Ucapan - Belanjawan 1997 peringkat jawatankuasa (Jabatan Perdana Menteri)
oleh Lim Kit Siang - Ketua Pembangkang Parlimen, Setiausaha-Agong DAP merangkap Ahli Parlimen kawasan Tanjong
di Dewan Rakyat
pada Isnin, 18 November 1996

Menyeru supaya ditubuhkan satu Suruhanjaya Kerajaan Online yang akan bermula fungsinya dengan membekalkan perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan secara online pada tahun depan selaras dengan hasrat kerjaan untuk menjadikan perkhidmatan awam Malaysia mendahului negara-negara lain dan menjadi pemimpin dunia dalam segi pentadbiran kerajaan, antaranya memenuhi piawai kualiti ISO 9000 pada tahun 2000

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed, telah mengumumkan dalam bulan April selepas beliau menyampaikan ucapan utama di persidangan dwitahunan Commonwealth Association for Public Administration and Manangement (CAPAM) di Malta bahawa Malaysia berhasrat menjadi negara pertama di dunia di mana pasukan perkhidmatan awam kita yang seramai 800,000 orang akan mencapai piawai kualiti ISO 9000.

Inilah apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam ucapan utama beliau di Malta: “Quality has become a much sought-after target. If goods produced must meet a certain standard, surely services, government services, included, must achieve a certain degree of quality. ISO 9000 should not be for the factories of the private sector alone. Government administration must also vie for the coveted award. A good government administration cannot be of lower quality than its clients - largely the private sector. It must complement the private sector fully if it is going to serve the country and contribute towards its growth and well-being of the people.”

Bagaimanapun, dalam keinginan untuk menjadi pemimpin sedunia dalam bidang perkhidmatan awam, kerajaan Malaysia telah mengabaikan satu bidang yang sungguh penting sekali iaitu berkenaan dengan soal pengurusan maklumat demi membekalkan kerajaan yang lebih berkesan kepada rakyat jelata.

Pembaharuan sektor awam yang baik bermakna pengurusan sumber secara paling berkesan. Sebarang program pembaharuan sektor awam yang menyeluruh dan berkesan dalam era digital kini perlu memberikan keutamaan yang sewajarnya kepada empat bidang keberkesanan pengurusan utama iaitu:

Sungguhpun maklumat merupakan sumber utama kerajaan, setakat ini Kerajaan Malaysia nampaknya telah gagal memberikan perhatian yang sewajarnya kepada bidang pengurusan maklumat supaya dapat membekalkan maklumat dan perkhidmatan yang murah, samarata dan mudah diakses kepada rakyat Malaysia.

Perkara ini telah disahkan baru-baru ini oleh Setiausaha Suruhanjaya Teknologi Maklumat Kebangsaan, Tengku Datuk Dr. Mohd. Azzman Shariffadeen, yang juga merupakan pegawai eksekutif utama Mimos Berhad yang telah dikoperatkan baru-baru ini.

Izinkan saya memetik dari laporan The Sun yang bertarikh 9 November 1996 di bawah tajuk: “Top govt officials can’t careless about IT”.

Laporan berkenaan berbunyi:

“Kuala Lumpur, Fri: Senior government officers are a great disappointment to the National Information Technology Council (NITC) as they seem to be indifferent to seminars of information technology (IT)., NITC permanent secretary Tengku Datuk Dr. Mohd Azzman Shariffadeen said.

“This attitude was not good for the future of the multi-media supercorridor.

“‘The people who should be listening are not attending’, he added, lamenting that many IT conferences and seminars only attract the converted or people who are already into IT.

“Officials like directors-general or secretaries-general prefer to send their system administrators to these functions, he said.

“‘The chiefs should also be present. System administrators cannot change things in the whole department. It is people at the top, the decision makers. We are talking about radical transformation especially with the coming of the multimedia supercorridor (MSC)’ Azzman said.

“‘Systems administrators have already been converted. We want the policy makers to be next,’ he said, adding the same goes for chief executive officers (CEO) of companies, he added.”

Tengku Azzman telah mengesan masalah dengan tepat sekali. Kita telah dengar mengenai rancangan untuk mengolak langkah besar memasuki era masa depan melalui Multi-media Supercorridor, mengenai smart card, smart school, tetapi apa yang paling penting tetapi kekurangan kini, adalah kerajaan yang lebih pintar, smarter government.

Sebagai contohnya, rakyat telah dijanjikan bahawa kerajaan elektronik akan diperkenalkan pada tahun 1998 apabila Jabatan Perdana Menteri dipindahkan ke Putrajaya dan menjadi pejabat tanpa-kertas - dan melalui cara ini, diharapkan bahawa semua Kementerian akan digalakkan supaya memajukan kementerian mereka masing-masing supaya menjadi tanpa-kertas juga kerana mereka akan perlu berinteraksi dengan Jabatan Perdana Menteri.

Ini merupakan cara yang sungguh aneh dan luar biasa untuk memperkenalkan kerajaan elektronik di Malaysia. Pada hakikatnya, soalan yang perlu ditanya adalah mengapakah kerajaan perlu menunggu sehingga Pejabat Perdana Menteri pindah ke MSC sebelum satu Kerajaan elektronik dapat diperkenalkan kepada rakyat Malaysia?

Kerajaan telah membelanjakan wang berbilion-bilion ringgit dalam program-program pengkomputerannya sejak tahun 60an dan tiada sebarang sebab yang dapat menjelaskan mengapa kerajaan tidak berupaya memulakan pembekalan perkhidmatan online kepada rakyat jelata, sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh banyak kerajaan lain, termasuk mereka yang tidak pernah menyuarakan hasrat untuk mendapat anugerah piawai kualiti ISO 9000 untuk bidang perkhidmatan awam mereka!

Fakta bahawa Malaysia tidak dapat mula membekalkan perkhidmatan online kerajaan bukannya disebabkan oleh kekurangan teknologi, tetapi disebabkan oleh kekurangan komitmen, semangat dan kepimpinan dalam pihak pemimpin-pemimpin birokrasi dan politik.

Homepage Parlimen merupakan satu contoh yang paling baik. Ia telah dilancarkan pada 21 Mei tahun ini , bukannya kerana parlimen kini berada di baris depan revolusi digitalm, tetapi hanya kerana hendak menutup mulut saya yang berulang kali mengadu di Dewan rakyat bahawa tidak ujudnya wensite Parlimen di Internet.

Homepage Parlimen bukan sahaja tidak ada fungsi interaktiviti, malah ia tidak mengandungi sebarang berita terkini. Homepage Parlimen kebanyakan negara lain yang dapat dilihat di Internet adalah dibahagikan kepada dua bahagian - satu mengenai tajuk-tajuk semasa, dan satu lain bahagian arkib. Hoempage Parlimen Malaysia pula hanya mempunyai arkib sahaja.

Apabila Homepage Parlimen dilancarkan pada bulan Mei, ia hanya dalam versi Bahasa Malaysia. Versi Bahasa Malaysia ini telah dikemaskini kali terakhir pada 10 Julai. Versi bahasa Inggeris hanya ujud selepas dua bulan kemudian, dan inilah semuanya yang ada dalam homepage Parlimen kita.

Sungguhpun Parlimen memiliki server kita sendiri dan leaseline selaju 128 Kbps, tetapi terminal Internet di perpustakaan Parlimen sering dipadamkan - dan tiada siapa pun di dalam perpustakaan yang dapat menjelaskan apa yang telah terjadi. Di Pejabat Ketua Pembangkang Parlimen adanya satu terminal Internet, tetapi telah dua minggu kita tidak dapat akses ke Internet. Masalahnya telah dikaitkan dengan soal sambungan telefon, tetapi tiada seorang pun di Parlimen yang nampaknya tahu cara membaikinya. Mungkin saya harus bangkitkan juga di sini mengenai keadaan terminal komputer yang diletakkan di pejabat Ketua Pembangkang Parlimen. Komputer yang diagihkan ke Pejabat saya bukan sahaja merupakan set komputer yang paling lambat, malah yang paling lama di Parlimen, set komputer lama yang kini tidak lagi diperlukan oleh mana-mana pejabat di Parlimen - dan ini telah menyebabkan akses ke Internet melalui komputer era lama ini satu kerja yang sungguh menyeksakan!

Saya ingin membangkitkan di sini bahawa homepage Parlimen bukan sahaja tidak mendatangkan faedah, malah telah memalukan Parlimen Malaysia dengan keadaannya yang tidak up-to-date dan tidak ujud sebarang fungsi interaksi. Melainkan ujudnya komitmen dan semangat pada pucuk pimpinan peringkat tinggi untuk memuatkan homepage Parlimen dengan bahan-bahan terkini dan bersifat interaktif, maka demi reputasi Parlimen Malaysia, mungkin adalah lebih baik sekiranya kita menutup homepage Parlimen ini sama sekali.

Penyakit Teknologi Maklumat seperti mana yang berlaku pada homepage Parlimen ini juga sama dihidapi oleh ramai Kementerian dan agensi-agensi kerajaan, yang melancarkan homepage di Internet bukannya kerana mereka hendak membekalkan maklumat dan perkhidmatan online yang lebih baik, tetapi hanya kerana mahu mengelakkan dari dilihat sebagai IT illiterate ataupun ketinggalan zaman - langsung tidak memiliki pemikiran dan pemahaman yang diperlukan dalam sebuah Masyarakat Maklumat.

Dalam sebuah Masyarkat Maklumat, sebagai peraturan amnya, maklumat kerajaan harus dapat diakses oleh rakyat kerana ia sebenarnya dimiliki oleh rakyat. Ini memerlukan peralihan dari falsafah tradisi di mana maklumat kerajaan dianggap oleh kerajaan (malah sering kali oleh rakyat sendiri) sebagai hak milik kerajaan dan tidak ada kena mengena dengan rakyat jelata.

Kerajaan sebenarnya memegang maklumat ini bagi pihak rakyat dan harus memastikan bahawa kuialiti, integriti dan kesahan maklumat kerajaan ini dijaga dengan baik.

Akses kepada maklumat yang dipegang oleh kerajaan merupakan syarat utama bagi sebuah masyarakat demokrtik untuk berfungsi dengan baik. Tanpa maklumat, rakyat tidak dapat melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka ataupun membuat pilihan berdasarkan maklumat yang tepat dan benar. Maklumat adalah diperlukan untuk memastikan Kerajaan berakauntabiliti. Maka pemindahan fokus secara am ini adalah wajib - dari sikap tidak mendedahkan maklumat melain memang perlu, ke mendedahkan maklumat sekiranya tidak ada sebab yang baik untuk tidak berbuat demikian.

DAP menawarkan perkhidmatan percuma untuk mempamerkan undang-undang siber dan lain-lain rang undang-undang ke atas Internet untuk mendapatkan maklum balas dari orang ramai

Saya akan membangkitkan satu lagi contoh untuk menunjukkan bahawa apa yang kekurangan bukannya teknologi, tetapi komitmen dan semagnat dari kepimpinan politik dan birokrasi peringkat atasan untuk mengguna dengan sebaiknya kemudahan Teknologi Maklumat demi membekalkan perkhidmatan dan maklumat yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.

Sebagai contohnya, kerajaan telah mengumumkan bahawa ia telah siap sedia untuk membentangkan di Parlimen pakej pertama empat undang-undang siber untuk membuka jalan bagi Malaysia memasuki era siber, dan bahawa jika dibandingkan dengan undang-undang siber yang diperkenalkan di lain-lain negara, udnang-undang siber di Malaysia adalah lebih komprehensif.

Kini dua bulan telah berlalu sejak pengumuman mengenai siapnya draf undng-undang siber pakej pertama dibuat, tetapi kandungan mereka masih belum diumumkan.

Saya ingin bertanya mengapakah kerajaan tidak berupaya mempamerkan keempat-empat undang-undang siber ini ke atas Internet untuk mempelawa makluma balas dari masyarakat umum?

Sekiranya Kerajaan kekurangan teknologi berkenaan, DAP bersedia menawarkan perkhidmatan secara percuma untuk mempamerkan semua perundangan yang dicadangkan itu ke atas Internet, syaratnya kerjaan perlu memberikan kerjasama yang sewajarnya.

Memandangkan hampir semua maklumat yang dicipta oleh kerajaan adalah kini dicipta dalam bentuk elektronik, maka kos diseminasi maklumat-maklumat ini kepada orang ramai melalui Internet adalah paling marginal sekali.

Sekiranya Kerajaan tidak berupaya mempamerkan undang-undang siber serta laim-lain rang undang-undang ke atas Internet, maka DAP bersedia melakukan perkhidmatan awam secara percuma dan mempamerkan rang undang-undang ini ke atas Internet, syaratnya agensi-agensi kerjaan yang berkenaan membekalkan bahan-bahan dalam bentuk elektronik yang telah siap sedia.

DAP bukan sahaja bersedia mempamerkan kesemua perundangan yang dicadangkan itu ke atas Internet secara percuma, malah kita sanggup memikul kos mendapatkan website bagi semua kerja ini.

Saya harap saya telah berjaya menjelaskan bahawa kerajaan sebenarnya berupaya dengan segera memperkenalkan perkhidmatan dan maklumat online tanpa perlu menunggu sehingga siapnya MSC kelak.

Internet - rangkaian akses maklumat dan komunikasi digital - merupakan satu pembangunan dan kemajuan yang paling utama bagi kerajaan. Ia menawarkan potensi untuk pengaturan semula kerajaan (re-engineering the government) dan pembekalan perkhidmatan kerajaan dalam dekad-dekad yang akan datang.

Atas sebab ini, saya mencadangkan supaya kerajaan membentuk sebuah Suruhanjaya Kerajaan Online yang bermula dengan membekalkan perkhidmatan-perkhidmtan kerajaan secara online pada tahun depan selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan awam Malaysia pemimpin dalam arena dunia dari segi pentadbiran kerajaan serta memenuhi syarat piawai kualiti ISO 9000 pada tahun 2000.

Suruhanjaya Kerajaan Online ini harus menggunakan dengan sebaiknya teknologi-teknologi yang membolehkan ujudnya “Entry Point” Perkhidmatan ulung yang rasmi bagi Kerajaan Malaysia, di mana alamat Internetnya adalah http://www.gov.my.

Perkhidmatan-perkhidmatan elektronik online yang dibekalkan oleh Kerajaan Malaysia bagi memajukan keupayaan penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan lebih efektif harus setanding dengan persembahan-persembahan yang ditunjukkan oleh lain-lain kerajaan yang paling baik.

Teknologi online membolehkan perkhidmatan dicapai dari berbagai lokasi dengan serentak, tujuh hari seminggu, 24 jam sehari. Adalah juga penting untuk membekalkan cara-cara alternatif bagi orang ramai mendapat perkhidmatan supaya mengelakkan jurang ‘kelemahan maklumat’ ujud di masyarakat kita.

Suruhanjaya Kerajaan Online harus membentangkan laporan tahunan kepada Parlimen mengenai kejayaan-kejayaan dan rancangan-rancangannya dalam tugas menyebarkan perkhidmatan dan maklumat secara online, dan dalam proses yang sama, mendedahkan mana-mana agensi yang berada di baris depan dan agensi mana yang ketinggalan di belakang dalam kerja-kerja perancagnan pengurusan maklumat, dan penggunaan teknologi-teknologi Internet untuk pentadbiran dan pembekalan perkhidmatan mereka.

Akhir sekali, pendedahan oleh Tengku Azzman bahawa pegawai-pegawai kerajaan tertinggi tidak mementingkan Teknologi Maklumat harus diberi perhatian yang serius. Ini menunjukkan bahawa rancangan pengkomputeran kerajaan yang memakan kos berbilion-bilion ringgit sejak tahun 60an telah gagal, sekiranya ia tidak dapat memastikan bahawa pegawai-pegawai seperti para ketua pengarah ataupun ketua setiausaha hari ini menjadi celik-komputer dan memahami dengan sebaik-baiknya tentang pentingnya Teknologi Maklumat.

Mungkin apa yang harus mula dilakukan oleh kerajaan untuk masa ini adalah memberikan satu komputer notebook kepada setiap orang pegawai kerajaan kanan, mengkehendaki mereka menggunakannya dalam tugas harian mereka serta mendapat akses ke Internet untuk membantu memajukan pengetahuan Teknologi Maklumat mereka masing-masing.

Malaysia layak dimasukkan ke dalam Rekod Buku Guinness kerana memiliki kerusi-kerusi Menteri yang kosong untuk kebanyakan masa

Rakyat Malaysia pasti merasa terperanjat pagi ini apabila mereka terbaca di dalam laporan New Straites Times di bawah tajuk “Ling: Don’t question my absence in Parliament”.

Laporan berkenaan memetik kata-kata Menteri Pengangkutan, Datuk Dr. Ling Liong Sik sebagai mengumumkan dari Pattaya bahawa ketidakhadirannya di mesyuarat-mesyuarat Parlimen tidak patut dipersoalkan kerana beliau mempunyai banyak tugas-tugas rasmi yang perlu kendalikan.

Beliau berkata bahawa tidaklah perlu baginya menghadiri Parlimen setiap masa selagi qorum adalah cukup. Beliau berkata: “Sebagai seorang Menteri, saya perlu membahagikan masa saya di kementerian, pelabuhan-pelabuhan, lapangan terang dan stesen-stesen keretapi. Saya juga perlu mengendalikan sebuah parti politik. Pergi ke Parlimen hanya merupaka salah satu dari tugas-tugsa saya sahaja.”

Inilah jenis kenyataan sombong yang dikeluarkan oleh sesetengah Menteri hasil dari kemenangan besar Barisan Nasional dalam pilihanraya umum tahun lepas, yang bila ditambahkan dengan mereka yang menyertai Barisan selepas itu, telah menyebabkan Barisan Nasional menguasai hampir 90% dari kerusi di Parlimen!

Bagaimanapun, sekiranya ujud pemimpin Barisan Nasional yang sangka bahawa oleh sebab mereka telah menguasai 90% dari kerusi di Parlimen, maka mereka tidak lagi perlu akauntabel terhadap tingkah laku mereka, sebagaimana yang dipertunjukkan oleh Ling Liong Sik dalam kenyataan sombongnya dari Pattaya ini, maka mereka tentu akan terkejut dengan hasil pilihanraya umum seterusnya!

Rekod Parlimen menunjukkan bahawa Ling Liong Sik merupakan salah seorang dari dua Menteri Kanan yang menduduki baris depan di Dewan Rakyat yang tidak pernah menghadiri Parlimen dalam masa soal jawab untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan berkenaan dengan kementerian mereka masing-masing. Menteri kanan yang seorang lagi adalah Menteri Industri Utama, Datuk Dr. Lim Keng Yaik

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S, Samy Vellu merupakan Menteri yang paling rajin di antara tujuh Menteri yang menduduki baris pertama di bahagian kerajaan, kerana menghadiri mesyuarat Parlimen sebanyak sepuluh kali untuk menjawab sendiri pertanyaan-pertanyaan yang ditujukan terhadap kementeriannya dalam masa soal jawab, diikuti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Datin Paduka Rafidah Aziz, di mana masing-masing pernah menghadiri Parlimen dan menjawab pertanyaan mengenai kementerian masing-masing sebanyak dua kali.

Menteri Tenaga, Telekom dan Pos, Datuk Leo Moggie pula pernah menghadiri sekali tahun ini ke Parlimen unuk menjawab pertanyaan.

Sekiranya Samy Vellu dapat meluangkan masa sekurang-kurangnya sepuluh kali dalam empat mesyuarat Parlimen tahun ini untuk menghadirkan diri dan menjawab pertanyaan, mengapa pula Ling Liong Sik mendakwa yang beliau terlalu sibuk dan tidak dapat serajin Samy Vellu dalam melaksanakan tuga parlimennya?

Biar macam mana pun, Ling Liong Sik tidak ada sebarang alasan yang munasabah sehingga mempamerkan redod kehadiran yang lebih buruk dari rekod Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri - melainkan Ling Liong Sik berani mendakwa bahawa beliau adalah lebih sibuk dari Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Tidak ragu-ragu lagi, Perliman Malaysia mempunyia rekod paling tinggi di dunia di mana Menteri ponteng tugas Parlimen - samada dalam masa soal jawab maupun apabila mengemukakan rang undang-undang ataupun menjawab perbahasan dasar para ahli Parlimen.

Ini dibuktikan oleh fakta di mana kerusi-kerusi Menteri di Parlimen sering kali kosong sama sekali. Malah saya berani berkata bahawa Parlimen Malaysia kini layak dimasukkan ke dalam Guinness Book of Records atas tajuk kerusi Menteri yang kosong kebanyakan masa!

Malaysia tidak ada sebab merasa bangga dimasukkan ke dalam rekod Guinness Book of Records ini dan saya berharap bahawa Perdana Menteri akan mengenakan displin ketat ke atas para Menteri supaya memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab Parlimen dengan lebih serius lagi.

Kesemua 600 penunjuk perasaan Malaysian People’s Action Front di APCET II harus didakwa di mahkamah untuk mengajar mereka tentang maksud masyarakat madani

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Megat Junid berkata semalam bahawa enam anggota Malaysian People’s Action Front yang tunjuk perasaan menentang Persidangan kedua Asia-Pacific Mengenai Timor Timur akan didakwa di mahkamah.

Apa yang paling memalukan adalah tindakan demonstrasi oleh 600 orang pemuda UMNO, MCA dan MIC yang mencaci, melontar kerusi dan meja, memecahkan kaca serta memeras ugut para peserta persidangan, samada warganegara asing maupun tempatan, dengan ancaman kecederaan fizikal, telah mendapat persetujuan sepenuhnya dari Ketua Pemuda UMNO dan para ahli Parlimen Barisan Nasional.

Kerosakan yang dibawa oleh 600 Pemuda UMNO, MCA dan MIC ke atas reputasi antarabangsa Malaysia adalah serius sekali, terutama sekali dalam segi membangkitkan keraguan mengenai kedudukan kedaulatan undang-undang di negara ini yang disyaki sebagai tertunduk di bawah penguasaan pihak pemerintah, dan dimanipulasikan oleh mereka yang berkuasa sesuka hati - sebagaimana yang kelihatan dalam tindakan double standard pihak berkenaan di mana 60 peserta persidangan APCET II ditahan manakala enam ketua pemuda yang memimpin Malaysian People’s Action Front pula mendapat layanan VIP.

Kesemua 600 Pemuda UMNO, MCA dan MIC yang menyertai demonstrasi memalukan terhadap APCET II ini harus didakwa di mahkamah untuk mendapat pengajaran mengenai erta masyarakat madani. Saya pasti sekiranya pihak polis mendakwa bahawa ia tidak tahu-menahu tentang keujudan 600 penunjuk perasaan ini, masih ada lagi saksi-saksi yang cukup yang bersemangat awam bersedia untuk tampil ke depan untuk membantu pihak polis untuk mengenalpasti orang-orang ini.

Sebenarnya, ‘masyarakat madani’ harus dimasukkan sebagai korikulum wajib dalam Biro Tatanegara untuk mendidik para pemimpin masa depan Barisan Nasional mengenai maksud erti masyarakat madani - dan orang pertama yang perlu dihantar untuk mendapat pendidikan wajib ini adalah Ketua Pemuda UMNO sendiri, Datuk Zahid Hamidi, yang tidak segan tidak malu mengakui telah menghasut Malaysian People’s Action Front melakukan demonstrasi ganas terhadap APCET II.

(18/11/96)