Perlis mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara bola sepak Liga Super selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Utama di Kangar, semalam.
Kemenangan tersebut sekali gus meletakkan penyandang juara Piala Malaysia itu sebagai pasukan kedua menjuarai liga itu selepas Pahang pada musim lalu. Gol kemenangan skuad Singa Utara dijaringkan oleh Manzoor Azwira Abdul Wahid pada minit ke-40.
Kemenangan manis itu turut disaksikan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin Jamalullail dan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).
Sejurus pengadil perlawanan meniup wisel penamat, stadium Utama gamat dengan pekik sorak di kalangan 20,000 penyokong yang hadir selain kesebelasan utama Perlis berpelukan sesama sendiri meraikan kejayaan manis menjulang Piala Liga Super.
Perlis yang kini memungut 41 mata dan kedudukan itu tidak mampu dicabar oleh pasukan lain walaupun skuad Singa Utara masih mempunyai baki dua perlawanan perlu diharungi.
Mereka akan bertemu Public Bank dan Telekom Melaka. Piala Liga Super hanya akan diserahkan kepada Perlis selepas perlawanan terakhir dengan Telekom Melaka di Stadium Utama pada 9 Julai ini. |