Hazman Tidak Lokek Pengalaman
Mingguan Malaysia, Januari 14 2001

Hasrat untuk meneroka bidang komputer pada tahap yang lebih maju membuatkan seorang anak muda tempatan sanggup berhijrah ke luar negara.

Hazman Mohamad Halid yang menghiasi ruangan Jejaka Minggu Ini kali ini tidak berada di tanah air saat artikel mengenai dirinya dipaparkan. Dia kini berada di Michigan, Amerika Syarikat untuk bertugas sebagai perunding teknikal pemprograman C++ di syarikat Ford Motor Company.

"Saya mencipta program untuk membolehkan Ford menganalisis pasaran kereta," kata Hazman mengenai bidang tugasnya.

Selama hampir dua tahun dia telah mereka bentuk dan menulis sembilan buah program untuk syarikat pengeluar kereta itu, kata Hazman semasa ditemui ketika pulang berhari raya baru-baru ini.

Menurut Hazman, suasana kerja di syarikat itu tiada tekanan walaupun tidak banyak rakan senegara bertugas di Ford Motor Company.

Hazman mempunyai pengalaman selama lima tahun dalam pemprograman C++. C++ adalah bahasa pemprograman komputer yang paling maju dan mencabar.

Sebagai seorang profesional dia sentiasa peka terhadap perkembangan yang pesat dalam bidang komputeran.

Hazman telah mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui sembilan sijil profesional yang dimiliki daripada brainbench.com, iaitu sebuah badan pensijilan yang diiktiraf di seluruh dunia.

Menurut penelitiannya, di Amerika Syarikat, semua ahli komputer berlumba-lumba mencipta program tersendiri, sebaliknya di Malaysia banyak yang menggunakan ciptaan perisian Barat untuk diubah-suai.

"Industri perisian di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat sudah mencapai kematangan. Di Malaysia kita masih lagi di tahap pengembangan," katanya lagi.

Hazman tidak kedekut untuk berkongsi pengalaman dengan pengamal bidang komputer di Malaysia untuk mencurahkan ilmu yang dia ada.

"Saya menjawab pelbagai persoalan mengenai pemprograman komputer di satu laman web," katanya.

Dia menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh pelajar dan profesional di laman web www.sembang.com untuk membolehkan mereka mengetahui perkembangan terbaru di Amerika Syarikat.

"Tujuan saya ialah untuk menolong meningkatkan tahap industri perisian di tanah air walaupun saya tiada di Malaysia," jelasnya yang menggunakan nama ringkas Tukang Taip di laman web popular itu.

Sejak mula dilancarkan sehingga kini dia telah menjawab lebih 3,000 soalan teknikal yang dikemukakan.

Saya menjawab sekitar tiga hingga lima soalan sehari bergantung pada kelapangan masa saya," ujar pemilik ijazah dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini.

Dia juga menabur bakti untuk pelajar Jurusan Sains KOmputer di universiti yang telah mendidiknya dengan mengadakan bengkel pemprograman secara percuma hampir setiap tahun.

Menurut Hazman, sebuah lagi program ciptaannya iaitu program untuk mengira jumlah simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang bakal diperoleh setelah pencen juga popular.

"Saya melancarkan program yang dikenali sebagai EPFCalc dua tahun lalu dalam laman web saya secara percuma dan tidak sangka ia popular sehingga kini," katanya.

Malah dia masih menerima respons daripada pengguna walaupun laman web tersebut telah ditutup
(merujuk kepada laman hazman.com yang lama - Hazman).

Balik ke muka hadapan