Perlis catat sejarah julang Piala Malaysia
KUALA LUMPUR: Perlis mencatat sejarah apabila menjuarai kejohanan bola sepak Piala Malaysia buat julung kali selepas menewaskan pasukan jiran, Kedah 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Gol tunggal pasukan dari negeri Indera Kayangan itu adalah hasil jaringan sendiri ketua pasukan Kedah, Megat Amir Faisal apabila dia yang bertindak sebagai penjaga gol gagal menangkap kemas bola yang dilontar masuk dari jarak jauh oleh pemain lawan, Adrien Jurad terus ke arah gawangnya.
Walaupun, pegawai perlawanan mengesahkan gol minit ketujuh itu sebagai jaringan sendiri namun usaha Adrien tidak sia-sia apabila dia diumumkan sebagai Pemain Terbaik Final 2004.
Kejayaan itu sekali gus mengakhiri penantian 83 tahun pasukan Perlis yang sebelum ini gagal ke final dua kali berturut-turut selepas hanya mara ke peringkat separuh akhir pada 2002 dan 2003.
Trofi kejuaraan disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail kepada ketua pasukan Perlis, Mohd Khaironnisam Shahabuddin yang diiringi sorakan gemuruh penyokong mereka.
Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir adalah Sultan Kedah. Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan pegawai kanan FAM.
Kedah yang tampil dalam final ketujuh sejak 1987 dan memasang impian besar mahu memburu gelaran kali ketiga gagal mengejar matlamat mereka kali ini.
Detik malang Kedah ini mengulangi episod perlawanan akhir pada 1992 apabila kesilapan penjaga gol, Azmi Mahmud minit kedua menghadiahkan kemenangan 1-0 kepada Pahang. |