ASAL USUL BANDAR MAHARANI

| asal nama MUAR | asal bandar maharani | peristiwa bandar maharani | analisis penduduk |
| asal PADANG | asal parit raja  | foto MUAR | sejarah awal MUAR |

Bandar Maharani Muar telah dibuka dengan rasminya pada tahun 1887 oleh baginda Sultan Abu Bakar. Bandar ini diberi nama Bandar Maharani yang bermaksud BANDAR ISTERI MAHARAJA.Istiadat perasmian pembukaannya dilakukan oleh Maharaja Abu Bakar dengan upacara menanam "azimat" di suatu tempat dikenali sebagai TANGGA BATU (tempat pengkalan penambang feri Muar, sekarang menjadi retoran makanan laut stesyen bas Muar-Melaka- Batu Pahat).
Berkembangnya Bandar Maharani adalah kerana adanya sebuah pelabuhan kecil di Kuala Sungai Muar bertujuan untuk memberi kidmat kepada masyarakat kawasan sekeliling. Bandar Maharani juga merupakan ibu negeri Muar pada waktu itu.

Menjelang tahun 1890 Bandar Maharani telah menjadi sebuah pusat aktiviti pentadbiran dan perniagaan yang terbesar di kawasan Pantai Barat Johor. Seorang pelancong Inggeris, Florence Caddy, pernah mencatatkan "Bandar Maharani merupakan bandar yang cantik dengan penduduknya seramai 5000 orang terdiri dari orang Melayu yang mendiami kampung-kampung disekeliling bandar tersebut, orang Cina dan sedikit orang India yang berkedai dalam bandar itu. Bandar ini mempunyai beberapa buah bangunan serta kilang papan dan sebuah bengkel pembuat batu bata".

Perdagangan utama di pelabuhan Bandar Maharani waktu itu ialah gambir, lada hitam, pinang kering, kelapa kering, kopi, sagu ubi dan buah-buahan. Tetapi gambir dan buah-buahan merupakan perdagangan paling utama. Menurut Laporan Tahunan Kerajaan Johor 1911 daerah Muar merupakan pengeluar hasil gambir yang terbesar sekali di negeri Johor pada tahun 1887 dan 1911. Manakala pada musim buah-buahan (1911) sebanyak kira-kira tiga suku juta buah durian, 29000 tong buah duku dan 23000 tong buah manggis telah dieksport melalui pelabuhan Bandar Maharani. Pada masa ini setiap kapal yang keluar dari pelabuhan Muar adalah bermuatan kira-kira 25000 biji buah durian dan bilangan kapal-kapal yang masuk itu bertambah menjadi lima hingga enam buah sehari.