Ucapan - Belanjawan 1997 peringkat jawatankuasa (Kementerian Pendidikan)
oleh Lim Kit Siang - Ketua Pembangkang Parlimen, Setiausaha-Agong DAP merangkap Ahli Parlimen kawasan Tanjong
di Dewan Rakyat
pada Selasa, 26 November, 1996

DAP Menyeru supaya Kementerian Pendidikan melaksanakan program-kilat dua tahun untuk memastikan bahawa lebih dari 2,000 sekolah di Malaysia yang tidak mendapat bekalan elektrik akan memperolehi bekalan mereka selewat-lewatnya pada akhir tahun 1998

Dalam sesi pertanyaan mulut Khamis lepas, saya sungguh terperanjat apabila terdengar jawapan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Khalid Yunus, yang mengatakan bahawa kini ada lebih dari 2,000 sekolah di Malaysia yang tidak mendapat bekalan elektrik, kerana angka ini jauh melebihi angka yang pernah diberikan oleh Kementerian Pendidikan sebelum ini.

Dalam satu soalan tambahan mengenai program kerajaan dalam membekalkan komputer kepada sekolah-sekolah, saya meminta dari Timbalan Menteri satu laporan kemajuan mengenai isu pembekalan elektrik kepada lebih kurang 1,000 sekolah di negara ini.

Khalid memperbetulkan soalan tambahan saya, dengan mengatakan bahawa angka sekolah yang tidak mendapat bekalan elektrik yang pernah diberikannya kepada saya sebelum ini sebenarnya adalah lebih dari 2,000 buah. Setelah memeriksa redok saya, saya mendapati ini tidak benar. Semasa menggulung perbahasan ke atas Ucapan Diraja di Parlimen pada 9 April, 1996, saya telah membangkitkan keadaan yang memalukan di mana sekolah-sekolah kita dibekalkan dengan komputer dan mesin faks tetapi tidak pula mendapat bekalan elektrik, dan Khalid Yunus yang menjawab bagi pihak Menteri Pendidikan pada masa berkenaan tidak dapat membekalkan angka yang tepat mengenai berapa sekolah di negara ini yang tidak mendapat bekalan elektrik.

Khalid berjanji akan menghantar angka-angka berkenaan kepada saya dan memang beliau telah mengotai janjinya. Melalui sepucuk surat, beliau memberitahu saya bahawa jumlah sekolah sedemikian adalah sebanyak 1,320, yang terdiri dari 25 sekolah menengah, dan 1,295 sekolah rendah.

Semasa menyertai perbahasan ke atas Rancangan Malaysia Ketujuh pada 6 Mei 1996, saya menyuarakan perasaan terkejut saya terhadap angka yang sebegitu tinggi di mana sejumlah 25 sekolah menengah dan 1,295 sekolah rendah tidak mendapat bekalan elektrik, dan saya menyeru supaya kerajaan melaksanakan satu program kilat untuk memastikan bahawa 25 sekolah menengah ini akan mendapat bekalan elektrik selewat-lewatnya pada akhir tahun ini, samada melalui sambungan Tenaga Nasional ataupun generator, dan semua sekolah rendah di negara ini akan mendapat bekalan elekrik dalam masa dua tahun.

Di sini, saya hendak memuji Khalid Yunus yang mempunyai rasa bertanggunjawab, kerana selepas itu saya telah meminta supaya dibekalkan senarai penuh sekolah-sekolah menengah dan rendah yang tidak mendapat bekalan elektrik, dan beliau telah melakukan tugas kementeriannya dengan serius sekali dan menghantar satu senarai kepada saya.

Bagaimanapun senarai yang dibekalkan kepada saya itu hanya menunjukkan bahawa 930 sekolah di Malaysia tidak mendapat bekalan elektrik dan pecahan kepada negeri adalah seperti berikut:

Perlis				-
Penang				-
Kedah				2
Perak			       29
Selangor		       22	
Fed. Terrt	    		-
N. Sembilan			3
Melaka				1
Johore			       33
Pahang                         27
Trengganu			9
Kelantan		       50
Sabah			      319
Sarawak                       535

Jumlah	                      930

Saya mengakui bahawa angka 2,000 sekolah tidak mendapat bekalan elektrik yang didedahkan oleh Timbalan Menteri ini telah membingungkan saya dan tidak faham bagaimana angka 1,320 sekolah bertukar menjadi 930 sekolah dan kini menjadi lebih dari 2,000 sekolah pula. Manakah angka yang betul?

Bagaimanakah Malaysia mendakwa akan maju ke arah masyarakat Teknologi Maklumat sementara 25% dari sekolah kita masih tidak mendapat bekalan elektrik?

Angka-angka terbaru ini membangkitkan persoalan yang penting - apakah gunanya Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa ia akan membekalkan semua sekolah dengan komputer pada tahun 2,000, jika ia tidak dapat menjanjikan bahawa semua sekolah di negara ini akan mendapat bekalan elektrik pada tahun 2,000?

Dengan ujudnya 25% dari 8,500 sekolah di negara ini yang tidak mendapat bekalan elektrik, bagaimanakah Malaysia dapat mendakwa bahawa kita sedang maju ke arah Masyarakat Teknologi Maklumat?

Pada hakikatnya, rancangan komputer kerajaan untuk sekolah-sekolah kini telah jauh ketinggalan di belakakng lain-lain negara.

Sebagai contohnya, Khalid telah berkata di Parlimen pada Khamis lalu bahawa sasaran Kementerian Pendidikan untuk tahun 2,000 adalah membekalkan 40 komputer kepada sekolah-sekolah yang memiliki lebih dari 1,500 pelajar. Ini akan menjadikan nisbah di antara pelajar dan komputer 40:1.

Di Denmark, purata angka pelajar untuk sebuah komputer terbaru adalah 28, dan negara berkenaan berhasrat mencapai nisbah 5-10 pelajar untuk sebuah komputer pada tahun 2,000.

Tetapi semua rancangan komputer Kementerian Pendidikan yang sederhananya ini apabila dibandingkan dengan negara-negara lain akan kelihatan sebagai utopia dan tidak realistik apabila kita sedar bahawa lebih kurang 25% dari sekolah di Malaysia tidak mendapat bekalan elektrik!

Saya menyeru Meneri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, supaya memandang serius tentang tingginya peratus sekolah yang tidak mendapat bekalan elektrik yang harus dianggap sebagai suatu penghinaan kepada negara moden seperti Malaysia, dan satu sindiran kepada MSC yang diagung-agungkan itu.

Kementerian Pendidikan harus melancarkan satu program kilat dua tahun untuk memastikan bahawa semua sekolah di Malaysia dibekalkan dengan elektrik pada akhir tahun 1998, dan DAP akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada usaha Kementerian Pendidikan ini - yang mana amat penting untuk memastikan bahawa sekolah-sekolah dan pelajar-pelajar kita di kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam era digital ini sehingga menjadi cacat-maklumat di Malaysia.

Kementerian Pendidikan mesti mengumumkan samada ujudnya sebarang rancangan untuk memastikan guru-guru di kesemua 250,000 sekolah rendah dan menengah di negara ini akan menjadi celik-komputer pada tahun 2,000

Saya merasa sungguh kecewa sekali apabila Menteri Pendidikan Datuk Najib Tun Razak menjawab pada peringkat perbahasan Belanjawan 1997 yang gagal memberikan respon kepada cadangan saya supaya diadakan satu rancangan serambang tiga mata untuk memastikan bahawa 250,000 guru di sekolah-sekolah menengah dan rendah di negara ini menjadi celik komputer pada tahun 2,000, termasuklah satu skim pinjaman khas yang dapat menggalakkan dan memberikan insentif kepada guru-guru supaya membeli sebuah komputer peribadi serta mendapat diskaun khas dan disambung ke Internet.

Rancangan konkrit yang telah diumumkan setakat ini hanyalah satu laporan pada dua minggu lepas yang memetik percakapan Pengarah Pendidikan Guru-guru di Kementerian Pendidikan, Sa’ari Hasan, yang berkata di Kuantan bahawa sejumlah 1,750 guru akan dilatih sebagai ‘instruktor utama sekolah-sekolah pintar’ dan bahawa guru-guru ini akan menghadiri kursus-kursus di kolej-kolej latihan guru secara peringkat berperingkat.

Guru-guru ini akan dibiasakan diri mereka dengan cara mengajar empat matapelajaran - Bahasa Malaysia, English, Matematik dan Sains - di bawah konsep sekolah pintar ini untuk memastikan mereka dapat membekalkan ‘pendidikan berkualiti tinggi’. Selepas tamat kursus-kursus ini, mereka akan pulang ke sekolah-sekolah masing-masing dan menyampaikan ilmu mereka kepada lain-lain guru dalam bidang-bidang berkenaan.

Ini merupakan satu cara yang sungguh tidak menarik malah tidak profesional untuk mencapai matlamat memastikan kesemua 250,000 guru-guru di semua sekolah rendah dan menengah celik komputer pada tahun 2,000. Mungkin saya harus mengemukakan soalan saya secara terus-terang: adakah Kementerian Pendidikan mempunyai sebarang rancangan untuk memastikan kesemua 250,000 guru di sekolah rendah dan menengah di negara ini celik komputer pada tahun 2,000, jika ya, bolehkah Parlimen diberitahu tentang butir-butir yang terperinci?

Baru-bari ini, telah menjadi sejenis fesyen di mana Menteri Pendidikan sering bercakap-cakap mengenai ‘sekolah pintar, pembelajaran pintar, penilaian pintar, pengajaran pintar, penggunaan teknologi pintar dan pengurusan pintar’, tetapi penggunaan perkataan ‘pintar’ ini tidak dapat dengan sendirinya memastikan apa yang digelar ‘pintar’ itu memang ‘pintar’ pada hakikatnya.

Sebagai contoh, perlu disedari bahawa pengenalan Teknologi Maklumat di sekolah-sekolah bukanlah sekadar soal mengatasi isu teknologi dengan membekalkan komputer yang secukupnya dan infrastruktur maklumat yang diperlukan, tetapi melingkungi juga isu-isu pendidikan dan sosial yang jauh lebih luas dan penting, seperti jenis sekolah yang kita kehendaki dan samada kita membekalkan latihan dan sumber yang diperlukan oleh guru-guru untuk menggunakan komputer secara efektif.

Komputer dan perangkaian (networking) adalah kritikal kerana mereka dapat mempertingkatkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk hidup dalam Era Maklumat Abad 21 ini. Dalam tahun 1850, pangkal ilmu dunia memakan masa 50 tahun sebelum dapat berlipat kali ganda, tapi pada hari ini, ia hanya memakan masa setahun lebih sahaja. Tenaga kerja yang diperlukan oleh Era Digital bukannya mereka yang ‘tahu’ (‘knowers’) tetapi mereka yang ‘membelajar’ (‘learners’).

Kementerian Pendidikan akan sedar bahawa adalah lebih mudah untuk mendapatkan komputer dari membantu para guru membelajari cara menggunakan komputer-komputer ini secara kreatif, kerana apa yang dikehendaki oleh Teknologi Maklumat adalah pedagogi yang baru sama sekali.

Penyelidikan di negara lain dalam hal ini menunjukkan bahawa apabila komputer digunakan untuk memperbaiki cara pengajaran tradisi, hasil paling baik yang diperolehi hanyalah sedikit sahaja dari segi kemajuan pencapaian pelajar.

Dalam pedagogi Teknologi Maklumat yang baru ini, guru-guru tidak lagi berfungsi sebagai wadah kesemua jenis ilmu. Sebaliknya, pelajar akan digalakkan untuk menafsirkan matlamat pembelajaran mereka sendiri dan merka perlu mencari, mengasingkan dan menganalisa maklumat yang diperolehi demi mencapai matlamat mereka. Guru-guru akan berfungsi sebagai mentor, pembimbing dan pemudah cara (facilitator).

Guru-guru akan memerlukan banyak sokongan sekiranya mereka hendak menggunakan komputer dalam bilik darjah mereka secara efektif, kerana guru-guru mungkin akan mendapati cara pengajaran dengan menggunakan komputer berangkai agak sukar dikuasai, sekurang-kurangnya pada peringakt awal. Ini adalah kerana guru-guru kini menghadapi cabaran untuk menguasai teknologi berkenaan - tetapi ini mungkin lebih mudah lagi dibandingkan dengan cabaran mengajar pelajar-pelajar yang membelajarinya secara perasingan. Apabila pelajar-pelajar ini tidak lagi diperlukan untuk menguasai sekumpulan ilmu yang serupa yang diajar oleh guru-guru mereka, dan sebaliknya perlu mendapatkan maklumat secara sendiri dan melakukan projek-projek yang memerlukan pemikiran kritikal, maka guru-guru perlulah menguasai ilmu yang lebih luas, termasuk kandungan matapelajaran mereka.

Adakah Kementerian Pendidikan sedang membuat persiapan untuk menyediakan 250,000 guru-guru di 8,500 sekolah rendah dan menengah di negara ini supaya menguasai cabaran-cabaran pedagogi Teknologi Maklumat baru ini pada tahun 2,000?

Mengapakah Malaysia tidak termasuk dalam Kajian Sains dan Matematik Antarabangsa Ketiga (TIMSS) yang merangkumi 45 negara dan melibatkan setengah juta pelajar?

Baru-baru ini, kedengaran pendapat-pendapat untuk memeriksa fenomena kemerosotan minat pelajar dalam matapelajaran sains dan matematik demi mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara masa kini.

Sekiranya kerajaan memang serius tentang pentingnya matematik, sains dan teknologi, di dalam sistem pendidikan kita serta demi masa depan kita, maka ia harus menjelaskan sebab mengapa Malaysia tertinggal di luar Kajian Matematik dan Sains Antarabangsa Ketiga (TIMSS), yang merupakan salah satu kajian terbesar sedunia setakat ini mengenai pencapaian pelajar di sekolah-sekolah menengah, yang merangkumi 45 negara dan melibatkan setengah juta pelajar.

Dalam kajian antarabangsa ini, Singapura muncul sebagai negara yang berpencapaian tertinggi dalam kedua-dua matapelajaran matematik dan sains, mengalahkan lain-lain negara seperti Jepun, Korea, England, Australia, United States, Germany dan sebagainya.

Di manakah kedudukan Malaysia sekiranya kita termasuk dalam kajian pencapaian akademi matematik dan sains di sekolah-sekolah menengah ini?

Sungguh malang sekali pihak berkuasa Malaysia tidak memastikan bahawa Malaysia dimasukkan dalam kajian TIMSS ini, sungguhpun Malaysia telah dua kali tersingkir dalam kajian-kajian terdahulu.

Sehubungan ini, kita harus juga memerhatikan bahawa Malaysia diletakkan dalam kedudukan ke-34 dalam kumpulan negara dunia atas tajuk sumbangan rakyat ke arah daya saingan. Ini adalah menurut Laporan Tahunan Persaingan Dunia 1996, dan kedudukan kita ini telah jatuh empat tempat ke belakang berbanding dengan tahun 1992. Dalam daya persaingan keseluruhannya, Malaysia diletakkan dalam nombor 23, berbanding dengan nombor 14 tahun 1992. Ini harus dijadikan satu amaran kepada kita supaya menjadi sebuah negara yang lebih berkemahiran, dan adalah perlu bagi kerajaan membentuk satu matlamat tinggi bagi pendidikan dan latihan, terutama sekali dalam bidang sains, teknologi dan teknologi maklumat.

(26/11/96)