YANG MANIS DAN YANG BERGUNA:

MELIHAT DULCE ET UTILE DI DALAM KEPEZI DUA

 

oleh

S.M. Zakir

 

Ungkapan yang sering digunakan apabila menjelaskan tentang definisi sastera ialah, sesebuah karya sastera itu harus mendidik di samping menghibur dan begitu juga sebaliknya iaitu menghibur di samping mendidik. Ini menjelaskan tentang peranan sastera sebagai medium penyalur pemikiran kreatif-imaginatif yang menjadi sebahagian entiti kepada sesebuah peradaban. Sastera selalunya wujud sebagai penyalinan kehidupan manusia daripada visual kepada verbal. Sebagai penyalin, sastera adalah dokumentasi imaginatif-relatif kehidupan manusia yang wujud dalam bentuk bahasa. Dalam bentuk tersebut sastera menjadi alat penghibur kepada masyarakat yang melihat imaginatif-relatif kehidupan mereka. Di sini sastera menjadi cermin kepada masyarakat tersebut. Dalam menjadi alat penghibur sastera dalam masa yang sama juga menyalurkan pemikiran yang mempersoalkan pelbagai perlakuan atau aksi dan reaksi yang membentuk nilai serta norma di dalam masyarakat. Ini menjelaskan tentang fungsi sastera sebagai alat mendidik masyarakat. Penyalinan yang dilakukan oleh sastera secara kreatif mempertemukan konotatif ‘menghibur’ dan konotatif ‘mendidik’.

 

            Sebuah karya sastera dapat dikaji dengan melihat kepada bentuk dan tujuan ‘penyalinan’ kehidupan manusia yang dibuat oleh seseorang sasterawan. Konsep yang melihat bahawa seni itu adalah penyalinan daripada realiti dan realiti itu pula penyalinan daripada wujud mutlak telah dimulakan oleh Aristotle dalam teori mimesisnya. Namun dalam konteks yang dibicarakan ini, penyalinan difokuskan untuk melihat kepada bentuk dan tujuannya. Bentuk dan tujuan penyalinan tersebut bertepatan dalam mencari keunggulan sesebuah karya. Keunggulan di sini difahami sebagai fact of succession, yakni kejituan dan bukan pengulangan (fact of repetition) yang berlaku dalam pemahaman bahawa sastera adalah bentuk bahasa.

 

            Kejituan karya sastera dalam sebuah pernyataan masyhur oleh Horace menggabungkan dulce dan utile yang membentuk pernyataan bahawa sastera itu adalah yang manis dan yang berguna. Ia kemudiannya melahirkan ungkapan dulce et utile, iaitu karya sastera adalah sesuatu yang manis dan berguna, dalam ertikata lain dapat didefinisikan sebagai sesuatu yang menghibur sekaligus mendidik. Dulce et utile menjelaskan tentang intipati teras sastera yang melihat kepada fungsi dan bukan kepada bentuk. Dulce et utile memperlihatkan bahawa keunggulan sesebuah karya sastera itu lahir daripada  kejituan fungsinya yang menyalin, mempamer dan mempersoal aksi dan reaksi kehidupan tersebut. Ini secara jelas memahami bahawa sastera itu adalah fungsi bahasa dan bukan bentuk bahasa. Pertembungan pandangan tentang fungsi dan bentuk ini akhirnya membina dua aliran pemahaman tentang estetika sastera. Namun perbicaran ini mengambil konsep dulce et utile iaitu pemahaman bahawa sastera adalah fungsi bahasa. 

 

            Antologi Kepezi Dua yang diterbitkan pada tahun 2004 ini menghimpunkan 31 buah cerpen gabungan penulis baru dan mapan. Cerpen-cerpen ini rata-ratanya hasil daripada bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Kelab Penulis Zaharah Nawawi atau Kepezi. Cerpen-cerpen para peserta dan pembimbing digabungkan bersama. Secara tidak langsung, walau terlihat perbezaan antara karya penulis muda dan penulis mapan tetapi secara keseluruhannya dapat dilihat satu jalur pengkaryaan yang dapat dijajarkan dengan konsep dulce et utile seperti yang disebut pada perenggan awal. Cerpen-cerpen di dalam Kepezi Dua ini menghadirkan cerita-cerita yang menghiburkan, dan dalam masa yang sama memberikan persoalan-persoalan yang menyangkuti tema kemanusiaan, kekeluargaan, kemasyarakatan, ketuhanan, alam sekitar, futuristik dan sebagainya. 31 buah cerpen tersebut menjadikan pembaca berada di dalam sebuah ‘kota manusia’ yang menyajikan pelbagai kisah dan persoalan manusia di dalamnya.

 

            Lima nama yang cukup dikenali turut memuatkan cerpen-cerpen di dalam Kepezi Dua. Mereka terdiri daripada Zaharah Nawawi (pengasas Kepezi), Aminah Mokhtar, Hizairi Othman, Mawar Shafei dan Nisah Hj Haron. Selebihnya gabungan penulis-penulis prolifik dan baru. Sebahagiannya menunjukkan potensi untuk maju dan menjadi nama yang mapan dalam dunia kesusasteraan seperti Zanazanzaly, Salman Sulaiman, Mohd Nazmi Yaakob, Tiras R, WB Rendra, Hanisah Othman dan beberapa orang lagi.

 

            Zaharah Nawawi menimbulkan persoalan tentang nasib sasterawan dari sudut pendapatan material. Memunculkan watak Mun atau Munir, seorang nelayan dan Mus atau Mustapha seorang penulis secara tersirat memberikan perbandingan yang bersifat metonimi. Pendapatan seorang penulis dibandingkan dengan pendapatan seorang nelayan, dan nyatanya mungkin lebih rendah. Namun seorang penulis bukan mengejar habuan material tetapi lebih kepada kepuasan diri dalam menyampaikan fikiran dan kisah yang berguna kepada masyarakat. Ini menjelaskan ‘yang manis dan yang berguna’ itu bukan semata-mata berdiri di atas landasan material tetapi wujud di dalam jiwa yang kaya dengan kesedaran. Keseluruhan cerpen ini memberikan metonimi terhadap kehidupan penulis melalui imej-imej nelayan, laut, ombak dan hasil tangkapan. Imej-imej ini diwujudkan secara tersirat dalam menyampaikan maksud dan tujuan pengisahan.

 

            Mawar Shafei cenderung kepada gender wanita yang mengangkat kebanggaan terhadap watak tipikal wanita Melayu yang tidak luntur walau jauh dan kuat dilanda situasi dunia baru yang mencabar. Penglibatan watak aku dan dia yang sehaluan dalam membina wajah dinamis wanita berpendidikan tinggi, teguh agama, dan bercitarasa antarabangsa menjelaskan kecenderungan menonjolkan persoalan gender. Kata-kata, “Aku tidak fikir Tuhan mencipta perempuan hanya untuk menjadi pelayan lelaki, semat bunga di dada lelaki dalam acara rasmi, pegang dulang semasa menteri hulur hadiah atau gelek blotter di belakang lelaki yang menandatangani MoU. Murahan amat!”, cukup untuk Mawar di dalam “Montaj Pesona II mempersoalkan tipikal gender dalam dunia unggul patriakisme. Sinis yang dihadirkan Mawar memperlihatkan usaha untuk menjelaskan tentang tipikaliti wanita yang masih tidak berubah sejak berzaman.

 

            Senada dengan Mawar, Nisah Hj Haron melalui “Konspirasi” juga mengangkat dimensi gender yang mempelihatkan watak wanita cekal, pejuang kebenaran, dan tabah mnghadapi intrique kuasa daripada golongan elit yang berpengaruh. Namun pernyataan Nisah lebih terselindung di sebalik penonjolan permainan kuasa oleh golongan berpengaruh untuk menutup akibat daripada rutin kotor hidup mereka. Kes Sri yang ditangani Munira membuka satu persatu topeng-topeng yang menutup wajah pemain konspirasi. Dan apabila topeng terakhir terbuka, Munira melihat wajah ayahnya sendiri. Dengan watak antagonis yang terdiri daripada wajah-wajah patriakisme dan protagonis yang diwakili oleh gender wanita tipikal yang jujur dan naif, secara terselindung menonjolkan persoalan gender – wanita berada di dalam lingkaran konspirasi lelaki.

 

            Persoalan gender yang melihat tipikaliti wanita yang tiba-tiba menyedari mereka walau tanpa salah sering diumpan menjadi mangsa oleh pertembungan yang berlaku dalam dunia unggul patriakisme turut diperlihatkan secara tersirat oleh Aminah Mokhtar di dalam cerpen ‘Mujahiddin’nya. Perang adalah pertembungan antar-kuasa dunia unggul patriakisme. Dan perang seringnya menghumban wanita dan golongan yang tidak berdaya di kancah apinya. Watak Muhammad yang membantu Dr. Fazilah di khemah pelarian menjadi penggerak kepada penonjolan persoalan kemanusiaan dan kebejatan bahana perang. Watak-watak tidak berdaya dijadikan protagonis yang berjuang dalam ledakan perang yang tidak kunjung selesai. Perjuangan menyelamatkan mangsa-mangsa yang tidak berdaya ini akhirnya menyimpulkan tujuan yang mengutuk perang dan kezaliman yang meruntuh kesejahteraan dunia. Dalam dunia kacau, lelaki berperang, wanita dan golongan tak berdaya menjadi mangsa, dimunculkan watak-watak daripada golongan yang menjadi mangsa untuk bangkit berjuang dan bersuara menentang kuasa dan dominasi yang tidak adil.

 

            Ketiga-tiga cerpen baik yang menyalurkan secara langsung mahupun secara terselindung tipakaliti wanita dan persoalan gender ini telah berjaya menghasilkan cerita yang menghibur di samping mendidik dengan menimbulkan persoalan yang dapat menggerakkan akal.

 

            Sebuah cerpen daripada Hizairi Othman yang ditulis sebelum kehilangan misterinya memberikan suatu bentuk imaginatif-relatif melalui ciptaan latar masa hadapan dan persoalan manusia yang mempergunakan agama untuk kepentingan diri. ‘Sejenak di Zeus’ berjaya menghadirkan kisah yang menarik dan berguna dalam konteks melihat dogmatisme masyarakat masa hadapan terhadap ikon yang dibentuk oleh kejahilan mereka sendiri. Dalam masa yang sama imaginasi penulis ini relatif dengan keadaan masyarakat sekarang yang tenggelam dalam kejahilan mereka yang begitu mudah memuja ikon-ikon tertentu tanpa pengetahuan dan rasional yang kukuh. Secara halus penulis menyindir masyarakat melalui cerpen futuristik yang digarap baik ini. Jelas terpapar di sini sebuah imaginatif-relatif yang mewujudkan imej dan cerita yang bertujuan menyedarkan masyarakat untuk tidak mudah menerima sesuatu tanpa usul periksa.

 

            Kisah yang memaparkan tema kemasyarakatan dilihat mendominasi Kepezi Dua ini. Penulis-penulis baru terutamanya mengambil tema kemasyarakatan yang mudah berkaitan pengalaman mereka. ‘Dilema Seorang Peserta’ karya Mustapha Kamal memaparkan pengalaman seorang peserta menyertai Pertemuan Sasterawan Nusantara yang dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis, menimbulkan konflik daripada kesukaran mendapat tempat untuk menyertai pertemuan tersebut dan beberapa insiden yang berlaku sepanjang pertemuan tersebut berlangsung. Penulis menyampaikan sebuah cerita tentang pengalaman, yang dikutip dan dicatat langsung.  Hamidah Kamaruddin pula melalui cerpen ‘Ana’ mengangkat kemelut dan dilema wartawan yang berhadapan dengan pelbagai bentuk situasi yang adakalanya bertentangan dengan prinsip hidup dan pertimbangan manusiawinya. Untuk mengangkat tokoh masyarakat yang sebenarnya bertopeng di sebalik wajah sebenar yang korup dan sebagainya membuatkan Ana jijik dengan sikap berpura-pura manusia. Namun dalam masa yang sama dia sendiri adakala terlontar di dalam lingkaran tersebut demi tugas. ‘Tiada Jodoh’ karya Soo Cham mengisahkan bagaimana kesabaran anak menjaga hati ibu yang menanti penuh harap akan perkahwinan anaknya itu. Soo Cham yang memeluk agama Islam menyembunyikan hakikat sebenar dirinya terutama kisah cinta dengan jejaka Melayu dalam usaha menjaga ketenangan ibu tersayangnya. Jauh di sudut hati Soo Cham sentiasa berdoa kepada Tuhan. Cerpen ini berjaya memaparkan realiti masyarakat majmuk dan pertembungan budayanya, yang memberikan warna-warna kehidupan yang lebih berlapis. ‘Nostalgia Anak Desa’ karya Nora Shaari yang memaparkan kisah penghijrahan gadis desa ke bandar untuk bekerja mungkin lebih berjaya jika difokuskan kepada satu paksi cerita. Penulis mencipta babak-babak yang memberi visual tentang kota membuatkan cerpen ini agak klise. Kota memang menyajikan pelbagai kemungkinan, lelaki tua yang layak di panggil bapa atau datuk boleh sahaja bertukar menjadi pemikat gadis remaja, cinta palsu bertabur di celah nafsu dan ringgit, lorong-lorong gelap kota yang siap untuk menelan sesiapa sahaja adalah sebahagian visual yang terpapar secara pipih. Paparan secara pipih ini menjelaskan maksud penulis dalam menghantar mesej ‘kesedaran’ terhadap kehidupan kota yang boleh menelan sesiapa sahaja.

 

            ‘Meon Shoemaker’ karya Razali Endun menyelitkan unsur-unsur humor dalam menghantar ceritanya kepada pembaca. Kisah masyarakat terutamanya watak lelaki yang tidak jemu untuk memperolehi kebanggaan daripada ‘benda-benda’ yang dilihatnya wujud secara bersahaja, cukup untuk pembaca menikmati sebuah kisah mudah dan santai. Beb Sabariah berjaya menggalurkan cerita masyarakat yang baik melalui cerpennya ‘Menyusur Galur’. Dilema Siti untuk mendedahkan ibubapa sebenar Kamelia, anak angkatnya mempunyai sebab-sebab tertentu. Imbas kembali Siti tentang bagaimana dia memperolehi Kamelia daripada ibubapa Kamelia yang tidak bertanggungjawab cukup untuk Siti menyembunyikan identiti sebenar Kamelia. Namun desakan Kamelia yang kuat memaksa Siti membawa Kamelia bertemu dengan ibubapa kandungnya. Cerpen ini digarap dalam bahasa dan gaya mudah, tetapi berjaya menghidupkan unsur menghibur dan mengajar dengan perimbangan yang baik. ‘Datuk Kertau’ cerpen pendek A. Hamid Halim memapar pergolakan di kampus yang melibatkan keputusan-keputusan atasan yang tidak boleh dipersoalkan merupakan kritikan sosial yang sering didengar. Sebuah lagi cerpen yang bertema kemasyarakatan ialah ‘Segalanya Jirah’ karya Norhaini Gazali,     menghidupkan ceritanya dengan watak Jirah yang lahir daripada keluarga yang ‘menyusahkan’ diri mereka sendiri kerana sikap tidak mahu berusaha terutamanya ayah Jirah dan sikap yang tidak berfikir panjang dalam menguruskan hidup yang ditonjolkan oleh sikap kakak dan abang Jirah. Cerpen ini cukup dalam menyampaikan cerita dan unsur teladannya namun penyudahnya agak tidak kemas telah mengganggu kelancaran cerita.

 

            Beberapa buah cerpen turut memanfaatkan elemen-elemen futuristik antaranya ‘Tenggelamkah Bumi Cikura’ karya WB Rendra yang mengangkat tema alam sekitar dan menghadirkan permasalahan manusia pada masa akan datang. Ia diikuti oleh cerpen ‘CDIA II’ karya Mohd Rashid Ali yang mengisahkan kehidupan di Malaysia pada tahun 2040. Pada masa itu, Malaysia dikatakan telah menggantikan Amerika Syarikat dari segi kemajuan serta perkembangan masyarakat. Malaysia menjadi melting pot yang mempertemukan pelbagai bangsa dan budaya dalam kawah kemajuannya.

 

            Beberapa buah cerpen yang memuatkan tema kekeluargaan menyimbangi garapan cerita dan pesan dalam menghasilkan karya sastera yang sederhana. Walau terdapat sedikit kelemahan dari sudut jalinan plot dan penyudah cerita, namun konsep mudah kesusasteraan yang menyeimbangi tujuan menghibur dan mendidik itu dilihat wujud. ‘Pedusi Sahmura’ karya Juliana Mohamed memunculkan watak lelaki ‘Aku’  yang berkahwin dengan Dahlia Bukvic, gadis Kosovo atas dasar cinta. Namun kemudian Aku bertukar menjadi lelaki yang tidak bertanggungjawab dengan menyeksa hidup Dahlia. Penerimaan segala derita oleh Dahlia kemudiannya menyedarkan Aku tentang pengorbanan isteri yang tiada tolok bandingnya. Tiga buah cerpen lagi memaparkan tema kekeluargaan dengan memperlihatkan penderitaan ahli keluarga menderita penyakit kronik dan ketabahan ahli keluarga lain membantu serta memberi sokongan moral terhadap penderitaan tersebut. ‘Senja Merah di Kaki Langit’ karya Siti Aminah yusuf memperlihatkan ketabahan ibu bernama Fatihah dalam menghadapi situasi takdir yang menjadikan anak-anaknya mengalami beberapa jenis penyakit. Dalam keadaan begitu, nasib malang Fatihah bertimpa-timpa apabila suaminya juga lari berkahwin dengan wanita lain. Tetapi ketabahan Fatihah akhirnya bernemu penghujung apabila anak-anaknya semua menjadi insan yang berjaya. ‘Wajah Luka Disleksia’ karya Hanisah Othman juga senada dengan memapar keteguhan dan ketabahan hidup seorang ibu apabila anak menderitai penyakit disleksia. Akhir sekali nada  penderitaan menghadapi penyakit turut dimainkan oleh Habshah Abdul Kudus dalam ‘Kraniopagus’. Ia mengisahkan penderitaan sepasang kembar yang bertangkup badan. Konflik kembar tersebut ketika ingin menjalani pembedahan untuk memisahkan mereka menghadirkan kesedaran dan akhirnya mereka membuat keputusan yang mereka tidak perlu berpisah.

 

            Dua buah cerpen ‘Semangkuk Bubur’ karya Zamidah Hashim dan ‘Padma Phang-Nga’ karya Zanazanzaly mengambil tempat dan suasana kehidupan luar setempat. ‘Semangkuk Bubur’ mengambil latar Vietnam dan ‘Padma Phang-Nga’ mengambil latar di Thailand. Kedua-dua buah cerpen selain memerikan perjalanan kembara dengan menghidupkan latar di negara-negara tersebut, turut menyelitkan cerita yang menarik. Sekaligus maklumat tentang latar tempat luar negara dihidupkan dengan pertautan cerita dan plot yang digarap baik.

 

            Sementara tiga buah cerpen lagi memuatkan dimensi latar luar negara, ‘Yang Indah-indah’ karya Tiras R yang mengambil latar suasana kampus dan kehidupan pelajar di Amerika Syarikat. Sementara Mohd Nazmi Yaakob dengan cerpen ‘Subuh Pasti Menjelang’ mengambil latar pelajar di Kaherah. ‘Wisma Tsuzuki’ karya Munirah Izzah Misran, mengisahkan persaingan dalam dunia dagang alaf baru yang memperlihatkan persaingan sesama sendiri dalam merebut pangkat, mengambil latar di negara Jepun. Tiga buah cerpen ini menyelitkan banyak konflik yang memberikan perimbangan yang menarik dalam  menghadirkan cerita dan persoalan sekaligus.

 

            Tiga buah cerpen terakhir, ‘Warkah Buat Salmi’ karya Salman Sulaiman menggalurkan cerita yang menarik dengan tema keagamaan yang diselitkan melalui surat nasihat suami (setelah meninggal dunia) kepada isterinya. Mohd Kholid Hamzah dengan cerpen ‘Kemerdekaan Dari Sebatang Lorong’ pula menghadirkan pertembungan masa lampau yang diwakili oleh orang tua yang terlibat dalam pemberontakan kumpulan Datuk Maharajalela dengan masa kini yang diwakili oleh watak orang muda yang menjadi ‘bapa ayam’ dalam usaha membina ruang kesedaran dan semangat patriotisme dalam ruang minda pembaca. Akhir sekali ‘Maka Kulintangan Pun Dititik’ karya Mohd Farid Mahfodz memperlihatkan usaha yang baik dalam menonjol budaya etnik masyarakat Bajau di Kota Belud. Galuran cerita yang rencam dengan gaya dan bentuk ini memberikan lapis persoalan yang menarik untuk diperhatikan.

 

            Keseluruhan cerpen yang terdapat di dalam Kepezi Dua ini, seperti yang dinyatakan pada peringkat awal membawa pembaca kepada sebuah ‘kota manusia’ yang dipenuhi dengang pelbagai karekter dan permasalahan di samping galuran cerita manusia yang memperlihatkan realiti-imaginasi kehidupan yang sebenarnya berlegar di dalam kehidupan sehari-hari. Pemaparan yang relatif dengan kehidupan sehari-hari ini memberikan apa yang disebut sebagai ‘Yang Manis dan Yang Berguna’ kepada pembaca yang melihat secara positif terhadap cerita dan fikiran yang cuba disampaikan. Pemahaman tentang konsep dulce et utile yang melihat kepada fungsi bahasa dan bukan bentuk bahasa diterjemahkan melalui upaya para penulis menggunakan bahasa yang komunikatif dalam merapati pembaca dan membawa pembaca kepada fokus cerita serta persoalan dengan langsung. Ia menekankan tentang fungsi bahasa yang menghantar pesan yang berguna kepada pembaca dan dalam masa yang sama menghibur pembaca dengan cerita-cerita masyarakat yang relatif dengan realiti kehidupan sehari-hari.

 

            Penyalinan kehidupan manusia yang menunjukkan tujuan dan bentuk secara langsung dapat memberikan tafsiran yang jelas terhadap apa yang ingin diutarakan oleh penulis. Kesemua cerita dilihat cenderung kepada pembentukan usaha yang melihat kepada fact of succession walaupun dalam beberapa sisi terlihat juga kecenderungan yang polos beberapa buah cerpen terutamanya daripada beberapa nama baru kepada fact of repetition. Namun keseluruhan pemahaman yang melibatkan penggunaan aliran bahasa yang dilihat sebagai fungsi dalam ruang dulce et utile mendominasi hampir kesemua karya yang dikatakan mewujudkan ‘kota manusia’ yang imaginatif-relatif tersebut.