Lagu Perpisahan

Nyanyikanlah lagu perpisahan itu
untuk melayani hatiku yang hiba ini
kerana hari ini adalah hari terakhir
engkau berada di sini

Selama ini taman ini begitu indah
kerana engkau ada di sini
Meskipun jarang sekali aku dapat melihat wajahmu
namun keyakinanku akan kehadiranmu
sudah cukup untuk menyerikan suasana

Alangkah sepi dan kosongnya
taman ini di musim mendatang
apabila engkau tidak lagi di sini
Apakah mungkin dapat kita bertemu lagi?

Sayang, ke manakah arah tujuanmu kini?
Barangkali kita terpaksa berpisah buat selamanya
Waktu kurasakan begitu terlewat
untuk kunyatakan perasaan hatiku padamu

Selama ini pun ketika kita bertemu
tidak pernah kusuarakan padamu
akan perasaan di hatiku
Tapi aku begitu mengharapkan
di saat-saat akhir ini kita dapat bertemu lagi
biarpun hanya seketika waktu
untuk kukatakan padamu
bahawa meskipun terlalu sukar untuk aku memilikimu
tapi cukuplah sekadar dapat aku nyatakan
bahawa aku cinta padamu

Home