Cerpen: ANTARA RINDU XIANG SI DOU

 

BIODATA: MAWAR SHAFEI dilahirkan di Singapura dan meraih Ijazah Sarjana Sastera pada 1997 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah memenangi beberapa anugerah sastera dan terbaru Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor (2003). Beliau terbabit dalam genre esei dan cerpen untuk beberapa wadah serantau dan kini calon Ijazah Kedoktoran di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, pengkhususan dalam Kesusasteraan Bandingan.




KENAPA kau menangis di luar kelas lukisan Mrs Dorota?”

Beberapa biji saga sudah memenuhi separuh perut uncangan. Seraya memilih biji-biji saga antara ranting halus dan rumput yang berserakan, saya memilih untuk bertanyakan itu. Sekali sekala jarinya menguis biji-biji merah yang terkepung antara akar pokok mu ma huang yang lebar, tinggi dan melindung. Sekejap mata saya beralih ke arah bangunan sekolah di seberang padang yang penuh celahan semak ilalang. Kemudian mata saya jatuh kembali kepadanya. Dia masih memungut biji-biji saga. Xiang si dou. Belum sempat saya mengulang tanya, dia bersuara;

“Saya sahabatmu yang sudah hilang keyakinan dan mudah mengalah, bukan?”

Seperti asakan naluri yang tiba-tiba menyerbu, saya tahu angin yang berlalu juga seperti tidak pernah akan bersetuju. Dia menangis. Dan saya terlalu bodoh untuk berkata seperti, “sudahlah jangan menangis. Saya akan selalu di samping kamu.” Namun akhirnya saya menutup mata dan cepat berkata, “Sudahlah, ayuh kita pulang dan jumpa malam nanti. Kau jangan lupa bawa lilin lebih, takut kehabisan dan bila tanglungmu gelap, kau akan menangis. Dan aku yang letih memujuk!”

Uncangan sudah penuh. Dia tidak seperti biasa, mencubit lengan saya jika diusik begitu. Kali ini dia hanya berjalan terus ke arah lorong rumahnya setelah kami melintasi jalan di tepi deretan pokok mu ma huang yang tinggi dan menyeberang lagi sebuah padang ilalang. Saya masih menemaninya dari sini. Namun saya tahu dia akan datang malam nanti. Musim tanglung, antara musim kesukaan kami. Persis tahun-tahun sudah, kami akan membimbit tanglung masing-masing di hadapan surau tua. Ada padang sepak raga dan anak-anak kecil seperti kami akan bermain di tanah lapang itu selepas makan malam. Persis tahun sudah juga saya akan menyelitkan kuih bulan di saku celana. Saya akan ambil dari dapur mama. Persis kisah kuih bulan, saya ingin saja menyelitkan pesanan di dalamnya seperti yang dilakukan rakyat ketika menentang pemerintah Mongul pada akhir Dinasti Yuan. Pesan saya antaranya berbunyi, “Kau jangan bersedih. Saya akan sentiasa menjadi sahabatmu.” Itulah janji saya dalam bulan lapan dalam takwim kami. Antara lemak biji teratai dan manis kuih bulan, saya tahu mata cantiknya akan bersinar-sinar dalam gelap malam berjelaga bulan penuh.

Ya, malam itu dia datang. Saya sebenarnya menanti lama. Saya tahu dia akan datang seusai kelas al-Qurannya pada jam sembilan. Dan kami semua akan berkumpul di padang kecil ini. Saya nampak dia berlari pulang dalam baju kurung dan tudung yang masih terikat. Sebentar kemudian saya nampak ada cahaya tanglung dari lorong rumahnya. Saya tahu dia sedang berjalan ke arah saya. Saripudin, Aini, San dan beberapa lain dalam gelap jelaga malam, sedang menyalakan lilin tanglung masing-masing. Tiba-tiba wanita itu menjengah kami. O, ibunya. Saya yang pertama disapa, “terima kasih kerana memujuk dia. Kau memang anak yang baik, sahabat yang baik. Begitulah, dalam seribu kesedihan, katanya, kaulah yang selalu hadir untuk mengisi.” Saya jadi terpempan. Begitukah makna persahabatan kami di mata dia. Dalam kelam malam, saya melihat matanya bersinar. Cantik. Itulah antara makna keindahan dalam seluruh hidup saya.

Antara rindu merahnya biji saga, xiang si dou, dilapisi rindu antara sahabat lama, saya tersentak dengan suara, “kenapa ibu beli biji saga?” Saya menoleh. Gadis comel dengan renda merah jambu di kiri kanan rambut halusnya, memaut tangan wanita tinggi lampai itu.

“Ia lambang persahabatan, sayang. Xiang si dou. Merahnya hangat, sehangat persahabatan, sayang.” Saya terhenti daripada membelek beberapa kayu penyepit yang berukiran di pangkalnya. Ada getar pada suara wanita itu. Sesekali ada sergahan ketawa dan komentar tentang barang jualan berselang seli dengan harum kayu – cendana, semangkuk atau harum dari lidi setanggi yang dibakar di sudut galeri. Ruang kedai hiasan dalaman yang saya sewa dengan nama – Memori Saga. Saya susun sejak melangkah garis lawang, beberapa rangka gambar xiang si dou menuju ke kelompok perabot kecil – meja konsul, kerusi sepasang, meja kopi atau pengadang kayu di ruang tengah. Biji-biji saga yang mengisi perut botol atau ada yang dalam uncangan, saling bertindihan dalam bakul anyaman, atau ada yang memenuhi perut tirus mangkuk kayu, masih menjadi tumpuan mereka – wanita di hadapan saya dan anak comelnya.

O Tuhan, persis ada serbuan sekumpulan angin hangat dalam kenangan saya. Dan angin itu seperti selalu akan bersetuju, kami pernah sama-sama memungut biji-biji saga merah di hadapan padang sekolah. “Saya ingin minta mama kamu membuat batu seremban buatku dan Aini.” Waktu memenuhi uncang jahitan mama dengan biji-biji saga, saya sebenarnya ingin sekali memujuknya, “aduhai sahabatku, jangan menangis. Lukisanmu memang hebat untuk mewakili sekolah kita ke pameran di ibu kota. Tapi entah macam mana siang tadi Mrs Dorota, masih mahu lagi menguji kehebatannmu dengan lukisan yang lebih luar biasa. Engkau harus cuba menghasilkan lukisan yang lebih baik. Ayuh, bagaimana kalau kau melukis xiang si dou, merahnya hangat, sehangat persahabatan kita.”

Saya tahu, saya sedang cuba memujuk seribu kesedihannya. Bukan saja soal xiang si dou. Bukan saja soal lukisannya. Semalam bertemankan Aini, dia menceritakan kami berita yang sarat gundah. “Kami sekeluarga akan berpindah dari pulau. Ayah tak mampu untuk menanggung perbelanjaan yuran tahunan saya yang besar jika saya teruskan persekolahan di sini. Saya akan menyambung sekolah di negara asal Ayah. Kami akan berpindah hujung tahun ini.”

“Tapi bukankah kau sekeluarga, rakyat asal pulau ini?”

“Ya. Hanya saya dan ibu. Ayah dari negara utara. Ayah hanya ada permit belajar dan bekerja di sini. Kami hampir tiada hak di pulau ini setelah tangan politik memisahkannya daripada negara utara.”

“Dan bagaimana dengan kami? Ibu dan ayahku juga dari hujung benua. Hanya saya yang dilahirkan di pulau ini, sama seperti kau. Tapi bagaimana pula dengan segala hak yang kami punya?”

Aini memandang kami berdua. Begitulah kesedihan yang mucul tiba-tiba. Dengan payungan mu ma huang, kami serentak mahu mengadu kesedihan yang kian membuak dalam dada. Kami memejam mata rapat, berdoa agar segala kebaikan dan perlindungan diberi Tuhan kepada kami. Dan saya segera melengkapkan doa semoga sahabat saya terus bersama kami. Bersama saya hingga bila-bila.

Demikian manusia jarang dapat membaca keadaan. Pada suatu pagi kami mengambil giliran untuk ke sekolah. Namun pagi itu pecah dengan hujan yang menggila. Hujan pagi yang membawa seribu wajah kesedihan. Saya yang menolak dia masuk ke perut kereta wanita Tionghua bertubuh rendang, Nyonya Gemuk, gelar kami. Saya mahu dia sampai dahulu di sekolah dan saya menanti giliran selepas itu. Dalam hujan saya menghantarnya dan kemudian menanti.

Dalam hujan yang masih luruh tanpa bertangguh-tangguh, San antara basah hujan dengan kegusaran di wajah yang tidak terhitung, berlari kepada saya. “Kereta Nyonya Gemuk kemalangan. Habis remuk!” Wahai Tuhan, siapa lagi yang akan saya kenang selain sahabat saya itu. Antara suara guruh dan hujan yang seakan tidak mahu berhenti, saya menangis seperti menyaksikan seribu kematian insan yang disayangi. Saya masih ingat waktu itu dalam basah pakaian sekolah, saya menjerit sekuat hati namanya dalam hujan yang terus menggila. Xiang si dou sudah padat dalam lima biji jahitan batu seremban yang mama hasilkan untuk sahabat saya itu. Ada dalam saku celana saya. Dalam hujan yang terus luruh, saya genggam xiang si dou. Saya genggam namanya di hati. Ketika itu juga baru saya sedar tangisan sahabat saya di luar kelas lukisan Mrs Dorota bukan hanya kerana lukisannya tidak terpilih, tetapi kepercayaannya yang musnah tentang dasar pulau kami yang menolak hak manusia atas nama kuasa. Kasihannya sahabat saya yang kehilangan harga diri di pulau kelahiran sendiri.

Tiba-tiba waktu itu ingin saja saya berlari ke pantai, melihat laut dan menghirup masin dan keringnya angin yang berlari ke pipi. Atau saya ingin berlari ke padang yang menawarkan ruang yang tidak bertepi untuk saya nyatakan, adakah masih ada rindu yang dikumpulkan bersama.

Adakah masih bersisa rindu yang merah xiang si dou yang hangat.

Adakah masih ada rindu xiang si dou yang lalu.

Saya seperti terdera apabila melihat wanita itu berlalu dengan tangan kirinya memegang tangan anak comel itu dan tangan kiri seorang lelaki, jatuh di atas bahunya. Saya seperti mahu menyapa, adakah kau sahabat lama yang masih dalam hati saya. Sahabat yang bersama dalam jiwa sampai bila-bila.