Konsert untuk bantu mangsa tsunami
oleh Norman Sawi

Lebih 50 orang artis Melayu dari rantau ini - Singapura, Malaysia dan Indonesia - akan bergabung tenaga dan suara untuk membantu mangsa tsunami di Indonesia dengan mengadakan sebuah konsert besar-besaran di sini.

Kesemua hasil penjualan tiket akan disalurkan kepada Mercy Relief Singapura untuk mendirikan semula rumah tumpangan anak yatim yang boleh memuatkan sekitar 100 kanak-kanak.

Konsert Ribut Damai yang diilhamkan oleh legenda rock, Ramli Sarip, itu bakal diadakan di Dewan 2, Singapore Expo, 10 April ini.

Antara artis yang terlibat termasuk Sweet Charity, Nuradee dan A. Romzi dari Singapura; M. Nasir, Dayang Nurfaizah dan Raihan dari Malaysia.

Indonesia pula akan diwakili oleh Kris Dayanti, Dewi Sandra dan Ebiet G. Ade.

Konsert anjuran Rasacipta - sebuah syarikat penganjur acara - itu bertujuan mengumpul dana untuk membina semula dua rumah tumpangan anak yatim di Meulaboh yang musnah dipukul tsunami.

Rumah tumpangan anak yatim itu akan dibina dengan bantuan arkitek terkenal Singapura, Encik Tay Kheng Soon.

Apabila selesai dibina, kawasan bandar itu akan mempamerkan ciri-ciri kesingapuraan.

Dalam sidang akhbar di Hotel The Gallery semalam, Encik Ramli mengaku berasa terharu setelah kembali daripada membuat persembahan di konsert Jangan Menangis Indonesia, juga untuk mangsa tsunami, awal tahun ini.

"Saya seperti dihantui oleh memori konsert yang menggabungkan lebih 100 artis Indonesia itu. Saya berharapan besar usaha kami di Singapura akan dapat membantu mangsa-mangsa di Meulaboh." ujar pemenang anugerah pencapaian sepanjang hayat di Anugerah Planet Muzik (APM) tahun ini.

Pengurus Program Mercy Relief, Encik Halifi Hussin, menganggarkan kos membangun semula rumah tumpangan itu sekitar $500,000.

"Kami mengharapkan penggemar muzik akan datang memberikan sokongan kepada artis serantau dalam usaha mereka mengumpulkan dana," ujar Encik Halifi.

Encik Ramli juga akan melelong gitar semi-akoustik yang biasa digunakannya untuk menulis lagu bagi didermakan kepada mangsa tsunami.

Taruhan permulaan bagi lelongan itu ialah $3,000.

Konsert Ribut Damai

Tempat: Dewan 2, Singapore Expo

Tarikh: 10 April

Waktu: 8 malam

Tiket: $38 dan $48.

Tiket korporat: $150
daripada rasacipta ( Hubungi talian
6392-2747 ).

Kontek: Hubungi 6296-2929 atau lungsuri www.ticketcharge.com.sg ;
Muzika Records

Lelong: Gitar Ramli Sarip dilelong dengan harga permulaan $3,000. Kirim sms mengandungi nama / nombor kad pengenalan / nilai tawaran ke talian
8109-0160 sebelum 3 April.

 

Article from Berita Harian, 10 March 2005.
... go back ...