LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG
| keretapi muar | panglima lidah hitam | bukit kepong | puteri gunung ledang | tokoh agama |
| madrasah al haji taib | lembing Awang pulang ke Dayang | seri menanti |

* dipetik dari majalah MASTIKA keluaran Oktober 2001. 
Teks asal oleh Sahidan Jaafar dan foto oleh Rashid Mahfof


Inilah rupa lembing Awang (lembing yang tidak membunuh)
Menurut sejarawan Johor, Shahrom Hussien, peristiwa menyayat hati ini berlaku pada 1776, apabila anak penghulu Parit Bakar, Bacok dari keturunan Bugis berebutkan Dayang yang telah bertunang dengan pemuda sekampungnya, Awang.

Pertengahan 1776 - Ketika matahari pagi baru bersinar di ufuk timur, perahu Awang tiba di Pangkalan Kuala Parit Raja Muar , Johor setelah hampir genap tiga tahun lima bulan belayar. Dia mengandarkan dua batang lembing kurniaan Raja Bugis sambil menjinjing bungkusan kain mastuli (kain sutera yang kasar dan kuat) dan uncang yang mengandungi wang 377 duit sebagai hantaran perkahwinan dengan Dayang.

Sebaik Awang naik ke pangkalan, beberapa pemuda berlari-lari ke arahnya dengan kehairanan. Mereka seperti terkejut melihat Awang. Lantas mereka menyampaikan berita pernikahan Dayang dengan Bacok dan upacara persandingan yang akan diadakan selepas Asar nanti.

"Jadi semua ini angkara Bacok!!!!" kata Awang dengan geram. Pemuda-pemuda itu yang merupakan rakan-rakan awang mengangguk-angguk. Setiba di rumah, Awang termenung panjang. Di kala itu juga darahnya tambah menggelegak apabila terbayangkan kebaculan Bacok memfitnah kononnya dia mati dalam pelayaran.

"Sedangkan lautan luas dapat kuharungi, inikan pula bumi medan tempat berpencak. Tiap-tiap yang menebus mesti sanggup membayar....." kata Awang penuh geram.


En. Mohd Adam Mohd Hilir (waris Awang) mengaku menyimpan salah satu dari sepasang lembing Awang yang dibawa semasa melarikan diri dari Muar ke Endau
Tengah hari itu di hujung serambi, awang melumur salah satu lembingnya sementara sebilah lagi disandarkan ditepi tiang.

"Kenapa satu lembing saja dilumuri air limau?" tanya ibu Awang.

"Tandanya lembing ini menangis mak. Ini yang betina. Ia malu kerana tak dapat disatukan dengan lembing jantan tu. Sebab itulah Awang terpaksa jauhkan antara satu sama lain. Sebab bukan jodohnya. Kalau tak diceraikan kita seisi rumah akan menangis mak," beritahu Awang. Melopong mulut ibu Awang mendengarnya.

Selepas Asar, Awang menyelinap dicelah-celah orang ramai yang sudah memenuhi halaman rumah Dayang. Di pinggangnya tersisip badik berulang mambang, sementara tangan kanannya mengenggam sebilah lembing. Bunyi nafiri, gong dan gendang riuh-rendah tanda pengantin lelaki akan tiba. Bacok memakai baju pesak sebelah, berseluar singkat kaki kecil dan bertanjak hitam segak duduk di atas tandu.

Sebaik usungan tiba di depan tangga rumah pengantin, tanpa berlengah Awang merodok mata lembing ke perut Bacok. Gempar! Suara jerit pekik orang ramai yang ketakutan gegak gempita. Darah menyembur dari perut Bacok dan pemikul usungan lari lintang pukang.

Seorang dua tetamu bersusah payah mencabut lembing yang terlekat di perut Bacok. Sebaik tercabut, bagai ada kuasa ghaib, senjata itu melayang sendiri dan merodok salah seorang pengapit pengantin lelaki. Mangsa mencabut lembing daripada tubuhnya tetapi senjata itu seperti dipandu melayang pula mencari tetamu yang lain. Begitulah seorang demi seorang rebah sehingga lembing menemui mangsa ke-99 iaitu ayah Dayang.

Anehnya selepas dicabut lembing yang terlekat di perut ayah Dayang oleh tangan Dayang sendiri, pergerakan lembing tersebut terus "mati". Awang pula meninggalkan Muar berlayar ke Endau. Dayang menyimpan lembing berkenaan dan tidak bersuami sehingga ke akhir hayat. Lembing itu diperturunkan kepada keluarganya dari satu generasi ke satu generasi hingga kini.

Menurut majalah MASTIKA lagi, lembing Awang (lembing yang membunuh) yang disimpan oleh waris Dayang sudah tidak dapat dikenalpasti siapa yang menyimpannya namun lembing yang satu lagi iaitu yang dibawa lari ke Endau masih elok tersimpan oleh waris Awang, En. Mohd Adam Mohd Hilir yang sekarang tinggal di Melaka.