ASAL USUL PADANG

| asal nama MUAR | asal bandar maharani | peristiwa bandar maharani | analisis penduduk |
| asal PADANG | asal parit raja  | foto MUAR | sejarah awal MUAR |

Padang adalah sebuah jajahan dalam negeri Johor yang unik dari segi kekayaan hasil mahsul daerahnya. Jajahan Padang ini terletak di bahagian pantai barat daerah Muar dengan keadaan fizikalnya luas di atas daratan yang rendah dan rata serta tidak berbukit-bukit umpama sebuah padang yang luas.

Luasnya Padang ialah dari Parit Perupok hingga ke Parit Jawa sejauh kira-kira 13 km dengan lebar 6 km. Walau bagaimanapun panjang jajahan Padang ini berubah-ubah dari masa ke masa, umpamanya di zaman pengaruh Belanda (1641-1825) yang dikatakan Padang ialah kawasan dari Parit Perupok hingga ke Parit Pinang Seribu sahaja. Di zaman Sultan Abu Bakar (1863 - 1895) yang dikatakan Padang itu ialah kawasan dari Parit Perupok hingga ke Sungai Balang.

Sejarah Padang memang tidak dapat dipisahkan dari sejarah buah-buahan terutamanya buah duku, manggis dan durian. Padri Favre yang mengembara ke Pedalaman Johor dari Singapura (1848) dengan menyusuri laut Padang menuju ke Melaka merekodkan bahawa tidak jauh ke Selatan Kuala Muar terdapat perkampungan yang luas dan ramai  penduduknya dan giat menjalankan eksport buah-buahan.