KONSEP TAMADUN ISLAM
KONSEP  TAMADUN  ISLAM

[PENGERTIAN][HUBUNGAN TAMADUN DGN KEBUDAYAAN

 

 

2.1.1 Pengertian Tamadun dan Tamadun Islam

                                Pengertian tamadun dan tamadun islam mempunyai perkaitan daripada aspek bahasa dan istilah. Pengertian tamadun atau peradaban secara keseluruhannya dapat dilihat melalui sudut bahasa Arab, sudut epistemology bahasa Inggeris dan Latin. Dari sudut bahasa Arab, terdapat beberapa istilah yang dirujuk dalam konteks tamadun. Antara istilah-istilah tersebut ialah madaniah,tamadun, dan hadarah. Ibn Khaldun, seorang sarjana Islam yang unggul dalam bidang ilmu kemasyarakatan Islam dalam karyanya Muqaddimah telah menggunakan istilah umran. Umran digunakan dalam kajian tentang bandar-bandar atau ibu kota yang memiliki kawasan tanah yang didiami dan penempatan, keadaan tinggal menetap, berkembang subur dan maju. Selain itu, Ibn Khaldun juga menggunakan istilah hadarah sebagai berlawanan dengan istilah badi atau badiah. Hadarah ialah satu daerah, kota, bandar, kampung atau tanah yang diusahakan. Dalam penggunaan bahasa Arab moden masa kini, perkataan tamadun bererti memiliki ciri-ciri hidup bandar, dan kota-kota dipanggil mudun yang memiliki cirri-ciri tamadun.

 

            Dari sudut epistemology, istilah civilization dalam bahasa Inggeris berhubung kait dengan kemajuan dalam kehidupan manusia yang membentuk peradaban dan tamadun. Ini menunjukkan, bahawa istilah civilization yang dimaksudkan sebagai tamadun manusiawi lebih merujuk kepada kemajuan jati diri manusia di dalam membangunkan kehidupan dalam pelbagai peringkat terutamanya diperingkat negara .

 

            Selain daripada definisi di atas, terdapat di kalangan sarjana Islam yang memberikan definisi berhubung dengan tamadun Islam. Di antara sarjana tersebut ialah Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Beliau telah memberikan takrif tamadun Islam sebagai “ keadaan kehidupan insane bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya”.

 

            Tamadun Islam bersumberkan wahyu iaitu al-Quran dan al-Hadis (al-Sunnah) dan tamadun ini didirikan oleh masyarakat yang digelar dan menggelarkan diri mereka sebagai Muslim. Ini bermakna, tamadun Islam tidak didirikan atas peranan atau kepentingan sesuatu bangsa, budaya atau bersifat kebangsaan semata-mata. Tamadun Islam didirikan dan didukung sama ada oleh bangsa Arab, Turki, Parsi, India, Sepanyol, Melayu dan sebagainya yang dianggap saling melengkapi atau dikenali sebagai kesatuan ummah dan berpegang kepada unsur penyatuan iaitu konsep tauhid.

 

 

 

 

 

2.1.2    Hubungan Tamadun dengan Kebudayaan

 

               Istilah tamadun juga dapat dihubungkan dengan istilah kebudayaan. Namun begitu, antara tamadun dengan budaya wujud jurang pengertian yang berbeza terutamanya dari segi jangka hayat, iaitu tamadun mempunyai jangka hayat yang panjang dan berkekalan manakala budaya mempunyai jangka hayat yang pendek dan sentiasa mengalami perubahan  dan pembaharuan. Unsur-unsur kebudayaan yang berkekalan hayatnya akan dianggap sebagai unsur-unsur tamadun.

 

           Kebudayaan mengandungi beberapa unsur yang bersifat sejagat atau universal, iaitu yang terkandung dalam semua kebudayaan di dunia ini. Antara unsur-unsur bersifat sejagat ini ialah pertama, peralatan dan kelengkapan keperluan kehidupan manusia termasuklah pakaian, perlindungan (rumah), peralatan senjata, alat-alat pengeluaran dan sebagainya. Kedua, system perekonomian dan mata pencarian kehidupan. Ketiga, system kemasyarakatan, system keluarga, organisasi politik dan sebagainya. Keempat, bahasa sebagai alat komunikasi sama ada bahasa secara lisan ataupun melalui system tulisan dan kelima, system ilmu pengetahuan.

 

            Terdapat sekumpulan sarjana sains kemasyarakatan, antaranya pengikut aliran Max Weber, yang membahagikan kebudayaan kepada dua kategori iaitu pertama, kebudayaan berbentuk kerohanian dan kedua, kebudayaan berbentuk kebendaan. Kategori kedua, kebudayaan berbentuk kebendaan inilah yang dinamakan civilization yang bermakna tamadun atau peradaban.

 

            Berdasarkan ketamadunan Islam, kebudayaan Islam diertikan sebagai suatu cara kehidupan, cara berfikir dan cara berasa ketakwaan dalam seluruh bidang kehidupan sekelompok manusia yang membentuk kesatuan social dalam satu ruang dan waktu. Pembentukan kebudayaan Islam ini tunduk kepada peraturan yang telah ditentukan melalui sumber-sumber asas perundangan Islam, iaitu al-Quran dan al-Hadis. Sekiranya berlaku sebarang pertentangan antara kebudayaan denan Islam, maka ia dianggap sebagai kebudayaan bukan Islam.

 

1