Ucapan - Belanjawan 1997 peringkat jawatankuasa (Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos)
oleh Lim Kit Siang - Ketua Pembangkang Parlimen, Setiausaha-Agong DAP merangkap ahli Parlimen kawasan Tanjong
di Dewan Rakyat
pada Rabu, 11 Disember 1996

Prihatin mengenai pendirian kerajaan yang telah berubah tanpa memastikan bahawa Pengeluar Tenaga Persendirian (IPP) menyeragamkan kadar-kadar mereka supaya tidak membebankan para pengguna dan Tenaga Nasional Bhd

DAP prihatin mengenai pendirian kerajaan yang telah berubah tanpa memastikan bahawa Penjanakuasa Elektrik Persendirian (IPP) merunding semula Perjanjian Pembelian Tenaga Letrik mereka memandangkan sesetengah dari mereka telah mengenakan kadar yang tersangat tinggi dengan syarat-syarat yang tidak adil ke atas tenaga yang dijana dan dijualkan kepada Tenaga Nasional, di mana penggunalah yang merupakan mangsa sebenar.

Dalam ucapannya pada 25 Oktober 1996, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata: “Rancangan penswastan ini pasti gagal seandainya peluang penswastaan dikerkah secara kong-kali-kong atau persekongkolan. Gesaan Perdana Menteri umpamanya, supaya penjanakuasa elektrik persendirian (IPP) menyeragamkan kadar bayaran supaya tidak membebankan Tenaga Nasional Berhad dan pihak pengguna perlu diberi perhatian segera.”

Mengikut satu laporan hari Jumaat lepas, Penjana-penjana Kuasa Elektrik Persendirian ini telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos mengenai cara bagaimana mereka boleh memikul tanggungjawab sosial bersama-sama dengan Tenaga Nasional Bhd dengan membekalkan elektrik ke kawasan-kawasan luar bandar untuk meringankan beban Tenaga Nasional.

Dua hari yang lepas, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Annuar Musa menyatakan bahawa kesemua Penjanakuasa Elektrik Persendirian ini akan dikehendaki menyumbang kepada tabung pengelektrikan kawasan luar bandar dan sumbangan-sumbangan mereka ini akan berjumlah beberapa juta ringgit setiap satunya.

Dalam ucapan belanjawan beliau, Menteri Kewangan telah meminta Penjanakuasa Elektrik Persendirian melakukan dua perkara: pertama, menyeragamkan kadar-kadar mereka supaya adil kepada pengguna - kadar Penjana-penjana ini kini berbeza-beza di mana Genting Sanyen Power Sdn Bhd mengenakan 11.8 sen seunit, manakala YTL Power Generation Sdn Bhd pula mengenakan 15.5 sen seunit; kedua, memikul tanggungjawab sosial dengan mengelektrikkan kawasan luar bandar supaya adil terhadap Tenaga Nasional.

Nampaknya Penjana-penjana Kuasa Elektrik Persendirian ini dengan mudahnya dapat melepaskan diri dari tugas mereka yang pertama iaitu menyeragamkan kadar-kadar penjualan elektrik kepada Tenaga Nasional, dan hanya perlu menyumbangkan beberapa juta ringgit setiap satunya untuk membantu mengelektrikkan kawasan-kawasan luar bandar - sungguhpun saya difahamkan bahawa dalam lesen Penjanakuasa Elektrik Persendirian terbaru yang dikeluarkan kepada Automan untuk pembinaan stesen kuasa 1,200 MW di Yan, Kedah, kos elektrik adalah hanya 11.3 sen seunit sahaja.

Sumbangan sebanyak beberapa juta ringgit dari setiap Penjanakuasa Elektrik Persendirian merupakan jumlah yang kecil sahaja, kerana Tenaga dilaporkan telah membayar sejumlah RM2.26 bilion untuk pembelian elektrik dari Penjana-penjana Kuasa Elektrik Persendirian ini, iaitu dua kali ganda apa yang dibayarnya dalam tahun sebelum itu sebanyak RM1.065 bilion.

Sekiranya Penjana-penjana Kuasa Elektrik Persendirian ini dikehendaki mengurangkan kadar-kadar penjualan elektrik kepada Tenaga yang begitu tinggi melampau, memandangkan kos penjanaan elektrik oleh Tenaga adalah jauh di bawah 10 sen seunit, maka sejumlah yang besar tentu akan dapat dijimat dan ini bukan sahaja dapat digunakan untuk mengelektrikkan kawasan-kawasan luar bandar, malah dapat mengurangkan beban para pengguna.

Sebagai contoh, sekiranya kos purata kadar-kadar Penjanakuasa Elektrik Persendirian ini dikurangkan sesen seunit, berdasarkan RM2.26 bilion yang dibayar oleh Tenaga kepada Penjana-penjana Kuasa Elektrik Persendirian tahun ini, maka ini akan bermakna penjimatan sebanyak RM135 juta - bandingkanlah angka ini dengan beberapa juta yang dikehendaki dibayar oleh Penjana-penjana Kuasa Elektrik Persendirian untuk mengelektrikkan kawasan luar bandar!

Pada hakikatnya, saya difahamkan bahawa ada syarikat-syarikat yang sanggup menjana dan menjual elektrik kepada Tenaga Nasional pada kadar kurang dari 10 sen seunit, dan Kerajaan seharusnya mengambil kesempatan ini dengan baik sekiranya tender terbuka pernah dilakukan untuk mengundang tawaran-tawaran dari pihak awam dan menandatangani Perjanjian Pembelian Elektrik dengan mereka yang dapat menawarkan harga seunit yang paling rendah, dan bukannya mengadakan urusniaga Penjanaan Kuasa Elektrik Persendirian secara sulit dengan syarikat-syarikat yang terpilih.

Sekiranya kesemua Penjana-penjana Kuasa Elektrik Persendirian dikehendaki mengenakan kadar kurang dari 10 sen seunit elektrik yang dijana mereka dan dijual kepada Tenaga Nasional, penjimatan setinggi beratus-ratus juta ringgit semestinya bukan masalah!

Saya menyeru supaya Kerajaan berpendirian tegas dalam permintaannya supaya Penjana-penjana Kuasa Elektrik Persendirian ini melaksanakan dua tugas berkenaan, iaitu menyeragamkan kadar elektrik mereka yang dijual kepada Tenaga Nasional supaya adil terhadap para pengguna dan menunaikan tanggungjawab sosial mereka dengan menyumbang kepada tabung pengelektrikan kawasan luar bandar.

Sehubungan dengan ini, saya ingin bertanya mengapakah Tenaga Nasional tidak bersedia mengeluarkan satu buletin harian mengenai gangguan bekalan elektrik, senaraikan kawasan, masa dan sebab bagi gangguan-gangguan ini, demi menonjolkan sikap akauntabilitinya kepada para pengguna terhadap sebarang pemutusan bekalan elektrik.

Apakah pula keputusan kajian pakar-pakar British dalam kes pemutusan bekalan elektrik di seluruh Semenanjung Malaysia, dan mengapakah Tenaga Nasional tidak bersedia untuk mencapai piawai kualiti ISO 9000 - terutama sekali memandangkan pegawai eksekutif utamanya, Datuk Dr. Ahmad Tajuddin pernah memikul tanggungjawab SIRIM untuk mempopulasikan piawai kualiti ISO 9000 di semua sektor di Malaysia.

Sungguhpun telah mendapat publisiti-publisiti yang positif dalam bulan-bulan kebelakangan ini, namun Tenaga Nasional tidak berupaya memastikan bekalan elektriknya adalah stabil - ini dapat dibuktikan oleh beberapa kes gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Saya difahamkan bahawa Tenaga Nasional akan meminta supaya kerajaan meluluskan tarif elektrik yang baru pada tahun depan, dan saya ingin menyeru kerajaan supaya menolak permintaan ini, terutama sekali sebelum Tenaga Nasional dapat membuktikan kualiti perkhidmatannya dengan mengurangkan kadar gangguan bekalan elektrik yang begitu kerap kini serta ketidak upayaannya untuk meminta Penjana-penjana Kuasa Elektrik Persendirian mengurangkan harga jualan elektrik mereka kepada Tenaga Nasional demi meringankan beban para pengguna.

Sehubungan ini, saya ingin bertanya samada Kerajaan ada sebarang rancangan untuk divest dan mengurangkan pemegangan sahamnya di Tenaga Nasional Bhd yang kini setinggi 77%, dan apakah rancangannya atas isu ini. Apakah hasil siasatan Badan Pencegah Rasuah ke atas kontrak pembalakan dalam air yang bernilai RM300 juta

Dalam bulan Oktober, saya telah merujuk kepada satu laporan dari jawatankuasa audit lembaga Tenaga Nasional yang menyiasat kes-kes salah pengurusan serta penyelewengan kuasa di dalam Tenaga Nasional, antaranya termasuklah satu kes pemberian kontrak pembalakan dalam air di Empangan Temenggor, Perak, yang melibatkan kegiatan-kegiatan salah laku. Kontrak berkenaan membolehkan Affcom Timber Sdn Bhd membalak hutan seluas 8,000 hektar yang tenggelam di bawah empangan berkenaan yang bernilai lebih kurang RM300 juta, sunggupun syarikat berkenaan belum didaftarkan semasa ia ditawarkan tender berkenaan.

Saya belum menerima sebarang jawapan mengenai hasil siasatan Badan Pencegah Rasuah ke atas isu yang disebutkan tadi dan berharap bahawa Menteri dapat memberikan satu laporan mengenai kes ini, termasuklah hasil siasatan BPR serta samada tender baru ada dilakukan.

Kadar pertumbuhan pengguna-pengguna Internet di Malaysia yang terbantut 50% tahun ini harus dianggap sebagai perlenggahan usaha memupuk pertumbuhan bidang Teknologi Maklumat di negara ini

Dua hari yang lepas, Menteri Sains, Teknologi & Alam Sekitar, Datuk Law Hieng Ding, menyatakan di Parlimen bahawa kini Jaring mempunyai lebih dari 50,000 pelanggan Internet.

Angka ini sungguh memeranjatkan, kerana pada hujung tahun lepas, jumlah pelanggan Jaring adalah sebanyak 15,000 orang, dan kadar pertumbuhan masa itu adalah 22% sebulan, MIMOS telah menjangkakan bahawa pelanggan Jaring akan mencapai angka 150,000 pada akhir tahun ini.

Bagaimanapun, memandangkan pertambahan pelanggan Jaring untuk 11 bulan pertama tahun ini hanyalah dari 15,000 ke 50,000, ini bermakna bahawa kadar pertumbuhan pelanggan Jaring telah jatuh dari 22% sebulan kepada 11% sebulan, yang mesti dilihat sebagai satu perlenggahan besar terhadap usaha membangunkan bidang Teknologi Maklumat di negara ini - sungguhpun kini telah muncul Pembekal Akses Internet kedua, TMNet, yang mula berkhidmat dalam bulan November.

Saya bersetuju bahawa pertumbuhan setinggi 22% sebulan untuk pelanggan Internet dalam tahun 1995 merupakan pertumbuhan eksponen, yang akan stabil di suatu titik- tetapi bukanlah seteruk masa ini, di mana negara kita belum lagi mencapai peringkat ‘take-off’ penggunaan Internet yang sepenuhnya.

Saya tidak meragui bahawa salah satu sebab yang menyebabkan penurunan begitu ketara dalam kadar pertambahan pelanggan Internet di Malaysia adalah kerana kos bil telefon yang tinggi, dan di sini saya ingin menyeru supaya kerajaan mencari jalan penyelesaian yang bertujuan meletakkan negara kita dalam baris depan dari segi pengguna Internet per kapita.

Menyeru supaya Syarikat-syarikat Telekomunikasi di Malaysia menunaikan tanggungjawab sosial mereka dengan membekalkan kelengkapan Internet secara percuma kepada sekolah-sekolah

Di sini, saya juga ingin menyeru supaya Menteri Tenaga, Telekom & Pos mengambil inisiatif memujuk syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia menunaikan tanggungjawab sosial mereka dengan membekalkan kelengakapan Internet percuma kepada semua sekolah.

Di United Kingdom, telah dianggarkan bahawa pada akhir dekad ini, lebih kurang tiga suku dari jumlah sekolahnya akan mendapat sambungan kabel yang pecuma dari syarikat-syarikat kabel - dan tidak ada sebarang sebab yang menghalang syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia untuk ketinggalan di belakang syarikat-syarikat telekomunikasi di UK dalam segi menunaikan tanggungjawab serta komitmen sosial mereka.

Mengapa perlu lagi satu Majlis Telekomunikasi Kebangsaan sedangkan kita telah ada sebuah Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri

Saya merasa terperanjat dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri bulan lepas mengenai penubuhan sebuah Majlis Telekomunikasi Kebangsaan dengan jumlah ahli seramai 18 orang, yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir yang dipertanggungjawabkan dengan tugas penggubalan Dasar Telekomunikasi Kebangsaan.

Ini adalah kerana di negara kita telahpun ujud sebuah Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan, yang juga diketuai oleh Perdana Menteri sendiri, dan penubuhan satu lagi Majlis Telekomunikasi Kebangsaan nampaknya telah berlebihan, ataupun hanya merupakan cara Menteri-menteri atau agensi-agensi kerajaan merebut kawasan operasi yang bertindih bidangnya.

Penubuhan Majlis Telekomunikasi Kebangsaan nampaknya cuba membalikkan perkembangan Era Digital, tidak menghiraukan fenomena pemusatan teknologi telekomunikasi, penyiaran dan maklumat, di mana komputer akan menjadi aplikasi yang mencantumkan fungsi-fungsi telefon, komputer, TV dan lain-lain lagi, yang membawa cabaran baru ke atas cara masyarakat kita beroperasi serta perubahan-perubahan struktur kerajaan.

Inilah juga sebabnya mengapa di sesetengah negara yang bermatlamat untuk mengambil kesempatan penuh Era Digital, seperti Korea Selatan, yang mengubah struktur Kementerian-kementerian mereka di mana suatu Kementerian Maklumat dan Komunikasi telah dibentuk untuk membangunkan serta melaksanakan strategi-strategi jangka panjang bagi industri infocommunications Korea Selatan.

Adakah Indonesia telah bersetuju untuk membenarkan laluan kabel dasar laut Bakun sepanjang 1,300 dari Sarawak Ke Semenanjung Malaysia menerusi zon eksklusif ekonomi Indonesia

Akhir sekali, saya ingin merujuk kepada fasa keempat projek empangan Bakun mengenai kabel dasar laut, yang belum lagi diluluskan laporan EIAnya. Saya berharap Menteri dapat menjelaskan samada Kerajaan Indonesia telah memberikan kebenaran kepada laluan kabel dasar laut dari projek empangan hidroelektrik di antara Sarawak dengan Semenanjung Malaysia yang perlu melalui zon eksklusif ekonomi di Natuna.

(11/12/96)