Syaikh Ahmad Bin Muhammad Zain Al-Fatani - Pemikir Bangsa

TRADITIONAL ISLAM as understood by the vast majority of ulama' of the Ahli Sunnah wal Jamaah

 

Syaikh Ahmad Bin Muhammad Zain Al-Fatani – Pemikir Bangsa

Oleh - 'Abdullah Zaidi bin Hassan 

 

 

 

Syaikh Ahmad Bin Muhammad Zain Bin Mustafa al-Fatani RH adalah seorang Muslim-Melayu yang merupakan antara peribadi kemuncak di dalam sejarah tamaddun Melayu dari zaman Melaka  sehingga kini. Syaikh menyatakan sifat dirinya sebagai:

 

Yang dibangsakan kepada Imam Abi al-Hasan al-Asya‘ari mazhabnya lagi kepada Melayu bahasanya  lagi kepada Patani tuturannya lagi kepada kenyataan isyaratnya. (1)

Syaikh adalah seorang ulama yang menghabiskan umurnya berkhidmat kepada ilmu, seorang pengerak masyarakat yang berfikir merentasi  negeri kelahirannya, merangkul keseluruhan rantau Melayu dan kesejagatan ummah. Seorang yang meneruskan warisan ilmu dan hikmah para ulama dan hukama dari zaman silam serta bersedia untuk mengharungi masa mendatang yang mengandungi belbagai penemuan. Seorang sufi yang mengusahakan kejilahan hati dan agar diri tiada sunyi dari berzikir bagi menikmati kemanisan bersama Tuhannya, serta di masa sama dia bergerak cergas pula di dalam masyarakat bersama raja-raja dan para fuqara. Dia teramat sayang kepada ilmu dan amalan agamanya yang mulia, lanjutan kepada sayang yang amat itulah yang mencambahkan sayangnya kepada bangsa, tanah air dan bahasanya.

 

 

Latar Belakang Masyarakatnya

 

Datuk beliau Syaikh Mustafa Bin Muhammad adalah seorang panglima Istana Raja Patani, yang telah mengundur diri selepas tentera Raja Patani kalah perang dengan tentera Siam, lalu membuka pondok pengajian di Kampong Sena Janjar, daerah Jambu.

 

Dikatakan beliau mendapat ‘pembukaan’ dari Allah dengan diperlihatkan air telaganya melimpah keluar pada suatu malam akhir Ramadan, yang beliau fahami sebagai petanda malam Lailatu al-Qadr. Beliau telah berdoa pada sisi telaga itu agar zuriat beliau menjadi ulama. Telaga itu masih ada sehingga sekarang dan berada tidak berapa jauh dari kubur beliau. Empat anak lelakinya telah menjadi ulama terbilang, Syaikh Abdul Latif telah bergiat di Bangkok, Syaikh Daud dan Syaikh Muhammad Zain, ayahnya Syaikh Ahmad bergiat di Makkah dan Syaikh Abdul Qadir, yang dikenali sebagai Tok Bendang Daya di Patani.

 

Sebelum kelahiran Syaikh Ahmad, Patani berada di dalam keadaan yang tegang. Berapa siri peperangan telah berlaku di antara tentera Siam dan tentera Raja Patani. Di dalam peperangan 1831, Long Muhammad Raja Kelantan  telah menghantar bantuan tentera di bawah pimpinan Raja Muda Kampong Laut dan Raja Banggol, sementara Sultan Terengganu telah menghantar bantuan di bawah pimpinan Panglima Tengku Idris. Takdirnya Patani telah kalah perang, Tuan Sulung, Raja Patani dan Tuan Kundur ,Raja Jala telah melarikan diri ke Kelantan, sementara Tuan Kecik, Raja Nongcik dan Tuan Dah, Raja Legeh lari ke hulu Patani. Tuan Kecik telah diburu dan dibunuh oleh tentera Siam, Tuan Dah sempat melarikan diri ke Perak. Siam telah mengancam untuk menyerang Kelantan dan Terengganu kerana telah menghantar bantuan menyokong Raja Patani. Lalu pada tahun 1832, Long Muhammad, Sultan Kelantan terpaksa menyerahkan Tuan Sulung dan Tuan Kundur kepada Siam dan Terengganu pula menyerahkan Panglima Demit, Panglima Mahmud, Panglima Pie’ dan Panglima Ahmad. Seramai 4,000 orang tawanan perang telah dibawa ke Bangkok. 

 

Pada Tahun 1838, Kedah pula melancar serangan untuk memerdekakan diri daripada Siam, iannya juga disertai oleh panglima  raja-raja Melayu lainnya, peperangan ini telah sampai hingga ke Chenok, kemudian tentera Melayu dapat dipatahkan oleh tentera Siam. Syaikh Ahmad membuat sedikit catitan tentang perjuangan yang panjang itu:

 

(Faedah) awal musuh Patani  dengan Siam itu pada tahun ular besar  iaitu tahun 1235 daripada hijrah sah dan nama raja yang musuh dengan Siam itu Long Abdul Qadir anak saudara  Raja Nik yang jadi raja dahulu daripadanya (2)

Pada tahun 1842, Kelantan berada di dalam keadaan kucar kacir kerana peperangan saudara di antara Tuan Senik Mulut Merah melawan Raja Dewa Penambang, Raja Muda Tengku Sri Indera dan Tengku Muhammad anak Raja Muda Kampong Laut. Tuan Senik telah mendapat bantuan Siam untuk mengukuhkan kedudukan baginda, sebagai penyelesaian bagi perang saudara ini, pihak Siam telah membawa Tengku Mahammad dan penyokong baginda ke Patani dan dilantik menjadi raja pada pertengahan tahun 1842, berkebetulan Patani ketiadaan raja di waktu itu.

 

Keadaan Patani agak tenteram di bawah pemerentahan Raja-raja asal Kelantan ini. Tengku Muhammad diganti oleh anakanda baginda  Tengku Putih . Pada tahun 1881. Tengku Putih pula diganti oleh Tengku Timun. Tengku Timun diganti oleh Tengku Sulaiman Syarif ad-Din pada tahun 1890. Baginda telah membuat banyak kemajuan di negeri Patani termasuklah meluruskan saliran Sungai Patani sepanjang 7km dan membina Masjid Batu di Cabang Tiga. Baginda diganti oleh Tengku Abdul Qadir Qamar ad-Din  pada tahun 1899.

 

Pada tahun 1902 Siam telah merancang untuk mengubah sistem pemerintahan di kawasan selatan dengan menghapuskan kekuasaan Raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu telah menurunkan tanda tangan perstujuan kecuali Raja Patani, Raja Reman dan Raja Legeh. Akhirnya Raja Raman dan Raja Legeh telah dipaksa menurunkan tanda-tangan. Tinggallah Sultan Abdul Qadir yang berkeras, kemudiannya baginda dipenjarakan di utara Bangkok dan dibebaskan pada tahun 1905. Baginda telah berundur ke Kelantan dan mangkat di Kelantan pada tahun 1933. (3)

 

Ditakdirkan Allah yang keseluruhan hidup Syaikh Ahmad bersamaan dengan tempuh pemerintahan Raja asal Kelantan di Patani, beliau dilahirkan pada tahun pertabalan Tengku Puteh sebagai Raja Patani dan beliau meninggal selepas Raja terakhir dari keturunan ini dilucutkan kuasa oleh Kerajaan Siam. Begitupun Syaikh Ahmad bergiat di Hejaz dan Masir bukan di tanah tumpah darahnya, Patani. Syaikh Ahmad mencatitkan:

 

(Faedah) Diperanakkan Ahmad Bin Muhammad Zain Bin Mustafa Bin Muhammad Fatani pada malam jumaat waktu jendera budak 5 haribulan Syaaban daripada tahun 1272, tahun ular besar pada bulan 5 daripadanya dengan istilah Siam pada hari yang keenam daripada bulan yang keenam pada istilah Melayu dan tempat beranaknya pada kampong Jambu, negeri Jerim daripada bumi Patani dan masya’nya kampong Jambu itu dan Kampong Sena Janjar. (4)

Syaikh Ahmad tidak lama membesar di Patani, ketika berusia empat tahun beliau telah dibawa oleh ayahnya ke tanah suci, Makkah. Di sini beliau telah menjalani kehidupan sebagai seorang penuntut yang gigih, ketika berumur belasan tahun beliau menyambung  pelajarannya di Masir. Di sana beliau telah mula menghasilkan tulisan sendiri dan terjun di dalam kerja-kerja penerbitan kitab-kitab Melayu .

 

Beliau kembali ke Makkah sebagai seorang ilmuan yang disegani dan penyair yang terbilang. Beliau segera didatangi oleh murid-murid yang ramai terutama dari rantau Melayu. Walaupun terdapat ramai ulama dari rantau kita di waktu itu yang bergiat di bumi Makkah, tetapi kedudukan Syaikh Ahmad agak teristimewa. Selain daripada menguasai ilmu-ilmu tradisional agama seperti ulama yang lainnya,beliau juga memiliki kesungguhan untuk memahami perkembangan kemajuan yang sedang pesat berlaku dan beliau berusaha untuk memanafaatkan kemajuan itu untuk meninggikan agama Islam dan memartabatkan bangsanya. 

 

Beliau juga telah mengadap  Sultan Abdul Abdul Hamid II untuk membenarkan percetakan kitab-kitab Melayu di Makkah. Beliau juga telah membawa beberapa orang muridnya mengunjungi Syam untuk bertemu Syaikh Muhammad Yusuf an-Nabhani, kemudian mengunjungi Masir dan bertemu dengan Syaikh Muhammad Abduh.  Beliau juga menghantar muridnya ke beberapa daerah untuk tujuan dakwah, terutamanya beberapa muridnya telah pergi ke Kemboja  Beliau mengambil berat tentang nasib yang menimpa anak bangsanya  [istilah Syaikh Ahmad ialah anak jenisnya].

 

Zaman Syaikh Ahmad bergiat berkebetulan dengan zaman kejatuhan  kerajaan Uthmaniyyah di Istanbul,  banyak daripada kawasan pemerentahan Uthmaniyyah telah jatuh ke tangan negara-negara barat. Syaikh sangat mengkagumi sejarah  kebesaran kerajaan Uthmaniyyah di zaman lampau dan mengharapkan pemerentahan Uthmaniyyah  akan berterusan demi kepentingan ummah. Di waktu yang sama  beliau sangat insaf tentang kelemahan dan kemunduran ummah serta kekuatan pihak lain hasil kemajuan yang sedang berlaku di Eropah dan Amerika ketika itu.

 

Jarak masa yang mana syaikh bergiat-cergas dengan kerja-kerjanya di dalam bidang-bidang yang belbagai itu tidaklah begitu panjang. Ketika umurnya baru lima-puluh dua tahun, syaikh telah kembali menemui Tuhan.  Di dalam surat yang dikirim oleh bapa saudaranya Syaikh Wan Daud bin Mustafa serta anaknya Syaikh Wan Ismail kepada Tengku Long Bin Tengku Ngah, Besut, dinyatakan:

 

Hadrat Tuanku yang mulia serta hamba Tuanku mengurniakan sembah dari hak hamba Tuanku, Wan Ahmad bin Almarhum al-Haj Wan Muhammad Zain itu sudah kembali ke rahmatullah pada malam sebelas haribulan Zu al-Hijjah [1325H]di Mina. Maka dibawa turun ke Makkah, maka ditanam di Ma’la, dengan sebab mati sebelah tubuh. Awal sakitnya pada dua puluh dua  Jamadu al-Akhir [1325H]. Maka dapat (sembuh) sedikit, kemudian bertambah pula. Pada lepas puasa enam maka hingga [dapat sembuh] sedikit pula, boleh naik haji. Maka tatkala lepas zuhur hari raya haji maka kena pula [serangan penyakit] hingga sampai lepas maghrib hingga habis umurnya….dan demikian lagi al-Haj Wan Muhammad Zain bin Almarhum al-Haj Mustafa [ayahanda Syaikh Ahmad] itu pun kembali ke rahmatullah juga pada lapan belas haribulan Zu al-Hijjah [1325H] dengan sebab sakit cara orang tuha sahaja. (5)

Memahami  perkiraan asas inilah yang menjadi kunci bagi kita memahami corak pemikiran Syaikh Ahmad dan dengan itu dapat kita jadikan pedoman dalam menyelusuri pengaruh pemikirannya ke atas masyarakat.

 

Memandangkan keterbatasan ilmu serta kekurangan maklumat yang ada pada pencatit ini, maka kebanyakan contoh kesan pemikiran Syaikh Ahmad ke atas masyarakat tertumpu kepada pengalaman-pengalaman di Kelantan, walaupun sudah barang tentu pengaruh pemikiran Syaikh Ahmad adalah lebih meluas daripada itu.

 

 

Sikap Mengambil Berat Tentang Bangsanya

 

Agaknya dengan latar belakang bangsanya, terutama penduduk  Patani yang di rudung malang akibat kalah perang melawan Siam dan kebanyakan negeri Melayu lainnya masih dijajah oleh kuasa-kuasa dari Eropah telah menyebabkan Syaikh Ahmad begitu mengambil berat tentang nasib bangsanya. Dia telah mengerah fikiran dan melakukan usaha yang terancang sebagai langkah untuk menebus maruah bangsanya.

 

Syaikh Ahmad telah memperkenalkan bangsa Melayu dengan menyebut:.

 

Iaitu himpunan kaum-kaum Melayuwiyah nisbah kepada Melayu dengan kasrah [baris di bawah bagi huruf] mim atau difathahkan[baris di atas]nya dan  dammah[barisan di depan bagi huruf] ya.  Mereka itu adalah suatu kelompok atau golongan yang besar daripada manusia. Negeri mereka adalah sesubur-subur negeri di dunia. Ianya terletak di antara negeri Hindi dan China  dan kebanyakan dari pulau Waq-Waq .Dan ahli ilmu geografi  menganggap sebahagian negeri-negeri mereka sebagai negeri-negeri Indo-China. Penduduk Hejaz menamakan mereka dan golongan-golongan selain mereka dari wilayah itu dengan sebutan ;jawa’ , dan mereka[orang jawa sebenarnya] itu golongan yang menduduki sebuah pulau besar di sana, dan mereka bukan orang Melayu.  Dan bahasa mereka [Melayu] adalah bahasa yang paling ringan  di kalangan  penduduk rantau itu. Maka kerana inilah ianya telah diguna-pakai kebanyakan ahli Hejaz di dalam muamalat  dengan golongan-golongan yang tersebut itu [walaupun mereka] mempunyai bahasa-bahasa yang berbeza. Mereka adalah qaum yang bersifat ikhlas, lemah-lembut, lunak, berperibadi baik. Maka setengah daripada keistimewaan mereka  sesungguhnya tiada terlihat di negeri mereka dan di negeri lainnya seorangpun daripada mereka menjadi pengemis walaupun mereka bersangatan faqir .Bagi mereka ketertiban di dalam urusan, kehalusan di dalam pertukangan, menerima pembaharuan di dalam perusahaan, menerima  pelbagai maklumat dan ilmu berserta dengan terserlah faham mereka di dalamnya.  Dan adalah bagi mereka dulunya kerajaan-kerajaan yang besar kemudian dijajah padanya tangan-tangan kerajaan-kerajaan kuffar. Semoga Allah memelihara negeri-negeri muslimin daripada mereka [kuffar itu]  (6 )

Syaikh Ahmad sangat menekankan beberapa nilai positif yang ada pada bangsa Melayu yang boleh dijadikan antara ‘bahan mentah’ bagi mambangunkan bangsa. Syaikh Ahmad menyebut:

 

Alhamdulillah ada maruah pada jenis Melayu terlebih banyak dari setengah-setengah jenis yang lainnya dengan dalil  memuliakan mereka itu akan orang dagang yang baik yang datang kepada negeri mereka itu istimewa Ahli al-Hijjaz Dan jika tiada dibalas mereka itu dengan syukur sekalipun dan tiada ada pada mereka itu banyak tipu daya dan tiada ada pada mereka itu menghilangkan air muka dengan meminta bersalahan setengah daripada jenis yang lain (7)

Syaikh Ahmad menyebut tentang sifat-sifat kebajikan yang perlu diamalkan di dalam perbincangan Tasauf dengan mengatakan:

 

Dan berlemah-lembut dengan mereka itu [muslimin] dan memperdamaikan segala yang berseteru dan tolong-menolong atas kebajikan  dan menyuruh dengan maaruf dan menegahkan daripada mungkar dan menyempurnakan segala amanah lagi memuliakan yang sekampong dengan dia dan mendirikan dengan segala ‘iyalnya dan amat berbuat kebajikan bagi ibu-bapa lagi menghubungkan rahim segala kerabat dan bersungguh pada muafakat dan sangat kasih sayang kepada sekelian yang tersebut dan segala muslimin istimewa bagi anak jenisnya dan anak negerinya.  (8)

Syaikh juga memerhati yang sesuatu bangsa yang besar itu  perlu mengambil berat darihal sejarahnya, serta dipelajari iktibar daripada peristiwa yang telah berlaku, kata syaikh:

 

(Dan adapun) ahli Tanah Melayu kita maka tiadalah memperduli mereka itu dengan syaan [urusan] tawarikh hingga jahillah mereka itu akan ehwal segala masa yang telah lalu atas negeri mereka itu daripada masa yang hampir bahkan tiada mengtahui mereka itu akan nama-nama segala nenek moyang mereka itu pada hal belum lalu beberapa lapis yang sedikit (tetapi) ada juga tersampai khabar kepada perhamba bahawasanya ada bagi setengah-setengah negeri mereka itu buku yang disebutkan di dalam setengah-setengah ehwal yang jatuh di dalam masa yang tertentu dikatakan baginya ‘Sejarah Patani’ dan seumpamanya* Dan perhamba dengarkan setengah daripada orang tua-tua mentarikh mereka itu pada ketika berkhabar-khabar pada ‘Tahun Musuh Kedah’ atau kemudian daripada tiga tahun daripada ‘Musuh Patani’ pada hal tiada disuratkan bagi demikian [tahun] musuh-musuh itu akan tarikh yang dapat kita ketahui dan kita perpegangkan dengan dia (Dan adalah) tiap-tiap bangsa yang lain istimewa Arab dan Parsi dan ahli Eropah yang dahulu-dahulu dan yang kemudian-kemudian sangat amat-amati mereka itu dengan pekerjaan tarikh hingga dapat mengetahui mereka yang terkemudian daripada mereka itu akan ehwal yang dahulu-dahulu dengan masa beberapa ribu tahun…

Betapa tinggi hemmah dan besar pisah [usaha] bangsa orang supaya dapat bagimu hidayatu al-i’tibar* maka menjalani engkau akan jalan manafaat dan hasil dawamu al-iftikhar [berkelalan kemulian]* dan membuka engkau bagi dirimu dan bagi segala anak jenismu akan mata istibsar [mendapat pengajaran] (9)

 

 

Penekanan Kepentingan Penguasaan Ilmu.

 

Syaikh Ahmad mempunyai cita-cita yang luhur, beliau mencatitkan:

 

Dan adalah tercita-cita di dalam hati hamba ini bahawasa Allah Ta’ala lagi akan memperdengarkan hamba dan memperlihatkan hamba di dalam masa hidup hamba ini bahawa adalah segala raja-raja di dalam Tanah Melayu yang mulia menaruh mereka itu akan cemburu pada segala hati mereka itu dan membesarkan hemmah mereka itu dan menghadapkan amat-amati mereka itu dan menyungguh-nyungguhkan usaha mereka itu pada bahawa dijadikan segala negeri mereka itu bendaharaan ilmu dan perladungan kepandaian dan membuka segala mata anak jenis mereka itu kepada memandang cemerlang kebijakan dan handalan supaya adalah kelihatan megah bangsa Melayu antara segala alam. Dan terkebilangan nama mereka itu antara segala Bani Adam. Dan bertambah-tambah kelebihan ulama mereka itu atas segala ulama. Dan bertambah nyata agama mereka itu atas segala agama. Serta dapat pula bagi segala hadrat raja-raja itu jikalau diperbuatkan demikian itu keredaan daripada Allah Ta‘ala dan Rasul-Nya yang mulia dan jadilah mereka tauladan dan ikutan bagi segala mereka yang kemudian daripada mereka itu maka masuk mereka itu di dalam mereka yang diimtinan Allah Ta‘ala  dengan mereka itu pada firman-Nya (ertinya) “dan Kami jadikan mereka itu segala yang menunjuk mereka itu dengan pekerjaan Kami”. Dan dapat pula bagi mereka itu pahala yang amat besar ganda berganda kerana pahala tiap-tiap mereka yang dapat manafaat dengan segala perbuatan itu dan pahala tiap-tiap mereka yang mempunyai kekuasaan yang menirukan perbuatan itu terbahagi ia dengan mereka itu selamanya kerana sabda Rasulullah SAW (ertinya) “barang siapa mereka-reka ia pada agama Islam akan suatu rekaan yang eluk maka baginya pahalanya dan pahala mereka yang mengerjakan dengan dia kemudian daripadanya daripada ketiadaan kurang daripada segala pahala mereka itu sesuatu” rawahu Muslim. Dan dapat pula bagi mereka itu sebutan yang baik dan kepujian yang eluk atas lidah segala makhluk. (10)

Sebelum itu Syaikh Ahmad melahirkan rasa dukacitanya kerana bangsanya tidak mengambil berat tentang pendidikan. Bagi beliau, golongan berpengaruh dalam masyarakat Melayu daripada golongan raja, para pembesar dan hartawan seakan-akan tidak sedar tentang akibat yang menimpa apabila urusan ilmu dan kemahiran diperingan-ringankan, penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapai oleh bangsa hendaklah dimulai dengan langkah penguasaan ke atas ilmu dan kemahiran yang mencakupi semua bidang dan tidak terhad pada ilmu keagamaan sahaja, Syaikh mencatitkan:

 

Dan adalah pada hati hamba risau dan benci dengan sebab ihmal dan mensia-siakan bangsa kita ahli Tanah Melayu dan ahli segala tanah yang di bawah angin dan segala raja-raja mereka itu  yang muslimin yang dahulu-dahulu dan yang sekarang ini dan segala mereka yang kaya-kaya dan kemudahan daripada mereka itu tiada memperduli mereka itu akan umpama segala perkara yang tersebut itu hingga jadi kemudian daripada kemuliaan kita sekurang-kurang bangsa dengan dinisbahkan kepada segala bangsa yang lain pada segala ehwal kehidupan dan hilang segala tempat kediaman kita dan kemegahan kita maka sekelian itu dengan sebab taqsir  kita pada umpama perkara itu dan sangka kita bahawa sekelian itu bukan daripada pekerjaan yang bergantung dengan agama kita maka sebab itulah kita biarkan dia pada hal jikalau kita tilik halus-halus niscaya adalah berbimbang dengan demikian itulah  dapat kuat atas segala seteru dan kekerasan yang dengan dialah hasil pelihara akan kemegahan agama kita dan yang menjadikan eluk pada segala mata mereka itu dan termasyhur segala pendengaran mereka itu dan hebat pada segala hati mereka itu dan betapa tiada demikian itu setengah daripada barang yang bergantung dengan agama dan pada hal tiada sempurna ia melainkan demikian itu dan betapa pula masuk demikian itu di bawah kekuatan yang disuruh Allah Ta‘ala  mensediakan ia dan bersiapkan dengan ia pada firman-Nya Ta‘ala (ertinya) “dan bersiap oleh kamu bagi mereka itu akan barang kuasa kamu daripada kekuatan dan daripada mengawali beberapa kuda pada negeri dan tepi-tepinya hal keadaan menakut kamu dengan dia akan seteru Allah dan seteru kamu”.(11)

Syaikh memperbetulkan fahaman keliru yang terdapat di kalangan ahli masyarakat yang beranggapan bahawa jenis ilmu dan pekerjaan yang bukan dari ibadat secara khusus tidak dituntut oleh agama. Kefahaman ini perlu diikatkan kepada kefahaman yang benar tentang maratib pengamatan kerohanian Islam yang menyeluruh. Syaikh memberi nasihat:

 

Maka hendaklah bersungguh-sungguh oleh tiap-tiap yang berakal pada pekerjaan yang mulia yang manafaat bagi dirinya dan ahlinya dan bagi muslimin serta amat-amati  ia pada pekerjaan ini dengan meninggalkan barang yang menyakiti dan menghilangkan maruah seperti [dia]bersungguh-sungguh ia pada pekerjaan akhiratnya bahkan pekerjaan dunia yang tersebut itu setengah daripada pekerjaan akhirat dan telah datang pada hadith (ertinya) “bekerja olehmu bagi dunia kamu seolah-olah engkau hidup selama-lama dan bekerja olehmu bagi dunia engkau lagi akan mati engkau esuk hari” Wallahu Ta‘ala ‘alam. Dan mensedikit ia akan segala yang lain daripada Allah Ta‘ala maka mengintai-intai ia akan Tuhannya pada sekelian kelakuannya ertinya takut ia seolah-olah melihat ia akan Dia Subhanahu wa Ta‘ala maka jika tiada melihat ia akan Dia, maka Allah Ta‘ala melihat akan dia dan takut akan Allah Ta‘ala itu dengan mengerjakan tiap-tiap yang disuruh daripada segala yang difardukan dan tertahan daripada tiap-tiap yang ditegah daripada segala yang diharamkan serta taubat daripada dosa semada dosa besar atau dosa kecil (kemudian) mengerjakan dia akan segala yang sunnat dan meninggal akan segala yang makruh (dan hendaklah) amat-amati ia dengan meninggal akan segala yang ditegah atas terlebih bersangatan daripada amat-amatinya dengan mengerjakan yang disuruh.  (12)

Syaikh menyebut tentang ciri sesuatu bangsa yang berjaya itu ialah usaha mereka yang gigih dalam menguasai ilmu dan kemahiran, hasilan daripada penguasaan ilmu dan kemahiran itulah membawa mereka kepada kejayaan mereka. Syaikh menulis:

 

Maka demikianlah amat-amati ahli negeri orang dengan syaan  ilmu pada negeri mereka itu hingga masyhur bangsa mereka itu antara sekelian bangsa dengan kepandaian dan bijaksana dan kepetahan dan banyak ilmu maka dengan demikian itulah dapat mereka itu mereka-reka memperbuatkan beberapa alat yang manafaat pada segala manusia yang boleh musafir dengan dia kepada sejauh-jauh negeri dalam masa yang singkat dan datang kepada mereka itu sekelian khabar-khabar daripada sejauh-jauh jajahan dalam beberapa lahzah dan mengindah-indah mereka itu akan sekelian pekerjaan serta dengan lekas dan banyak dan bertambah-tambah demikian itu dengan berpanjangan masa dan dengan sebab baik perbicaraan dan muafakat antara mereka itu serta besar hemmah dan halus tipu dan jauh helah dan tajam tilik mereka itu yang jadi sekeliannya itu daripada banyak pelajaran mereka itu maka dapatlah mereka itu memelihara  akan segala negeri dan jajahan mereka itu hingga tiada tamak padanya oleh segala seteru dan jadi mudah bagi mereka itu mengambil negeri orang dan meliputi mereka itu dengan ehwal dunia laut dan darat”. (13)

Syaikh Ahmad mengharapkan agar usaha-usaha dapat dijalankan bagi menyediakan kemudahan bagi semua untuk mendapat pelajaran, agaknya apa yang disebut sekarang dengan istilah ‘pendemokrasian pendidikan’. Syaikh mencatit bahawa di antara sikap yang baik dan perlu dipupuk:

 

Sangat amat-amati pada meninggikan agamanya dan mengambil dengan segala sebab bagi demikian itu setengah daripadanya mengajarkan ilmu yang memberi manafaat dan memudahkan menuntutinya hingga rata antara segala mereka itu dan ketahuilah olehmu bahawasa ilmu itu umbi dan amal itu faedahnya dan sedikit amal serta ilmu itu terlebih baik daripada banyaknya serta jahil maka dari kerana inilah belajar ilmu dan mengajarnya afdal daripada sembahyang sunnat. (14)

Syaikh menyebut usaha-usaha yang telah dijalankan oleh bangsa-bangsa lain untuk memajukan bidang pendidikan . Dan ini perlu dicontohi oleh bangsa kita:

 

Bahawasanya ahli negeri yang besar-besar yang lain daripada ahli pihak kita sangat mengamat-amati mereka itu dengan syaan ilmu dan bersungguh-sungguh mereka itu mengajarkan dia akan anak-anak mereka itu hingga yang perempuan mereka itu sekalipun  dan berusaha mereka itu sehabis-habis usaha pada memudahkan menuntuti ilmu bagi segala orang yang gemar padanya dengan sekelian jalan dan tipu hingga bersungguh-sungguh mereka itu pada mengecapkan segala kitab yang boleh keluar beberapa banyak ribu naskhah dalam masa  yang sedikit sekira-kira jikalau ditulis dengan tangan di dalam masa itu niscaya belum lagi sudah satu naskhah jua dan membina mereka itu akan beberapa banyak madrasah iaitu rumah tempat mengajar dan mengaji segala ilmu dan bagai-bagai hikmah dan kepada ini bergantung dengan dunia dan akhirat mereka itu (15)

Syaikh menyebut perihal kemahiran yang terhasil daripada pendidikan yang terdapat di dalam masyarakat yang maju. Kemahiran itu mencakupi kemahiran membaca, menulis, mengarang,mengira, kemahiran komunikasi, muzik dan lainnya  pada peringkat yang awal lagi, katanya:

  

Maka bermegah-megah mereka itu[para penuntut] setengah di atas setengah dengan eluk khat dan pandai menulis dan cepat berhitung dan eluk aturan surat kiriman  pandai bertutur dengan beberapa bahasa yang lain daripada bahasa negerinya dan banyak hafaz dan bijaksana pada segala ilmu dan kepandaian [kemahiran] dan dapat tiap-tiap seseorang daripada mereka itu daripada ilmu dan kepandaian pada hal belum baligh umurnya (16)

Syaikh kemudiannya memperinci apa yang diperhatinya berlaku di Masir dan Istanbul:

 

bullet

adalah raja-raja mereka itu membinakan bagi mereka itu beberapa madrasah yang besar-besar dan dihiasikan dengan hiasan yang sangat indah-indah

bullet

orang yang kaya-kaya membina mereka itu tiap-tiap kampong mereka itu satu-satu madrasah atau lebih dan dihiaskan dia dengan segala hiasan yang elok dan diwaqafkan baginya beberapa bumi dan rumah atau lainnya diambilkan sewanya dan manafaatnya dibelanjakan dia pada maslahah madrasah itu

bullet

digajikan dengan dia akan segala guru-guru yang mengajar dengan kadar yang mencukup akan mereka itu

bullet

disukakan dengan dia akan segala mereka itu yang menuntuti ilmu kecil dan besarnya dalam tiap-tiap jumaat itu satu hari dicuba padanya akan tiap-tiap talamiz daripada mereka itu pada barang yang ia hafazkan dia dan barang yang difahamnya dan barang yang didapatnya daripada segala masalah dan kepandaian dan kebijaksanaan. (17)

Syaikh Ahmad sendiri selain daripada menjadi tenaga pengajar yang penting di zamannnya, beliau juga berusaha dengan gigih untuk menjayakan percetakan kitab-kitab Melayu yang dijadikan teks pengajian dan rujukan di dalam pendidikan agama di tanah air kita . Syaikh menyebut:

 

(Dan adalah hamba) al-faqir ila ‘afwilah Ta‘ala sahibu haza al-majmu telah mendirikan dengan fardu kifayah mentashihkan kitab Melayu pada Matba‘ah al-Miriyyah dan lainnya dan qasad hamba dengan demikian itu menolongkan muslimin mengambil manafaat dengan segala kitab itu hingga hari qiyamat maka hambalah awal mereka yang mentashihkan kitab Melayu di matba‘ah Masir dan Makkah. Wallahamdu lillahi Rabbi al- alamin. (18 )

Syaikh juga telah menulis beberapa kitab ilmu nahu dan ilmu saraf  bahasa Arab serta terlibat pentashihan kitab seumpamanya didalam bahasa Arab. Kitab-kitab itu membentuk kurikulum dari peringkat yang sangat asas seperti kitab Matan Dammu wa Madkhal kemudian Tashilu Naili al-Amani fi as-Syarhi  al-Awamil  al-Jurjani dan seterusnya.  Syaikh telah berusaha mempermudahkan kaedah penyampaiannya, sehingga seakan-akan ada kaedah beliau sendiri. (19)

 

Syaikh memperingati kita agar di dalam kita membentuk sesuatu faham daripada ilmu, kita perlu kepada huraian yang buat oleh pihak yang mempunyai wibawa [authority] di dalam bidang itu, misalnya di dalam bidang usuluddin syaikh berkata:

 

Seperti barang yang telah dinaskan atasnya di dalam segala kitab Arab kecilnya dan besarnya dan demikian dinaskan di dalam kitab Melayu kecilnya dan besarnya yang dikarang dia oleh ulama Melayu yang dipercayaikan dengan ilmu mereka itu seperti segala kitab Syaikh Daud Bin Abdullah Fatani. (20)

Anjuran agar kita berpegang dengan huraian dari pihak yang berwibawa itu hendaklah dibuat dengan kita faham perbincangannya dan bukan secara membuta-tuli, serta kita mengelakkan diri daripada kekeliruan yang timbul daripada faham yang salah serta kesamaran huraiannya, syaikh memperingati kita:

 

Orang yang awal meringkahkan perkataan itu [iaitu istilah yang mengelirukan] dan orang yang teringin hawa-nafsunya pada mengarangkan kitab padahal ia tiada daripada ulama yang dipercayakan dengan ilmunya kerana tiada mahirnya pada ilmu dan suka hatinya bahawa dibilangkan dia daripada daripada ulama yang mengarang kitab, maka menaqal ia akan sebarang-barang perkataan maka menaruh ia akan dia di dalam kitabnya  dan kebanyakan orang yang mengajarkan kitab Melayu yang tiada ada faham bagi mereka itu lalu atas segala lidah mereka yang tersebut itu dan atas segala hati mereka itu oleh umpama segala [Sifat] harus [bagi Allah] yang tersebut itu hal keadaannya samar-samar seperti bayang-bayang atau mimpi dengan ketiadaan tahqiq yang jadi daripada fikir dan taammul. (21)

 

Gagasan pemikiran Syaikh Ahmad di dalam bidang pendidikan telah membentuk suatu gerak kerja yang memberangsangkan di tanah air. Ramai murid-muridnya yang kembali ke tanah air telah membuka pondok pengajian dan ada pula yang telah bermukim di luar negeri sendiri untuk menjayakan kerja-kerja dakwah. Pengajian pondok di sekitar Kota Bharu, sebagai contoh, menjadi begitu meriah, sehingga guru-guru pondok selain daripada mengajar di pondok masing-masing juga terlibat di dalam mengajar halaqah pengajian lanjutan di Masjid Muhammadi.

 

Syaikh Muhammad Daud al-Fatani telah dihantar oleh Syaikh Ahmad dari Makkah ke Kelantan untuk mengetuai kerja-kerja percetakan, percetakan ini dinamakan Matba‘ah al-Miriyyah al-Kelantaniyyah. Syarikat-syarikat percetakan yang lainnya juga cambah dengan banyak kemudiannya. Aktiviti penerbitan dan percetakan buku-buku begitu pesat dijalankan di Kelantan sebelum merdeka dan  ianya hanya menjadi sangat pudar menjelang 1970’an. Bersama kegiatan penerbitan ini, lahirlah penulis-penulis yang berkaliber :

 

Antara mereka, selain daripada Haji Muhammad yang sejak 1923 bergelar Datuk Laksamana ialah Abdul Kadir Adabi, Hassan Haji Umar (manager Matba‘ah majlis dan penyunting Pengasuh), Megat Uthman (guru bahasa Inggeris, redaksi al-Kitab dan penerjemah beberapa artikel Encyclopedia Britannica untuk Pengasuh), Ishak Lutfi Haji Umar (redaksi Riwayah), As‘ad Syukri Bin Haji Muda (redaksi Kencana dan penulis kamus Setiawan Belia), Mohd Adnan Ariffin (penyunting Pengasuh dan penulis kitab Tikaman Bahasa), Haji Ahmad Ismail (pengarang al-Hikmah), Tengku Mahmud Mohyeddin (YDP Dewan Bahasa Melayu Kelantan) dan lain-lain. Bilangan ini akan menjadi lebih ramai apabila dimasukkan sama nama-nama ulama yang cukup ramai di Kelantan pada era 1920an dan 1930an itu. Hampir semua daripada nama-nama ini terlibat dalam pelbagai kegiatan ilmiah dan intelektual seperti penulisan dan terjemahan buku atau majalah, menganjurkan majlis-majlis diskusi atau muzakarah, syarahan, juga aktif dalam badan-badan belia, bahasa dan budaya yang banyak ditubuhkan dalam tempuh berkenaan. (22)

 

Dua orang bekas pelajar Syaikh Ahmad, iaitu Tuan Guru Haji Umar Sungai Keladi dan Syaikh Muhammad Daud al-Fatani [disebut juga al-Makki] telah dilantik menjadi anggota Jabatan Menterjemah  di Majlis Agama Islam pada tahun 1916 dengan gaji bulanan 40 Ringgit.  Penyata Majlis agama  pada tahun 1917 menyebut:

 

Maka inilah sebesar-besar gaji yang dikeluarkan oleh Majlis hingga sekarang di antara orang-orang bekerja di dalam jabatan Majlis (23)

Selain daripada menterjemahkan dan menulis kitab-kitab agama, terdapat beberapa buku lain juga diusahakan seperti Political Economy pada tahun 1919 oleh Megat Uthman, Tarikh  Kerajaan Besar Rom Yang kedua  pada tahun 1943, Asas Didikan, Geografi Tanah Melayu, Perusahaan Kapas, Pyhsical Geography, Pandangan Baru Amerika Dalam Pelajaran  pada tahun 1944. Majalah Pengasuh keluaran 5 Julai 1934 telah menyebut:

 

Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa Ta‘ala membanyakkan anak-anak kita yang suka menterjemahkan buku-buku ilmiyyah istimewa di dalam bahagian tarikh, perangai, ijtima’, falsafah, siyasah dan lainnya yang boleh dikatakan sangat miskin ummat kita, hanyalah berkehendak kepada gaya yang mengemar dan memperangsangkan anak-anak kita membacanya, kerana sememangnya anak Melayu kita belum berjelira lagi atas yang demikian apatah lagi mereka yang telah berjauhan daripada sekolah-sekolah dan tidak semaikan perasaan membaca buku-buku kalaupun untuk menjadi kuli, peladang sahaja. (24)

 

Murid-murid Syaikh Ahmad  telah menjadi golongan berpengaruh di Kota Bharu, semada sebagai pentadbir seperti Datuk Perdana Menteri dan Datuk Laksamana serta ulama yang menganggotai Majlis Agama Islam. Mereka telah menubuhkan sekolah yang dinamai Madrasah Muhammadiyyah, yang mempunyai tiga aliran, Melayu, Arab dan Inggeris. Aliran inggerisnya dipimpin oleh Megat Uthman Megat Ali, seorang asal Singapura. Pengajian aliran Inggerisnya bermula pada 8 pagi dan berakhir 11 pagi. Ianya dibuka pada tahun 1918. Iaitu 18 tahun mendahului sekolah Inggeris kerajaan, yakni Ismail English School yang dibuka pada tahun 1936.

 

Kota Bharu dan jajahan sekitarnya telah menjadi begitu subur sebagai bendaharan ilmu dan perladungan kepandaian pada waktu itu. Penerusan pendidikan cara pondok dan pembukaan pendidikan cara baru telah menjadikan Kelantan tumpuan penuntut-penuntut ilmu. Golongan berilmu diberi penghormatan yang tinggi termasuk ulama yang berasal dari luar lingkungan kita seperti Mualana Tok Khurasan, seorang asal India lepasan Dar al-Ulum, Deoband. Sementara tokoh tempatan seperti Tok Kenali di kerumuni oleh pelajar dekat dan jauh yang dahagakan ilmu sperti yang dicatit tentang beliau:

 

Tidaklah sunyi daripada pengetahuan umum bahkan boleh dikatakan sejagat alam Melayu tiadalah khali [kosong] daripada penuntut-penutut yang berguru kepadanya apatah lagi pihak yang telah lama menghisap jerijik pengajarannya yang sangat menghilangkan dahaga dan mencapai lazat kemanisan syarahnya (25 )

 

 

Kefahaman dan Amalan Di Dalam Siyasah

 

Syaikh Ahmad telah menyebut ilmu siyasah dengan katanya:

 

Pada bicara ilmu siyasah iaitu ilmu membaikkan rakyat dengan menunjukkan kepada jalan yang melepaskan mereka itu daripada tiap-tiap kekeruhan pada dunia dan pada akhirat. Dan iaitu daripada anbiya atas khawas dan awam pada zahir dan batin mereka itu dan daripada segala raja-raja dan salatin atas mereka itu pada zahir mereka itu jua. Dan daripada ulama atas khawas mereka itu pada batin mereka itu. Maka hanyalah ilmu ini wujub kifayah dan ghayahnya menceraikan segala perbantahan atas jalan sebenar dan merentahkan mereka itu atas jalan adil dan menghelakan mereka itu kepada segala yang manafaatkan mereka itu pada dunia mereka itu dan akhirat mereka itu dan memelihara kerajaan daripada segala barang yang menjatuhkan dia ke dalam kecederaan. (26)

Syaikh kemudiannya menyenaraikan 40 perkara yang disuruh oleh Aristotle bagi Iskandar al-Yunani;

 

Bermula setengah perkara yang lazim atas raja itu

 

  1. bahawa ia dengan nama yang eluk yang masyhur

  2. dan merai ia akan sekelian hudud agama dan membesar ia akan ahlinya daripada segala qadi dan ulama

  3. dan ada ia besar hemmahnya dengan ketiadaan jabarut yakni kekerasan dengan tiada sebenar

  4. lagi luas fikirnya

  5. dan baik periksanya

  6. menilik kepada kesudahan pekerjaan

  7. dan lemah-lembut

  8. lagi mengasihani

  9. apabila marah ia tiada melulus marahnya dengan ketiadaan tilik

  10. dan apabila bergerak syahwatnya kepada kekejian niscaya mengkembali ia akan dia dengan aqalnya

  11. manis tuturannya

  12. fasih lidahnya

  13. kasar suaranya ketika menakuti

  14. dan bahawa sedikit ia mubasyarahkan manusia dan segala majlis  mereka itu

  15. dan menghilang ia daripada rakyatnya akan barang yang mudaratkan mereka itu dari menzalim maka bahawa sanya demikian itu sebab bagi meramaikan negerinya dan bagi bertambah kehasilannya

  16. dan hendaklah ada ia baik sebutannya

  17. rata kebajikannya tiada seperti harimau pada menerkam ia kepada barang yang berjumpa dan tiada baginya kasihani dan mengikut syahwatnya daripada makan dan tidur dan jima’

  18. dan mengambil kesenangan ia serta ahlinya kerana membersihkan segala pancainderanya dan rajin tabiatnya tiga hari atau empat hari pada masa yang tiada ada ketakutan padanya atas sesuatu daripada ehwal mamlakahnya dengan syarat tiada mengetahui dengan demikian itu oleh khawasnya

  19. dan bahawa tiada menghampa ia akan segala khawasnya dan kepala-kepala kerajaan daripada bermakan-makan ia serta mereka itu dalam setahun dua kali atau tiga

  20. dan menempati ia akan tiap-tiap daripada mereka itu tempat mereka itu

  21. dan mengkurnia ia akan mereka itu dengan barang yang gemar mereka itu padanya dan memuji ia akan mereka itu di hadapan mereka itu

  22. dan bahawa adalah ia banyah haibat

  23. sedikit tertawa

  24. melazimkan ahli majlisnya akan takut dan haibat

  25. dan bahawa memeriksa ia akan kelakuan segala yang daif

  26. dan meluas ia bagi mereka itu dengan harta bait al-mal

  27. dan membanyak ia dengan menaruh biji-bijian makanan pada ketika murah supaya dikeluarnya pada ketika mahal

  28. dan mengaman ia akan ahli wara’ dan ahli sejahtera daripada kejahatan daripada takut dan siksa

  29. dan menakuti ia akan ahli rabbah atas meluluskan deranya hingga terperasaan pada hati mereka itu dalam khalwah mereka itu bahawa ada baginya mata-mata atas mereka itu

  30. dan bahawa tertegah ia daripada menumpahkan darah

  31. dan tiada memanjangkan ia akan mempenjarakan bahkan mendera ia dengan yang lain daripada demikian itu dariapada segala hukum yang datang pada agama

  32. dan muamalah ia akan segala yang daif daripada seterunya atas bahawa sanya ia daripada sekuat-kuat seteru

  33. dan jangan memudah-mudah ia dengan dia maka berapa banyak daripada  yang hina yang kecil jadi ia dengan eluk tadbirnya besar dan kuat

  34. dan bahawa tertakut-takut ia daripada bahawa diperdayakan dia dan menipu daya ia akan orang

  35. dan bahawa tiada keluh-kesah ia atas barang yang telah luput

  36. dan bahawa menyuruh ia akan ahli negeri dengan mengaji sekelian ilmu

  37. dan berbuat bakti ia kepada mereka yang masyhur ia dengan faham  dan ilmu

  38. dan mengangkat ia akan martabatnya

  39. dan melazim ia akan adil

  40. dan diratakan akan dia pada rakyatnya bahawa dengan dialah diramaikan negeri dan dengan dia mengikutkan dia oleh rakyat

  41. kemudian jangan menzahir ia sekali-kali bagi seseorang daripada segala wazirnya akan berhajatnya kepada barang yang ada padanya

  42. dan apabila menghimpunkan ia akan mereka itu atas satu-satu penilikan yang mentadbir mereka itu pada hadapannya maka jangan memasuk ia akan penilikan dirinya serta mereka itu dan apbila ittifaq mereka itu mehurailah ia akan penilikan mereka itu dan memperlihat ia akan mereka itu akan khilaf supaya berfikir mereka itu dan ijtihad mereka itu maka apabila sahlah baginya penilikan niscaya menerima ia akan dia

  43. dan membanyakkan ia akan khawasnya ertinya orang ketentuannya daripada ahli istiqamah dan ahli ilmu dan pengetahuan yang terjauh mereka itu daripada segala kekejian istimewa jika ada mereka itu mempunyai asal dan kemuliaan nafsu dan fasih lidah dan tahu dengan segala khabar orang yang dahulu-dahulu

  44. dan bahawa tiada memperbuat ia akan sesuatu melainkan kemudian daripada mesyuarat, maka sentiasalah hukama berkata mereka itu bermula mesyuarat itu ‘ain hidayah (27 )

 

Syaikh Ahmad mengambil berat tentang urusan siyasah ummah dalam maksud yang luas sebagai yang beliau huraikan terutama yang menyentuh tentang anak bangsanya sendiri. Syaikh Ahmad tiada terhenti sebagai seorang ulama yang dikerumuni oleh penuntut-penuntut, bahkan beliau membina hubungan dengan raja-raja Melayu dan mengambil tahu tentang berkembangan yang berlaku di tanah airnya.

 

Agak menarik untuk diperhatikan yang Syaikh Ahmad tidak menulis bab yang khusus tentang jihad di dalam kitab feqah tulisannya seperti ‘Unwanu al-Falah dan Bahjatu al-Mubtadin , sedangkan kedua-dua kitab ini telah menyentuh bab-bab muamalat, munakahat, jinayah dan tasauf. Sebaliknya Syaikh Ahmad menyentuh persoalan keutamaan jihad secara penceritaan sejarah tentang kelebihan-kelebihan raja-raja Uthmaniyyah yang memang gigih melancarkan jihad. Tersirat daripada tulisannya, yang Syaikh Ahmad sangat menekankan kepada penguasaan ilmu dan kepandaian yang meliputi segala bidang dan strategi politik yang berkesan sebagai wasilah perjuangan. Sebagai mana yang beliau catitkan:

 

Kata setengah ulama bermula kepala buda[kebodohan] itu hiddah yakni bersangatan berani* dan diam daripada perkataan orang yang buda itu jawabnya *  bermula helah [strategi] itu terlebih bersangatan  daripada kuat* dan orang yang ‘aqil itu mereka yang beramal dengan barang yang ia ketahui dan bertanya ia daripada barang yang ia jahil* dan bermula berlambatan pada amal itu meghilangkan luang[peluang]. (28)

 

Maka beberapa banyak daripada yang hina yang kecil, jadi ia dengan eluk tadbir besar dan kuat. (29)

 

Dan pekerjaan kecil [boleh] jadi besar.Adakah engkau tiada ketahui bahawasa bunga api yang amat halus itu apabila merecik ia kepada sesuatu dan tiada padam ia niscaya melarat jadi terbakar rumah dengan sebabnya. (30)

           

Ketika menceritakan kelebihan pengetahuan ilmu, Syaikh Ahmad  menyebut tentang kerajaan-kerajaan yang mengambil berat tentang ilmu dan kesan politik yang baik yang mereka perolehi :

 

Dan muafakat antara mereka itu serta besar hemmah  dan halus tipu daya[strategi] dan jauh helah dan tajam tilik mereka itu yang jadi sekelian itu kerana banyak pelajaran mereka itu maka dapatlah mereka itu memeliharakan segala negeri dan jajahan mereka itu hingga tiada tamak padanya  oleh segala seteru dan jadi mudah bagi mereka itu mengambil negeri orang (31)

Ketika Syaikh Ahmad menceritakan riwayat hidup bagi setiap sultan-sultan Daulah Uthmaniyyah, beliau telah menyelit  pengajaran-pengajaran politik yang sangat berguna untuk dijadikan tauladan. Syaikh menyatakan sifat Sultan Uthman pengasas Daulah Uthmaniyyah sebagai:

 

(Dan adalah) Sultan Uthman Rahimahu Llah Ta‘ala raja yang adil lagi zahid pada dunia dan gemar ia pada akhirat lagi amat berani hatinya mengekali pada berperang sabilillah merai ia akan segala panglima dan memperbuat ia akan kebajikan kepada segala anak yatim dan segala perempuan yang bujang dan setengah daripada zahidnya bahawa tiada tinggal ia kemudian daripada matinya akan sesuatu daripada harta hanya tinggal beberapa kuda dan kambing (32)

Syaikh telah mempamir kisah pembukaan kota Istanbul oleh Sultan Muhammad  al-Fateh pada tahun 857H dengan agak terperinci. Tentera Islam telah berusaha untuk membuka Kota Istanbul mulai tahun 52H. Mengikut syaikh, kejayaan Sultan Muhammad itu adalah disebabkan oleh:~ adanya sultan yang wara; ditemani oleh syaikhnya Agha Syamsuddin yang berkat; persiapan yang mencukupi; strategi perang yang terancang dan kemas; semangat juang tentera yang tinggi selain daripada menjalankan tanggung-jawab agama, mereka dijanjikan harta rampasan yang lumayan.

 

Syaikh juga menyebut perlucutan 3 orang sultan dengan sebab yang sangat berbeza.

 

Sultan Ibrahim I Bin Sultan Ahmad yang diturunkan dari tahkta oleh para wazir kerana “melampau ia pada syahwat dan lazat dan terlangsung membuang harta”. Sultan Mustafa saudaranya Sultan Ahmad pula diturunkan takhta selepas menaiki takhta  selama tiga bulan kerana “bahawasanya adalah ia sangat soleh lagi zahid dan banyak membuangan harta serta tiada gemar ia kepada dunia sekali-kali maka tiada nyata padanya memadai  bagi sultanah hingga adalah pakaiannya baju sakhalat yang hijau  dan tangan bajunya luas dan tiada makan ia akan makanan yang berminyak sekali-kali hanya makanannya roti kering dan buah zabib dan umpamanya jua dan tiada diketahui ia akan ehwal kerajaan melainkan barang yang dicampakkan di hadapannya”. Sementara Sultan Muhammad ke IV pula dilucutkan kerana “huru-hara dan menderhaka Raja Nasrani dan muafakat mereka itu setengah dengan setengah dan hasil beberapa banyak peperangan dan Sultan lalai ia dengan berburu-buru dan bermain-main maka marah segala wazir-wazirnya”

 

Syaikh juga menceritakan bagaimana Sultan Abdul Hamid I telah terpedaya dengan perjanjian yang dibuat dengan kuasa-kuasa barat sebelum dia melancarkan serangan ke atas kerajaan Moscow serta sekutunya. Perkara ini telah menyebabkan kerajaan Uthmaniyyah telah kalah teruk dan kehilangan banyak daripada kawasan taaluknya.

 

Syaikh menyebut tentang pemberontakan dalaman sesama ummah terhadap kerajaan Uthmaniyyah yang telah melemahkan lagi kerajaan. Antaranya ialah dan pemberontakan asykar ‘anqasyariyyah dan peperangan Wahabiyyah. Perlu diperhatikan sikap melampau yang ada pada golongan Wahabi di peringkat awal pertumbuhannya [persamaan dengan sebahagian sikap golongan pelampau yang bergerak pada masa kini] kata Syaikh:

 

(dan) setengah daripadanya fitnah Wahabiyyah yang melampaui mereka itu hingga merentah mereka akan dua tanah haram yang mulia dan mereka itu satu kaum mempunyai mazhab yang jahat dan jalan yang sesat dan ‘itiqad yang mudarat dan adalah yang menghantarkan mazhab mereka itu yang keji dan yang menerangkan dia Muhammad anak Abdul Wahab dan asalnya daripada masyriq daripada Bani Tamim. Dan adalah permulaan pekerjaan bahawasanya ia sesetengah daripada mereka yang menuntuti ilmu pada negeri Madinah al-Munawwaarh ‘ala sahibiha afdalu as-solati wa as-salami dan adalah bapanya laki-laki yang soleh demikian lagi saudaranya dan adalah bapanya dan saudaranya dan sekelian guru-gurunya memfirasat mereka itu padanya bahawa sanya lagi akan menjadi daripadanya sesat dan menyesat dan zaigh [seleweng] dan ilhad daripada kerana barang ynag diketahui oleh mereka itu daripada perkataannya dan perbuatannya  dan batah-batahannya pada kebanyakan daripada beberapa banyak masaalah maka adalah mereka itu menakutkan akan manusia daripada hampir kepadanya maka tahqiq oleh Allah Ta‘ala  akan firasat mereka itu maka meringkah ia akan dirinya akan mazhab yang sesat dan menyalahi ia akan segala Imam agama dan menyesat ia akan  segala yang jahilin dan mengkafir ia akan segala merela yang tiada mengikut mazhabnya daripada mukmin dan menghukum ia dengan syirik mereka itu yang ziarah Qubur Nabi SAW dan auliya’ dan solihin dan bertawassul  dengan mereka itu dan mengharam ia akan berselawat atas Nabi SAW dan beberapa i’tiqad yang lain daripada demikian itu dan bahawasa segala manusia  telah kafir mereka itu daripada masa hijrah Nabi SAW 600 tahun kepada masanya itu. Dan ialah [Syaikh Muhammad Abdul Wahab] yang membaharukan bagi mereka itu akan Islam mereka itu dan mentaklif ia bagi mereka itu beberapa risalah dan mendatangkan ia dengan beberapa ibarat dan beberapa dalil atas fahamnya yang sesat dan aqalnya yang tebal dan mengkesamaran ia dengan demikian itu atas kebanyakan orang awam maka mengikut setengah mereka itu akan dia kemudian maka masuk ia kepada setengah raja-raja negeri masyriq dan diam dia di sisi mereka itu menghingga-hingga [bersungguh-sungguh] ia  akan mereka itu  hingga tertipu daya mereka itu maka menolong mereka itu akan dia dan tusallit [menguasai] mereka itu atas beberapa qaryah [kampong] dan negeri hingga memerangi mereka akan beberapa negeri yang besar-besar dan memiliki mereka itu akan dua Tanah Haram yang mulia dan segala qura [kampong] keduanya dan meroboh mereka itu akan segala kubah tempat yang mulia-mulia dan  kubur solihin dan mengerasi mereka itu akan manusia atas masuk mazhab mereka itu yang celaka dan merampas mereka itu akan segala pakaian kubur Nabi dan segala barang yang di dalam kubahnya yang maha mulia SAW dan segala barang yang di dalam Kaabah daripada segala perkakas dan perhiasan yang indah-indah dan masuk mereka pada Makkah pada tahun 1220 dan menhizarkan [mengepung] mereka itu akan Makkah hingga lapar ahlinya dan makan setengah mereka itu akan anjing kemudian masuk mereka itu akan dia dan merentah mereka itu padanya tujuh tahun. (33)

Syaikh membuat beberapa catitan tentang pengubah-suaian yang dilakukan oleh kerajaan Uthmaniyyah terhadap sistem pemerentahan mereka, bagi menyesuaikan dengan perkembangan yang berlaku di Eropah. Syaikh mencatitkan bahawa perubahan-perubahan ini dilakukan tatkala kerajaan Uthmaniyyah telah semakin lemah untuk berdepan dengan musuh dari luar dan telah terlalu letih pula menghadapi kerenah dalaman. Apakah pengubah-suaian ini dilakukan dengan ‘pemikiran orang yang telah kalah’, atau sememengnya ianya keperluan yang dituntut?.

 

Antara lain syaikh mencatitkan:

 

Dan adalah peraturan mereka itu pada perangan kurang matbut [sempurna] seperti tentera Eropah maka dengan beberapa sebab inilah jadi cenderung Sultan Mahmud ini dan Sultan Salim yang dahulu kepada mengubahkan aturan mereka itu dan mengajarkan peraturan yang baru yang maklum pada tentera Eropah dan jadilah Sultan dan wazirnya yang a’zam mentadbirkan dan mengaturkan dan menyuruhkan beberapa orang mengajar asykar akan tertib yang baharu. (34)

 

Maka membanyakkanlah Sultan daripada tentera dan diajarkan mereka itu akan segala pengajaran yang baharu (dan) di dalam masa itulah mengubah Sultan akan pakaiannya seperti pakaian Raja Istanbul yang dipakai sekarang ini. Adapun pakaian segala sultan yang dahulu-dahulu maka iaitu dengan serban dan jubah yang besar dengan tangan yang luas (35)

 

Maka diangkatkan ke atas takhta al-malik akan anaknya [iaitu anak Sultan Mustafa] Sultan Abdu al-Majid dan pada tahunnya diperadakan segala qanun mamlakah yang dinamai at-Tanzimatu al-Khairiyyah [ini merupakan kali pertama wujudnya perlembagaan di dalam pemerentahan Islam] (36)

Syaikh juga menceritakan bagaimana Sultan Abd al-Aziz telah dipedaya oleh kuasa Eropah dalam baginda berjinak-jinak dengan mereka, kata syaikh:

 

(kemudian berangkat) ia berjalan melihat segala negeri orang dan segala jajahannya mereka itu maka datang ia ke Masir dan pulang ia kemudian berangkat ia pula ke negeri Paris tempat kerusi kerajaan Peranchis kemudian kepada negeri Inggeris dan lalu ia pada madinah Belgrade dan adalah nasari memintakan dia daripadanya dan mengkhabar mereka itu bahawa sanya ia madinah yang roboh yang sedikit ahlinya dan diberikan dia kepada mereka itu dengan ketiadaan diperiksakan daripadanya maka tatkala dilihatnya dalam perjalanannya ini menyesal ia dan marah ia padahal tiada memberi manafaat marahnya dan menyesalnya (37)

Syaikh menyebut perkara ini mungkinnya antara lain sebagai peringatan kepada raja-raja Melayu agar mereka membuka mata untuk mempelajari pengalaman orang lain demi mengenal dan membaiki kelemahan masing-masing.

 

Syaikh juga mengambil peduli tentang perkembangan semasa poltitik yang berlaku di dalam dunia Islam, contohnya terhadap kebangkitan tentera al-Mahdi melawan tentera Inggeris dan Masir di Sudan, katanya:

 

(dan zahir) seorang laki-laki pada negeri Sudan namanya Muhammad anak Ahmad dan adalah ia satu syaikh daripada masyaikh tariqah berdiri ia maka mengikutkan dia manusia yang banyak katanya kerana menzahirkan haq dan mendirikan agama Islam dan lemah asykar Masir melawankan dia dan memiliki ia akan kebanyakan negeri Sudan yang dibawah raja Masir maka jadilah Inggeris memerangkan mereka itu dengan beberapa tentera yang amat banyak dan segaka alat  yang masyhur pada peperangan dan segala meriam yang besar-besar dan mereka itu tiada memperduli hanya menerkam mereka itu ke dalam asykar Masir  dan asykar Inggeris  (38)

Di dalam surat Syaikh Ahmad kepada Sultan Mansur, Sultan Kelantan sempena dengan pertabalan Baginda, Syaikh telah berdoa:

 

Bahawa Engkau [ya Allah] lanjutkan umur Hadrat as-Sultan Mansur Sultan Kelantan di dalam mengerjakan taat dan ibadat bagi Engkau dan segala pekerjaan yang Engkau redakan dia dan bahawa Engkau sentuasakan dia dan ‘iyalnya dan ahli mamlakahnya dan negerinya daripada segala bahaya dan bala dunia dan akhirat. Dan kami pohonkan Dikau pula hormat segala yang tersebut itu bahawa Engkau sentuasakan dia dan negerinya dan rakyatnya dan segala negeri Melayu dan raja-rajanya daripada segala kejahatan segala kuffar dan tipu-daya mereka itu dan kalahkan hai Tuhanku  daripada masuk mereka itu kuffar ke negeri Kelantan dan segala negeri Melayu dengan merentah padanya barang perentah ada ia. Bahkan tegahkan daripada masuk mereka kepadanya sama sekali dan peliharakan hai Tuhanku akan dia daripada segala kejahatan dan tipu daya dan dengki dan khianat segala mereka itu yang taghin daripada segala kuffar dan muslimin daripada ahli negeri dan lainnnya dengan barang mana jalan yang hendak memperbuat mereka itu atas dirinya dan ahli mamlakahnya dan negerinya dan segala negeri muslimin dan palingkan  tiap-tiap hati yang tiada kasih kepadnya jadi kasih kepadanya dan lembutkan baginya akan segala hati yang keras dan anugerahakan dia akan ketinggian  dan kemuliaan dan kekayaan yang sempurna serta kemurahan dan angkatkan oleh Mu daripadanya akan segala penyakit di dalam badannya dan kurniakan dia akan sihat dan ‘afiat padanya dan tunaikan baginya segala kehendaknya daripada pekerjaan dunia dan akhirat dan kekalkan kerajaan dengan perentahan yang ‘adil.Hai Tuhanku, Ya Qahar,Ya Jabbar, Ya ‘Aziz, Ya Ghalib kami pohonkan bahawa Engkau binasakan  tiap-tiap kafir yang cita-cita dan ‘azam dengan menyakiti akan dia dahulu daripada sampai kejahatan kepadanya dan kepada negerinya dan anugerahakan dia ziarah Rumah Engkau yang mulia dan ziarah Nabi Engkau yang bahagia dengan semurah-murah kelakuan dan sudahikan dia kemudian daripada umur yang panjang dengan husnu al-khatim. (39)

 

Lafaz doa itu secara terang-terangan dan juga secara kiasan menganjurkan beberapa langkah yang perlu diambil oleh as-Sultan demi kesejahteraan negerinya. Lafaz doa yang terzahir sebagai pengharapan seorang ulama akan diaminkan dengan sejuk hati oleh pihak berkuasa, tetapi sekiranya perkara yang sama disampaikan dalam bentuk nasihat atau kritikan yang tajam, mungkin penerimaannya akan terhijab oleh keangkuhan dan kedudukan yang tinggi pihak yang berkuasa.

 

Sultan Mansur adalah seorang sultan yang kuat beragama dan baginda telah menjalankan beberapa peraturan agama di dalam pentadbiran negeri:

 

Maka dalam zaman pemerentahan baginda, kuatkuasa undang-undang ini lebih dipertingkat dan diperluas. Selain perlaksanaan undang-undang hudud ke atas pencuri (potong tangan) dan qisas ke atas pembunuh, baginda juga menguatkuasakan undang-undang ta’zir ke atas orang-orang yang tidak berpuasa dan perempuan yang tidak menutup aurat. Ada diceritakan bahawa pada zaman baginda, mana-mana orang yang ditahabitkan kesalahan bermukah, dikenakan hukuman dengan diarak keliling pekan dan kampung sambil disuruh memberitahu orang ramai akan kesalahan yang dilakukan. Manakala bagi perempuan yang didapati memakai pakaian yang tidak menutup aurat pula, akan dikenakan tindakan dengan cara melumurkan tubuh mereka dengan “belakin”.  (40)

Baginda juga telah membangunkan bangunan wakaf untuk kegunaan musafir di tepi jalan dan di tengah padang di dalam negeri. Bahkan baginda juga telah menitah agar didirikan rumah wakaf di Makkah al-Mukaramah, yang dikenali sebagai ‘Rumah Puteh’ untuk kegunaan anak-anak Kelantan yang menuntut di Makkah.

 

Syaikh juga berhubung rapat dengan Sultan Zainul‘Abdin III Terengganu.  Sultan Zainul ‘Abidin merupakan Raja di Tanah Semenanjung yang terawal menunaikan fardu haji di Makkah. Syaikh telah menyebut di dalam suratnya kepada baginda yang bertarikh 13 Muharam 1323H:

 

Serta dilanjutkan zaman Duli Tuanku serta zuriat Tuanku di dalam hening kerajaan yang tiada mencampuri akan dia kadr dan menyakiti oleh ajanib. Dan dilimpahi dengan nikmat dan rahmat dan kekayaan yang ada padanya berkat yang memberi manafaat bagi agama Islam dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu. (41)

Di dalam surat yang lain kepada baginda, syaikh menyebut:

 

Khususan minta lanjutkan umur Tuanku dan ‘iyal Tuanku yang maha mulia di dalam berkekalan keredaan Allah dan syafa kerajaan serta bertambah-tambah ketinggian dan luas daerah at-tamaddun bagi ummah Melayuwiyyah dengan hemmah dan tuah Duli Tuanku yang ‘alaihi yang mendapat kuat yang disuruh oleh dia di dalam al-Quraniyyah maka dengan demikian itu as-sa’datu al-abadiyyah ( 42 )

Syaikh meletakkan harapan yang tinggi ke atas bahu Sultan Zainul ‘Abidin III untuk mempertingkatan pencapaian bangsa Melayu. Beliau telah mengubah sebuah syair di dalam bahasa Arab yang mengandungi kekaguman beliau terhadap baginda dan beberapa pengesyuran beliau kepada as-Sultan. Pada bait yang ke sebelas hingga ke empat belas, beliau berkata (terjemahannya lebih kurang):

 

Aku maksudkan  dengannya Raja Terengganu yang muda-remaja*

Yang memiliki kehebatan, maruah dan kesungguhan usaha

 

Dengannya  menjadi agunglah dia sebagai raja dan bijak-pandai serta mengabungkan*

Antara siyasah dan pembelajaran yang memberi panduan

 

Raja yang agung, ketelitiannya pada mendalami pengetahuan*

Serta makrifat dan belbagai ilmu serta penunjuk jalan

 

Tiada pernah pada kerajaan Melayu yang dulu  memiliki*

Umpama peribadi yang serupa baginda tidak didapati

Syaikh mengharapkan Sultan melaksanakan beberapa perkara, katanya bermula pada bait yang ke 22:

 

Ku harapkan sesungguh dengannya ummah Melayu akan meningkat*

Ke kemuncak tamaddun dan kejayaan serta ketinggian pangkat

 

Ku harap padanya akan menyebar pengetahuan dan panduan*

Dalamnya maka akan diperolehi kemuliaan dan kebahagian

 

Yang paling ku harapkan adalah limpah kurnia baginda*

dititahkan kepada para ulama yang mendapat huda

 

untuk mengkemaskan kaedah bahasa Melayu kerana sesungguhnya*

telah dipunahkannya oleh tangan yang menukar lama-kelamanya

 

Dan mengarang bagi manusia sejarah yang meliputi *

Berita tentang Melayu jikalau tiada, mereka akan dilupai  tanpa diingati

           

Orang yang utama akan menghidupkan peringatan perihal orang tuanya*

Maka jadilah sebutan tentang mereka keindahan yang kekal selamanya (43)

Sangat jelas azam Syaikh yang kuat agar martabat bangsa kita ditingkatkan melalui  menghayati agama sebaik mungkin, memperkasakan raja-raja  kerajaan Melayu dengan  sifat-sifat mulia pada peribadi mereka, menyuburkan pendidikan ilmu dan kepandaian di dalam semua bidang, mengusahakan tata bahasa bagi bahasa Melayu supaya ianya terpelihara dan sikap mengambil peduli serta menulis tentang sejarah bangsa sendiri.

 

Syaikh telah menjelaskan tanggung-jawab anggota masyarakat termasuk pihak pemerentah:

 

(dan hendaklah) muafakat oleh sekelian hingga raja-raja dan sekelian orang yang merentah atas menolongkan syariat, zahirnya dan batinnya dengan menolakkan tiap-tiap suatu yang mencederakan dia daripada maksiat dan bid‘ah yang keji dan wajib sekelian memeliharakan diri daripada demikian itu dan menghilangkankan dia barang yang dikuasakan atasnya dan wajib pula membaikkan segala kelakuan daripada perangai ulama dan sufiyyah dan sekelian muslimin dengan memudahkan belajar ilmu syariat zahir dan batin dan segala ilmu dunia dan kepandaian yang dapat memelihara dengan dia akan kerajaan Islam dan meninggikan dia atas segala yang lain pada hati dan mata (44)

Syaikh kemudiannya mengariskan sumbangan anggota masyarakat di dalam membangunkan negeri dengan memetik perkataan Imam Hasan al-Basri:

 

Jikalau tiada segala orang yang benar [sadiqun] niscaya binasa oleh bumi, dan jikalau tiada ada ulama niscaya adalah manusia seperti segala binatang dan jikalau tiada ada raja niscaya membinasa oleh manusia setengah mereka itu akan setengah dan jikalau tiada ada segala orang bodoh yang mereka itulah orang yang meramaikan dunia dengan umpama membinakan rumah-rumah dan mahligai-mahligai dan mengerjakan segala pekerjaan yang lebih daripada hajat diri mereka, niscaya jadi roboh dunia. (45)

Syaikh membayangkan setiap orang mempunyai tugasannya sesuai dengan kebolehannya di dalam membina tamaddun bangsa:

 

Ketahui oleh mu afdal segala usaha itu bertanam kemudian bekerja kemudian berniaga jikalau sunyi daripada tipu-daya dan khianat dan bersumpah yang ada padanya dusta dan tersebut di dalam Ihya Ulumu ad-Din sayugia bagi yang bekerja dan yang berniaga qasad ia dengan kerjanya dan berniaganya itu mendirikan dengan fardu daripada segala fardu kifayah kerana bahawsa segala pekerjaan jikalau ditinggalkan sekelian niscaya tiada ada kehidupan dan binasa segala makhluk. Dan jika berhadap mereka itu sekelian atas pekerjaan yang satu niscaya terhampa segala yang tinggal lagi dan binasa mereka itu . Dan ditanggungkan atas ini sabda Nabi SAW  ertinya “bersalah-salahan ummatku itu rahmat” ertinya ikhtilaf segala hemmah mereka itu pada segala pekerjaan dan kepandaian. (46)

Syaikh Ahmad menyentuh tentang tanggung-jawab pihak berkuasa apabila lemah mereka di dalam melaksanakan hukum jenayah Islam, katanya:

 

(dan manakala) lemah kita daripada mendirikan sesuatu dariapada hukum syara’ seperti direjamkan zani yang muhsan dan takut fitnah yang mudaratkan muslimin yang tiada kuasa kita atas menolaknya niscaya gugur daripada kita wajib mendirikan dia pada ketika itu  dan wajib sekelian muslimin bersungguh-sungguh mencarikan jalan dengan tadbir dan siyasah dan belajar dan memperlajarkan anak-anak kita akan segala wasilah bagi mendirikan segala hukum syara’ daripada segala ilmu siyasah dan ilmu syara’ hingga dapat mendirikan dia sperti barang yang zahir (47)

Syaikh Ahmad juga telah mengemukakan istilah ‘tamaddun yang muafakat dengan syara’ sebagai wawasan yang perlu dibina oleh bangsa kita. Di dalam suratnya kepada muridnya Nik Mahmud Bin Haji Ismail [kemudiannya Datuk Perdana Menteri Kelantan], beliau menyebut:

 

Dan mudah-mudahan anakanda meninggikan hemmah pada mendapatkan barang yang sayuginya mendapatkan dia bagi seumpama diri anakanda di dalam ini masa supaya terangkat dengan demikian itu oleh nama jenis Melayu berat dan terhebat dengan dia oleh kerajaannya pada segala hati ajanib. Dan tertamaddun dengan dia oleh siyasah mereka itu sebagai tamaddun yang muafakat dengan syara’  (48)

Syaikh juga menggunakan sekurang-kurang dua kali perkataan tamaddun dalam tulisannya kepada Sultan Zainal ‘Abidin ke III, iaitu di dalam syairnya tentang baginda pada bait yang ke 22 dan di dalam suratnya kepada baginda sebagaimana yang telah disebut sebelum ini.

 

Syaikh mengambil peduli tentang perkembangan yang baik dan buruk yang berlaku di tanah air. Pada  tahun 1903, bekas muridnya Datu Haji Abdullah bin Musa, Mufti kerajaan Johor yang kedua telah menghantar surat kepada syaikh, antara kandungannya:

 

Yang Maha Mulia Raja Kelantan tengah bekerja hendak khatamkan puteranya…..Segala bagai judi terbuka…tari-menari, berlaga sabung…dengan sebab itu terlalu(banyak) pencuri, penyamun  dan perompak (49)

Syaikh sedar tentang perkembangan kependudukan yang berlaku di tanah air, muridnya Datuk Laksamana juga turut merintih memerhati ketinggalan bangsanya:

 

Sesungguhnya Tanah Melayu ini negeri yang sentiasa bertambah-tambah ramai dan bertambah-tambah kaya daripada kemakmuran khazanah buminya. Akan tetapi siapakah yang sentiasa menambah-nambahkan ramainya itu?Dan siapakah yang sentiasa beroleh keuntungan daripada kemakmurannya itu??.Di manakah bapa-bapa Melayu dan di manakah anak-anak Melayu ! Pada sebutan  yang zahir sebenarnyalah negeri ini negeri Melayu, luarnya dan dalamnya, kerana telah berkediaman bangsa Melayu ini padanya hampir-hampir tujuh ratus tahun. Akan tetapi pada masa sekarang ini sebutan ‘Negeri Melayu’ itu menempati hakikat maknanya akan daerah-daerah kampung dan ceruk-ceruk negeri yang jauh dari pekan jua. Orang-orang  Melayu telah lari ke dalam hutan dan ke tengah-tengah negeri tiap-tiap lepan dan bukit-bukau. (50)

Gagasan syaikh tentang membina tamaddun yang muafakat dengan syara’ bukan dibangunkan di atas  khayalan yang tidak berjejak di bumi kenyataan. Di dalam suratnya kepada Nik Mahmud Ismail, nampaklah kepada kita yang syaikh berusaha memenuhi syarat-syarat awal bagi menjayakan gagasannya, dia menulis:

 

Kerana harap ayahanda bahawa anakanda mendapat ulum dan ma‘arif di Masir atas kadar yang memberi manafaat bagi diri anakanda bahkan bagi anak jenis Melayu kita barang yang belum mendapatkan dia oleh orang yang dahulu daripada anakanda daripada anak Kelantan (51)

Syaikh mengikuti perkembangan antarabangsa, kerana dunia Melayu tiada akan terlepas dari perkembangan yang berlaku di peringkat dunia, syaikh berpesan kepada Nik Mahmud Ismail:

 

Dan ada kedengaran di Makkah bahawa sanya Inggeris buat kacau pada tanah Sultan [Uthmaniyyah] yang pada pihak Masir.Dan apa-apa perkara jadi, dan di mana-mana tempat tidak ayahanda tahu. Maka harap anakanda suruh Ismail kirimkan sedikit daripada jaridah [potongan akhbar] pada kenyataan demikian itu adanya (52)

Beliau juga meminta anaknya Wan Ismail menghantar keratan akhbar tentang Harbu al-Yaban, iaitu peperangan Jepun kepadanya. Muridnya, Datuk Laksamana pula sangat mengambil berat tentang kepentingan surat khabar, sehingga beliau menulis di dalam Pengasuh keluaran 11 Julai 1918 yang pada tahun 1888 sudah terdapat 273 akhbar di Paris dan dari jumlah itu ada 36 surat khabar bergambar. Kemudian beliau menyambung ‘hingga sekarang ini, belum lagi sampai bilangan surat-surat khabar Melayu itu boleh melampaui akan bilangan anak-anak jari’.

 

Secara khusus pula Syaikh mempunyai cita-cita agar Patani, Kelantan dan Terengganu bergabung dibawah suatu pentadbiran yang dilindungi oleh Kerajaan Uthmaniyyah. Cadangan ini mungkin mengambil kira yang ketiga-tiga negeri Melayu ini pernah membentuk kerajaan Patani Besar dulunya, penduduknya pula mempunyai resam hidup dan gaya percakapan yang hampir sama. Bahkan mengikut suatu penelitian yang baru terhadap ukiran kayu serantau juga menunjukkan bahawa bunga dan motif ukiran yang sama telah terserlah pada ukiran-ukiran lama di ketiga-tiga negeri ini, dan ianya berlainan dari kawasan-kawasan lainnya. Allahyarham Nik Rashidin, pengukir kayu Kelantan menamakan bunga asas bagi ukiran kayu di ketiga-tiga negeri ini sebagai ‘daun dewa’.

 

Syaikh Ahmad mengimpikan pula suatu kerajaan yang khusus pula bagi orang Melayu Champa di Kemboja dapat didirikan. Terdapat pendapat yang sukar bagi pencatit ini mencari asalnya yang mengatakan bahawa Syaikh Ahmad berpandangan bahawa Patani, Terangganu dan Kelantan sepatutnya berusaha agar ketiga-tiga negeri ini ditaaluki oleh Inggeris dari tangan Siam. Ini memandangkan  Inggeris akan menganggap ketiga-tiga negeri ini adalah tanah yang dijajahnya, kerana kedudukan Britain yang jauh ,dan rupa bangsa manusianya yang berbeza. Maka lambat laun Inggeris akan memberi kemerdekaan kepada negeri-negeri ini, sebaliknya Siam akan menganggap negeri-negeri ini adalah sebahagian daripada negara mereka sendiri dan sukarlah dicari jalan keluar darinya. Usaha untuk membawa British supaya campur tangan di Patani jelas kemudiannya dalam perjuangan yang dijalankan oleh Tengku Mahmud  Muhyuddin semasa Peperangan Dunia kedua, tetapi ianya tidak berhasil.

 

Syaikh mungkin berhasrat agat Patani kekal diingati sebagai negeri Melayu Islam dan bukan sebaliknya walaupun di masa hidupnya itu Patani telah berada di bawah penguasaan Siam.  Syaikh mengatakan:

 

Kedaulatan Islam Acheh digelar orang dengan Serambi Makkah, pertama mengelarnya ialah al-‘Allamah Nuruddin ar-Raniri, kedaulatan Islam Kedah digelar oleh Syaikh Abdullah dengan Kedah Dar al-Aman, maka eluklah hamba mengelar negeri hamba Daulah Islam Fatani dengan Fatani Cermin Makkah, ia juga bernama Fatani Dar as-Salam, tetapi eluk juga digelar Fatani Dar al-Islam (53)

Sementara muridnya Datuk Laksamana yang telah menjadi Setiausaha Kerajaan dan Datuk Nik Mahmud pula yang menyandang jawatan Datuk Perdana Menteri Kelantan telah mengubal undang-undang  yang sangat mahal ‘Undang-Undang Tanah Simpanan Melayu’ yang memperuntukkan tanah-tanah negeri Kelantan kepada orang-orang Melayu. Undang-undang inilah yang menyebabkan sebahagian besar tanah-tanah negeri Kelantan kekal menjadi tanah simpanan Melayu sehingga sekarang, melebihi jumlah mana-mana kawasan tanah simpanan Melayu di negeri-negeri yang lain.(54)

 

 

Pemerhatiannya Di Bidang Kemajuan Dunia Dan Dalam Sains Tabie

 

Syaikh memerhati perkembangan di dalam kemajuan sains yang berlaku di zamannya. Dia bukan setakat mengambil berat tugas utamanya sebagai tenaga pengajar bahkan turut mengamati  beberapa teknologi sezamannya dan membuat catitan tentang kehidupan secara yang agak ‘saintifik’.

 

Di dalam suratnya kepada Sultan Kelantan yang dibukukan di dalam al-Fatawa al-Fataniyyah, syaikh telah membuat pengamatan tentang kemajuan yang dicapai di negara barat, disamping itu syaikh juga mengeritik kepalsuan yang didakwa sebagai kemajuan apabila menceritakan tentang alat untuk menghadirkan ruh orang yang tidur, kata syaikh:

 

(berkata hamba) pada menghampirkan bagi segala aqal adakah engkau ketahui atau lihat bahawa sanya dikurniakan kepada kuffar sekarang ini`beberapa banyak ringkahan yang ajib-ajib hingga sampai mereka itu kepada alat yang boleh musafir di dalamnya di atas hawa [udara] yang telah maklum pada mereka itu dengan belon atau tayyarah [kapalterbang] atau mantad. Dan kapal api yang menyelam di dalam laut serta berjalan di bawah air seperti ikan dan telegraph yang tiada berdawai dan alat yang dilihatkan dengan dia akan segala binatang yang sangat halus [microscope], yang di langit [telescope] dan alat yang memegangkan suara[recording]

Bahkan pada Amerika sekarang ini telah sampai mereka dengan ikhtira’ mereka itu kepada menghadirkan ruh orang yang tidur, maka mengkhabarkan dia barang yang ghaib daripada ehwal orang yang telah mati bahkan sampai mereka itu pada menghadirkan ruh orang yang mati hingga boleh dilihatkan dia dengan mata kepala dan bertutur dengan dia pada hal ia atas rupa orang mati. (berkata hamba) yahtamil bahawa yang demikian itu syaitan berupa ia dengan rupa orang mati itu kepada mereka itu tetapi telah hasil dengan demikian itu ruju’ setengah daripada falasifah Amerika kepada membenarkan barang yang thabit di dalam Agama Islam bahawa sanya ada bagi ruh itu hakikat dan ada bangkit di dalam Akhirat dan lainnya daripada barang yang mengingkar akan dia oleh kebanyakan mereka itu daripada Agama Islam. Maka apabila mungkin serta telah jatuh diberi kepada kuffar  umpama segala yang tersebut itu adakah tiada patut dikurniakan dia kepada setengah-tengah ahluLlah. (55)

 

Syaikh juga menyebut tentang kegigihan bangsa-bangsa yang maju di dalam kerja-kerja ‘research & development’ mereka, katanya:

 

Dan mengindah-indahkan [menyempurnakan] mereka itu akan sekelian pekerjaan serta dengan lekas dan banyak [mass production] dan bertambah-tambah [improvement] yang demikian itu  dengan berpanjangan masa dan dengan sebab baik perbicaraan [research] dan muafakat [coordination] antara mereka itu serta besar hemmah [memberi tumpuan sepenuh] dan halus tipu daya [strategi yang berkesan] dan jauh helah [forward planning] (56)

Ini mengingatkan kita kepada jawaban yang diberi oleh Tok Kenali, murid kanan Syaikh Ahmad ketika ditanya oleh seorang yang pernah melawat Eropah semada orang Melayu adalah ummat yang boleh diharapkan  bagi mencapai ketamaddun [sebagaimana yang dilihat di Eropah], Tok Kenali  menjawab dengan menyifatkan dirinya ‘seorang yang tidak keluar daripada dapur anak putera buminya  yang beliau tiada berapa nampak yang ummat Melayu akan mencapai tamaddun yang tinggi, yang diibaratkan ‘menunggang atas kuda kepandaian  sebagaimana bangsa-bangsa yang maju kerana  ummat Melayu tidak mahu berubah sikap dengan mengambil nilai-nilai yang baik sedangkan dunia kian berubah.

 

Muridnya, Datuk Laksamana  menyatakan perkara yang hampir sama:

 

Tiap-tiap yang maju itu tak dapat tiadalah meniru [borrowing the technology?] dengan memperbaiki [improve] dan meluaskan asal-asal [expand] yang ditiru itu. Orang-orang yang pertama dahulu [pioneer] hanya memulakan sahaja maka orang-orang yang meniru kemudiannya lah yang melanjutkan dan membesarkan sentiasa [continues advancement & development] Maka pekerjaan terjemah menterjemah itu satu daripada pekerjaan-pekerjaan meniru dan dengan dialah orang-orang Eropah sekarang telah mendapat mengambil dan mencuri asal kemajuan mereka itu sekarang ini daripada kaum-kaum yang telah mendahului mereka itu. (57)

Agak menarik pula untuk melihat kesungguhan syaikh di dalam menerangkan sifat-sifat siput jenis gondang dan kechau yang di dapati di tempat kita. Syaikh membincangkan tentang dua jenis siput ini di dalam sekurangnya tiga kitab beliau, iaitu di dalam al-Fatawa, Bahjah dan ‘Unwan. Syaikh menyebut di dalam kitabnya ‘Unwan:

 

(Dan) telah ittifaq ahli Tanah Melayu dan Tanah Jawa akan makan mereka itu akan ketam rancang dan demikian ahli Syam makan mereka itu akan ketam, maka iaitu muafakat dengan kalam [Imam] Nawawi yang tersebut. (Dan) halal danilis iaitu remis.  (Dan) manaqal Syaubari daripada [Imam] Ramli Saghir bahawasa halal sekelian  binatang gewang [mollusc] yang tiada hidup melainkan di air yang apabila keluar daripada air niscaya jadilah hidupnya hidup mazbuh  selama tiada dilewatikan[?]. Dan haram memakan halazun[ spiral-shaped-snail]  kerana kejinya iaiitu binatang yang seolah-olahnya ulat [bahagian dagingnya], baginya kulit yang keras [cenkerang], ada ia pada tepi-tepi air[habitatnya], keluar ia dengan setengah badannya daripada kulitnya, berkisut-kisut [ cara berjalannya] dan apabila hendak berhenti ia kembali masuk  ia ke dalam kulitnya (Dan) siput yang maaruf dengan kecau yang di dalam bendang-bendang itu atas sifat halazun yang tersebut melainkan bahawasa  kecau ini berkekalan ia di dalam air, demikian lagi gondang. Maka hendaklah haram makan keduanya seperti halazun tetapi banyak ahli Tanah Melayu makan akan keduanya, maka adalah makan mereka akan keduanya itu muafakat dengan qaul Imam Nawawi yang terdahulu sebutnya. (58)

Di dalam nota tepi kitabnya Bahjah, Syaikh menambah:

 

Telah dimujarrabkan [didapati] bahawa banyak makan ketam mempusakai [menyebabkan] cerah perut [cirit-birit] dan menambah Damiri daripada [Imam] Rafi‘ie pada ‘illah [sebab] haram ketam. Pada lafaz halazun bahawa sanya masuk ia di dalam umum haram sadf [sea-shell dan oyster](dan katanya seperti sadf) yakni haram makannya bahawa sanya kulitnya [cenkerang] itu najis maka hendaklah bagi yang memakainya seperti dijadikan kacing baju bahawa taqlid akan qaul [kitab] Majmu’. (59)

Di dalam kitab ini, syaikh menyebut lagi tentang sifat siput:

 

..berkisut kiri dan kanan mencari makan apabila berasa ia dengan suatu yang keras atau yang kasar mengkembali ia akan badannya

Syaikh telah menyebut yang dia telah memberi keterangan perihal sifat-sifat gondang dan kecau serta menunjukkan cengkerangnya kepada ulama di Masir untuk mendapat fatwa tentang halal atau haram binatang tersebut.  Sementara di dalam al-Fatawa, syaikh menulis tentang ketam, gondang dan kecau:

 

Dan ketam besar lagi hitam yang maaruf dengan ketam batu itu jikalau hidup ia pada darat dengan beberapa hari dan merangkak ia ke situ ke sini dengan kuatnya seperti yang hamba cubakan dia tetapi di zankan bahawa hidupnya pada darat itu tiada kekal kerana tempat ketetapannya dan tempat mencari makannya di dalam laut dan tiada hidupnya di darat seperti halnya hidup di air

Adalah ia binatang yang dinamakan orang Melayu gondang maka iaitu setengah daripada binatang yang maklum daripada binatang air dan jikalau adalah ia kuat bertapanya di atas darat dan pada setengah daripada kelakuannya keluar ia daripada air ke tempat yang dekat dengan air kerana umpama bertelur sekalipun…..Hendaklah dihukumkan halal gondang itu kerana maklum daripada kelakuannya bahawa sanya tiada pandai ia mencari makan di atas darat seperti mencari makan ia di dalam air atas kelakuan yang bersamaan bahkan tiada mencari makan ia sekali-kali di atas darat  hanya hidupnya dengan kuat bertapanya sahaja serta ada basah-basahan dan air yang di dalam kulitnya itu dan apabila ditiarapkan dia niscaya lekas matinya seperti barang yang dikhabarkan kepada hamba oleh beberapa orang yang kepercayaan ….. bahawa sanya ia [gondang] setengah daripada beberapa bagi [family] binatang gewang kerana kulitnya itu ada padanya bagi menyerupai kulit gewang yang makruf di dalam laut. (60)

Syaikh juga membuat catitan tentang kegunaan perubatan binatang dandang dengan katanya:

 

(dan) binatang yang dinamakan dia dandang dan tiada didapat akan dia melainkan [endemic ?] pada negeri Paka dan negeri Kertil [Kerteh} daripada jajahan Terangganu iaitu binatang kadar besar sorok-sorok. Apabila dimakan akan dia menghancurkan [batu] karang dan sekelian barang yang kotor-kotor seperti nanah dan lendir yang ada sertanya hingga suci dan seekur daripadanya dimakan empat kali dan ia memabukkan jika dimakan seekur sama sekali. Kata setengah apabila mabuk seorang dengan sebabnya diberi minum air nyior niscaya hilang. (61)

Syaikh juga telah cuba memahami extraction process’ apabila menjawab soalan tentang hukum menggunakan air wangi launda:

 

Bahawasa pada membuatkan air launda itu dua jalan dan inilah nasnya:

 

bullet

(yang pertama) dikeluarkan dia dengan dituangkan satu ratal (kati) daripada alcohol di atas dua uqiyyah (tahil) daripada bunga launda dan ditambahkan kepada demikian itu akan air dan ditinggalkan dia begitu hingga 24 jam kemudian dikukus [distillation process] akan dia dengan api yang tidak berapa kuat dengan pengukus yang disediakan bagi demikian itu supaya bertitik daripada peluhnya [condensation] sebanyak dua kati

 

bullet

(jalan kedua) diperbuatkan dia dengan dua bahagian daripada minyak launda dan satu bahagian daripada jauhar kahraba’ dan dua bahagian daripada air kolonia [cologne] dan empat puluh daripada spirito [spirit-ethyl alcohol] yang bersih.

Dan pada jalan yang pertama masuk alcohol dan pada jalan kedua masuk as-spirito seperti barang yang engkau ketahui dan kedua-duanya[ spirit dan alcohol] itu benda yang satu kerana salah satu daripada kedua itu ditafsirkan dia dengan yang satu lagi seperti barang yang ku lihat pada setengah daripada beberapa tempat itu kitab dan bermula demikian benda itu ‘ruh al-khumur’ (pati arak) bagaimana khabar yang mutawatir dan masyhur dan berasa-rasa pula aku melihat akan demikian itu iaitu keadaannya pati arak di dalam kitab yang bernama ‘ad-Durru al-Maknunu fi as-Sana‘I wa al-Funun’.

 

….maka alcohol yang ialah spirit itu daripada arak dan maklum bahawasa najis.(62)

Syaikh juga terlintas bahawa dia juga pernah melihat di dalam kitab yang sama tentang pembuatan sabun:

 

Bahawasa kebanyakan sabun wangi yang datang daripada negeri Afranji (Eropah) yang dibuat mandi dengan dia dan dibasuh dengan dia segala tangan itu diperbuat akan dia daripada lemak babi. (63)

Syaikh mempunyai pengetahuan yang luas di dalam perubatan, Syaikh menulis di dalam bahagian awal kitab perubatannya ‘Tayyibu al-Ehsan’:

 

Pada bicara (ilmu tib) menyerukan kami kepada menghimpunkan dia oleh bersangatan hajat jenis Melayu kepadanya * Dan banyak darurat [keperluan] hal mereka itu kepada bicaranya kerana mengubati itu berturut-turut [berterusan] soal mereka itu daripadanya beserta tiada ada sekali-kali daripada mereka itu orang yang mat-amati dengan dia* Atas qanun yang mudawwanun [secara bertulis] yang membawa kepada pengetahuan yang muktabar yang boleh diperpegang akan dia * Padahal ilmu tib itu daripada sebesar-besar barang yang berhajat kepadanya tiap-tiap manusia* hingga jahil mereka itu akan barang yang melengkapi atasnya daripada beberapa banyak rahsia* Dan seolah-olah ilmu tib itu pada sisi mereka itu sesuatu yang sia-sia* Maka meninggal mereka itu akan dia nasiyan nansiya [lupa dan dilupakan] *  Dan serta tiada pula bagi mereka itu sesuatu daripada kutub[kitab-kitab]  pada ini sana‘ah [pekerjaan] yang boleh diperpegang atasnya * Dan [boleh] dipercayakan dengan naqalnya dan diambilkan dengan ibarat dan nasnya * Allahumma bahkan ada juga bagi mereka itu beberapa daftar tib mempunyai kalam yang sedikit  tahrirnya [karangan] *  lagi naskhahnya sangat sedikit adanya* melengkapi ia atas beberapa banyak ubat dan mengubati serta bercampur dengan khurafat jampi-jampian yang diringkahkan[yang dibuat] yang tersembunyi tafsirnya[yang tiada diketahui maksudnya]* atau nyata di sana* seperti kata mereka itu aun [om] atau maha anu aku tahukan asalmu * dan yang lainnya yang dibenci mendengar dia oleh yang beraqal lagi dijemu* tetapi serta bergaulnya dengan demikian itu ringkahan  yang belok [yang tiada sebenar] * tiada sunyi ia daripada beberapa banyak  ubat yang baik lagi eluk * dan adapun bagi setengah mereka itu beberapa ubat yang dapat daripada talaqqi[berguru] atau tajribah [pengalaman dan percubaan] yang diingat taruh pada hati. (64)

Syaikh menyambung :

           

Pada hal segala bumi mereka[bangsa Melayu] itu dan utan-utan [hutan] dan bukit-bukit mereka itu tempat perladungan segala ubat dan tiada mengetahui akan faedah atau khasiat daripadanya melainkan sedikit daripada mereka itu dengan talaqqi atau tajribah, maka sangatlah kesukarannya bagi orang yang gemar pada ilmu tib belajarnya dan mendapatinya (65)

Syaikh menyatakan tujuan dia menyusun kitab perubatan ini:

 

Dan supaya jadi pula ini risalah terladang [tauladan] bagi orang yang mempunyai hemmah yang mulia * dan cotor [contoh]  bagi saudara yang fadil yang gemar kebajikan pada menyampaikan anak jenisnya kepada tamaddun dan bahagia* maka menuntuti ia akan ilmu ini hingga hasil baginya  makrifah yang sempurna bagi memberi manafaat ia akan mereka itu dengan mengubati. (66)

Syaikh melahirkan cita-citanya agar penyelidikan dan  kajian serta pendokumentasian terhadap pokok ubatan di tanah air dapat dijalankan, kata Syaikh:

 

Dan telah kami harap bahawa membuka Allah akan hati seorang yang mempunyai hemmah yang tinggi bagi bersungguh-sungguh  ia mencubakan beberapa pohon kayu dan tumbuh-tumbuhan dan lainnya  daripada barang yang ada pada bumi Melayu dan memeriksakan pada demikian itu maka disuratkan beberapa faedahnya serta khasiatnya dan pangkat segala tabiatnya [seakan-akan yin yang di dalam perubatan cina] dan kaifiyat istimal [penggunaan]nya seperti barang yang memperbuatkan demikian itu oleh hukama Yunani yang dahulu dengan beribu-ribu tahun (67)

Syaikh kemudiannya menyentuh tentang sejarah pendokumentasian perubatan dan betapa tertinggalnya bangsa kita di dalam bidang ini:

 

Mengambil daripada mereka [tabib Yunani] itu oleh hukama Arab dengan hemmah setengah daripada raja-raja  anak Harun ar-Rashid maka berkekalan mentaklif [mengarang] mereka itu beberapa banyak karangan, maka tercawang [berkembang] daripada demikian itu hingga sekarang  ini tib segala tabib Farsi dan Hindi. Kemudian beratas-atas [melebihi] pada demikian itu tabib Afranji [Eropah] maka menambah dan meringkah [mencipta]  mereka itu beberapa banyak ringkahan yang ajib padahal kita jenis Melayu aula [lebih sepatutnya]  dengan demikian itu dikerana banyak ubat-ubat itu pada bumi kita hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka itu diambil daripada bumi kita dan kita lebih aula pada perentahkan diri kita [sebagai negeri yang merdeka] daripada jenis yang lain daripada kita.

 

Maka bersangatanlah sayugia bagi raja-raja Melayu bahawa memalingkan hemmah mereka itu kepada mendapatkan barang yang tersebut dengan menyungguh-nyungguh  menyuruh dan mengemarkan manusia pada demikian itu dengan memudahkan jalan bagi yang demikian itu dan berdiri [memperuntukkan] dengan belanja bagi demikian itu, maka dapat baginya pahala yang jazil. (68)

Syaikh menyebut bahawa dia mendapat pengetahuan tentang perubatan daripada kitab-kitab perubatan yang sedia ada, mengambil daripada perkataan bomoh-bomoh Melayu, daripada gurunya yang khusus di dalam bidang perubatan, daripada amalan dan pengalaman orang serta  percubaan yang dilakukan. Beliau memetik perkataan hukama terdahulu termasuklah perkataan Aflatun [Plato] di dalam bidang ini.

 

Syaikh menulis tentang huraian Imam ar-Razi tentang  pokok tamar yang mempunyai banyak persamaan dengan manusia, syaikh menambah pengamatannya sendiri di dalam perkara ini:           

 

Bahawa sanya kelapa itu terlebih menyerupai dengan manusia kerana bahawasa buahnya itu seperti kepala manusia dan pada tempurungnya itu umpama mulut dan hidung dan dua mata seperti barang yang ada pada manusia dan urat sabutnya itu seolah-olah rambutnya dan ia terlebih menyerupai dengan pohon khurma pada batangnya dan pelepahnya dan seludangnya (69)

 

Sikap Cakna Terhadap Bahasa

           

Walaupun syaikh telah meninggalkan rantau Melayu dari umurnya semuda empat tahun, tetapi penguasaan bahasa ibundanya sangatlah mengkagumkan. Syaikh Ahmad mengambil peduli terhadap tulisan Melayu:

 

(Dan tiada) mengetahui perhamba akan bahawasa ada bagi bangsa Melayu kita khat dahulu daripada masuk pada agama Islam dan jikalau ada maka apa rupanya melainkan bahawa sanya ada bagi kita empat huruf yang musta’malah yang lebih daripada huruf Arab yang dituliskan dia dengan rupa huruf Arab iaitu ‘ca, nga, ga, nya….

 

Dan adalah kebanyakan orang menyurat sekarang ini memudah-mudah mereka itu dengan tiada  ditaruhkan titik padanya kerana memadai mereka itu dengan qarinah ibarat jua* maka yang demikian itu setengah daripada barang yang membawa kepada kesamaran dan kepada payah membaca dan meninggalkan hak bagi huruf yang dihantarkan dia oleh yang menghantarnya[ditulis] dengan qasad hendak membezakannya (70)

Syaikh kemudiannya memberi contoh-contoh kekeliruan dalam membaca apabila 4 huruf tambahan ini sekiranya tidak dibariskan sebagaimana sepatutnya. Syaikh juga mendatangkan pandangan Mujahid di dalam memberi tasir kepada ayat al-Quran yang bermaksud; “mengkurniakan Allah Ta‘ala akan hikmah itu akan mereka yang menghendaki Ia”* akan bahawasa hikmah itu ialah pandai menyurat. (71)

 

Syaikh menyebut bahawa bangsa-bangsa yang besar mengambil berat tentang tata bahasa mereka terutamanya bangsa Arab, tetapi bangsa Melayu kita tidak mengambil berat. Sebaliknya bangsa-bangsa besar telah  meniru mereka[orang Arab] itu oleh Peranchis dan Inggeris dan lainnya daripada umam[umat-umat] Nasrani maka mentadwin [menyusun] mereka itu akan lughah mereka itu pada beberapa kitab. (72)

 

Syaikh mempunyai cita-cita:

 

(Dan tercita-cita) di dalam hati hamba bahawa adalah setengah orang yang petah-petah daripada ahli Melayu mentaklif-taklif [mengarang] ia pada mendabitkan [membuat peraturan] lughah Melayu supaya terpelihara ia daripada tahrif [penyelewengan] dan tabdil [perubahan] dengan sebab berlamaan masa dan dengan sebab bercampur dengan beberapa bangsa lain (73)

Syaikh juga menyentuh kelebihan mengetahui bahasa selain daripada bahasa sendiri:

 

(Dan adalah) ilmu [bahasa] ini sangat besar manafaatnya kerana bahawa sanya seseorang apabila mengetahui ia beberapa lughah [bahasa] selain daripada lughah dirinya niscaya mudahlah baginya muamalat [berurusan] dan musahabah [berkenalan] dengan sekelian bangsa itu dan tiadalah memudah-mudah mereka itu dengan dia [kerana tahu bahasa mereka]. (dan memadailah) pada kemuliannya bahawa sanya jikalau tiada dengan mngetahui lughah niscaya tiada berhamburan [tersebar] agama Islam yang lain daripada bangsa Arab dan tiada diketahuikan makna Quran dan ahadith dan ahkam daripada segala kitab. (Maka sayugialah) bagi tiap-tiap orang muda-muda bahawa belajar ia akan beberapa bahasa orang hingga mahir ia padanya istimewa anak-anak raja dan orang besar-besar dan sekelian saudagar maka mereka lebih berhajat kepada demikian itu (74)

 

Syaikh telah menyatakan di dalam suratnya kepada anaknya, Haji Wan Ismail yang berada di Masir ketika itu:

 

Tiada ilmu itu dikecualikan pada menuntut ilmu bahasa Inggeris sahaja, tetapi lebih pada itu termasuk bahasa Arab. Belajarlah akan dianya. Sesungguhnya di Jeddah sekarang ada sekolah yang mengajar bahasa Inggeris. Maka bolehlah kamu belajar. Dan jikalau kamu berhajat kepada bahasa Arab, aku sentiasa membukakan keluasan kepadamu supaya belajar kepadaku  (75)

Penguasaan syaikh di dalam ilmu bahasa Melayu jelas ketika beliau membahaskan terjemahan solah dari bahasa Arab kepada sembahyang di dalam bahasa Melayu. Syaikh menyebut fahamannya tentang asal perkataan sembahyang:

 

(dan bermula) kalimah sembahyang itu bersegera kepada faham hamba asalnya sembah-han….dengan ditukarkan [huruf] ‘ha’ yang pertama kepada [huruf] ‘alif’ supaya jadi ringan bertutur dengan dia  seperti tambah-han dan rentah-han dan perah atau perahan pada kata mereka “ itu lembu perah-han” atau perahan kemudian terlarat tuturan mereka itu kepada menukarkan [ huruf] ‘ ha’yang kedua pada sembah-han atau sembahan itu dengan [huruf] ‘ya’ maka jadilah ia sembah-yan kerana  banyak ada [huruf] ‘ya’ pada umpama pakai, pakai-yan dan gadai, gadai-yan dan kepadai-yan atau kepandaian dan tempa-yan (tempat isi air) dan maro-yan iaitu penyakit yang jadi sebab mara beranak dan mari-yam iaitu bedil besar  dan mara pada yang tersebut itu dengan makna bala dan haru-hara. Dan terlarat mereka itu pula pada menukarkan [huruf] ‘nun’ dengan [huruf] ‘nga’ maka jadilah ia sembahyang seperti menukar mereka itu akan [huruf] ‘nun’ dengan [huruf] ‘mim’  pada kata mereka itu sakit maroyam dan bedil meriam…..

 

( Dan bermula tukaran) pada sekalian lughah itu amat banyak seperti menukar orang Pulau Pinang dan Kedah akan [huruf] ‘ra’ yang pada akhir kalimah dengan [huruf] ‘ain’ dan akan [huruf] ‘lam’ yang pada akhir kalimah juga dengan [huruf] ‘ya’. Maka berkata  mereka itu pada [perkataan] ‘benar’ itu ‘benag’ dan akan [perkataan] ‘betul’ itu ‘betui’. (76)

Syaikh juga membahaskan asal perkataan catur yang digunakan oleh orang Melayu, kata syaikh:

 

Kalimah catur yang ia itulah permainan yang maaruf itu asalnya syatrunj, maka ditahrifkan [diselewengkan] dia oleh lidah Melayu kepada catur kerana ada nau’ [jenis] berhampiran makhraj [huruf] ‘syin’ dengan [huruf]‘cha’ pada zauq dan tiada ada pada Melayu itu [huruf] ‘Ta’, maka diubahkan kepada ‘ta’ dan dibuangkan [huruf] ‘nun’ dan [huruf] ‘jim’ supaya ringan  dan ia daripada hantaran [dimulakan oleh]Hindi dan ringkahan mereka itu (77)

Syaikh juga telah berbahas panjang lebar tentang terjemahan istilah ‘qadim’ di dalam bab usuluddin ke dalam bahasa Melayu dan kesesuaiannya dengan perkataan orang Cham, kerana ada orang Cham yang menterjemahkan qadim sebagai kolout [kolot ?], Syaikh membahaskan  kegunaan kalimah ‘sedia’ :

 

(Dan telah ada pula) pada bahasa Arab kalimah ‘azali’ dan didengarkan daripada guru-guru Melayu memasangkan makna sedia-kala, dikatakan pada Zat Allah Ta‘ala dan Sifat-Nya, maka dikatakan Zat Allah Ta‘ala itu azali dan Sifat-Nya azaliyyah tetapi azali ini kurang masyhur ia daripada ‘qadim’ dan ia terlebih eluk daripada ‘qadim’ kerana tertentu ia dengan barang yang tiada awal baginya sekali[-kali] bersalahan dengan ‘qadim’ maka tiada tertentu ia dengan dia (Dan) terberasa pada hati hamba bahawsa ‘sedia’ itu makna bagi azali tetapi dengan sebab eluknya dan manisnya pada pendengaran dan perasaan meminjamkan dia oleh orang Melayu maka memakai mereka itu akan dia bagi makna qadim yang zati iaitu qadim Allah Ta‘ala dan Sifat-Nya pada hal makna qadim itu lama (dan bahawasa) sedia pada bahasa Melayu itu memakai akan dia oleh mereka itu pada dua makna (pertama) barang yang telah lalu yang tiada permulaan baginya sekali-kali ia itulah sedia Zat Allah Ta‘ala dan Sifat-Nya ertinya sudah ada Zat Allah Ta‘ala dan Sifat-Nya itu pada barang yang telah lalu yang tiada permulaan bagi-Nya dan pada hamba bahawasa sedia ini makna bagi azali dan terkadang dikatakan pula sediakala (kedua) barang yang ada permulaan baginya yang telah lalu dahulu daripada sesuatu pekerjaan seperti kata seseorang Melayu tatkala hendak berbahagi harta yang bersekutu antaranya dan antara isterinya tatkala bercerai atau umpamanya pada hal ada baginya harta yang asing yang milik baginya dahulu daripada berkahwinnya dengan perempuan itu (ini hak aku yang sedia lagi) ertinya hartaku yang ada  padaku dahulu daripada pekerjaan kahwinku dengan dikau lagi. Setengah makna yang kedua ini perkataan engkau kepada taulan engkau “esuk hari aku hendak ziarah engkau, maka sediakan olehmu akan anu-anu daripada makanan” ertinya “siap oleh akan dia bagiku pada masa yang dahulu daripada datang aku kepada engkau”…..

 

(Dan bahawasa ‘lama’ dan ‘usang’ dan ‘bahari’) pada bahasa Melayu, adalah lama itu terlebih umum daripada usang dan bahari kerana dikatakan dia pada barang yang telah lalu atasnya oleh masa yang panjang semada bersangatan panjangnya atau kurang panjangnya, bersalahan usang , maka tiada dikatakan dia melainkan pada barang yang terlangsung lamanya ertimya yang bersangatan panjang lalu masa atasnya semada hampir binasa atau tiada, maka dikatakan dia pada barang yang amat buruk dengan sebab lalu masa yang amat lanjut atasnya seperti padi yang telah jadi hitam dengan sebab bersangatan lamanya dan dikatakan pula pada barang yang baik yang disayangkan dengan sebab lalu atasnya masa yang amat lanjut seperti emas yang baik [classical] yang  ditaruh daripada masa orang tua-tua hingga sampai cucu-cicitnya .

 

Dan bersalahan pula ‘bahari’ kerana dikatakan dia pada barang yang bersangatan lamanya daripada perkakas orang zaman dahulu [antique] yang digemarkan oleh orang sekarang ini, dikatakan keris bahari atau besi bahari (78)

Syaikh Ahmad membincangkan persoalan ‘penjodoh bilangan’ di dalam penggunaan bahasa Melayu  ketika syaikh menjawab persoalan tentang jatuh talaq berapakah bagi orang yang melafazkan talaq  dengan menyebut ‘sebanyak bintang di langit’. Syaikh telah menyebut:

 

Bermula [perkataan] (segala) dan [juga]mengulang-ulangkan itu setengah daripada beberapa alat[ menunjukkan] jama [plural] pada bahasa Melayu dan kalimah ‘sebanyak’ yang masuk atas [perkataan] ‘bintang’ itu yuhtamil [dianggap] dikehendaki dengan dia akan sebanyak satu bintang daripada beberapa bintang dilangit ‘ala. “(Aku kehendaki) satu bintang yang cukup bukan umpama setengahnya sahaja”, maka yang demikian  itu akan menjatuhkan satu talaq maka hanyalah kerana bahawasa kalimah ‘bintang’  pada ketika itu ‘mufrad [singular] Dan jika ihtimal [anggapan] ini jauh [dari yang sebenar] ia daripada barang yang bersegera mengertinya pada lafaz orang awam Melayu negeri Kelantan yang datang soalan ini daripadanya sekalipun.  Dan yuhtamil dikehendaki dengan dia sebanyak bilangan segala bintang yang dilangit dengan bahawa berniat ia akan demikian itu, maka jatuh tiga talaq (79)

Agak menarik diperhatikan bahawa Syaikh telah menggunakan  istilah ‘doktor’ di dalam kitabnya Hadiqatu al-Azhar  di tiga tempat, iaitu di halaman 53,54 dan 105. Hanyalah ianya dieja menggunakan huruf ‘kaf’ dan huruf ‘qaf’. Orang Melayu di Patani sehingga hari ini masih menggunakan istilah tok bomoh bagi doktor perubatan moden.

 

Seperkara lain yang menarik ialah Syaikh mengatakan:

 

(Kata hamba) Sarindib ia itulah yang maklum dengan pulau Ceylon dan hamba dengarkan setengah daripada ashab hamba berkata bahawsa setengah daripada ulama Jawa berkata ia bahawasa lafaz Ceylon yang bagi pulau itu daripada lughah Jawa dan maknanya dalam bahasa arab (murami an-nas) yakni tempat membuang segala orang yang kesalahan (80)

 

Beberapa Pendapat Syaikh Yang Menjadi Amalan Sehingga Kini.

 

Agaknya terlalu ganjil jikalau tidak disentuh langsung  tentang kesan fahaman syaikh Ahmad di dalam pengamalan agama di tanah air kita.

 

 

Harta Sepencarian

 

Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia telah menerima konsep harta sepencarian ketika menyelesaikan penceraian atau pembahagian pusaka. Konsep ini tidak kedapatan di dalam teks-teks feqah klasik yang biasa dirujuk oleh orang di sebelah sini.  Sebenarnya syaikh menyentuh soal harta sepencarian di dalam masalah yang ke 54 dan yang ke 57 di dalam al-Fatawa karangannya, dan inilah yang menjadi rujukan kemudiannya, soalan itu berbunyi:

 

Setengah daripada adat negeri-negeri yang di bawah angin bahawa sanya apabila mati seseorang daripada dua laki isteri dibahagikan harta peninggalannya dua bahagi maka ditolakkan kepada salah seorang yang hidup itu satu bahagi dan yang tinggal lagi itu dibahagikan antara segala wraith yang setengah daripada mereka itu seorang yang tersebut dan sebab yang demikian itu bahaw sanya  berusaha  pada ghalibnya oleh dua laki bini itu bersama-sama. Maka adakah betul perbuatan itu atau tiada.. (81)

Syaikh memberi jawaban:

 

Jika harta tarakah[pusaka] itu bersekutu padanya oleh dua laki isteri itu bersamaan kadarnya dengan yakin maka dibahagikan sebagai bahagi yang tersebut itu, adalah membahagi itu sebenar. Adapun jika tiada diketahuikan bersekutunya atau diketahuikan bersekutunya dan jikalau sama-sama bekerja yang mendapatkan harta itu sekalipun, tiada [termasuk] pekerjaan khidmat seperti bertanak dan membasuh dan menjahit kain suaminya, tetapi tiada diketahui bersamaan bersekutu itu seperti tiada diyakinkan bahawa sanya bekerja itu sama banyak kadarnya atau tiada maka dibahagikan dibahagikan dua dengan ketiadaan reda mereda segala warith pada kadar yang lebih kurang niscaya tiada sah membahagi sebagai bahagi yang tersebut dan tiada harus menolak itu. Maka jika reda mereda daripada mereka itu niscaya sah tetapi disyaratkan pada sah reda mereda itu bahawa taiada ada di dalam mereka itu orang yang tiada dii’tibarkan redanya seperti kanak-kanak dan sigila…..

 

Melontar Sebelum Gelincir Matahari Di Mina

Lembaga Tabung Haji telah mengaturkan jadual yang menentukan bahawa jamaah haji melontar selepas sembahyang subuh pada hari ke 13 Zu al-Hijjah, terdapat di kalangan jamaah haji yang tertanya-tanya kerana hampir keseluruhan kitab-kitab jawi dan arabnya yang lazimnya di tadah di surau-surau menyebut di antara syarat sah melontar itu hendaklah dilakukan selepas gelincir matahari.  Walaupun buku panduan Tabung Haji telah mendatangkan nas yang mengharuskan perbuatan itu, ramai yang beranggapan Tabung Haji hanya memikirkan muslihat mereka, bukan berpegang kepada nas yang kukuh.dalam mazhab. Sebenarnya Syaikh Ahmad  telah menulis:

 

Maka tiada harus melontar bagi tiap-tiap hari tasyrik dahulu daripada gelincir mataharinya, inilah yang mu’tamad dan kata qil sah ia dahulu daripada gelincir serta karahah  dan menjazamkan [menguatkan keharusan ini] dengan dia oleh Rafi‘ie dan Imam Haramain  dan mengi’timadkan dia oleh Asnawi dan berkata ia bahawa sanya  ialah yang ma’ruf pada mazhab, berkata di dalam [kitab] Tuhfah dan atasnya maka sayugia harusnya daripada fajar seperti mandinya (82)

 

Sembahyang Jama’ Bagi Orang Sakit

Kebanyakan kitab jawi akan menyebut bahawa sebab-sebab yang mengharuskan sembahyang jama’ itu ialah kerana bermusafir yang harus dari segi syara’ atau kerana hujan bagi orang yang sentiasa menjaga sembahyang jamaah. Itulah qaul yang masyhur di kalangan ulama Syafi‘e. Syaikh Ahmad telah memilih qaul  Imam Nawawi yang mengharuskan sembahyang jama’ bagi orang sakit, walaupun ianya bukan qaul yang masyhur di dalam mazhab. Qaul ini telah banyak memudahkan kesukaran orang-orang yang sakit seperti yang menjalani dialasis bagi yang sakit buah pinggang atau yang terpaksa melalui pembedahan, syaikh menulis:

 

(Dan harus)  jama’kan  antara dua sembahyang sebagai jama’ taqdim dan jama’ ta’khir dengan sebab sakit atas mazhab yang dipilihkan dia oleh Imam Nawawi dan iaitu mazhab Ahmad Bin Hanbal dan sunnat meraie’ oleh orang yang sakit akan yang terlebih mudah bagi dirinya pada sakitnya, maka orang yang demam ia pada waktu yang kedua, jama’ ia pada waktu yang pertama  dengan segala syarat taqdim atau demam ia pada waktu yang pertama, jama’ ia pada waktu yang kedua dengan segala syarat jama’ ta’khir, maka jika bersamaan dua waktu itu pada orang yang sakit maka jama’ taqdim itu aula. (83)

 

Hubungan Dengan Ahli Masyarakat Yang Bukan Muslim

Syaikh Ahmad bersikap positif terhadap hubungan kerjasama dengan orang bukan Islam, Syaikh telah menulis mengenai hukum hubungan kita dengan mereka sekiranya kita memasukki negeri orang kafir secara aman:

 

Adapun jika masuk kita [ke dalam negeri mereka]  dengan memberi aman [keselamatn kita tidak diancam] oleh mereka niscaya tiada harus [haram] bagi kita mengerjakan segala pekerjaan yang mereka itu tegah daripadanya seperti mencuri akan harta mereka itu, dengan membunuh diri mereka itu dan membeli anak-anak mereka itu (84)

Sekiranya ada orang bukan Islam yang memberi sumbangan bagi tujuan kebajikan dan kerja-kerja agama, syaikh juga memberi pandangannya:

 

Apabila memberi oleh kafir akan kita hartanya, adalah harta itu milik bagi kita maka harus bagi kita tasarruf [gunakan] padanya dengan mengerjakan dengan dia akan waqaf dan lainnya pada negeri mereka itu atau negeri yang lain. Adapun jikalau menyerah mereka itu kepada kita akan harta mereka itu pada hal minta tolong mereka itu akan kita mengerjakan kebajikan daripada diri mereka itu daripada [untuk tujuan] waqaf atau lainnya niscaya tiada diberi pahalakan mereka itu atas kebajikan kerana terhenti dapat pahala itu beriman, telah berfirman Allah Ta‘ala dengan kata-Nya:                                  ’. Tetapi jika menghendaki Allah Ta‘ala niscaya meringan Ia daripada mereka itu akan azab   dosa mereka itu yang lain daripada dosa kafir mereka itu (85)

Syaikh juga ditanya berkenaan hukum kita menjadi bidan atau seumpama kepada orang yang bukan Islam, syaikh telah menjawab:

           

Barangkali harus [menolong] jika tiada diqasad akan menolong akan dia pada pekerjaan kufurnya dan segala maksiat seperti jadi bidannya kerana hendak mengambil upah daripadanya, hanyalah [yakni disebabkan]  kerana harus muamalah akan kafir dengan jual beli dan lainnya. (86)

Selain hal-hal yang telah disebut, syaikh juga mengeluarkan beberapa kenyataan hukum yang berkaitan dengan perkara yang menjadi kebiasaan di dalam kehidupan orang Melayu, seperti :

 

(Dan telah) jatuh dariapada ahli setengah-setengah negeri Melayu bahawa berkata mereka jika disembuh akan daku daripada penyakit aku atau umpamanya aku hendak rasul kambing kepada Rasulullah atau aku hendak buat kenduri dan telah berlaku ‘uruf mereka itu bahaw sanya apabila bernazar mereka itu berkata mereka itu akan umpama perkataan itu maka sayugia bahawa dihukumkan pada perkataan itu dengan bahaw sanya sighah nazar kerana memberi faham perkataan itu pada ‘uruf mereka itu akan nazar dan ihtimal bahawa dikatakan bahawasa perkataan itu sighah kinayah bagi nazar, maka jika menyertai akan niat nazar niscaya jadi nazar dan jika tiada maka tiada. (87)

Syaikh juga menyentuh tentang sahnya zakat padi yang diamalkan oleh kebanyakan ahli Kelantan dan Patani yang menaruh-simpan padi dengan romannya.

 

 

Akhir Kalam

 

Syaikh Ahmad telah menduduki tempat istimewa di dalam sejarah ummat Melayu. Syaikh telah meninggalkan murid-muridnya yang berperanan di hampir setiap pelusuk rantau Melayu. Ada di antara mereka yang menjadi ulama terbilang, pengerak masyarakat yang berjaya dan pentadbir yang berjasa. Antara jasa-jasa syaikh ialah:

 

  1. Memulakan kerja-kerja pentashihan dan percetakan kitab-kitab warisan  Melayu karangan ulama sebelum beliau.

  2. Menyediakan kerangka bekerja secara berpersatuan dengan dimulai oleh beliau Syaikh telah menubuhkan Jam‘iah al-Fataniyyah di Makkah. Dan ini mungkin merupakan organisasi Melayu yang pertama.

  3. Membuka jalan berfikir yang subur untuk menerima perubahan dan kemajuan secara luaran dan mengekalkan fahaman aqidah dan pengamalan feqah berdasarkan ajaran klasikal secara dalaman.

  4. Menyediakan pemikiran yang strategik dalam menghadapi cabaran, dan bukan bergantungan kepada kekuatan atau kekerasan semata-mata.

  5. Mendedahkan pelajar Melayu kepada perkembangan di luar lingkungan mereka. Dia mengadakan rehlah bersama pelajarnya ke Syam, Masir dan Istanbul. Serta mendedahkan mereka kepada pembacaan yang bukan lazim bagi penuntut ilmu di zaman itu, seperti surat khabar dan majallah.

  6. Menjadi tempat rujukan para pembesar dan orang awam dari kawasan Melayu

  7. Menitik beratkan kesedaran tentang kepentingan bahasa dan sejarah bangsa.

  8. Mendorong ahli masyarakat kita bersangka-baik dan menerima ajaran Tasauf Islami, termasuk amalan tariqah yang mu’tabarah

  9. Meninggalkan kitab-kitab serta karangannya yang mempunyai nilai ilmu yang tinggi, serta perlu disebar-luaskan kepada ahli masyarakat

  10. Meniupkan semangat mencintai bangsa dan tanah air di atas dasar tuntutan agama.

 

Syaikh telah meninggalkan nasihat dan peringatan yang sangat bernilai  kepada kita, supaya kita melakukan segala  gerak-kerja di dalam kehidupan kita, termasuk usaha meningkatkan tamaddun bangsa, agar kita tidak lari daripada melihat kesudahan yang akan kita hadapi akibat daripada usaha kita itu, atau apa yang diistilahkan di dalam ilmu pengurusan semasa sebagai ‘begin with the end’. Syaikh juga memperingati kita di dalam keghairahan kita mahu mengislah masyarakat, semada pihak berkuasa mahu membetulkan rakyat atau rakyat mahu menegur pihak berkuasa, pertimbangan yang paling asas  perlu dibetulkan ialah qiblat hati kita masing-masing. Syaikh memperingatikan kita dengan nasihatnya:

 

Bahawa dunia ini hilang dan binasa ia dan bahawsa akhirat itu datang ia lagi kekal dan bahawsa tiap-tiap seseorang dalam dunia ini musafir dan tak dapat tiada bahawa selesai safarnya dan sampai ia kepada tempat kediamannya yang kekal ia padanya maka jika bersungguh-sungguh ia bagi meraikan tempat kediamannya[yang kekal] dan membaiki[memperelukkan] akan dia dan menghiasi akan dia dengan segala taatnya dan menanggung ia akan segala musyaqqah demikian itu  di dalam masa yang sedikit ini ini supaya  bersedap-sedap ia di tempat kediamannya di dalam masa yang panjang yang tiada kesudahan baginya dengan ketiadaan mencampurikan[menghiraukan] kesusahan  dan penat sekali-kali, maka ia daripada orang yang berakal lagi yang amat besar untungnya dan tuahnya. (88)

 

(Dan dengan sebab) tiada sah niat  dan tiada ikhlas qasad itu, dibalakan beberapa banyak mereka itu yang menzahirkan menegah daripada mungkar padahal tiada membangkit [berpunca] akan dia atas menegah daripada mungkar itu melainkan semata-mata segala kehendak yang fasid atau barang yang bercampur dengan seperti dengki dan riya’ dan beberapa banyak melawani oleh yang kena engkar dengan sebenarnya akan mempunyai engkar [orang yang menegur] itu dengan sebab bencinya akan dengkinya dan riya’nya , maka tiada memberi faedah engkar itu melainkan menambahkan perpanjangan fitnah dan mudarat. Wa  al-‘iyazubillahi Ta‘ala (89)

 

Sebagai penutup, sukalah pencatit ini merumuskan perjuangan pemikir agung bagi bangsa, Syaikh Ahmad di dalam beberapa bait puisi (90), walaupun ianya jauh dari sempurna:

 

 

KENANGKAN SYAIKH WAN AHMAD ULAMA GEMILANG

 

Kenangkanlah sumbangan Tok Wan Ahmad

Ulama gemilang penyuluh zaman

Penulis cemerlang pembawa harapan

Perintis perjuangan anak bangsa dan watan

Penyambung faham dari rantaian ulama silam

Serta bersedia bagi berdepan perubahan mendatang

 

Tok Wan Ahmad milik seluruh ummah bangsa ini

Nasab bapanya keturunan besar dari Patani

Serta ibunya berasal dari Pasir Mas Kelantani

Nama dan jasanya terlalu indah bagi dikenangi

 

Tok Wan Ahmad dalam usianya sesingkat itu

Menabur jasa buat para penuntut serta guru

Mewaris tulisan dan cara fikir yang jitu

Menumbuhkan semangat  serta kegigihan yang baru

Mencambahkan ulama dan pentadbir bangsa Melayu

 

Tok Wan Ahmad mudanya penuntut Azhar dan Makkah

Hebat berpuisi serta syair dia bermadah

Sehingga cantiknya bahasa dan bidalan digubah

Mempunyai sarat erti penuh hikmah

Kebenaran disampainya dengan bahasa yang tersangat indah

 

Tok Wan Ahmad ke Istanbul berjumpa Abdul Hamid Sultan Uthmani

Membawa harapan bangsa agar kitab Melayu dapat dicetaki

Maksudnya termakbul dan disambut Sultan dengan penuh ikrami

Tok Wan juga menziarahi Beirut menemui Syaikh Yusuf an-Nabhani

Ulama kerohanian pembela mazhab dan pencinta Ahla al-Baiti

Kemudian ke Qahirah berjumpa Muhammad Abduh syaikh al-Azhari

Pemikir cara baru perintis perubahan bagi sebahagian ummah ini

 

Tok Wan Ahmad hampir 100 tahun telah pergi

Jasa dan pusakanya belum sempat habis kita gali

Kerdilnya bangsa sekiranya tokoh agung ini terus dilupai

Kerana sibuk dengan kemajuan dan bahas duniawi

Sehingga warisan agung bangsa tiada mahu kita fahami

 

Marilah kita jernihkan hati dan perasaan

Kita menumpang tuah tokoh ini yang penuh keberkatan

Kita akur anjurannya agar dilaksanakan kemuafakatan

Kita dabikkan perasaan yang agama akan kita dirikan

Kita azamkan putus bagi maksiat kita tumbangkan

Fahaman ulama silam akan terus kita sambungkan

Agar Melayu kita akan menjadi bangsa gemilang

 

Marilah kita turuti saranan Tok Wan Ahmad

Kita jadikan bumi ini perbendaharaan ilmu, perladungan kepandaian

Kita gunakan kemudahan sezaman untuk menegak agama anutan

Agar Melayu ini bertambah kemajuan di dalam taatnya kepada Tuhan

Agar Melayu ini akan berdaulat berumbikan faham keagamaan

Agar Melayu ini punyai nilai diri dan bukan sekadar buih lautan

 

Tok Wan Ahmad berada pada gerbang zaman

Selayaknya kita jadikan dia imam ikutan

Bagi berderpan dengan zaman yang penuh cabaran

Nilai agama dan maruah bangsa sedangkan dikoyakkan

Oleh anasir-anasir yang benci kepada kebajikan

 

Ingatlah pesan Tok Wan Ahmad

Tegakkan agama, teguhkan bangsa, binalah tanah air tercinta

Sebagai watan Islami yang berdaulat merdeka

Sehingga kita menjadi Melayu berakal budi, hebat berfikir, indah budaya

Memiliki keberkesanan cara siyasahnya, bijak mendalam faham ilmunya

Umpama pohon bertunjang teguh di bumi, dahannya menyentuh awan yang tinggi

Serta mengeluarkan buahannya apabila sampai detiknya nanti

 

Tok Wan Ahmad

Hari ini kami berhimpun bagi mendapat sedikit fahaman

Dari warisan Tok Wan yang nilainya gilang cemerlang

Semoga kami semuanya mendapat restu taufik dari Tuhan

Rahmat-Nya tercurah dengan penuh keberkatan

Wahai Tuhan, anugerahilah kami kekuatan bagi mendapat pengertian

Serta bagi kami amalkan pusaka berharga tinggalan Tok Wan

 

Amin

Bi jahi Sayyidi al-Mursalin

Wa alihi wa sahbihi ajmain

Ya Rabba al-‘Alamin (90)

 

 

‘Abdullah Zaidi bin Hassan

Himpunan Pencakna Budaya Kelantan

 

 

 

 

Kemudiannya Alhamdulillah  di atas segala ni’mat

Serta taubat dari segala dosa, kelalaian  dan kecacatan

Semoga dikirakan usaha yang kekurangan ini sebagai pertaruhan di hari kelak.

Serta terima kasih kepada semua yang banyak membantu

 

Wallahu wa’lam

 

 

************************************

 

NOTA CATITAN

 

  1. Faridatu al-Faraid. m/s 2.  Syaikh Ahmad dikenali oleh sebahagian penadah kitab jawi sebagai ‘Tuan Faridah’ kerana karangannya ini. Naskhah yang dirujuk adalah terbitan Dar al-Ma‘arif. Pulau Pinang. T.T

  2.  Hadiqatu al-Azhar. m/s190. Kitab inimerupakan kitab terbesar di kalangan karangan Syaikh Ahmad dan paling luas perbincangannya. Agaknya untuk menjadikan ianya sebuah bacaan yang digemari ramai Syaikh Ahmad memasukkan juga tajuk-tajuk ‘kegemaran semasa’ seperti khasiat jenis-jenis batu permata dan bahan ubat-ubatan. Naskhah yang dirujuk terbitan Persama Press. Pulau Pinang. T.T

  3. Kerajaan Melayu Patani. Ibrahim Syukri. Pasir Puteh. 1958, berserta dirujuk juga buku ‘Ulama Besar Dari Patani.

  4. Hadiqatu al-Azhar. m/s 211

  5. Kepelbagaian Pemikiran Dan Perjuangan  Syaikh Ahmad-Kesan Dahulu & Sekarang’.  Ucaputama Seminar Pemikiran Syaikh Ahmad al-Fatani. Wan Mohd. Shaghir  . Pusat Pembangunan Pondok. 2002.

  6. Nailu al-Amani. m/s: 2. Sebuah teks pengajian nahu Arab yang ditulis oleh Syaikh Ahmad. yang masih digunakan di pondok-pondok.

  7. Faridatu al-Faraid. m/s: 14

  8. ‘Unwanu al-Falah. m/s: 84

  9. Hadiqatu al-Azhar. m/s 208

  10. ibid m/s :21

  11. ibid m/s:20

  12. ‘Unwanu al-Falah. m/s: 84

  13. Hadiqatu al-Azhar: m/s 20

  14. ‘Unwanu al-Falah: m/s 84

  15. Hadiqatu al-Azhar m/s:18

  16. Ibid m/s:18

  17. Ibid

  18. ibid m/s 206. Di dalam  kata penutup bagi kitab Najatu al-Ikhwan- min al-Wuqu‘ie fi an-Nisyan  tulisan Syaikh Uthman bin ‘Aqil al-Alawi yang dicetak pada tahun 1309H oleh Matba ‘ah al-Miriyyah terdapat perkataan:

    Maka setengah daripada besar-besar nikmat-Nya yang wasi‘ah bahawa ditoba’ kan [dicetak] beberapa kitab Melayu yang nafe‘ah* dan adalah dahulunya sehabis-habis payah akan tahsilnya

  19. Di tanah air, kaedah pengajaran bahasa Arab cara ini dikembangkan oleh antara lain Tok Kenali. Syaikh Uthman Jalaluddin  Penanti  telah menyifatkan yang kaedah Tok Kenali ini: “ialah daripada seeluk-eluk peraturan pada pemulaaan  pengajaran ilmu Arab. Dan sungguhnya  tiada hampir di dapatkan  seumpamanya”  Tasrifu al-‘Arfi :m/s 7

  20. Al-Fatawa al-Fataniyyah. m/s:17. Naskhah yang dirujuk adalah terbitan Patani Press. 1377H. Dibandingkan dengan naskhah yang tidak lengkap terbitan The Kelantan  Printing Company. 1333 H.

  21. ibid m/s: 21

  22. Datu Laksamana(1889-1930) Sumbangannya Di dalam Bidang Pentadbiran & Persuratan Melayu Kelantan. Siri Wacana Tokoh. Abdul Razak Mahmud. DBP Wilayah Timur. 2002

  23. Sedikit Mengenai Pejabat Menterjemah Kitab. Pengasuh . Abdul Razak Mahmud. Julai-Ogos 1991.

  24. Rencana . Pengasuh . Rabi al-Akhir 1352.

  25. Rencana . Pengasuh. Syaaban 1352

  26. Hadiqatu al-Azhar. m/s :229

  27. ibid  m/s230-231.  Di dalam Faridu al-Faraid, m/s 18 Syaikh mengatakan Zu Qarnain itu bukanlah Alexander The Great; “Dan Zu Qarnain itu satu raja yang soleh daripada bangsa Himyar dan bukannya ia Iskandar ar-Rumi” Berkata di dalam qamus Himyar atas timbangan [sebutan] dirham [iaitu] satu tempat pada pihak maghrib [barat] bagi negari San‘a al-Yaman

  28. Hadiqatu al-Azhar m/s: 196.

  29. ibid m/s: 231

  30. Kepelbagain Pemikiran Dan Perjuangan Syaikh Ahmad.  m/s:29-30

  31. Hadiqatu al-Azhar m/s 20

  32. ibid m/s 131

  33. ibid  m/s:169-170

  34. ibid m/s 171

  35. ibid m/s 173

  36. ibid m/s 174

  37. ibid m/s 175

  38. ibid m/s 277

  39. Al-‘Allamah Syeikh Ahmad al-Fathani –Ahli Fikir Islam & Dunia Melayu m/s  111. Wan Mohd Shaghir. Khazanah Fathaniyah. 1992

  40. Ikhtisar Sejarah Kelantan m/s 31-32. Abdul Razak Mahmud. PAP. 2002

  41. Wawasan Pemikir Islam  Ulama Nusantara Jil.2 . m/s 49. Wan Mohd. Saghir. Khazanah Fathaniyah. 2002

  42. Ibid m/s 49

  43. Syair Yang Indah Gubahan Syaikh Ahmad al-Fathani. Siri 1. m/s:20 Wan Mohd Shaghir. Khazanah Fathaniyah. 2002

  44. Al-Fatawa al-Fataniyyah m/s 209

  45. Ibid m/s 210

  46. Hadiqatu al-Azhar m/s 206

  47. Al-Fatawa al-Fataniyyah m/s 147

  48. Wawasan Pemikir Islam Ulama Nusantara.Jil.2  m/s 50.

Syaikh Ahmad menyebut ketika beliau menganjur ‘format’ bagi surat-kiriman dalam bahasa Melayu di dalam Hadiqatu al-Azhar (m/s 223): “berbuat surat kirim-kiriman dan fan [seni] yang sangatnya berhajat oleh ahli tamaddun”

  1. Ulama Kelantan Yang Menjadi Mufti Di Luar Kelantan. M/s 58. Warisan Kelantan XV. Ismail Che Ngah. Perbadanan Muzium Negeri Kelantan. 1996.

  2. Datuk Laksamana (1889-1930) Sumbangannya Di Dalam Bidang Pentadbiran &  Persuratan Melayu Kelantan. m/s 12

  3. Al-‘Allamah Syeikh Ahamad Fathani- Ahli Fikir Islam & Dunia Melayu. m/s 109

  4. ibid m/s 109

  5. ibid m/s 58. Walaupun Patani telah jatuh ke tangan Siam, Syaikh masih menganggap ianya kekal sebagai Dar al-Islam sampai bila-bila, sebagaimana huraian ulama silam seperti catitan Syaikh Daud Bin Abdullah al-Fatani di dalam kitabnya Furu al-Masail “..dan jika tiada harap datang menolong al-muslimin dengan berpindahnya itu, adalah duduknya pada tempat itu wajib kerana tempat itu dinamakan Daru al-Islam, Maka jika berpindah niscaya jadi rupa negeri harbi tiada pada hukumnya, tinggal[kekal] negeri Islam jua, maka jika diambil [ditawan semula]  oleh orang Islam kemudiannya sekalipun maka hukumnya tiadalah boleh lagi jadi negeri harbi. Inilah qaul yang dipilih oleh Ibnu Hajar bahawa sanya barang yang dihukumkan bahawa sanya ia negeri Islam tiada boleh lagi kemudiannya negeri kafir mutlaqan  [jil2.m/s 340]. Lihat catitan Syaikh Daud di dalam kitabnya Fathu al-Manan m/s 412-413, sebagai bandingan.

  6. Datuk Laksamana (1889-1930) Sumbangannya Di Dalam Pentadbiran & Persuratan Melayu Kelantan  m/s 5-6

  7. Al-Fatawa al-Fataniyyah m/s 192-193.

Syaikh juga memberi contoh bagi menghampirkan kepada faham tentang hal majzub di kalangan oleh sufi, dengan ibaratnya : (maka berkata hamba) bermula yang hamba fahamkan daripada kalam sufiyyah rahimahumuLlah Ta‘ala pada kutub [kitab-kitab] mereka itu yang terlihat hamba atasnya sekarang ini bahawasa Majzub di-itlaq akan dia atas 4 bahagi (pertama) mereka yang ditarikkan dia oleh Allah Ta‘ala kepada beberapa hal yang mulia dan beberapa maqam yang tinggi di dalam masa yang sedikit serta dilenyapkan akalnya maka dilalukan dia atas segala hal dan maqam itu dengan bersegera dan misalnya pada menghampirkan yang demikian itu bagi segala akal hal orang yang di atas keretapi yang amat deras perjalanan yang berjalan di dalam 3 hari akan jalan yang berjalan padanya 30 hari atau hal deras mesra lalu khasiat  ubatan [aliran] kahraba-iyyah [elektrik] di dalam beberapa daqiqah [saat] yang sedikit pada segala juzu dawainya yang dibentangkan antara segala tiangnya pada perjalanan beberapa bulan atau hal lekas suluh cahaya matahari kepada dunia di dalam beberapa thawani(?) daqiqah yang amat sedikit perjalanan ribi-ribu tahun… [m/s:181-182. al-Fatawa al-Fataniyyah]

Syaikh menulis perkara ini pada suratnya bertarikh 5 Safar 1324 (bersamaan 30Mac 1906) kepada as-Sultan Kelantan. Elektrik mula diperkenalkan di Kelantan telah dicatitkan oleh Muhammad Yusuf bin Soleh al-Kelantani dalam bukunya Laksana Staman (edisi pertama 1954):

“Dan perasaan yang berkehendakkan menambah bergemilangan negeri maka diringkasnya pada hari 10 Jamadi al-Awwal 1345 bersamaan 15 November 1926 dicuba menjalankan pasangan lampu-lampu api elektrik di dalam Bandar Kota Bharu dan pada hari rabu 26 Jamadu al-Awwal 1345 bersamaan sehari bulan Disember 1926 mulai terpasang api elektrik itu pada segala gudang tempat-tempat perniagaan dan rumah yang gemar memakai dan suka membayarnya dengan bertambah-tambahlah pada tiap-tiap masa”

  1. Hadiqatu al-Azhar m/s 20

  2. Datuk Laksamana (1889-1930) Sumbangannya Di Dalam Pentadbiran & Persuratan Melayu Kelantan m/s 12-13

  3. Unwanu al-Falah m/s 53

Syaikh Daud Bin Abdullah al-Fatani telah menyentuh hukum memakan kecau di dalam kitabnya As-Saidu wa az-Zaba-ihu, terbitan Matba‘ah al-Miriyyah pada tahun 1310. Kata Syaikh Daud:

(Dan) demikian lagi halal memakan isi [kehidupan] laut yang tiada hidup di darat lagi tiada memberi mudarat seperti ibu edang mutiara dan kepah dan tiram, dan taritib dan ramis dan segala baginya  dan temakul [ikan tembakul] dan upamanya seperti keca dan siput  yang tiada memberi mudarat dan tiada hidup di darat

  1. Bahjatu al-Mubtadin m/s 40

  2. Al-Fatawa al-Fataniyyah m/s 178

  3. Hadiqatu al-Azhar m/s 188

  4. Al-Fatawa al-Fataniyyah m/s 39

Terjemahan Melayunya di dalam al-Fatawa terjatuh perkataan ‘alkohol’ daripada teks Arabnya.

Air launda adalah apa yang dipanggil ‘lavender water’. Kaedah yang dipetik oleh syaikh itu berkemungkinan diterjemahkan daripada  ‘The Household Cyclopedia Of General Information’. Terbitan 1881 di Amerika. Boleh didapati di: http://www.publicbookshelf.com/public_htm. Hanyalah perbincangan di sini lebih detail.       

63.Ibid m/s 39

64.Tayyibu al-Ehsan m/s 3. Syaikh juga menulis kitab perubatan yang dinamakan

Laqatu al-Ajlan, yang merupakan himpunan amalan rawatan menggunakan ayat-ayat al-Quran, doa, azimat dan petua. Terdapat juga kitab jenis yang sama yang dinisbahkan kepada Tok Kenali yang dinamakan Mujarabat, yang merupakan terjemahan daripada tulisan Imam Darabi. Sementara Datuk Perdana Menteri Nik Mahmud Bin Ismail menulis kitab Pati Rahsia.  Pada tangan pencatit ini terdapat manuskrip tentang perdukunan yang sangat uzur keadaannya, tuan asalnya adalah Haji Ishak Bin Abdullah, seorang lagi murid Syaikh Ahmad asal Kelantan yang meninggal di Kampong Cham, Kemboja.

  1. ibid m/s 3

  2. ibid m/s 4

  3. ibid m/s 4

  4. ibid m/s 4

  5. Hadiqatu al-Azhar m/s  203

  6. ibid m/s 186

  7. ibid m/s 185

  8. ibid m/s 222

  9. ibid m/s 222

  10. ibid m/s 222

  11. Al-‘Allamah Syeikh  Ahmad Fathani- Ahli Fikir Islam & Dunia Islam m/s 59

  12. Al-Fatawa al-Fataniyyah m/s 46-47

  13. Hadiqatu al-Azhar m/s 231

  14. Al-Fatawa al-Fataniyyah m/s 6-7

  15. ibid m/s 158

  16. Hadiqatu al-Azhar m/s 188

  17. Al-Fatawa al-Fataniyyah m/s 104-106

  18. Bahjatu al-Mubtadin m/s 36

  19. ‘Unwanu al-Falah m/s 29

  20. Al-Fatawa al-Fataniyyah m/s 93

  21. ibid m/s 102

  22. ibid m/s 179

  23. ‘Unwan al-Falah m/s 54

  24. ibid m/s 83

  25. Al-Fatawa al-Fataniyyah m/s 203. Pencatit ini pernah menulis nasihat Ustazuna Haji Musa bin Yahya di dalam bukunya yang tidak terjual Pandangbalas Terhadap Pandangan Dr. Mahathir Muhammad:

kemungkaran jangan mudah ditegur, kerana di dalam menegur satu kemungkaran, kita mungkin melakukan tiga kemungkaran. Kita mungkin menegur keumungkaran dengan menganggap kita lebih baik daripada yang ditegur, ini adalah kemungkaran yang besar iaitu takabbur. Kita mungkin mengintai-intai keabaiban orang lain untuk menegurnya, ini juga adalah kemungkaran. Dan di dalam menegur, kita mungkin membuka aib orang lain secara sengaja dan ini juga adalah kemungkaran. Oleh itu, Guru kami mengatakan istita‘ah hati di dalam menegur kemungkaran itu ialah menghadirkan keikhlasan semata-mata kerana Allah. Apabila ada kekuatan istita‘ah itu, cegahlah kemungkaran semada dengan tangan atau lisan atau dengan hati. Keikhlasan yang berakar-umbi di hati itulah yang akan memancarkan keredaan Allah di dalam tindakan

   90.  Puisi ini dilakarkan sebelum berlangsungkan seminar Syaikh Ahmad al-Fatani pada September 2002, di Kota Bharu

Home page for TRADITIONAL ISLAM:

www.oocities.com/traditionalislam/ or traditionalislam.tripod.com

1