ASAL USUL NAMA MUAR

| asal nama MUAR | asal bandar maharani | peristiwa bandar maharani | analisis penduduk |
| asal PADANG | asal parit raja  | foto MUAR | sejarah awal MUAR |

Semua orang mengetahui bahawa nama MUAR adalah mengambil sempena nama sungainya - SUNGAI MUAR. Sungai MUAR inilah yang seringkali tersebut dalam hikayat MALIM DEWA-DEWA DEMAN, misalnya terdapat nama Muar tercatat sebagai :

MUAR belum bernama MUAR

MUAR bernama TELUK DALAM

Dari bukti di atas, boleh disimpulkan bahawa mungkin sungai ini dikenali dengan nama TELUK DALAM. Teluk Dalam ini mungkin sekali bersempena dengan keadaan sungainya yang berkualakan satu muara atau teluk yang membuka luas.

Terdapat juga pendapat-pendapat lain yang mengatakan bahawa nama Muar ini ialah ringkasan bagi perkataan MUARA. MUARA ialah bahasa Melayu Sunda bermaksud " kuala sungai yang membuka atau meneluk luas", dan kebetulan kuala sungai ini memang begitu halnya.

Satu lagi pendapat mengatakan bahawa perkataan MUAR itu ialah satu rupa bentuk bagi perkataan "MUAK" maksudnya jemu berkayuh dalam sungai yang begitu besar dan berbelit-belit.

Satu lagi pendapat mengatakan nama MUAR ini ialah ringkasan daripada Bahasa Hindu "MUNU" maksudnya TIGA dan "AR" maksudnya SUNGAI. Dan adalah dipercayai bahawa nama MUAR ini berpunca dari nama sebuah negeri besar di Selatan India pada zaman purba yang dinamakan MUAR atau MUNAR maksudnya "Negeri Tiga Sungai" kerana negeri ini terdiri daripada tiga batang sungai yang penting yang bercantum perairannya menjadi satu. Apabila orang-orang Hindu purba itu datang ke negeri ini untuk tujuan mencari emas dan apabila mereka berjumpa tiga batang sungai yang bercantum iaitu Sungai Muar, Sungai Serting dan Sungai Pahang, perairannya seperti sungai MUAR atau MUNAR dinegerinya, maka teruslah mereka sempenakan nama MUAR itu kepada sungai ini.