste abah.  Abang fikir biru ni sesuai.”

 

            “Abah abang?  Jadi Zel ni siapa?  Zel ni siapa dengan abah?  Dia abah Zel juga.  Apa yang abang Awi cakap ni?  Cakap orang gila?!”  aku separuh menjerit.  Tidak kuhirau pembeli-pembeli yang terlongo memandang ke arah kami.  Aku tidak peduli.  Kurenung muka bang Awi yang mula berubah kemerahan.  Hampir aku tidak sedar entah bagaimana abang Awi berjaya menyeret aku keluar dari gedung pakaian itu dengan dua pasang kemeja batik biru dan hijau yang telah siap berbungkus.

 

            “Zel, benarkan abang cakap sedikit.”  Aku tunduk bila abang Awi menahan aku daripada menolak daun pintu kereta sebaik saja JBT4337 abang Awi berhenti di depan pintu pagar rumah.  Aku menoleh pada channel di pergelangan tangan kanan yang mengarah pada angka sembilan dan enam.  Terlalu awal daripada masa yang seharusnya.  Perlawaan abang Awi untuk makan malam bersama, kutolak sebaik saja kami meloloskan diri ke dalam perut kereta.

 

            “Zel, kita telah sama-sama dewasa.  Abang Aman dan Arif faham keadaan Zel dan mama.  Tapi abang masih tak faham apa lagi yang Zel perlukan daripada abah.  Abang rasa sekarang abah dalam keadaan serba salah.  Sebab itu abang fikir cara bagaimana Zel dapat tunjukkan kasih sayang pada abah ialah tolong jangan ganggu, jangan bebankan fikiran abah buat sementara ini.”

 

            Ya Tuhan!  Persis halilintar yang datang meragut tangkai jantungku.  Panas dadaku dengan seribu darjah ledakan yang serasa ingin muntah.  Jemariku terketar-ketar.  Bibir bawah kugetap rapat-rapat dengan gigi atas.  Air suam yang tak dapat lagi kusekat, terburai.  Segalanya tiba-tiba.

 

            “Abang! Abang kejam!!!”

-         Zel!

-         Sudahlah Win.  Aku sudah hampir ingin melakukannya sekarang.

-  Zel!  Abah kau tak bersalah.  Program ZQ 1308 itu penting untuk keluarga abang Awi.  Ingatkan Allah Zel!

 

            Aku kian rancak menekan dada keyboard.  Hanya dengan virus ZEL aku dapat melaksanakan kesumat yang telah terperuk sekian lama.

 

-  Zel.  Aku tak berupaya untuk halang kau.  Cuma apa yang dapat aku kata, mama kau tentu kecewa dengan sikap khianat kau sedangkan mama kau tahu kaulah satu-satunya anak yang terbaik yang tidak akan melakukan sebarang perkara bodoh.  Mama kau akan kecewa dengan apa yang kau lakukan sekarang Zel.  Percayalah, mama kau kecewa sebenarnya!

 

Mama!

 

            Jemariku terencat daripada terus memasukkan viru ZEL.  Segalanya hampir terlaksana kecuali…

 

-         Win!

-  Ya Zel, delete saja.  Delet.  Aku mengharapkannya.  Aku masih nanar.  Segalanya berbaur – kesumat, geram, benci, kasih sayang, perikemanusiaan dan unkhuwah – menjadi satu.

 

            Mama!

 

            Pantas kutekan punat delet.

 

            Segalanya padam.  Segalanya gelap.  Segalanya mati.  Virus kesumat ZEL kumatikan.  Off.