MATLAMAT TAMADUN ISLAM
MATLAMAT TAMADUN ISLAM
[UMUM][HUB.MANUSIA & ALLAH]

[HUB.MANUSIA & MANUSIA][HUB.MANUSIA & ALAM SEKITAR]

 

           

 SECARA UMUM      

             Secara umumnya matlamat utama tamadun Islam ialah untuk mengangkat Islam sebagai al-Deen iaitu satu cara hidup yang lengkap kepada manusia. Ia juga akan memaparkan keadilan sistem pemerintahan islam yang pernah ditegakkan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, khulafa’ al-Rashidin dan pada zaman pemerintahan islam yang seterusnya. Keadilan sistem pemerintahan islam pada zaman awal kebangkitan Islam dapat dibuktikan melalui fakta-fakta sejarah yang telah disepakati oleh sejarawan. Ciri-ciri ketamadunan Islam yang telah dipaparkan melalui sistem pemerintahan Islam daripada pelbagai zaman sewajarnya difahami dan dihayati oleh semua generasi umat Islamdan bukan Islam. Ciri-ciri bersifat alat Bantu yang diperlukan dan dilaksanakan akan dapat melahirkan matlamat tamadun Islam dalam aspek-aspek berikut:

 

 

 

 

 

 

 

 

2.2.1 Hubungan Manusia dengan Allah

Tamadun Islam mengatur dan menyempurnakan hubungan manusia dengan Penciptanya iaitu Allah S.W.T melalui rukun iman yang enam, rukun islamyang lima, doa,zikir, taubat, tasbih, jihad, amar makruf, nahi mungkar dan sebagainya.

            Ia juga dikenali sebagai ibadat khusus. Ibadat sebenarnya merupakan fungsi utama manusia sebagai khalifah Allah S.W.T di atas muka bumi ini.Hal ini diperjelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayat, terjemahannya :

 

Ingatlah ketika Tuhan mula berkata kepada malaikat bahawa

Aku akan melantik (manusia) khalifah di bumi. Mereka menyampuk ;

Adakah patut Engkau jadikan orang yang akan merosak dan

melakukan pembunuhan padanya? Sedangkan kami

sentiasa bertasbih memujiMu dan memuliakan Kamu.

(Allah berfirman ) sesungguhnya Aku lebih mengetahui

tentang sesuatu yang kamu tidak tahu.

                                                                        (surah al-Baqarah 2:30)

         

          Beribadat kepada Allah S.W.T merupakan tanda kesyukuran manusia terhadap kurniaan rahmat dan nikmat Allah S.W.T yang tidak terhingga dan ternilai banyaknya. Kehidupan manusia di dunia ialah sementara dan merupakan jambatan untuk menuju ke akhirat . Kehidupan akhirat lebih kekal dan abadi. Hidup di dunia terhad dalam jangka masa tertentu yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada manusia untuk menyediakan bekalan secukupnya untuk kehidupan akhirat yang lebih kekal dan abadi. Bekalan itu ialah beribadat kepada-Nya.

            Dalam beribadat kepada Allah S.W.T mestilah semata-mata kepada-Nya, mematuhi syariah Islamiah dan hubungan langsung tanpa wujud sebarang perantaraan sama ada patung, manusia, jin, malaikat dan sebagainya. Demikian juga tidak perlu menggunakan roh orang yang telah mati atau keramat daripada pelbagai bentuk.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

2.2.2 Hubungan Manusia dengan Manusia ( Hablumminannas )

Tamadun Islam juga bermatlamat untuk mengatur dan menyempurnakan hubungan manusia dengan manusia yang meliputi pembentukan sahsiah, keluarga, hidup berjiran, pembentukan masyarakat, pembentukan institusi pemerintahan, hal pentadbiran, kegiatan ekonomi,pendidikan, kebudayaan dan segala bidang kehidupan manusia. Ia juga dikenali dengan ibadat umum.

            Setiap manusia diberikan penghormatan oleh Allah S.W.T dalam kadar yang sama. Menyedari hakikat persamaan taraf ini, adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk bermu’amalah secara yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T kerana antara satu sama lain adalah khalifah disisi Allah S.W.T. Mereka yang paling mulia di sisi Allah S.W.T ialah mereka yang bertakwa kepada-Nya. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayat, terjemahannya :

 

Wahai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha mengenal.

 

( Surah al-Hujuraat 49:13 )

 

            Hubungan manusia dengan manusia juga penting bagi menyempurnakan kemuliaan kejadian manusia itu sendiri. Kesempurnaan hidup masyarakat manusia sebagai khalifah Allah S.W.T di atas muka bumi hanya dapat dilaksanakan melalui mu’amalah secara Islam kerana Islam sentiasa memperjuangkan kesatuan umat manusia.

            Hablumminannas juga menginsaf dan menyedarkan manusia agar sentiasa ingat dan bersyukur kepada Allah S.W.T apabila dikurniakan pangkat, kuasa, harta,nikmat dan rahmat. Mereka yang bersyukur dengan nikmat Allah S.W.T akan meningkatkan lagi ibadat kepada-Nya. Jika manusia itu kufur dengan nikmat Allah S.W.T dengan meningkatkan ibadat dan melakukan maksiat, mereka dijanjikan pembalasan azab yang pedih sebahagiannya di dunia lagi dan yang pasti di akhirat.

 

2.2.3 Hubungan Manusia dengan Alam Sekitar

             Tamadun Islam juga amat menitik beratkan dan turut mengatur serta menyempurnakan hubungan antara manusia dengan alam sekitarnya. Cara yang terbaik bagaimana manusia itu bertindak apabila berhubungan dengan alam sekitarnya dititikberatkan oleh tamadun Islam.

            Di atas muka bumi contohnya terdapat pelbagai haiwan yang liar dan jinak yang boleh diternak bagi dijadikan makanan yang enak dan berkhasiat. Tumbuh-tumbuhan pula dijadikan oleh Allah S.W.T untuk membolehkan manusia mendapat kenyamanan berteduh di bawahnya,dijadikan bahan binaan rumah, perabot dan buahnya pula boleh dijadikan makanan yang lazat.

            Di dalam perut bumi pula terdapat pelbagai galian yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dalam industri berat yang menghasilkan pelbagai kenderaan, alat binaan rumah, perhiasan dan lain-lain lagi. Hal ini diperjelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayat, terjemahannya :

 

Dan ialah yang telah menurunkan air hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan,maka Kami keluarkan daripada tumbuh-tumbuhan itu tanaman-tanaman yang menghijau. Kami keluarkan daripada tanaman yang menghijau itu butir-butir yang banyak dan daripada mayang kurma yang mengurai tangkai-tangkai yang menjurai. ( Dan  daripada air itu Kami keluarkan pula ) kebun-kebun anggur dan Kami keluarkan pula zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buah-buahnya pada waktu pohonnya berbuah dan ( perhatikan pulalah ) kematangannya.Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda    

( kekuasaan Allah ) bagi orang yang beriman.

( Surah al-An’aam 6:99 )

 

Tamadun Islam mewajibkan agar manusia yang mengusahakan sesuatu yang boleh membawa kepada kesejahteraan kehidupan mereka di atas muka bumi ini melalui sumber alam yang sedia ada. Dalam masa yang sama mereka berkewajipan memastikan agar kegiatan itu tidak merosakkan dan memusnahkan alam sekitarnya serta membunuh kehidupan lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Pembangunan yang digalakkan ialah yang mesra alam.

Sesungguhnya tamadun Islam itu bermatlamatkan penyempurnaan hubungan manusia dengan Allah S.W.T, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitarnya. Jika matlamat ini tercapai tidak syak lagi terbinalah tamadun yang aman, sejahtera, makmur, dan bahagia yang digambarkan oleh al-Quran.

 

[UMUM][HUB.MANUSIA & ALLAH]

[HUB.MANUSIA & MANUSIA][HUB.MANUSIA & ALAM SEKITAR]

 

1