KESAN KEDATANGAN ISLAM
KESAN KEDATANGAN ISLAM
 

[PENDAHULUAN][ POLITIK][SOSIAL][KESENIAN][BAHASA & KESUSASTERAAN][ILMU PENGETAHUAN]

 

 

 

9.              KESAN KEDATANGAN  ISLAM KE NUSANTARA

 

Terdapat sesetengah pihak yang mendakwa bahawa kedatangan Islam di Nusantara tidak membawa sebarang kesan atau pengaruh terhadap masyarakat di rantau ini.  Pendapat ini merupakan satu pendapat yang amat keterlaluan dan tidak bersandarkan kepada fakta yang sebenar.  Menurut Al Attas, kebangkitan Islam di Tanah Arab telah bertanggungjawab mewujudkan suatu perubahan baru atau “Zaman Baru” di Eropah.  Begitu juga dengan kedatangan Islam di Nusantara juga membawa suatu perubahan di sini.  Pendapat ini nampaknya lebih konkrit dan berasas, kerana kedatangan Islam ini telah membawa satu bentuk persambungan dan perubahan.  Dengan kata lain, kedatangan Islam telah membawa pelbagai perubahan tetapi masih terdapat unsur-unsur tradisi dan kefahaman yang bercanggah dengan Islam.  Antara perubahan yang berlaku adalah seperti berikut:

 

 

 

 

 

 

 

9.1.             Pengaruh dalam Bidang Politik

 

Dari segi politik, terdapat perubahan yang jelas apabila wujudnya kerajaan-kerajaan Melayu-Islam yang berpunca dari gerakan dakwah Islamiah oleh mubaligh-mubaligh dan ulama-ulama ke rantau ini.  Di Nusantara terdapat masyarakat Islam yang dikenali sebagai Ta-Shih pada tahun 674 M.  Ini adalah suatu panggilan kepada orang-orang Arab atau Farsi Islam di rantau ini yang terdapat  di pantai barat Sumatera dan Jawa.

 

Masyarakat Ta-Shih adalah yang dikaitkan dengan sebutan Che-Po (Jawa) yang menemui Ratu Siam  dari Kerajaan Ho-Ling (Kalingga) yang terletak di Jawa Timur.  Jadi, pada abad ke-7 sudah wujud penempatan ini dan dikatankan pengaruh Islam telah menjalar dalam pemerintahan Srivijaya.

 

Dengan pengislaman Raja Jambi yang pertama di Nusantara telah mewujudkan kerajaan yang bertukar corak menjadi kerajaan Islam yang terkenal dengan “Kerajaan Sribuza Islam”.  Kerajan ini tidak panjang kerana telah diserang oleh Dinasti T’ang.

 

Pada abad ke-9 M telah muncul kerajaan Islam Perlak.  Raja pertamanya ialah Sultan Maulana ‘Abdul Aziz Shah.  Kemudian pada abad ke-11 M wujud  pula kerajaan Samudera-Pasai.  Di Semenanjung Tanah Melayu, lahir sebuah keraajn yang terkenal dengan “Kedah Dar al-Aman” pada kurun ke-12 M.  Rajanya telah memeluk Islam dan menukar nama kepada Sultan Muzaffar Shah.  Baginda telah melantik ulama sebagai guru dan penasihat kerajaan.

 

Pada kurun ke-15 muncul pula kerajaan Melaka.  Rajanya yang pertama dikatakan telah memeluk Islam pada tahun 1414M.  Kemudian muncul kerajaan Acheh dan Kerajaan Johor Riau yang diperintah oleh orang-orang Bugis.

 

Walaupun terdapat beberapa fakta sejarah yang menyatakan yang tergolong dalam zaman kuno di Nusantara ialah zaman kerajaan Hindu-Buddha manakala zaman moden ialah kedatangan penjajahan barat.  Sebenarnya kedatangan penjajah baratdi rantau ini bukanlah untuk menghadapi kekuasaan Hindu tetapi bagi menghadapi kekuasaan Islam.  Dengan itu, jelaslah bahawa Islam tiba di rantau ini sebelum tibanya kuasa barat.  Menurut Harrison, kedatangan barat ke Nusantara bukanlah semata-mata untuk memonopoli perdagangan dan penguasaan politik bahkan penguasaan agama.

 

Bagi menjamin keselamatan negara dan agama, kerajaan-kerajaan Islam terpaksa menjalinkan hubungan diplomatik dan persahabatan dengan kuasa-kuasa Islam ketika itu seperti kerajaan Turki dan India.  Kerajaan Acheh misalnya mempunyai jabatan yang mempunyai tugas-tugas khas terutama dalam urursan luar negeri.  Menerusi hubungan tersebut, Acheh mendapat bekalan senjata dan penasihat-penasihat tentera.

 

Sebagai negara yang menerima ajaran Islam, unsur-unsur politik Islam yang berbentuk sejagat, saksama, adil dan bertanggungjawab telah mempengaruhi masyarakat Nusantara.  Konsep pendewaan kepada raja-raja sehingga tahap menyembah telah bertukar kepada memuliakan seseorang yang memerintah.  Sultan merupakan ketua tertinggi bagi melindungi agama dan adat tetapi tidaklah dianggap sebagai peribadi yang paling suci seperti Zaman Hindu.

 

Oleh kerana raja-raja dan pembesar-pembesar terdiri daripada orang Islam , maka Agama Islam merupakan agama rasmi negara yang mendapat berbagai-bagai keistimewaan dan kemudahan seperti kemudahan penyebaran, pentadbiran dan pelaksanaan hukum-hukum.

  

Rata-rata struktur politik kerajaan Islam di Nusantara menggembleng tenaga seluruh rakyat bagi memperjuangkan dan mempertahan agama Islam, negara dan umatnya.  Justeru, semangat jihad untuk berbakti kepada Allah sama ada dalam bentuk fizikal dan mental merupakan sebahagian kepada kehidupan mereka.

 

 

 

 

9.2.             Pengaruh dalam Bidang Sosial

 

Dari segi aspek sosial, bahawa kedatangan Islam walaupun tidak secara total, berlaku juga beberapa perubahan dan pembaharuan.  Wertheim berpendapat, kedatangan Islam telah menjadikan golongan bawahan mulai berasa diri mereka dihargai seperti golongan lain.  Nilai sosialnya tidak sama dengan ajaran hindu yang mempunyai berbagai-bagai kasta dan kedudukan.  Walaupun begitu, struktur sosialnya tidak banyak menerima perubahan kerana organisasi sosial seperti negara kota dan corak pemerintahan secara feudal masih kekal.

 

Perubahan sosial juga berlaku dengan adanya revolusi mental yang diketengahkan oleh Islam dalam masyarakat di Nusantara.  Semua ajaran Islam mengandungi unsur-unsur rasionalisme  yang menekankan konsep kesamarataan di sisi Allah.  Berpandukan dengan konsep rasionalisme ini masyarakat Nusantara dengan sendirinya menolak kepercayaan tahyul Hindu dan fahaman animisme.

 

Islam juga menonjolkan unsur-unsur metafizika yang berkaitan dengan rukun Iman dan perkara-perkara yang berkaitan dengan Sam’iyyat di samping hukum-hukum syarak.  Unsur-unsur ini amat mempengaruhi pemikiran mereka.  Oleh itu, segala tindak-tanduk mereka bukan sahaja didokongi untuk kesenangan duniawi tetapi juga untuk mendapat keredaan Allah.  Justeru, segala amalan sama ada dari aspek sosial, ekonomi  dan politik adalah berdasarkan pemikiran dan petunjuk Islam.

 

 

 

 

 

 

 

9.3.             Pengaruh dalam Bidang Kesenian

 

Dalam bidang kesenian pula, pengaruh Islam dapat dikesan pada batu-batu nisan, binaan-binaan, masjid-masjid dan perhiasan seperti seni khat dan sebagainya.  Secara umum, pada makam atau batu-batu nisan tersebut terdapat tulisan-tulisan dan kalimah Arab dan potongan ayat-ayat Al Quran serta ajaran-ajaran Islam juga angka-angka Arab.

 

Selain daripada batu-batu nisan, bentuk masjid juga merupakan karya dan seni bina Islam yang terpenting di Nusantara.  Dari segi corak dan polanya, bangunan masjid yang menunjukkan kronologi dari abad ke14 hingga ke-18 M masih mempertahankan kelanjutan struktur tradisional.  Walau bagaimanapun, masjid berfungsi sebagai tempat-tempat ibadat tentulah pengaruh Islam lebih tertonjol dan banyak kelihatan.  Tiap-tiap bahagian bangunannya memebri gambaran kosmologi atau gambaran alam semesta yang setiap bahagian tersebut mempunyai pengertian dan peranan.

 

 

 

 

 

9.4.            Pengaruh dalam Bahasa dan Kesusasteraan

 

Kedatangan Islam di Nusantara juga mengilhamkan pengkayaan dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu.  Sebelum ini dikatakan terdapat antara 150 hingga 200 bahasa yang sering digunakan oleh penduduk-penduduk tempatan sebagai alat komunikasinya.  Dalam bilangan tersebut hanya dua sahaja yang berpengaruh.  Dengan kedatangan Hindu, datang pula bahasa Sanskrit yang mempengaruhi kedua-dua tetapi ia tidaklah berkembang maju.

 

Dengan kedatangan Islam ke rantau ini telah dapat memeperkayakan bahasa dan kesusasteraan Melayu.  Bukan sahaja buku-buku yang berunsur agama ditulis dengan huruf jawi bahkan berbagai-bagai jenis buku ilmu pengetahuan kesusasteraan seperti hikayat, cerita-cerita penglipur lara, sama ada berbentuk prosa atau puisi ditulis dengan huruf jawi.  Penggunaan perkataan Arab yang diasimilasikan ke dalam bahasa Melayu menambahkan lagi kesempurnaan dan pengukuhan dalam kesusasteraan Melayu.  Bahasa Melayu sebelum ini merupakan bahasa yang terbatas, kini berjaya menempah kedudukan yang tinggi dan kukuh sebagai bahasa perantaraan di seluruh Nusantara.

 

Pengaruh Islam tidak hanya sekadar menonjolkan perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu bahkan berjaya membentuk suatu konsep yang melambangkan identiti kepada bangsa Melayu itu sendiri.  Kejayaan ini telah sebati dan menjadi tradisi serta budaya masyarakat Melayu.  Konsep ini tergambar dalam masyarakat Melayu apabila mengatakan bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu.

 

 

 

 

 

9.5.           Pengaruh dalam Bidang Ilmu Pengetahuan

 

Pengaruh Islam dalam semua bidang adalah berpunca dari kejayaan Islam itu sendiri dalam menyebarkan ilmu pengetahuan dan pendidikannya.  Bersama-sama dengan kedatangan Islam juga telah berkembanglah ilmu pengetahuan dan pendidikan.  Di Melaka perkembangan ilmu pengetahuan bukan sahaj berlaku di rumah-rumah, masjid dan surau bahkan hingga ke istana-istana raja.  Fungsi istana selain daripada tempat-tempat belajar dan muzakarah ia juga berperanan sebagai perpustakaan, tempat penterjemahan dan penyalinan buku-buku.

 

Golongan raja-raja dan pembesar-pembesar bukan sahaja menggalakkan rakyat supaya mencari dan mendalami ilmu pengetahuan Islam bahkan mereka sendiri melibatkan diri dalam kegiatan tersebut secara bersungguh-sungguh.  Ulama-ulama asing yang datang bukan sahaja dijadikan guru bahkan diberi kedudukan yang tinggi dalam hierki sosial yang setaraf dengan pembesar dan pentadbir.

 

Rakyat jelata digalakkan supaya belajar di mana-mana sahaja pusat pengajian ketika itu dengan memberi penekanan intensif terhadap pengajian Al Quran dan asas-asas agama.  Hasil daripada kegiatan agama Islam yang dipelopori dan diawasi oleh sultan-sultan bukan sahaja dapat menghapuskan buta huruf bahkan dapat melahirkan tokoh-tokoh agama dari kalangan tempatan.

 

Secara keseluruhannya, tidaklah dapat dinafikan tentang kewujudan pengaruh Islam di Nusantara sama ada dalam bidang politi, sosial, ekonomi, kesenian, bahasa dan kesusasteraan tetapi juga dalam bidang pendidikan dan pengetahuan.  Namun begitu, warisan tradisi pra-Islam masih diteruskan tanpa tergugat dan tercemar dalam semua aspek kehidupan masyarakat Nusantara.  Unsur-unsur pra-Islam secara sinkritisme telah memainkan peranannya seiring dengan unsur-unsur Islam.  Walaupun wujudnya perubahan besar akibat dari kedatangan Islam tetapi kita juga harus mengakui tentang adanya kesinambungan tradisi  dalam masyarakat Nusantara.

 

[PENDAHULUAN][ POLITIK][SOSIAL][KESENIAN][BAHASA & KESUSASTERAAN][ILMU PENGETAHUAN]

 

1