Manis bicara indah tutur kata; Manis kalimah pengikat ukhuwah; Hati yang manis bercahaya; Kemanisan iman terasa...  

Pak Uteh bercakap


Profile Kisahnya... Koleksi Buku Tamu

DETIK-DETIK HIJRAH RASULULLAH

Setelah musim haji selesai, Rasulullah sempat tinggal di kota Mekah hingga bulan safar. Desas-desus yang mengatakan bahawa baginda akan berhijrah ke kota Yatsrib telah diketahui oleh kaum musyrikin. Mereka mula mengadakan perundingan bagaimana caranya untuk menghalang Rasulullah dari berhijrah.

Akhirnya setelah berbagai pandangan dan cadangan diajukan, akhirnya mereka memutuskan Rasulullah mesti dibunuh. Walau bagaimana rancangan jahat kafir Quraisy telah dikhabarkan oleh Allah kepada baginda melalui Jibril. Rasulullah diperintahkan oleh Allah supaya berhijrah ke Yatsrib.

Dengan tekad untuk melaksanakan perintah wahyu Ilahi yang baru diterimanya, baginda segera mengatur persiapan-persiapan yang diperlukan. Seketika itu juga, walaupun di tengah panas yang terik, Rasulullah berangkat menuju ke rumah sahabat karib baginda, Abu Bakar As Siddiq dengan maksud menyampaikan perintah hijrah itu.

Tatkala Rasulullah masuk ke rumah Abu Bakar, maka kedua puteri Abu Bakar, iaitu Siti Asma' dan Siti Aisyah yang mula-mula melihat kedatangan baginda, sudah merasakan tentu ada hal luar biasa yang hendak disampaikan. Jika tidak masakan baginda datang di waktu-waktu tengahari begini.

Rasulullah, kemudiannya memberitahu Abu Bakar sesungguhnya Allah telah mengizinkan kepadanya untuk berhijrah. Ketika itu juga airmata Abu Bakar menitis membasahi mukanya. Ia menangis kerana kegembiraan yang tidak terhingga. Sebelum ini Abu Bakar memang telah menyusulkan kepada Rasulullah supaya mereka berhijrah disebabkan keadaan yang begitu menekan dari masa ke semasa. Tetapi Rasulullah selalu mengatakan belum ada petunjuk dari Allah. Walaupun begitu, sebagai seorang yang mempunyai pandangan jauh, maka sejak lama dulu Abu Bakar telah mengatur persiapan-persiapan yang diperlukan untuk hijrah. Cuma menunggu detik dan saatnya saja lagi.

Setelah segala persiapan yang diperlukan siap diatur, Rasulullah mengarahkan kepada Sayidina Ali supaya tidur di kamar baginda. Tujuannya ialah supaya pemuda-pemuda Musyrikin menyangka baginda masih tidur. Di malam itulah juga iaitu malam Jumaat, bulan RabiulAwal, tahun ke 13, setelah diutuskan menjadi Rasul, pada 28 Jun 622 M, Rasulullah bersama dengan Abu Bakar meninggalkan kota Mekah, tanahair tempat tumpah darah mereka, bukan kerana takut, tapi atas matlamat untuk menyelamatkan perjuangan Islam atas petunjuk dan perintah Allah.

Keesokan harinya, ketika Ali bangun dari tidur, pemuda-pemuda Quraisy yang diperintahkan mengepung rumah Rasulullah mendapati yang ada di rumah itu hanya Ali, bukannya Rasulullah. Dengan rasa hampa mereka kembali dengan tekad untuk terus mencari Rasulullah walau di mana juga baginda berada. Rasulullah saw dan Abu Bakar meneruskan perjalanan mereka menuju Pergunungan Tsaur yang jaraknya kira-kira setengah jam saja berjalan kaki dari luar kota Mekah. Rasulullah sendiri tidak memakai kasut hingga menyebabkan luka-luka kecil dikakinya. Abu Bakar bertindak melebihi seorang pengawal biasa. Sebentar beliau berada di hadapan baginda dan sebentar kemudian berada di belakang.

Menjelang tengah malam, sampailah mereka di gua Tsur, yang terletak di lereng pergunungan. Abu Bakar-lah yang membuka pintu gua dan kemudiannya masuk ke dalam untuk membersihkannya terlebih dahulu. Ketika itulah tangan Abu Bakar digigit oleh seekor binatang bisa, tetapi hal itu tidak diceritakan kepada Rasulullah. Sehinggalah apabila Rasulullah berbaring di pangkuan Abu Bakar dan merasai titisan air mata beliau kerana menanggung kesakitan, barulah Abu Bakar menceritakan hal yang sebenarnya. Rasulullah lantas berdoa kepada Allah dan seketika itu juga hilanglah bisa dan bengkak pada tangan Abu Bakar.

Pada hari kedua, serombongan musuh yang diketuai oleh Abu Jahal telah sampai di sekitar gua Tsaur tempat persembunyian Rasulullah dan Abu Bkar. Sesama mereka terjadi pertikaian, ada yang ingin masuk dan ada yang enggan kerana memandangkan keadaan pintu gua yang diliputi sarang labah-labah dan sarang burung membayangkan tidak logik ada manusia yang baru masuk ke dalamnya. Akhirnya mereka menerima keputusan dari Umaiyah bin Khalaf yang menggesa supaya mereka jangan membuang masa di pintu gua itu, malah lebih baik mereka pergi saja ke tempat lain untuk mencari Rasulullah.

Perbincangan antara sesama musuh-musuh yang berlangsung di hadapan pintu gua itu jelas dapat didengar oleh Rasulullah dan Abu Bakar. Jantung Abu bakar sudah berdebar-debar kerana khuatir kalau-kalau musuh dapat mengesan yang mereka berada di dalam gua. Debar jantung Abu Bakar segera diketahui oleh Rasulullah. Dalam suara perlahan, baginda membisikkan di telinga Abu Bakar bahawa sebenarnya mereka berdua di gua itu tetapi bertiga iaitu dengan Allah swt.

Setelah dirasakan ancaman musuh sudah agak reda, maka pada hari yang keempat, Rasulullah dan Abu Bakar meninggalkan gua Tsaur untuk meneruskan perjalanan menuju Yatsrib. Rasulullah mengendarai unta yang bernama "Al Quswa" berdua dengan Abdullah bin Arqat dan seekor lagi dinaiki oleh Abu Bakar dengan Amir Fuhairah. Abdullah bin Arqat-lah yang bertindak sebagai petunjuk jalan kerana dia memang arif dengan jalan-jalan yang sepi dan aman.

Di pertengahan jalan, ketika mereka sedang menyusur melalui tepi Laut Merah, tiba-tiba Abu Bakar menyedari Surakah bin Malik iaitu orang upahan kafir Quraisy yang ditugaskan untuk membunuh Rasulullah sedang mengejar mereka dari belakang. Abu Bakar segera memberitahu Rasulullah. Di wajah baginda sedikit pun tidak membayangkan rasa cemas dan takut. tetapi Abu Bakar kelihatan agak cemas. Sekali lagi Rasulullah menenangkan Abu Bakar, bahawa Allah sentiasa bersama dan akan membantu mereka.

Dengan pertolongan Allah, kuda dan Surakah sendiri beberapa kali tersungkur ke bumi hingga menimbulkan rasa cemas dan bimbang akan keselamatan dirinya, maka dia pun menyeru kepada Rasulullah agar dimaafkan segala kesalahannya dan dia juga berjanji akan memberikan apa saja keperluan yang dihajati oleh baginda. Namun Rasulullah menolak tawaran itu dan Surakah dibebaskan begitu saja. Rasulullah kemudiannya meneruskan perjalanan ke Yatsrib.

Rasulullah dan rombongan akhirnya sampai ke kota Quba, satu tempat berhampiran dengan Yatsrib. Di Quba-lah batu asas pertama diletakkan oleh Rasulullah bagi membangunkan masjid pertama didirikan dalam sejarah Islam.

Kini tibalah saat yang paling bersejarah bagi penduduk kota Madinah. Rasulullah dan rombongannya telah tiba di kota Yatsrib. Kedatangan baginda dialu-alukan dengan selawat dan lagu selamat datang. Inilah satu keramaian yang tidak pernah wujud sebelum dan selepas itu.

Penduduk Yatsrib masing-masing mengharapkan Rasulullah akan singgah di tempat mereka sebagai tamu kehormat. Walau bagaimanapun demi untuk menjaga hati mereka, maka Rasulullah hanya membiarkan saja ke mana arah untanya pergi maka disitulah nanti baginda akan singgah.

Akhirnya unta baginda berhenti di suatu lorong tempat tinggal kaum Bani Najjar. Di situlah Rasulullah mula menjejakkan kakinya di bumi Madinah. Di situ baginda menjadi tamu di rumah Abu Ayub Al Ansari. Sejak itulah kota Yatsrib ditukar namanya oleh penduduknya sendiri menjadi Madinatun Nabi, yakni Kota Utusan Allah dan kemudian disebut Madinatul Munawwarah iaitu kota yang memancarkan cahaya.




Powered by Blogger