Main Page|KPT Website | Kerajaan Terengganu| Forum |GuestBook

 

ALTERNATIF SALURAN MINDA ISLAM

Suara Kampus Edisi Terengganu

 

BILANGAN 33 TAHUN 08 APRIL   / MEI 2002

FOKUS 

FIQH ASSUJUN: Hukum-hukum Yang Berkaitan Penjara Menurut Syariat Islam

Oleh Ahmad Munif Mat Amin
Ketua Biro Dakwah KPT 2001/2002

Pensyariatan Penjara dan Hukum Pembinaan Penjara

Sesungguhnya Allah Taala telah mensyariatkan ke atas umat Islam hukum-hakam yang menjamin (menjanjikan) kehidupan yang sejahtera kepada umat manusia keseluruhanya. Hukum-hukum tersebut memelihara setiap individu, memelihara agamanya, dirinya, hartanya, maruahnya, akalnya dan juga keturunannya. Maka diantara hukum-hakam tersebut ialah menetapkan (menjatuhkan) hukuman penjara ke atas orang yang melakukan jenayah dan kesalahan. Para ulama telah menjelaskan tentang pensyariatan penjara dan mereka tidak berselisih pendapat padanya sekalipun mereka berselisih pada hukum pembinaan penjara.

Dalam pengsyariatan penjara ini, ulama telah berdalilkan Al-Quran, Hadis dan Ijma’ dan mereka juga turut berdalilkan dengan dalil akal.

Dalil Al-Quran:

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan ( terhadap ) para wanita yang mengerjakan perbuatan yang keji, hendaklah ada empat orang saksi diantara kamu ( yang menyaksikanya ). Kemudian apabila mereka sudah memberi penyaksian, maka kurunglah mereka dalam rumah, sampai mereka menemui ajalnya, ataupun Allah memberi jalan yang lain kepadanya”.

Surah An Nisa ayat: 15

Sesungguhnya ulama berselisih pendapat pada hukum pemansuhkan ayat ini. kebanyakan ulama berpendapat ayat ini dinasakhkan oleh ayat dalam surah An-Nur yang bermaksud:

Penzina- penzina perempuan dan penzina-penzina lelaki, hendaklah disebat setiap seorang dari mereka seratus sebatan”

Ayat pertama di atas boleh dijadikan hujjah ke atas pensyariatan penjara menurut dua pendapat ulama terhadap ayat pertama tadi ( di atas). Maka bagi ulama yang berpendapat bahawa ayat pertama tidaklah dinasakhkan, menunjukkan kepada kita terhadap pengsyariatan penjara. Adapun bagi mereka yang berpendapat bahawa ayat ini dinasakhkan, maka hukumnya hanyalah dinasakhkan ke atas kesalahan zina sahaja. Adapun kesalahan yang lain, hukuman tersebut adalah kekal sebagaimana yang dijelaskan di dalam ayat tersebut yang bermaksud, maka kurunglah mereka dalam rumah sampai mereka menemui ajalnya .

2. Firman Allah SWT di dalam surah Al Maidah ayat: 33 yang bermaksud: Sesungguhnya balasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan rasulnya dan membuat kerosakan di muka bumi, hendaklah mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka bertimbal balik ( tangan kanan dengan kaki kiri , tangan kiri dan kaki kanan ), atau dibuang dari negeri ( tempat kediamannya ). Yang demikian itu sebagai satu penghinaan untuk mereka di dunia dan di akhirat mereka memperolehi siksaan yang berat”.

Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa hukum ke atas orang yang menghalangi perjalanan ialah dengan dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka bertimbal balik ataupun dibuang dari negeri sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al Quran di atas. Maka ia menunjukkan kepada kita terhadap pensyariatan penjara. Sebahagian ulama mentafsirkan perkataan ( ) pada ayat ini dengan makna kurungan.

Dalil Hadis

1. Hadis yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud daripada Bahzin Bin Ibni Hakim daripada ayahnya , daripada datuknya telah berkata bahawa sesungguhnya Nabi SAW telah menangkap sebahagian dari kaumku, kemudian beliau mengurung mereka. Maka datang seorang lelaki dari kaumku kepada nabi SAW ketika nabi SAW sedang berkhutbah. Lalu lelaki itu berkata: wahai Muhammad, kenapakah engkau mengurung jiran-jiran aku?, maka Rasulullah SAW diam, kemudian ia menyebut sesuatu, maka Rasulullah SAW pun bersabda: lepaskanlah jiran-jiranya itu kepadanya.

Hadis ini menunjukkan kepada kita tentang pengsyariatan tahanan (penjara) di mana Nabi SAW telah menahan mereka kemudian melepaskan mereka.

2. Berkata Abu Daud: bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah mengurung ( memenjara ) seorang lelaki kerana satu tuduhan. Hadis ini menunjukkan bahawa sesungguhnya Nabi SAW telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas seorang lelaki ( tertuduh ) kemudian Nabi SAW memerintahkan supaya melepaskannya. Maka ini merupakan satu dalil bahawa berlakunya hukum penjara daripada Nabi SAW dan sesungguhnya Nabi SAW telah melaksanakannya dan perbuatan Baginda SAW adalah sunnah.

Dalil Ijma’

Sesungguhnya kedatangan (kewujudan) peristiwa pemenjaraan yang masyhur pada zaman Khulafa’ Ar-Rashidin dan orang yang selepasnya tanpa ada keingkaran ke atasnya dianggap ijma’ ( kesepakatan ) ke atas pengsyariatannya. As-Syaukani berkata: Kesimpulannya, sesungguhnya pemenjaraan ( الحبس) telah berlaku pada zaman kenabian. Begitu juga pada zaman sahabat seterusnya orang yang selepasnya sehinggalah ke hari ini disepanjang zaman dan semua pelusuk bandar tanpa bantahan.

Dalil Akal

Sekiranya kita merenung kepada masyarakat sekeliling dengan renungan yang mendalam, sudah tentu kita akan mendapati amat perlu dilaksanakan sistem pemenjaraan. Ini disebabkan keperluan yang memaksa agar dilaksanakan sistem ini. Seseorang yang tertuduh itu, kadang-kadang tidak diketahui tingkah lakunya, samada baik ataupun buruk. Maka dengan ini ia ditahan sehinggalah nyata tingkah lakunya. Jika sekiranya tertuduh terkenal dengan kejahatan dan sering melakukan jenayah, maka menahannya adalah lebih diutamakan. Sesiapa yang diketahui kejahatanya dan sering melakukan perkara yang haram dan juga sering melakukan kerosakan di atas muka bumi yang tidak menyebabkan hukuman had ataupun qisas keatasnya, maka ketika ini hendaklah ditahan di dalam penjara sebagai menahan kejahatan mereka terhadap manusia. Begitu juga, suruhan Islam tidak akan sempurna melainkan dengan melaksanakan perintah kepada perkara yang baik dan mencegah daripada melakukan kejahatan. Perkara ini tidak akan terlaksana dan sempurna melainkan dengan melaksanakan balasan-balasan ataupun hukuman-hukuman yang telah ditetapkan oleh Islam. Maka diantara hukuman yang paling penting ialah penahanan yang berbeza-beza jenisnya. Jika sekiranya perkara yang wajib seumpama menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kejahatan tidak dapat dilaksana melainkan dengan menegakkan hukuman yang diantaranya penahanan, maka penahanan itu menjadi wajib dilaksanakan sebagai mencegah kezaliman. Ini berdasarkan kepada kaedah tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya, maka ianya perkara yang wajib .*

Hukum-hukum berhubung dengan banduan

1. Ibadat Solat

1. Hukum apabila ketiadaan air dan tanah untuk bersuci:

Ulama berbeza pendapat pada masalah ini, pendapat yang paling kuat ialah pendapat Imam Ahmad, Ibnu Hazmin dan yang lainnya iaitu hendaklah banduan tersebut solat mengikut keadaannya dan tidak wajib ia ulangi solatnya kembali. Ini berdasarkan firman Allah Taala yang bermaksud:“Takutlah kamu kepada Allah, apa yang ( sekadar ) kamu mampu”.*

2. Hukum apabila timbul keraguan pada menentukan arah kiblat:

Ketika ini banduan tersebut hendaklah berijtihad dan hendaklah dia menunaikan solat mengikut kadar kemampuannya. Solat yang ditunaikan itu sah. Maka sekiranya nyata baginya dengan yakin setelah ia menunaikan solat bahawa dia telah solat bukan ke arah kiblat, maka tidak wajib ke atasnya untuk ia ulangi kembali solatnya kerana ia telah melaksanakan apa yang telah diperintahkan ke atasnya. Maka dia telah terlepas dari tanggungjawabnya sebagaimana orang yang tepat ijtihadnya, sebagaimana Allah Taala telah berfirman di dalam surah Al Baqorah ayat: 286 yang bermaksud: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupanya”

Inilah pendapat kebanyakan ulama.*

3. Hukum solat seorang banduan dalam keadaan bertelanjang:

Sekiranya seseorang banduan tidak mendapati sesuatu untuk dia menutup auratnya, maka hendaklah dia menunaikan solat secara telanjang dan sunat baginya menunaikan solat secara duduk, tetapi sekiranya ia menunaikan secara berdiri termasuk rukuk dan sujudnya, maka solatnya sah. Inilah pendapat kebanyakan ulama. Ia merupakan riwayat daripada Ibnu Umar, Ata’, Ikrimah, Al-Auzanie, Abi Hanifah, Malik, Ahmad dan As-Syafie. Ulama mazhab Hanafi dan sebahagian Maliki berkata: Hendaklah ia mengulangi kembali solat itu apabila hilangnya keuzuran dalam waktu atau luar waktu. Kemudian sekiranya orang yang ketiadaan pakaian berkumpul pada satu tempat yang gelap, sunat bagi mereka menunaikan solat dalam keadaan berjemaah dengan rukuk dan sujud sebagaimana mereka yang menutup aurat dan imam hendaklah berdiri di tengah-tengah mereka tetapi sekiranya mereka tidak berada di tempat yang gelap, maka wajib menunaikan solat secara berseorangan. Tetapi sekiranya mereka tidak dapat mengasingkan diri daripada sebahagian yang lain dan tempat itu tidak gelap (cerah), maka hendaklah ia solat dalam keadaan duduk atau berdiri dalam keadaan memejam mata.**

4. Hukum solat seorang banduan dengan tayammum apabila ditegah menggunakan air:

Ulama telah berselisih kepada dua pendapat terhadap solat seorang banduan dengan tayammum apabila dihalang menggunakan air.

(1) Tidak perlu baginya solat sekalipun ia mendapati tanah yang suci. Pendapat ini diriwayatkan daripada Abi Hanifah dan Zufar dan hujjah Abi Hanifah: Tayammum tidaklah disyariatkan terhadap banduan kerana banduan tersebut dihalang menggunakan air disebabkan perbuatan manusia, maka tidak wajib ke atasnya solat sebagaimana sekiranya ditegah daripada solat secara paksaan. Dan Zufar berhujjah: bahawa tayammum tidak disyariatkan bagi yang bermukim dan begitu juga keadaan banduan.

(2) Solat tetap wajib ke atas banduan dengan cara tayammum kerana terhalangnya menggunakan air adalah sama hukumnya seperti orang yang ketiadaan air. Allah Taala berfirman yang bermaksud:“Jika sekiranya tiada air, maka hendaklah kamu bertayammum”

Inilah pendapat kebanyakkan fuqaha dan Ibnu Hazmin melainkan Abu Yusuf sahaja yang mewajibkan ke atasnya untuk mengulangi solat dengan wuduk ketika ia mendapati air kerana keadaannya samalah seperti orang yang mendapati air ketika permusafirannya tetapi dihalangi oleh binatang buas atau perompak. Maka ketika ini wajib dia bertayamum sebagai memelihara ibadat dan hendaklah dia solat dan ulangi kembali kerana tegahan tersebut adalah berlaku disebabkan perbuatan manusia. Adapun sekiranya tegahan ini lahir daripada Allah seumpama sakit, tak perlulah ia mengulanginya kembali. Pendapat yang kuat ialah mazhab kebanyakan ulama iaitu hendaklah ia solat dengan bertayammum dan tanpa ia mengulangi kembali solat yang telah ditunaikan itu kerana ianya tidak disebut pada masalah seumpama itu ketika disyariatkan tayammum, lebih-lebih lagi suruhan bertayammun yang diterangkan secara ringkas ini termasuk daripada kelonggaran dan kemudahan yang diberikan. Dengan ini ulama bersepakat di atas keharusan tayummum dengan tanah yang suci.**

5. Hukum seorang banduan dalam mengerjakan solat Jumaaat.

Bagi permasaalahan ini ulama berpendapat dengan tiga pendapat:

(1) Hakim berkewajipan membiarkan banduan untuk mengerjakan solat Jumaat. Inilah pendapat Al Baghawi yang merupakan salah seorang daripada ulama Syafie dan sebahagian daripada ulama-ulama Hambali juga bersependapat dengan Al Baghawi dan apa yang diamalkan pada zaman lampau ialah mendirikan solat Jumaat di luar penjara di masjid-masjid kawasan bandar. Kemudian Al Fakir Al Buwaiti salah seorang Ashab As Syafie berpendapat bahawa wajib solat Jumaat ke atas banduan dan wajib dia keluar untuk menunaikan solat Jumaat tersebut.

(2) Kebanyakan ulama menegah banduan untuk keluar menunaikan solat Jumaat untuk menakut-nakutkan hatinya dan menggerunkannya sekiranya hakim melihat ianya sebagai satu kemaslahatan . Inilah pendapat yang nyata sebagaimana dinaqalkan daripada Ali dan pendapat inilah yang difatwakan oleh Imam Al-Ghazali. Maka, sekiranya banduan tersebut mampu untuk menghilangkan sebab tahanan dan mampu untuk keluar bagi menunaikan solat Jumaat tetapi ia tidak melakukannya maka ia adalah berdosa. Ini kerana tegahan tersebut keatas banduan adalah seumpama peminjam yang senang dan mampu menjelaskan hutangnya atau orang yang menyembunyikan jenayah yang dilakukan oleh seseorang tetapi ia tidak melaksanakannya. Sebaliknya jika banduan tersebut ditahan secara zalim atau dia tidak mampu untuk menghilangkan sebab tahanan, ia adalah dikira sebagai seorang yang mempunyai keuzuran dan tidaklah berdosa dengan sebab ia meninggalkan solat Jumaat berdasarkan umum hadis Rasullullah SAW yang bermaksud: “sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tanpa ada keuzuran”. Seterusnya para fuqoha’ menyatakan bahawa banduan yang lemah apabila tidak mampu menunaikan solat Jumaat maka kewajipan solat jumaat itu terhapus daripadanya.

Sekiranya banduan tersebut mengharapkan kelepasan dari penjara berlaku sebelum solat Jumaat ditunaikan dan solat Jumaat tersebut dilewatkan, maka sunat baginya untuk tidak solat Zohor pada awal waktu bahkan hendaklah ia menunggu terlebih dahulu untuk menunaikan solat Jumaat tersebut di luar penjara.

(3) Sekiranya cukup syarat-syarat sah solat Jumaat di dalam penjara dan mampu untuk melaksanakan di dalam penjara maka qiasnya, solat Jumaat tersebut wajib ke atas banduan-banduan tersebut kerana umumnya dalil-dalil dan apa yang disebut oleh Umar: tunaikanlah solat jumaat dimana sahaja kamu berada. Pendapat inilah yang dinaskan oleh Imam Syafei dan Ibnu Hazmin. **

Ibadat Zakat

1. Hukum Zakat bagi Harta banduan

Sebahagian ulama berpendapat bahawa kewajipan zakat tidak terlepas daripada zakat harta orang yang kehilangan ( ) yang terputus perkhabarannya. Begitu juga keadaannya pada orang yang ditawan . Ini kerana berkemungkinan ia masih hidup. Kemudian sebahagian ulama pula berpendapat bahawa sesungguhnya tawanan itu dilewatkan ( ditangguhkan ) baginya untuk mengeluarkan zakat pada harta tawanan kerana berkemungkinan ia telah mati. Menurut pendapat yang sahih ialah sesungguhnya orang yang ditawan atau dipenjara sekiranya ianya hilang dalam keadaan ia memiliki harta yang menepati syarat-syarat zakat maka wajib mengeluarkan zakat pada hartanya. Ini kerana sekiranya ia masih hidup kewajipan zakat tidak terlepas daripadanya. Oleh itu walinya ( ayahnya, saudaranya, bapa saudara dan seterusnya ) hendaklah mengeluarkan zakat baginya dengan betul dan adil. Inilah yang lebih baik daripada menindih-nindih zakat ke atasnya sekiranya dilewatkan pengeluaran zakat terhadapnya beberapa tahun , ini kerana wajib ke atasnya mengeluarkan zakat kesemuanya sekiranya zakat-zakat ini terkumpul ke atasnya daripada tahun-tahun yang lampau yang ia tidak keluarkan. Begitu juga ia adalah lebih baik disebabkan maslahah fakir miskin yang berhajat kepada harta zakat. Kemudian sekiranya tawanan atau banduan itu mati, maka zakat tetap wajib pada harta simati sekiranya cukup nisab sekalipun ia tidak mewasiatkan perkara tersebut. Menurut pendapat yang kuat ia dianggap sebagai hutang dan hutang Allah itu lebih berhak untuk ditunaikan dan zakat ini dibahagikan terlebih dahulu sebelum pembahagian harta tinggalan ke atas pewaris.***

2. Hukum memberi zakat kepada banduan atau tawanan

Sebagaimana wajib mengeluarkan zakat daripada harta banduan atau tawanan , sekiranya kedua- duanya memiliki harta yang mencukupi nisab dan haul (tahun). Dan sebagaimana harus bagi orang yang berhak mengambil zakat daripada wali setiap daripada keduanya ( banduan dan tawanan ) dengan syarat wali tersebut niatkan bahawa zakat ini adalah daripada banduan atau tawanan tersebut , maka harus ianya memberi zakat tersebut kepada banduan atau tawanan sekiranya banduan tersebut seorang yang fakir , lalu dibahagikan zakat tersebut kepada isteri dan anak-anaknya yang berada di tempat orang yang mengeluarkan zakat selama mana mereka berhajat kepada harta zakat tersebut, dan begitu juga harus ia membahagikan zakat itu untuk ia menjelaskan hutangnya yang ia tidak mampu jelaskan kerana keadaannya ketika ini adalah termasuk orang yang tidak mampu menjelaskan hutang sebagaimana yang disebut dalam surah Taubat ayat 60, yang bermaksud: Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, orang mua’laf yang dipujuk hati-hati mereka untuk memerdekakan hamba, orang-orang yang berhutang untuk jalan Allah dan orang-orang sedang dalam perjalanan, sebagai satu ketetapan yang diwajibkan oleh Allah yang mengertahui lagi maha bijaksana”.

 

 

    Artikal penuh SUTRA 33 di pasaran

  



Daftar Email
user@sutra.zzn.com
 

User Name

         Password

Sila Klik disini untuk   pendaftaran Email SUTRA 

"Dan sekiranya kamu berpaling dari pengajaran Allah S.W.T maka dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain daripada kamu"

Muhammad:38

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

This site Powered by

Get a Free E-mail AddressGet ZZN