Artikel ini merupakan artikel pertama dalam satu siri yang saya 
tujukan khas kepada anda yang baru mengenali komputer. Saya akan cuba 
untuk memperkenalkan anda kepada teknologi yang terdapat dalam 
komputer anda, dan menjurus ke arah pemprograman (kerana saya seorang 
programmer). Saya harap artikel-artikel saya ini akan dapat menolong 
membawa pemikiran anda ke aras yang lebih tinggi dan menjadi asas 
untuk anda memahami konsep-konsep yang lebih advanced kelak.

Seperti biasa, penguasaan Bahasa Melayu saya tidaklah gred A+++, dan 
kerapkali saya terpaksa mencampur-aduk dengan bahasa Inggeris. Saya 
harap anda dapat bersabar dengan bahasa rojak ini. Saya rasa yang 
lebih penting ialah idea itu dapat disampaikan. Anyway, I'm not 
writing a book.

Okey, kita mulakan dengan komputer yang ada di depan anda sekarang. 
Secara amnya, apa yang ada didepan anda sekarang dipanggil 
sebuah 'sistem'. Mengikut definisi, sesebuah sistem merupakan satu 
gabungan berbagai benda yang bekerjasama. Dalam sistem anda terdapat 
monitor, keyboard, mouse, kotak CPU (dan benda-benda di dalamnya). 
Kesemua ini merupakan benda yang boleh anda nampak dan pegang. Tetapi 
juga terdapat komponen-komponen yang tidak dapat anda lihat, malahan 
hanya wujud di dalam alam yang abstrak. Contohnya, sistem operasi 
(Windows) dan perisian-perisian aplikasi (Microsoft Office, Internet 
Explorer).

Amnya, komponen yang boleh anda pegang dipanggil 'hardware'. Komponen 
yang anda tak boleh pegang dipanggil 'software'. Hardware dicipta 
oleh jurutera-jurutera dan dipasang di kilang-kilang yang, misalnya 
banyak terdapat di Pulau Pinang dan Shah Alam (AMD, Intel, Seagate, 
etc.). Software pula dicipta oleh programmer-programmer dan tidak 
memerlukan 'kilang' untuk membuatnya. Proses mencipta software ini 
dipanggil programming.

Kita lihat beberapa hardware penting di dalam komputer anda. Amnya, 
hardware-hardware ini boleh dikategorikan kepada 4 jenis: input, 
output, pemproses dan simpanan. 

i. Input device ialah alat-alat yang membolehkan anda berkomunikasi 
dengan sistem komputer anda. Contohnya, keyboard membolehkan anda 
menaip teks. Mouse membolehkan anda memilih ikon. Dalam sistem 
multimedia, terdapat microphone dan joystick.

ii. Output device ialah alat-alat yang membolehkan komputer 
berkomunikasi dengan anda. Contohnya, monitor memberikan paparan 
visual. Speaker mengeluarkan audio. Printer mengeluarkan cetakan.

iii. Pemproses ialah alat yang memproses input yang diterima melalui 
(i) dan mengeluarkan output menerusi (ii). Dalam komputer anda, 
pemproses yang paling utama ialah CPU (central processing unit), 
tetapi terdapat juga pemproses-pemproses kecil lain yang membantu 
tugas CPU. Contohnya jika anda mempunyai kad grafik 3D, di situ 
terdapat pemproses yang membantu membuat pengiraan trigonometri yang 
diperlukan untuk memaparkan geometri 3-dimensi.

iv. Ingatan ialah tempat komputer menyimpan maklumat. Terdapat 
ingatan sementara, dan ingatan kekal. Ingatan sementara, lebih 
dikenali sebagai RAM, digunakan untuk menyimpan maklumat yang sedang 
diproses. Selepas maklumat ini diproses, ia dibuang dari ingatan 
('dilupakan'). Ingatan kekal ialah seperti hard disk, floppy disk, 
zip disk, CD-ROM, CD-R, DVD digunakan untuk menyimpan maklumat untuk 
jangkamasa yang lebih panjang. Misalnya, hasil pemprosesan (dokumen, 
laporan etc.).

Untuk memantapkan pemahaman anda, kita boleh lihat kepada diri kita 
sendiri. Input device kita ialah organ-organ deria kita -- mata, 
telinga, hidung, lidah. Organ-organ ini menerima maklumat dari dunia 
luar ke dalam otak kita. Otak kita merupakan CPU. Sekaligus, terdapat 
bahagian-bahagian di dalam otak kita yang bersifat sebagai ingatan 
sementara. Jika kita perlu mengingati sesuatu untuk jangkamasa 
panjang, kita gunakan buku nota sebagai ingatan kekal. Output device 
kita ialah seperti mulut (boleh bercakap) dan tangan (boleh menulis, 
memberi isyarat).

Lain kali saya akan sambung lagi dengan artikel seterusnya. Sekarang 
sudah waktu makan, dan saya nak pergi cafeteria ... hari ni makan 
pasta kot. Menu bertukar setiap hari, dan saya cuma makan kalau pasta 
tu tak ada daging.

Chow!!!
Hazman.

---
Ditulis oleh Hazman Halid, Consultant Developer, IBM & Ford Motor 
Company, Dearborn, Michigan, USA.

    Source: geocities.com/tukangtaip