Suara serak Ramli
masih mampu bersaing

Ada orang punya suara lemak merdu dan penuh mendayu. Ada pula yang suaranya lantang ketika berdendang. Tapi, bagaimana pula jika seseorang itu punya suara yang serak-serak atau lebih tepat lagi bak orang yang sentiasa sakit tekak?
"Kalau kalah pun tak apa... sebab suara saya serak," akui Ramli Sarip yang juga dikenali sebagai Papa Rock baru-baru ini.
Ramli berkata demikian ketika diminta meneka sejauh manakah peluangnya untuk dinobatkan selaku pemenang kategori Persembahan Vokal Terbaik Album (Lelaki) - Artis.

Tahun ini, melalui album, Kalam Kesturi, Ramli berjaya meraih dua pencalonan yang sekali gus merupakan pencalonan pertamanya dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 2003, di Kuala Lumpur.

Selain dicalonkan bagi kategori Album Pop Etnik Terbaik - Artis/Produser, Ramli turut dicalonkan dalam kategori yang menilai kemampuannya untuk 'tarik suara'.

Apa yang ketara, bagi kategori tersebut, Papa Rock Singapura yang berusia 50 tahun itu bakal bersaing dengan mereka yang jauh lebih muda seperti Anuar Zain, Jamal Abdillah, Rem dan Zamani.

Beliau yang sudah 30 tahun terlibat dalam dunia seni dan kini mengikat kontrak tiga tahun dengan syarikat rakaman di Malaysia, Warner Music (M) Sdn Bhd, berkata: "Waktu saya mula-mula nak buat album dulu... adalah produser yang kritik. Dia kata, 'dia ni tak boleh nyanyi sebab suara dia serak'.

"Dalarn hati saya berkata masa itu bahawa ini tak adil. Kenapa mesti orang yang ada suara yang 'bersih' saja boleh nyanyi?

"Jadi, minumlah saya air banyak-banyak sampai kembung perut sebab nak dapatkan suara yang'bersih'. Tapi, dah suara saya macam begini, nak macam mana lagi?"

Tetapi, itu kisah yang berlaku sekitar 1978 ketika Ramli masih bergiat dengan kumpulan Sweet Charity. Menurut Ramli, keadaan itu berlaku mungkin ekoran pasaran muzik ketika itu tidak menyaksikan sebarang penyanyi yang memiliki ciri-ciri suara serak seperti dirinya.

Dewasa ini pula, Ramli mengakui masih ada juga sebahagian pendengar yang menyangka suara serak yang mereka dengar itu adalah suara yang sengaja dibuat-buat.

"Kadang-kadang itu, bila saya masuk masjid, ada yang sengaja nak bersalaman sebab dia orang nak tahu betul ke suara saya serak macam ini '

"Lepas itu, dia orang kata, 'rupa-rupanya, betullah suaranya macam ini'. Selalu jugak makcik-makcik tanya tentang ini," tambah Ramli.

Tapi, bagaimana pula jika beliau benar-benar sakit tekak? Bagaimana bunyi suaranya? "Sebenarnya, syukur alhamdulillah, saya ini jarang-jarang kena sakit tekak," akui penyanyi yang turut mempopularkan album Syair Timur.

Walau apa pun, ternyata album terkininya, Kalam Kesturi, berjaya diletakkan sebaris dengan album Aura dendangan Noraniza ldris; Salsabila (Yasin); Sanggar Mustika (Siti Nurhaliza); dan Senandung Melayu (Syura dan Datuk M. Daud Kilau).

Album-album itu semua kini berentap merebut piala bagi kategori, Album Pop Etnik - Terbaik Artis/Produser, yang akan diumumkan pada 26 April ini. Sebanyak 21 anugerah bakal dipersembahkan di Pusat Dagangan Du nia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Bagi Ramli, kalah atau menang, beliau tetap Tawakallah ...


Article from Berita Harian , 7 April 2003.
... go back ...